“Barangkali kuil Hindu,”Bujang membuat tekaan. “Betul,Bujang,”akui Panglima Kahar.”Tok sami itu sedang membaca ayat-ayat dari kitab Weda, memuji Tuhan mereka yang dipanggil Sang Dewata Mulia Raya.” – “Cari pendeta Aria Wulon. Dia bisa membantu kalian.-“ terdengar bisikan halus dalam lintasan hati Bujang.Dia melihat rakan-rakannya tetapi tiada sesiapa yang mendengarnya. Mereka menghampiri kuil tersebut. Dari jauh,kuil yang bermandikan cahaya bulan itu kelihatan sepi bagaikan tidak berpenghuni,melainkan suara bacaan yang semakin kuat dan jelas. Di hadapan pintu gerbang kuil itu telah dibina beberapa buah pondok tempat berihat. Bujang memberi isyarat supaya mereka bermalam di situ,manakala dia mara ke tembok bersama Panglima Kahar dan Andika. Dari celah tembik batu itu,mereka mengintai ke dalam kuil. Di suatu kawasan lapang di hadapan ukiran patung-patung Hindu duduk beberapa orang penganutnya yang diketuai oleh seorang tok sami berselempang kain kuning gelap.Mereka semua duduk bersila dengan mata terpejam rapat,kedua-dua tangan diletak di atas lutut dengan telapak tangan terbuka. Gaya mereka duduk mirip dengan latihan pernafasan tenaga dalam yang Bujang pelajari di Gunung Jerai dulu. “Mereka berlatih Yoga,”bisik Panglima Kahar.”Tujuannya mensucikan hati dan jiwa supaya dekat dengan Tuhan mereka.” “Macam amalan dalam persulukan,”sampuk Bujang. “Lebih-kurang sama,”akui Panglima Kahar.”Bezanya kita menyebut nama-nama Allah,nama-nama malaikat dan bersendikan ayat-ayat suci Al-Qur’an.Kita bersuluk tetapi mereka bertapa.” “Kata orang ada unsur-unsur sihir,”bisik Andika pula. “Tak semestinya begitu,”Panglima Kahar membela diri bagi pihak Bujang.”Bergantung pada nawaitu dan cara. Bersuluk ini amalan para wali Allah,maka Allah anugerahkan karamah. Kalau belum bertaraf wali disebut al-maunnah. Sihir menggunakan perantaraan iblis dan syaitan.” Andika hanya mengangguk tanda setuju kerana dia juga sudah mempelajari ilmu suluk. Tiba-tiba badan tok sami itu terangkat,terapung di awang-awangan kira-kira sedepa dari paras tanah.Sejurus kemudian,para pengikutnya pula mencontohi perbuatannya.Namun,mata masing-masing masih terpejam rapat,hanya mulut kumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci mereka. “Barangkali mereka tidak suka diganggu,”bisik Bujang. “Barangkali juga,”bisik Panglima Kahar kembali. Diam-diam mereka berundur dari tembok kuil itu menuju ke pondok-pondok rihat. Bujang memilih sebuah pondok berhampiran kolam supaya mudah dia mandi-manda dan berwuduk. Dengan menggunakan kampitnya sebagai bantal,dia pun berbaring melelapkan mata sambil memasang niat untuk bangun bertahajud. Dinihari Sabtu 19 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 11 November 1652 Masehi, Bujang terbangun dengan sendirinya.Dilihatnya alam terang-benderang bermandikan cahaya bulan.Suasana sunyi sepi diselimuti kabus,hanya kedengaran bunyi deruan angin di celah daun dan bunyi dengkuran rakan-rakannya yang masih mengerekot di tempat tidur.Udara dingin sekali. Bujang turun ke tepi kolam mengambil wuduk,kemudian naik semula ke atas pondok. Di atas hamparan kain basahan yang masih kering,dia mendirikan solat tahajud serta witir,kemudian duduk berzikir dalam hati menunggu masuknya waktu subuh.Tidak lama kemudian,cuping telinganya menangkap suara sayup-sayup melaungkan azan subuh,datang entah dari mana. Suara azan itu begitu mendayu-dayu menusuk kalbu. Terasa pelik juga kerana dia berada berhampiran kuil Hindu. Dengan tidak semena-mena penglihatan Bujang terhalang oleh tirai kuning yang mengurungnya dari semua penjuru.Sambil menyisip kedua-dua kerisnya ke pinggang,dia bangun meneliti tirai tebal itu.Ternampak pintu tirai,dia terus menyelaknya. Demi terselak sahaja pintu itu,dia tiba-tiba mendapati dirinya sudah berada di ruang sembahyang di sebuah masjid. Ruang itu sungguh indah dengan dinding dan lantainya diperbuat daripada batu marmar putih manakala mimbarnya zamrud hijau. Ruang sembahyang itu sudah dipenuhi jemaah,begitu juga tempat duduk imam. Muazin masih melaungkan azan dengan suara yang merdu.Bujang menjawab azan itu sampai habis. Ketika jemaah bangun mengerjakan sunat subuh,baru Bujang nampak ada ruang untuknya. Dia pun mengambil tempat di tepi sekali sebelah seorang makmum untuk turut sama mengerjakan sembahyang sunat. Selepas memberi salam,dia terkejut kerana semua makmum sudah berdiri dan menunggunya dengan sabar. Tambah terkejut lagi apabila seorang makmum yang berpakaian seperti hulubalang segera tampil memimpinnya ke saf hadapan.Ditunjukkan pada tempat kosong di sebelah seorang lelaki yang memakai pakaian kebesaran seperti seorang raja. Lelaki berwajah bersih yang tersenyum padanya itu bukan Raja Abal Yusuf dan tidak pernah dilihatnya. Belum sempat dia memberi salam atau bertanya khabar,qamat pun dilaungkan tanda hendak memulakan sembahyang subuh. Subuh itu terasa hening sekali.Setiap patah bacaan imam dapat didengarnya dengan jelas meskipun suara imam itu tidak lantang. Bau wangi yang mengharum sentiasa memenuhi ruangan di mesjid itu. Sebaik sahaja selesai memberi salam,imam memalingkan badan menghadap makmum.Bujang dan lelaki yang berpakaian seperti raja itu dijemput oleh hulubalang tadi lalu diminta duduk di sebelah imam. Para makmum sunyi sepi tidak bersuara. Baru Bujang perasan kebanyakan makmum itu memakai pakaian seperti golongan istana.Sekonyong-konyong muncul pula permaisuri bersama puterinya menghampiri tempat mereka duduk. “Puteri Rubiah?”terpancut nama itu demi terpandang sahaja wajah puteri itu. “Inilah puteri ayahanda Rabiatun Adwiyah bersama bondanya Permaisuri Saadiyah,”raja itu mempersilakan anak dan isterinya duduk.”Ayahanda bernama Sultan Nashaful Alam Fid-Daulah.” “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,”Bujang terus menyusun sembah seperti adatnya berhadapan dengan seorang raja. “Tak payahlah berpatik bertuanku dengan ayahanda lagi,”Sultan Nashaful Alam tersenyum sambil mengerling pada puterinya yang sedang bersimpuh penuh sopan.”Ayahanda tahu anakanda Tengku Alang ada urusan penting di Pulau Bali.Urusan ayahanda sekejap sahaja. Sekadar ingin menikahkah Puteri Rabiatun dengan anakanda.” “Menikah?”Bujang seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Sekadar ijab-kabul tanda menghalalkan perkahwinan ini,”tambah Sultan Nashaful Alam lagi sebagai penjelasan.”Anakanda akan dijemput ke majlis sambutan besar-besaran tidak lama lagi. Hari ini anakanda berdua akan dinikahkan oleh Tok Imam di hadapan semua pegawai dan pertuanan istana. Sila jalankan tanggungjawab,Tok Imam.” “Menjunjung titah,Tuanku,”sembah Tok Imam,kemudian beralih pada Bujang.”Tengku Alang Iskandar ibni almarhum Sultan Abdullah,sudikah Tengku didudukkan dengan Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam Fid-Daulah?” “Errr….hamba su..su..sudi,”Bujang tergagap-gagap kerana terlalu gementar. Dia merasakan semua itu bagaikan mimpi tetapi dia sedar dia tidak bermimpi. “Mas kawinnya?”Tok Imam bertanya. Bujang terdiam seketika. Dia tidak membawa apa-apa melainkan sehelai sepinggang. Semua barang-barangnya berada dalam kampit yang ditinggalkan di atas pondok.Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dari celah saku bengkungnya dikeluarkan sebutir batu delima lalu dihulurkan kepada Tok Imam.Tok Imam meneliti batu berharga itu,kemudian menyerahkan kepada Sultan Nashaful Alam yang turut sama mengmatinya seketika. Kemudian batu delima itu diberikan kepada puterinya. “Setuju,anakanda?”tanya Sultan Nashaful Alam pada [uterinya. Sebagai jawapan,Puteri Rubiah meletakkan batu permata itu di atas jari manis kirinya sambil mengangguk tenang. “Baiklah,”Tok Imam terus mencapai tangan kanan Bujang.”Aku nikahkan Tengku Alang Iskandar ibni almarhum Sultan Abdullah dengan Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam dengan mas kawin sebutir mutiara pancar delima kerana Allah Taala.” Sebaik sahaja tangannya digoncang,Bujang terus menyambut dalam senafas,”Aku terima nikahnya Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam dengan mas kawin sebutir mutiara pancar delima kerana Allah Taala.” “Bagaimana pandangan saksi-saksi?”Sultan Nashaful Alam bertanya pada makmum. “Sah,Tuanku,”sahut beberapa orang pembesar sementara yang lain-lain mengangguk sambil menyusun sembah. “Alhamdulillah,”Tok Imam pun menadah tangan memanjatkan doa,diaminkan oleh semua. Selepas bacaan doa,Puteri Rubiah bangun mendekati Bujang,duduk bersimpuh penuh sopan di hadapan Bujang,kemudian mencium tangan Bujang tanda taat setia seorang isteri. Sebagai balasan-nya,Bujang mengucup dahi isteri yang baru dinikahinya itu. “Terimalah ini sebagai tanda ikatan kita,”Puteri Rubiah menyarungkan sebentuk cincin suasa bertatahkan batu-batu permata aneka warna dengan lambang kerajaannya ke jari telunjuk kanan Bujang.Jari itu terpaksa menjadi pilihan kerana kedua-dua jari manis Bujang sudah disarungkan dengan cincin perkahwinannya dengan Chendana dan Tunku Balqis. “Anugerah dari ayahanda dan bonda ialah sebuah bahtera dan seekor kuda sembrani,”Sultan Nashaful Allam mengumumkan pada menantunya. “Sebuah bahtera?”Bujang terperanjat. “Bahtera itu menunggu anakanda di muara sungai selepas anakanda turun dari pendakian Gunung Agung,”Sultan Nashaful Alam menjelaskan lebih lanjut.”Seorang hulubalang sudah ayahanda utuskan untuk mengajar anakanda bagaimana cara mengendalikannya.” “Kuda sembrani dari Bonda pula namanya Si-Rangga-Ranggit,”Permaisuri pula menyatakan anugerahnya.”Beri salam,seru namanya,dia pasti menjelma.Ingat namanya baik-baik.” “Si-Rangga-Ranggit,”Bujang mengulangi nama kuda sembrani itu. “Bujang,”dia terdengar namanya diseru bapa saudaranya dan bahunya ditepuk dari belakang. Segera dia memalingkan muka ke arah suara yang dikenalinya itu. Panglima Kahar dan Andika tersenyum-senyum melihat dirinya masih terbaring di atas pondok sedangkan hari sudah siang.Hulubalang pilihan sudah bersiap-sedia hendak bertolak. “Maaflah kerana tidak mengejutkan Bujang,”Panglima Kahar memohon ikhlas.”Kami pun terlepas sembahyang subuh.” “Agaknya badan kita terlampau letih,Panglima,”sambut Andika pula sambil tersengih. Bujang terus bingkas bangun.Perkara pertama yang dibuatnya ialah merenung jari manis kirinya. Memang benar,sebutir cincin suasa pemberian isterinya Puteri Rubiah masih tersarung di jari telunjuk itu,malah tangannya yang baru dipegang oleh isterinya masih berbau wangi. “Subhanallah….,”hanya itu yang mampu dituturnya. Dia mencapai kampitnya lalu mengesot turun dari pondok itu.”Semua dah makan?”dia bertanya pada para hulubalangnya. “Belum lagi,Panglima,”Andika menjawab mewakili semua. “Sebenarnya kami menunggu tok sami,”Panglima Kahar memberitahu Bujang.”Tadi tok sami datang menjemput kita semua bersarapan di rumahnya.Katanya kita tidak perlu was-was kerana makanan itu halal dan boleh dimakan orang Islam.” “Itu pun tok sami dah datang,”seorang hulubalang mencelah sambil menuding. “Vanikam,”tok sami itu memberi penghormatan dari jauh lagi sambil kedua-dua tangannya ditangkup ke dada seperti menyembah berhalanya.Bujang membalas penghormatan itu dengan cara hulubalang tetapi tidak berkata apa-apa. “Hamba Aria Wulon,ketua kampung dan juga tok sami di sini,”Aria Wulon memperkenalkan diri dengan bahasa Melayu yang fasih sambil bersalam dengan Bujang. “Pendeta Aria Wulon,”balas Bujang pula.”Hambalah yang bergelar Panglima Agung.” “Panglima Agung?”Aria Wulon termenung sejenak.”Ya,dua-tiga hari yang lalu ada utusan dari Pak Buyon di perkampungan puak Tengger. Hamba diminta menunjukkan jalan ke Gua Siva.” “Pak Buyon itu sahabat hamba,”beritahu Bujang dengan bangga. “Kalau begitu kita juga bersahabat,”balas Aria Wulon dengan gembira.”Pak Buyon itu bapa mertua hamba.Anaknya keempat-empat hamba kahwini.” “Hebat juga Tuan Pendeta ini,”Bujang memuji. Aria Wulon ketawa berdekah-dekah,bangga dengan sifat kejantanannya.Kemesraan mula terasa antara mereka yang dua serumpun tetapi berlainan agama meskipun baru berjumpa. “Silalah ke teratak buruk hamba,”Aria Wulon mempelawa mereka semua. Mereka dibawa ke sebuah rumah besar di lereng gunung tidak berapa jauh dari kuil. Bukanlah teratak buruk seperti yang dikatakan Aria Wulon.Ternyata tuan rumah mereka buka sahaja seorang pendeta tetapi juga suka merendah diri.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...