Keesokan harinya iaitu pada hari Selasa 13 Zulkaedah 1062 Hijrah@5 Okt 1652 Masehi, majlis perkahwinan Bujang dan Chendana diadakan secara sederhana tetapi meriah. Duli Yang Dipertuan Sultan Johor sendiri mencemar duli menghadiri majlis itu bersama Permaisuri Mayang Selida. Turut mengiring baginda suami-isteri ialah Raja Bendahara dari Sekudai,Tuan Pekerma,Seri Nara Menteri,Seri Nara Diraja,Seri Bija Wangsa,Seri Pekerma Raja,Seri Mahawangsa,Maharaja Indera Mara Denda,Lela Wangsa dan Tun Lela Pahlawan yang membawa anak-isteri masing-masing.Semua itu diperkenalkan kepada Bujang oleh bapa mertuanya ketika dia bersama Chendana menyambut kedatangan tetamu di atas pelamin. Mereka bersanding hanya sekadar adat kerana ijab-kabul tidak perlu lagi. Ketika sama-sama menjamu selera,mata Bujang mencari-cari Yamtuan Muda Ibrahim,Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil dan Seri Bija Diraja tetapi mereka tidak kelihatan di situ.Begitu juga dengan tiga putera baginda Sultan yang menetap di Kelang,Johol dan Jelebu,masing-masing tidak dapat hadir kerana terlalu jauh dan masa pula terlalu suntuk. Tambak dan Galak,anak buah Yamtuan Muda yang dilihatnya di hutan nipah tempoh hari juga tidak nampak batang hidung mereka. Bujang membuat kesimpulan sebahagian daripada para pengunjung itu adalah anak buahnya dalam angkatan Fisabilillah berdasarkan tanda pengenalan rahsia yang ditunjukkan ketika bersalam.Bujang diperkenalkan kepada Tun Berkat dari Sayong,Tun Dali dari Seluyut,Dang Lenggang dari Johor Lama,Wan Hanafi dari Tanjung Batu, Tok Putih dari Pulau Tekong, Belitong dari Bentan,Awang Long dari Sekudai,Jusuh dari Teberau,Hang Isap dari Pengerang ,Tok Kilat dari Singapura,Chut Kencana dari Pasir Raja,Dewani dari Sedili,Engku Jaafar dari Makam Tauhid,Panglima Bayang dari Kota Tinggi oleh Lela Wangsa yang mewakili kawasan Batu Sawar.Mereka merupakan pemimpin kanan kawasan masing-masing yang memainkan peranan penting dalam perjuangan jihad menentang Belanda.Chendana yang dibantu oleh Wak Diman mewakili Kampung Panchor walaupun Chendana tidak lagi menggunakan nama Awang Kerambit. Bujang terasa ikatan siratul-rahim dengan mereka semua meskipun baru pertama kali bersua muka. Keikhlasan terpancar pada wajah mereka. Keikhlasan,keberanian,keazaman yang kuat serta kesediaan untuk mati syahid pada bila-bila masa di mana sahaja. Ini baru di bumi Johor.Kalau dapat dikumpulkan semua ahli di Kedah, Perak,Selangor dan negeri-negeri lain di Alam Melayu,jangan kata Kompeni Belanda,negeri Belanda pun dapat ditakluki. Duli Yang Dipertuan dan Permaisuri Mayang Selida berangkat pulang tidak lama kemudian bersama para pembesar. Lain-lain pengunjung beransur-ansur minta diri.Yang tinggal hanya-lah rakan-rakan Bujang dalam angkatan kerana membantu membasuh pinggan-mangkuk dan mengemas tempat. "Tadi abang tak nampak pun Yamtuan Muda,"kata Bujang sambil menjenguk ke bawah dari jendela biliknya.Chendana bangun menanggalkan kain telekong yang dipakainya. "Khabarnya dia pergi berburu di hutan Kota Tinggi,"Chendana menyangkut kain telekong-nya ke dinding."Isterinya Ratu Petani mengidam hendak makan daging rusa." "Tentu Balqis juga mengidam,"Bujang termenung sejenak sebelum menukar pakaiannya. "Sayang sekali,abang tak dapat memenuhi permintaannya kerana berjauhan." "Esok-lusa bolehlah kita bertandang ke Kedah,"Chendana membantu suaminya menyarung-kan pakaian pendekar."Chendana pun dah lama tidak melihat Tunku Balqis.Tentu orangnya cantik,ya? Kalau tidak,masakan abang terpaut hati padanya." "Isteri abang semua cantik-cantik belaka,"Bujang memakai tali pinggang hitam di atas bengkung merahnya."Tetapi,kecantikan sejati datangnya dari dalam.Wajah yang bersih men-cerminkan hati yang suci-murni." "Chendana teringin hendak belajar tarekat seperti abang,"Chendana menghulurkan keris pendek dan keris panjang kepada suaminya. "Abang boleh tolong ajarkan,"Bujang menyisip keris dua bilah itu di celah tali pinggang hitamnya."Tetapi,tarekat memerlukan latihan kerohanian yang istiqamah.Kalau tertinggal walau sehari,kenalah mengulanginya semula." Tiba-tiba dari bawah kedengaran bunyi jeritan,diikuti oleh bunyi hingar-bingar. Bujang dan Chendana bertukar pandangan dengan penuh tanda tanya,kemudian meluru keluar dari bilik mereka.Di bawah,mereka terserempak dengan Lela Wangsa yang termengah-mengah memberitahu,"Orang Kaya...Orang Kaya Temenggung...kena tikam...!" "Ayah!"Chendana mendahului Bujang menyerbu ke tempat orang berkerumun.Orang ramai mengelak memberi ruang kepada mereka berdua.Temenggung kelihatan terduduk di atas tanah dipangku oleh Tun Lela Pahlawan dan Mak Siti sambil menahan luka di pahanya. "Tak apa,ayah luka sikit,"beritahu Temenggung bila Bujang tunduk memeriksa lukanya. "Siapa yang menikam ayah?"Bujang terus bertanya. "Nampak macam Galak dengan Tambak,"Temenggung mengertap bibirnya menahan kesakitan."Mereka lari ke hutan paya terus lesap macam pelesit." "Galak dan Tambak,"Bujang bingkas bangun,matanya tiba-tiba bersinar garang."Lela Wangsa,bawa ayah hamba ke atas.Hamba ingin membuat perhitungan dengan mereka." Tanpa berlengah walau sesaat,Bujang bergegas meninggalkan halaman rumah. Temenggung bangun perlahan-lahan dibantu oleh Tun Lela Pahlawan dan Mak Siti. "Lela Wangsa,"Temenggung menggigit bibirnya."Segeralah kau ke istana,maklumkan perkara ini kepada Duli Yang Dipertuan." "Bagaimana dengan Orang Kaya?"Lela Wangsa cuba membangkang. "Lukaku tidak seberapa,"Temenggung berkeras."Pergilah. Mohon perkenan Duli Yang Dipertuan supaya kita mendapat sokongan dan bantuan dari baginda.Aku tak mahu Bujang bertindak sembrono!Pergi lekas!" Mahu tidak mahu,Lela Wang terpaksa meninggalkan Temenggung bersama ayahnya dan Mak Siti.Temenggung pun dipapah oleh Tun Lela Pahlawan,Chendana dan Mak Siti ke atas rumah. Bujang tidaklah sebodoh yang disangka.Memang betul hatinya panas dan marah,marah dengan tindakan berani dan kurang ajar Galak serta Tambak.Namun,fikirannya masih waras. Dia tahu Galak dan kuncu-kuncunya sedang memasang perangkap di hutan paya.Memasuki kawasan itu samalah seperti memasuki sarang harimau. Dia pasti diserang-hendap dari berbagai penjuru. Justru itu,dia tidak terus menyerbu ke sana seperti orang hilang akal. Sebaliknya,dia menggelencong ke tepi sungai.Beberapa buah sampan tertambat di tepi sungai itu. Dipilihnya satu. Dia terus mendayung mengikut arus hingga ke pesisir kawasan paya yang ditumbuhi pokok bakau dan nipah.Kawasan itu memang luas,penuh dengan ular,kala jengking dan lain-lain binatang berbisa.Malamnya pasti ada nyamuk dan agas.Tetapi,dia bertawakal pada Allah.Binatang-binatang itu tidak akan mengganggu jika tidak diganggu. Bujang mendongak ke atas.Asar sudah berlalu tetapi senjakala masih jauh.Dia masih mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan.Dia pun mendayung senyap-senyap memasuki kawasan paya itu.Dia terpaksa berhati-hati supaya tidak mengganggu burung-burung yang mendiami kawasan terpencil itu.Jika diganggu,burung-burung itu akan membuat bising dan memberi amaran kepada musuh-musuhnya.Akhirnya dia menemui sebuah tambak tanah yang kering,muat untuk bersembahyang dan berihat. Di atas tambak itu juga terdapat sebatang pokok yang rendang dan berdaun lebat.Sukar untuk mencari tambak seperti ini lagi di kawasan yang luas itu.Masa pula semakin suntuk.Dia pun memilih tempat itu sebagai tempat persembunyiannya.Di dalam sampan itu terdapat sebilah parang yang sudah berkarat tetapi masih tajam. Dengan parang itu,dia memulakan pekerjaannya. Menjelang senja,siaplah sebuah ran beratapkan daun nipah.Ran itu dibina di atas dahan pokok yang paling tinggi berlantaikan belahan batang nipah yang diikat dengan akar menjalar. Di bawah ran,tempat untuk sembahyang beralaskan daun nipah dan daun-daun lain.Dia hanya datang sehelai sepinggang tanpa sebarang persediaan.Setakat itu sahajalah yang mampu dilakukan buat sementara waktu. Untuk mengalas perut,dibelahnya beberapa biji buah nipah lalu dimakan isinya yang berwarna putih,segar dan menyelerakan itu.Burung-burung gagak dan lain-lain unggas mulai kembali ke sarang masing-masing sebagai menyambut kedatangan malam.Dia menggunakan cahaya senja yang semakin menghilang untuk mengambil wuduk. Malam itu,Bujang bersembahyang seorang diri di tengah-tengah hutan paya.Nyamuk dan agas berterbangan terngiang-ngiang di cuping telinga tetapi tidak menggigitnya.Bunyi katak dan cengkerik silih-berganti,sekali-sekala lotong berbunyi,kedengaran juga haiwan-haiwan yang tidak diketahui berkeliaran mencari makan.Diganggu oleh berbagai bunyi,dia tetap khusyuk dalam sembahyangnya.Seperti biasa,dia berwirid dan berdoa selepas menunaikan sembahyang wajib.Sementara menunggu waktu isyak,dia naik ke atas rannya untuk berzikir dalam hati. Suasana di situ gelap segelap-gelapnya.Hanya bintang yang berkerlipan di langit memberikan sedikit cahaya untuk melihat samar-samar kawasan di sekitar. Di rumah,luka Temenggung sudah dibasuh,dirawat dan dibalut.Tersandar ke dinding ditemani isteri dan anaknya,Temenggung memerhati rakan-rakan setianya yang menziarahi-nya,termasuk Tun Lela Pahlawan."Lela Wangsa belum balik lagi?" "Belum,Orang Kaya,"Tun Lela Pahlawan memilih untuk menjawab soalan itu."Tapi Orang Kaya jangan bimbang.Hamba percaya anak hamba itu sudah melaksanakan seperti yang diperintah." "Kalaulah Bujang mengamuk dan bertindak melulu,kecoh kita dibuatnya,"Temenggung menyuarakan kebimbangannya."Ketika di Kedah dulu,sudah beberapa kali dia bertindak nekad tanpa mempedulikan mara bahaya.Jika dia sudah marah,tak boleh dibendung lagi." "Takkanlah sampai begitu,"Mak Siti membela menantunya."Memanglah dia panas baran sikit,tapi kalau bertindak dia menggunakan akal yang waras.Lagi pun,dia alim,warak." "Tentulah,"Chendana menambah."Dia berguru dengan Sheikh Kuala di Acheh." "Kau dua beranak ni memang sentiasa nak menangkan Bujang,"Temenggung meningkah. Tun Lela Pahlawan dan lain-lain hanya tersenyum melihat telatah mereka sekeluarga. "Kalau Panglima Agung berguru dengan Sheikh Kuala,tidak hairanlah kalau dia handal dan banyak ilmu,"puji Tun Lela Pahlawan."Hamba pun berguru dengannya." "Memang ramai juga panglima dan hulubalang di Alam Melayu yang sanggup ke Acheh berguru dengan Sheikh Kuala,"Temenggung mengakui."Tapi untuk mengamalkan segala ilmu itu,satu perkara lain pula. Mereka terpaksa mengasingkan diri dengan bertapa di gunung-gunung.Terlalu banyak ujian dan dugaan.Kalau mencapai tahap seperti Bujang,Alhamdulillah. Tapi,kalau tersalah bawa,maka sesatlah jadinya." "Orang Kaya,Lela Wangsa datang,"sampuk salah seorang rakan-rakan di situ. Mereka semua memandang dengan seribu persoalan bila Lela Wangsa naik ke atas rumah dengan wajah muram.Pasti Lela Wangsa membawa berita yang kurang baik. "Kenapa,Jalak?"Chendana mendahului orang lain bertanya,wajahnya turut cemas. "Ya,Lela Wangsa,"tanya Temenggung pula."Apakah baginda murka?" "Tidak,"Lela Wangsa tersenyum lebar,lakonannya berjaya."Baginda berkenan memberi sokongan penuh pada kita.Bukan itu sahaja,baginda turut titahkan supaya Yamtuan Muda, Orang Kaya Paduka Raja Laksamana dan Seri Bija Diraja ditahan di istana sehingga kekecohan ini selesai." "Kau ni buat aku sakit jantung,Lela Wangsa,"rungut Temenggung. Yang lain-lain ketawa. "Bagaimana dengan Panglima Agung?"tanya Tun Lela Pahlawan."Ada kau jumpa dia?" "Tidak,ayah,"suara Lela Wangsa merendah keciwa."Dia sudah hilang entah ke mana." "Jalak,"Chendana mengesot menghampiri Lela Wangsa lalu membisikkan sesuatu ke telinga Lela Wangsa. Lela Wangsa tersenyum sambil mengangguk tanda faham. "Nak ke mana pula tu?"tanya Temenggung bila melihat Lela Wangsa bangun tergesa-gesa. "Maaf,Orang Kaya,"ujar Lela Wangsa."Hamba ada hal penting.Hamba pergi dulu." "Kau nak ke mana pula,Chendana?"Mak Siti bertanya anaknya yang turut bangun setelah Lela Wangsa turun ke tanah. "Nak siapkan barang-barang abang Bujang,"ujar Chendana selamba.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...