Bab 19

294 13 0
                                    

Bujang tidak sedar berapa lama dia tidur.Rasanya hanya sebentar sahaja sekadar menghilang-kan mengantuk.Tidur-tidur ayam,kata orang.Namun,bia dia sedar,seluruh tubuhnya terasa panas.Perahunya teroleng-oleng seperti dipukul ombak.Dia terus menyingkap kain yang menutup mukanya,lantas cahaya matahari yang tegak di atas kepala menyilaukan matanya. Lekas-lekas dia bingkas bangun dan melihat sekeliling.Rupanya dia sudah berada di tengah laut.Tali perahu yang ditambat pada pelepah nipah telah terlucut dari ikatan,menyebabkan perahunya hanyut dipukul ombak jauh dari pantai. Dia membasuh muka dengan air laut yang masin itu.Agak segar sikit,walaupun matanya terasa pedih.Tekaknya terasa haus,perut-nya berkeroncong.Baru dia teringat pada bekalan yang diberikan isterinya.Dia meraba ke dalam buntil dan mengeluarkan bekalan yang berbungkus daun pisang.Bekalan itu dibuka. Dihidu dengan hidungnya. Belum basi lagi. Dia pun makan pulut itu dengan berlaukkan ikan pekasam dan serunding.Sekejap sahaja makanan itu sudah bersarang dalam perutnya. Dia terasa dahaga dan perlu membasahkan tekak. Matanya liar memerhati sekeliling kalau-kalau ada tanah daratan. Dua perkara yang menarik perhatiannya.Sebuah pulau yang sudah terlalu hampir dan sebuah kapal yang sedang belayar kemari dari utara menuju ke selatan. Kedua-duanya sama penting.Di pulau tanpa penghuni itu tentu terdapat air tawar yang boleh diminum,dibuat mandi dan sebagainya.Kapal itu pula merupakan jalan keluar dari sini. Dia pun mencapai pendayung dan segera mendayung menuju ke pulau itu. Dia agak hairan kerana kapal itu membelok seolah-olah ingin memintasnya.Namun,tidak dipedulikan kapal itu kerana keinginannya terhadap air lebih utama.Dia terus mendayung hingga ke gigi air, kemudian melompat ke atas pantai yang berpasir halus.Perahu itu ditarik sedikit ke darat supaya tidak hanyut.Melihat banyak pokok kelapa tumbuh liar di situ,dia mencari-cari pokok yang boleh dipanjatnya.Akhirnya dia ternampak sebatang pokok kelapa yang agak rendah tetapi buahnya lebat,ada banyak kelapa muda.Dia mendongak ke atas mengamati kalau-kalau ada kerengga.Setelah dipastikan selamat,dia pun mula memanjat hingga ke atas. Ketika dia berpaut pada pelepah dan mula memulas sebiji kelapa muda,dilihatnya kapal tadi sudah berlabuh dan sebuah perahu membawa beberapa orang lelaki sedang menuju ke pantai.Sebiji kelapa berjaya dipulasnya lalu jatuh ke atas pasir di bawah.Dia mencuba lagi. Kali ini digunakan kerambit yang diambil dari celah ikat pinggangnya.Sekali renggut,putus-lah tandan itu dan beberapa biji kelapa muda gugur ke tanah. Dia pun menggelungsur turun. Ditebuknya sebiji kelapa muda dengan kerambitnya,diminum airnya yang segar,dingin lagi manis itu.Baru terasa lega setelah tekaknya basah. Dari sudut matanya,dia melihat perahu dari kapal itu sudah sampai ke gigi air.Lima orang lelaki yang kelihatan bengis melompat turun menuju kemari.Dia pura-pura minum lagi tetapi dia bersedia menghadapai sebarang kemungkinan. "Minta sikit air kelapa tu,"salah seorang lelaki itu berkata,suaranya agak parau kekeringan. Tanpa sepatah kata,Bujang menuding kepada setandan kelapa yang belum diusik.Mereka berebut-rebut mendapatkan habuan percuma itu. Bujang memerhati mereka betul-betul. Ternyata mereka tidaklah sebengis yang disangka.Wajah mereka yang bermisai dan berjambang menjadikan mereka nampak bengis. "Terima kasih,orang muda,"ketua mereka yang tinggi lampai menegur sambil memberikan kelapanya kepada rakannya pula."Nak ke mana ni?" "Ke Johor,"jawab Bujang sepatah sambil menyimpan kerambitnya. "Johor tempatnya luas,"kata lelaki tinggi lampai itu."Ke mana? Batu Sawar?" "Ya,"Bujang mengangguk,tanpa mengetahui di mana Batu Sawar itu. "Namaku Nakhoda Ali,"lelaki tinggi lampai itu memperkanalkan diri."Mereka ini awak-awak kapal.Buyung,Sedeli,Rempit dan Andika. Kami sedang belayar ke Melaka. Bolehlah tumpang kami sampai ke sana." "Nama hamba Bujang,"Bujang bersalam dengan Nakhoda itu.Empat orang awak-awak tidak pedulikannya kerana sibuk berebut kelapa muda. "Tentu bujang lagi,ya?"Nakhoda Ali mengusik. "Ya,"jawab Bujang tanpa berfikir panjang."Hamba ingin merantau menambah ilmu di dada." "Kalau begitu,kau bolehlah bekerja dengan kami,"Nakhoda Ali menawarkan."Kerja memang teruk,gaji kecil,tapi makan-minum percuma." "Tengoklah nanti,"Bujang belum berani membuat keputusan kerana hajatnya yang sebenar ialah berjumpa dengan isterinya Kuntum."Berapa upah membawa hamba ke Melaka?" "Tak perlu upah,"Nakhoda Ali berkata."Upahnya ganti dengan perahu itu." "Baiklah,"Bujang terus bersetuju. Setelah bersedia,mereka mendayung balik ke kapal.Bujang naik perahu bersama Nakhoda Ali dan seorang awak-awak bernama Andika manakala perahu mereka pula dinaiki Sedeli, Buyung dan Rempit. "Kau boleh pilih mana-mana kurung di bawah,"Nakhoda Ali menerangkan sebaik sahaja mereka tiba di atas geladak."Tapi kau kena berkongsi sebab kita ada ramai awak-awak dan penumpang lain." "Di mana boleh hamba sembahyang?"tanya Bujang sambil memerhati awak-awak yang sibuk menaikkan sauh,menurunkan layar dan memeriksa tali-temali. "Sembahyang?"Nakhoda Ali berfikit sejenak."Di bawah agak kotor dan sesak.Kau boleh bersembahyang di atas geladak ini.Tapi,kena guna air laut buat wuduk sebab kami kurang bekalan air tawar." "Khabarnya dekar sini ada perkampungan nelayan,"sahut Bujang. "Memang ada,"akui Nakhoda Ali."Sebenarnya ada tiga. Depan sana ialah Kuala Sungai Pinang." "Ada sungai tentulah ada air tawar,"Bujang mencadangkan. "Kawasan perairan itu sangat bahaya,jadi sarang lanun,"Nakhoda Ali menyatakan."Semua kapal dagang ikut perairan di balik pulau. Di sana lebih selamat,tidak ada lanun,bekalan air tawar dan kayu api pun banyak." Bujang melihat kapal itu mula belayar menyusuri pantai pulau itu. "Tak ketahuan pula hamba tentang lanun-lanun ini,"ujar Bujang. "Memang banyak lanun,"Nakhoda Ali menegaskan." Dari sini membawa ke Kerian, kemudian di sekitar Pulau Sembilan dan Pulau Sialu,memang banyak lanun.Harap-harap kita tidak terserempak dengan mereka." "Mereka takkan mengganggu orang Melayu,"sambut Bujang."Setahu hamba,sasaran mereka ialah kapal-kapal dagang asing yang berniaga dengan Belanda.InsyaAllah,kita akan selamat,Tuan Nakhoda." "Belum tentu selamat,Bujang,"Nakhoda Ali membuka rahsia."Kapal ini memang awak-awak dan nakhoda semua Melayu tetapi pemiliknya orang Inggeris,Tuan Jourdain." "Orang Inggeris?"Bujang hairan."Bagaimana rupa mereka?" Nakhoda Ali ketawa."Macam orang Belanda juga,cuma bahasa mereka tak sama,"katanya memandang anak buahnya bekerja."Bujang berihatlah dulu,berjalan-jalan di atas kapal. Kami ada banyak kerja." "Baiklah,Tuan Nakhoda,"balas Bujang,terhutang budi pada nakhoda yang peramah itu. Memandangkan di atas geladak agak panas dibakar cahaya matahari,Bujang turun ke bawah geladak.Ini bukan kali pertama dia naik kapal.Ketika dia menuntut di Acheh dulu,beberapa kali juga dia menumpang kapal dagang untuk berulang-alik. Kapal ini pun tidak banyak berbeza dengan kapal-kapal lain. Di bawah geladak ditempatkan bilik-bilik kecil yang dipanggil kurung,tempat tidur penumpang dan awak-awak.Buaian berjaring yang dipanggil 'hammock' dijadikan sebagai ganti katil.Lantai kapal biasanya kotor dengan berbagai najis yang tidak pernah dicuci.Di bawah kurung dibuat tempat memasak dan lain-lain peralatan manakala di bawah sekali ialah tempat simpanan barang-barang dagangan.Melihat sebuah kurung yang tidak diduduki orang,Bujang pun meletak buntilnya dan duduk memerhati tanah daratan menerusi tingkap bulat.Dia membaringkan diri di atas "hammock', membiarkan badannya terbuai-buai mengikut alunan kapal.Tidak lama kemudian,dia terdengar bunyi bising awak-awak dari atas. Dia pun turun dari 'hammock',mencapai buntilnya dan naik ke geladak. Dugaannya memang tepat.Kapal itu bersedia berlabuh tidak jauh dari kawasan pantai yang berbukit-bukit,hutan rimba kelihatan menghijau.Awak-awak itu bising kerana masing-masing sibuk mengendalikan kemudi,layar,tali-temali dan sauh. Nakhoda Ali bercekak pinggang,mulutnya becuk memberi arahan. Bujang perhatikan di sepanjang pantai itu memang tidak ada perkampungan. Begitu juga di kawasan pedalaman yang kaya dengan hutan rimba. Pokok-pokok kelapa tumbuh subur tanpa dijaga.Begitu juga dengan pokok-pokok kayu lain.Batang hidung manusia tidak kelihatan langsung. Tetapi dia tahu hutan rimba itu kaya dengan air tawar,buah-buah kayu dan binatang buas. Jin dan mambang pun tentu ramai yang berkampung di sini kerana jauh dari gangguan manusia. Dengan tidak semena-mena Bujang terasa bulu tengkuknya meremang.Tandanya dia sedang diperhatikan orang atau sesuatu.Dia beredar ke tepi kapal,matanya meneropong segenap ceruk di daratan. Puas diperhati,dia tidak menemui sesiapa di atas pulau itu melainkan seekor kijang putih berdiri di atas busut di sebuah bukit kecil.Kijang putih itu ditenungnya lama-lama,dipusatkan pancaindera keenam yang berpadu dengan tenaga dalam. Dalam telekannya,kijang putih itu ghaib.Tempatnya diganti dengan seorang gadis yang amat cantik,berlesung pipit dan bertahi lalat di bibir persis Kuntum.Gadis itu berpakaian Melayu cara lama,berselindang kuning serta bertelekung hijau paras dada.Dari lehernya tergantung sebuah kalung dengan lambang aneh.Cara gadis itu merenungnya sungguh mendebarkan. -("Nama dinda Mayang Sari")- suara halus dari gadis itu memperkenalkan diri. "Apa yang ditenung lama-lama tu?"suara Nakhoda Ali bergema di cuping telinga. Bujang tersentak.Gadis itu ghaib.Yang berdiri di atas busut itu hanyalah seekor kijang putih. Dia menoleh ke sisinya.Nakhoda Ali turut sama melihat ke atas pulau itu. "Ada orang di pulau itu?"tanya Bujang padanya. "Sebelah balik pulau ini mana ada orang,"Nakhoda Ali merenung Bujang yang masih terkebil-kebil."Dah bertahun-tahun kami singgah di sini,tak ada tanda perkampungan orang. Siapa yang sanggup tinggal di tempat jin bertandang ni." Bujang mendapati kapal sudah berlabuh dengan selamatnya, beberapa orang awak-awak turun ke perahu membawa dua buah tempayan besar untuk mengambil bekalan air tawar. Sebuah perahu lagi turut disediakan untuk memuat kayu api dari pulau itu. "Bujang nak ikut mereka,pergilah,"pelawa Nakhoda Ali."Kita bermalam di sini. Besok baru kita belayar semula." Seperti orang mengantuk disorongkan bantal,Bujang tidak menolak pelawaan itu. Dia terus turun ke perahu yang akan membawa kayu api melalui tangga tali,menyertai Andika yang baru dikenali tadi. "Mengapa tak tinggal bungkusan tu kat kapal?"tanya Andika yang mendayung perahu. "Tak apalah,"ujar Bujuang,merasakan lebih selamat buntilnya dibawa bersama. "Jangan lewat sangat,"Andika beri amaran bila mereka tiba di daratan."Sebelum malam,kita balik ke kapal." "Tak tidur di sini?"tanya Bujang mencari-cari busut yang dilihatnya tadi. "Dah gila kah?"kutuk Andika."Kau nak tidur di sini,tidurlah.Aku tak berani." Ketika awak-awak lain sibuk mencari kayu api dan bekalan air bersih,Bujang menghampiri sebuah kolam tadahan yang berpunca dari sebuah air terjun kecil.Dihamparnya kain basahan untuk dijadikan sejadah lalu bertinggung mengambil wuduk.Demi tersentuh sahaja air itu ke mukanya,sejuknya bukan main,terasa lega dan nyaman.Selesai berwuduk,dia bersembahyang jamak taqdim di atas hamparan kain basahan,digabungkan zohor dengan asar kerana dia dalam musafir.Tempat itu redup tidak ditembusi cahaya matahari,ditambah pula wap dingin dari air terjun berhampiran membuatkan Bujang terasa tenang dan damai.Selepas berwirid dan berdoa,dia berzikir lama-lama dengan harapan dapat memasuki alam ghaib yang dilihatnya tadi.Namun,dari tengah hari membawa ke senja,tiada apa-apa keganjilan yang dialami. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk kembali ke kapal. Dikibas-kibasnya kain basahan itu,dilipatnya lalu disimpan di dalam buntil. "Hah,itu pun kau,"leter seorang awak-awak tidak dikenali."Puas kami cari merata tempat, ke mana kau pergi?" "Hamba ada di sini dekat kolam itu,"jawab Bujang. "Lain kali kalau nak merayau,jangan ikut kami,"marah seorang lagi awak-awak. "Sungguh hamba tidak ke mana-mana,"Bujang menegaskan."Hamba sembahyang di situ." "Di mana?"tanya Andika rakan seperahunya. "Dekat kolam itu,"Bujang menuding ke arah kolam yang berasal dari air terjun. "Kami tak nampak kolam pun,"awak-awak yang pertama tadi menafikan."Kami yang buta atau kau yang buta?" "Dahlah,Kassim,"ajak awak-awak kedua."Mari kita balik.Dah nak senja ni.Nanti air minuman lambat,Tuan Nakhoda mengamuk." "Kau tak nak balik ke kapal,Andi?"tanya awak-awak lain pula pada Andika. "Kau orang baliklah dulu,"Andika menolak."Aku nak cari kayu api lagi." "Jangan sampai dicekik pontianak,"usik rakannya. Andi tidak mempedulikan usikan rakan-rakannya itu. Setelah perahu mereka meninggalkan pantai membawa dua tempayan penuh berisi air tawar,baru dia berpaling pada Bujang. "Di mana kolam itu,Bujang?"tanya Andika ingin tahu. "Itu,"Bujang menuding. Andika tidak nampak pun kolam yang ditunjukkan Bujang. "Cuba kau pergi basuh mukamu di sana,"pinta Andika. Tanpa membantah,Bujang pun pergi ke kolam itu lalu membasuh mukanya. Dia kembali mendapatkan Andika.Andika membelek kedua-dua tangan Bujang."Basah?" "Tentulah,"balas Bujang,hairan dengan telatah Andika. "Kau ni menakutkan aku,Bujang,"mata Andika meliar."Mari kita balik sekarang." "Kau baliklah dulu,"Bujang menolak."Aku ingin bermalam di sini." "Suka hati kaulah,"Andika tidak membantah,lalu menuju ke perahu.Tiba-tiba dia berubah fikiran."Beginilah.Biar aku hantar kayu api ini ke kapal.Lepas itu aku datang balik." "Dah gila kah hendak bermalam di sini?"Bujang meniru kata-kata Andika. Andika tersenyum."Kau sindir aku,ya?Tak apalah,biar kita sama-sama gila." Andika pun menyorong perahunya yang sarat berisi kayu api itu ke laut,melompat ke atasnya dan terus berdayung ke kapal. Sepeninggalaan Andika,Bujang mandi membersihkan diri di kolam itu dengan pakaiannya sekali.Lepas itu,dia menyarungkan pakaian pendekarnya. Pakaian lama yang basah itu diperah lalu disidai pada dahan kayu berhampiran. Dia mula mencari ranting dan dahan kering untuk dibuat unggun api. Setelah agak banyak,dia pun mengambil gobek api dari buntilnya.Digunakan daun-daun kering sebagai umpan api. Tidak lama kemudian,api berjaya dihidupkan. Disusunnya ranting dan dahan itu supaya unggun api marak.Bila kawasan itu diterangi api,dia pun mengambil wuduk dan menghampar kain basahan yang belum digunakan.Dari balik bukit tiba-tiba bergema bunyi azan maghrib. Dia tidak peduli siapa yang melaungkan azan itu.Seruan azan itu dijawabnya perlahan-lahan. Tepat seperti yang dijanjikan,Andika datang semula dengan perahunya. Melihat Bujang sudah bersedia hendak mendirikan sembahyang,lekas-lekas Andika berlari ke kolam itu mengambil wuduk,kemudian tergesa-gesa mendapatkan tempat di sebelah kanan Bujang sebagi makmum. Maghrib itu,Bujang mengimamkan Andika mengerjakan sembahyang jamak dan qasar,men- cantumkan dan meringkaskan sembahyang maghrib dengan isyak. Selesai berwirid dan berdoa,Bujang membaca surah-surah yang dipelajarinya manakala Andika menghampar tikar dan menyediakan makan malam.Akhirnya Bujang selesai membaca ayat-ayat suci.Dia bangun mengambil pakaian basahnya lalu disidai berhampiran unggun api supaya cepat kering. "Bujang,mari,"Andika menjemputnya makan.Memang pelawaan itu ditunggu-tunggu oleh Bujang. Dia pun menghampiri Andika dan duduk bersamanya menghadapi makanan yang dihidangkan.Baunya menaikkan selera. "Bujang,aku dah nampak apa yang kau nampak,"Andika berkata riang."Kolam itu." "Kau nampak makanan ini?"Bujang bertanya pula. "Nampak,"jawab Andika,bertambah hairan."Tadi aku cuma bawa nasi dengan ikan gelama kering.Sekarang kau tengoklah!Ada ayam goreng,ada daging bakar,ada gulai,ada sayur.Minuman air nira pun ada! Siapa yang sediakan semua ini?" "Pedulikan,"balas Bujang."Maut jangan dicari,rezeki jangan ditolak." Mereka pun menjamah makanan lazat yang disediakan itu. "Mujurlah aku datang balik,"Andika bersuara ketika makan."Kalau tidak,keempunanlah tak merasa makanan yang lazat-lazat macam ini." "Jangan ditegur,"Bujang mengingatkan."Anggaplah ini rezeki dari Allah yang datang dengan tidak disangka-sangka." Mereka tidak bercakap-cakap lagi selepas itu. Selesai makan,Bujang bangun hendak mem-balikkan pakaiannya supaya cepat kering.Alangkah terperanjatnya apabila didapati pakaian itu sudah kering seperti dijemur di bawah bahang matahari. Dia tidak berkata apa-apa melainkan melipat pakaian itu dan menyimpannya di dalam buntil.Dia menyertai Andika. Mereka duduk meneguk air nira yang disajikan sambil memandang ke arah kapal. 'Kau dari mana,Bujang?"tanya Andika membuka perbualan. "Dari sebuah kampung di Kedah,"Bujang menjawab ringkas. "Aku rasa kau bukan dari kampung,"Andika membuat tekaan."Cara kau bercakap,cara kau berpakaian,pembawaan kau,kau nampak macam biasa hidup di istana.Kalau bukan seorang pembesar pun,kau pasti seorang hulubalang." "Pengamatanmu cukup tajam,Andika,"Bujang memuji."Kau juga bukan sebarang awak-awak.Kau dulu seorang hulubalang terkenal.Perawakan dan pembawaanmu menunjukkan kau dari keturunan bangsawan." Andika kelihatan terkejut,kemudian tersenyum."Kau meniru kata-kata aku,ya?" "Kata orang,ular menyusur akar takkan hilang bisanya,"sambung Bujang lagi. "Baiklah,aku mengaku,"Andika akhirnya mengalah."Sebenarnya aku berasal dari Makasar. Namaku yang sebenarnya ialah Daeng Andika.Memang menjadi adat kami orang Bugis suka merantau mencari pengalaman di samping menambah ilmu di dada.Dalam telekan aku, ternyata kau seorang pria yang berisi.Sayang,kau tidak membawa keris." Bujang diam sambil meneguk minuman,tidak membalas kenyataan itu. "Giliran kau pula untuk memperkenalkan diri,"Andika mempelawa. "Namaku Bujang,"Bujang bercerita ringkas."Aku anak yatim piatu,dibesarkan di sebuah kampung di Kedah. Aku dalam perjalanan ke Johor mencari ibu-bapa angkatku yang juga mertuaku." 'Kau tahu,Bujang,"balas Andika sambil tersenyum."Pertama kali kita bertemu siang tadi di Tanjung,aku sudah tertarik dengan budi-bahasamu.Aku cepat rasa mesra,seolah-olah kita sudah lama berkenalan." "Memang sudah tertulis sejak dari azali,"ujar Bujang."Kalau di loh mahfuz kita sudah kenal-mengenal,di dunia pasti bertemu." "Itu pandangan dari orang yang belajar tarekat,"Andika bertambah kagum dengan ketokohan Bujang."Guruku di Tanah Bugis dari keturunan Sharif Kebongsuan." "Semakin terserlah ketokohanmu,bak permata di perlimbahan,"puji Bujang. "Waduh,bahasamu sungguh halus,"Andika memuji pula."Kalau aku seorang perawan, pasti sudah lama aku jatuh cinta padamu." Mereka sama-sama ketawa dengan lelucon itu. "Kita ni asyik berborak,bila nak tidur?"usik Bujang. "Betul katamu,Bujang,"Andika tidak membantah sambil menarik selimutnya."Ayuh,kita tidur. Idi matindro,kata orang Bugis." "Bismillah.....,"Bujang mengalas kepalanya dengan buntilnya sebagai ganti bantal. Keesokan harinya,kapal mereka pun belayar meninggalkan kawasan yang dikenali dengan nama 'balik pulau' itu,menuju ke laut lepas yang akan membawa ke Selat Melaka. Bujang memerhati Pulau Pinang dari atas geladak sehingga pulau itu nampak samar-samar sahaja diseliputi kabus pagi.Kemudian dia duduk di bawah naungan layar menikmati kebiruan laut dan langit serta kehijauan tanah daratan di sebelah kirinya.Andika dilihatnya sibuk dengan pekerjaannya dan tidak ada masa hendak melayaninya berbual.Lagipun,Nakhoda Ali sentiasa berada di atas geladak bagi memastikan semua awak-awaknya menjalankan tanggung-jawab dengan sepenuhnya. Walaupun hatinya sentiasa hidup dengan zikrullah, matanya sentiasa memandang untuk mempelajari sesuatu,telinganya mendengar apa yang perlu didengar dan otaknya sentiasa berfikir. Jika hatinya sudah bersatu dengan mata,maka jadilah mata hati.Jika hatinya bersatu dengan pendengaran,akan didengar apa yang orang lain tidak dengar.Jika hatinya bersatu dengan fikirannya,akan datang ilham yang tidak diduga yang dipanggil Ilmu Laduni.Inilah intisari ilmunya,diajar oleh ayah angkatnya,dihalusi di Tanah Rencong,dibuat amalan di puncak Gunung Jerai,dan sekarang dimanfaatkan kepada saudara seagama. Tersandar pada salah satu tiang kapal,Bujang terlelap. Bujang tidak tahu apa yang mengejutnya dari tidur.Telinganya menangkap bunyi ombak menghempas ke badan kapal,seolah-olah kapal tidak bergerak.Bunyi berkeriuk tiang dan ranting layar yang dipuput angin dan suara awak-awak tidak kedengaran.Dia terasa seperti kapal itu tidak belayar.Terbuka sahaja matanya,pertama sekali dilihatnya ialah semua layar sudah digulung seperti kebiasaannya bila berlabuh.Dia menoleh dan melihat semua awak-awak berada di atas geladak.Nakhoda Ali dan seorang lelaki barat juga berada di atas geladak. Semua berdiri seperti patung memandang ke arah sebuah pulau tidak jauh dari situ. Bujang bangun untuk meninjau ke sana.Dapat dilihatnya dengan jelas beberapa buah perahu yang sarat dengan lelaki berpakaian serba hitam sedang didayung dengan laju menuju kemari. Semua lelaki itu bersenjata lengkap dan bertopeng.Lanun! Bujang menjinjing buntilnya mendekati Nakoda Ali."Pulau apa tu,Tuan Nakhoda?" "Pulau Sial Lalu,"jawab Nakhoda Ali setelah melihatnya."Memang sial bagi semua kapal dagang yang lalu di sini. "The bloody pirates!"orang barat itu merungut sesuatu dalam bahasanya. "Kenapa tidak melawan?"tanya Bujang,tidak pedulikan rungutan rakan nakhoda itu. "Melawan?"Nakhoda Ali ketawa kecil."Siapa yang berani lawan Panglima Hitam,ketua lanun yang kebal dan tidak mampan oleh semua senjata!Anak buahnya juga terlalu ramai bersembunyi di sekitar pulau itu." "Jadi,kita akan menyerah diri?"tanya Bujang sambil menjeling pada Andika. "Ya,kita akan menyerah diri,"Nakhoda Ali membuat keputusan."Sia-sia sahaja kita melawan.Mereka hanya mahu barang-barang berharga.Mereka takkan membunuh kalau tidak diganggu." "Let's welcome those scoundrels,"kata lelaki barat itu pada Nakhoda Ali.Nakhoda Ali yang memahami percakapan lelaki barat itu segera mengangkat kedua-dua tangan apabila perahu-perahu lanun sudah rapat ke kapal.Lelaki barat itu menurunkan tangga tali ke laut. Sebentar kemudian,berlompatan lanun-lanun itu naik ke geladak dengan senjata terhunus. Dengan topeng yang dipakai,mereka kelihatan ganas dan bengis. "Baring semua!"jerit ketua mereka dengan lantang.Nakhoda Ali dan semua awak-awak segera meniarap meletak tangan di atas tengkuk tanda tidak melawan.Orang barat itu juga faham arahan itu dan terus meniarap.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now