Bab 44

246 11 1
                                    

Askar-askar itu juga menunggang kuda. "Kartini!"Milah dan suaminya menerpa mendapatkan Kartini. Kartini berhenti dan cepat-cepat turun dari kudanya.Askar-askar itu tidak pedulikan Kartini,sebaliknya mereka mula mengepung rumah itu dengan senjata api yang siap sedia hendak memuntahkan peluru. "Kenapa ni,Kartini?"tanya Dahari sambil melihat dengan cemas askar-askar itu turun dari kuda dan mula memeriksa di sekitar rumah mereka. "Tina pun tak tahu kenapa,"jelas Kartini,mukanya masih pucat."Lepas tutup kedai,Tina terus kemari. Dia orang menahan Tina di tengah jalan.Tina dituduh bersubahat dengan Panglima Agung. Tina pun pecut kuda laju-laju pulang kemari." "Nasib baik kau tak ditembak mereka,"sambut pula Milah sambil mengurut dada. Bujang yang sedang asyik menyaksikan kejadian itu tiba-tiba tercium bau wangi semerbak. "Di sini tidak selamat,ikut Tok ke dalam,"satu suara garau mempelawa lembut. Bujang berpaling dan nyaris-nyaris membuka langkah silat bila terpandang seorang lelaki tua berserban dan berjubah hijau yang muncul entah dari mana. Wajah lelaki itu bersih.Janggut, misai dan jambang berwarna putih seperti kapas,janggutnya panjang secekak. "Mereka tidak nampak dan tidak dengar kita,"katanya pada Bujang. Bujang menjengah ke belakang dan melihat rumah itu mula digelidah.Dia ingin menahan kemungkaran yang berlaku di depan matanya. "Asar sudah menjelang tiba,tolong azan,"pinta lelaki berserban itu dengan lembut. Mahu tidak mahu,Bujang terpaksa meninggalkan Kartini dengan abang serta kakak iparnya dan mengikut lelaki berserban itu masuk ke surau.Kecuali mereka berdua,surau itu masih kosong.Bujang berdiri di hadapan mihrab dan terus melaungkan azan dengan suara yang nyaring,menyeru semua muslimin dan muslimat menyembah Allah.Azannya disambut oleh beberapa orang makmum yang mula masuk ke dalam surau. Selepas azan,Bujang terkejut melihat surau itu sudah penuh dengan makmum yang berpakaian seperti lelaki tua tadi.Lelaki tua itu sudah berdiri di tempat imam dan bersedia hendak memulakan sembahyang asar.Seorang makmum di saf hadapan dan betul-betul di belakang imam mengosongkan tempatnya untuk memberikan ruang kepada Bujang. Bujang sudah pun mengerjakan sembahyang jamak taqdim,sembahyang yang diqasar dan dijamak zohor dengan asar kerana menganggap dia masih dalam musafir.Namun,untuk menghormati waktu sembahyang dan memenuhi kehendak mereka,dia pun ikut serta.Terasa janggal juga kerana hanya dia seorang berpakaian pendekar dan membawa senjata pula.Sepanjang waktu mendirikan sembahyang jemaah itu,suasana terasa begitu hening dan damai,seolah-olah mereka berada di alam lain.Setiap patah bacaan tok imam dapat didengarnya dengan jelas. Selepas memberi salam dan berwirid beramai-ramai,Bujang dipelawa membaca doa oleh tok imam tersebut.Bujang pun membaca doa yang lazim dibacanya dengan tenang,diaminkan oleh semua makmum.Habis berdoa dan menyapu tangan ke muka,Bujang menghulur tangan untuk bersalam dengan tok imam.Tiba-tiba semua makmum bangun dari tempat masing-masing, membuat bulatan din kelilingnya dan tok imam,kemudian duduk bersila mengelilingi mereka berdua. "Doa yang anakanda baca tadi tadi Sheikh Kuala?"tanya tok imam sambil menyambut tangan yang dihulur oleh Bujang. Bujang hanya mengangguk.Dia hairan bagaimana tok imam itu mengenali gurunya di Acheh. Dia bertambah hairan apabila tok imam itu memanggilnya anakanda sedangkan dia tidak kenal siapa tok imam itu. "Nama ayahanda Tok Abal Yusuf,"tok imam itu memperkenalkan diri seolah-olah dapat membaca hatinya."Ayahanda ialah raja di Negeri Antah Berantah.Puteri Mayang Sari banyak bercerita tentang Panglima Agung yang ditemuinya di tepi pantai Pulau Pinang." Bujang mengangguk,kenangan pada pertemuan itu datang lagi. "Ayahanda ini jin atau malaikat?"Bujang memberanikan hati bertanya. "Kita sama-sama makhluk Allah yang mendiami muka bumi ini,"ujar Abal Yusuf tanpa memberi jawapan yang tepat."Anakanda juga akan menjadi seperti kami yang diberkati Allah dengan berbagai hikmah dan karamah.Tanda-tanda ke arah itu sudah ada." "Tanda-tanda?"Bujang tidak mengerti maksud Abal Yusuf itu. Tok Abal Yusuf tidak menjawab.Sebaliknya dia berdiam diri seketika seolah-olah mendengar sesuatu dengan teliti."Hulurkan tangan anakanda,"pintanya lembut. Bujang pun melakukan seperti yang disuruh.Raja Abal Yusuf meletakkan sebentuk cincin suasa berbatu zamrud di atas tapak tangan Bujang. "Pakai di tangan kanan,"pinta Raja Abal Yusuf lagi. Bujang terus menyarungkan cincin suasa zamrud itu ke jari manis di tangan kangannya. Cincin itu muat dan secocok bagaikan telah diukur. "Itulah pemberian Puteri Mayang Sari,"Raja Abal Yusuf menjelaskan."Tanda anakanda dah bertunang dengan puteri ayahanda." "Bagaimana anakanda boleh bertemu dengannya?"tanya Bujang. Raja Abal Yusuf tersenyum."Caranya mudah sahaja,"jelasnya."Gosok batu zamrud itu tiga kali,seru namanya dan beri salam.Kalau keadaan memerlukan,dia akan menjelma.Anakanda harus ingat,kami dilarang keras mencampuri urusan manusia melainkan dalam keadaan tertentu yang diizinkan Allah." "Anakanda faham,"balas Bujang penuh takzim. "Kejadian luar-biasa seperti ini akan terus anakanda alami sepanjang hidup,"Raja Abal Yusuf memberi nasihat dan ingatan."Apa yang anakanda alami di Gunung Jerai tidak seberapa. Anakanda akan temui makhluk Allah yang berbagai rupa dan bentuk.Ada yang baik,tidak kurang juga yang kurang baik.Hati-hatilah membuat pilihan. Fikir baik-buruknya. Dan,kepada Allah jua anakanda wajib berserah kerana semua dugaan ini datang dari Allah. Setiap kesilapan yang anakanda lakukan akan dikenakan kifarah,setiap kifarah mempengaruhi perjalanan hidup anakanda seterusnya.Ingatlah segala pesanan dan nasihat ayahanda ini." "InsyaAllah,ayahanda,"Bujang berjanji. "Assalamualaikum,"Raja Abal Yusuf menutup perbualan itu. "Waalaikumussalam,"jawab Bujang.Tiba-tiba Raja Abal Yusuf dan semua makmum ghaib dari penglihatan.Tinggal Bujang seorang diri di surau tua itu. "Subhanallah,"Bujang menyapu tapak tangan ke muka dengan penuh terharu. Dengan mata yang masih berkaca,dia melangkah keluar dari surau itu. Kartini,Dahari dan Milah masih berdiri di tepi pokok limau memerhati rumah mereka digelidah dengan kasar oleh askar-askar Belanda itu. "Milah,"kata Dahari pada isterinya."Awak pergi ke surau.Kalau Panglima Agung ada di sana, suruh dia bersembunyi kerana askar-askar Belanda sedang mencarinya." "Biar Kartini sahaja yang pergi,abang,"Kartini menawarkan diri."Kartini sanggup mati bersama Panglima Agung jika takdirnya kami dikepung."Dia terus berlari pergi dari situ. Bujang terharu,kata-kata dari Kartini meninggalkan bekas di hatinya.Namun,dia hairan apabila Kartini bukan menghala kemari tetapi sebaliknya menuju ke arah bertentangan dari surau itu.Apakah terdapat surau lain lagi di perkampungan itu? Bujang menghampiri Dahari dan isterinya.Kerana terlalu asyik memerhati askar-askar Belanda itu,mereka tidak menyedari kehadiran Bujang walaupun Bujang berada di belakang mereka. Kartini kembali mendapatkan mereka dengan wajah muram. "Panglima Agung ada di surau?"tanya Milah pada adik iparnya. "Tak ada,"rendah sahaja suara Kartini,macam keciwa dengan ketiadaan Bujang. Bujang yang berdiri bersama mereka menjadi seperti orang bodoh.Terasa lucu juga kerana mereka langsung tidak dapat melihatnya,seolah-olah pandangan mereka dihalang sesuatu. Dia diam sahaja untuk melihat sejauh mana gelagat mereka.Setelah puas menggeledah rumah itu tanpa mendatangkan hasil,askar-askar Belanda itu pun naik semula ke atas kuda mereka dan terus memecut laju meninggalkan perkampungan itu menghala ke arah Kota Melaka. "Abang perasan tak tadi?"tanya Milah pada suaminya. "Perasan apa?"tanya Dahari balik. "Askar-askar tu tak nampak kita,"kata Milah pada Dahari dan Kartini. "Kita tercongok kat sini,takkan dia orang tak nampak,"balas Dahari. "Kalau dia orang nampak,kenapa dia orang tak berhenti?"tanya Milah. "Buat apa berhenti?Bukan kita yang dicari.Dia orang mencari Panglima Agung." "Ah-ah,abang,akak,ke mana perginya Panglima Agung?"sampuk Kartini pula. Bujang mengambil keputusan untuk menamatkan segala teka-teki itu. "Hamba tidak ke mana-mana,hanya ke surau,'Bujang mencelah dari belakang mereka. Mereka berpaling dan terperanjat melihat Bujang tiba-tiba muncul di situ.Kartini tanpa segan-silu terus menerpa memeluk Bujang erat-erat dengan penuh gembira.Dahari dan Milah yang pada mulanya terkejut dengan tindakan Kartini itu bertukar-tukar senyuman. Bujang juga terkejut,matanya terpinga-pinga memandang abang dan kakak ipar Kartini. Bila Kartini menyedari perbuatannya yang terlanjur itu,tersipu-sipu dia melepaskan Bujang dari pelukan, wajahnya merah padam. "Kata tadi Panglima ke surau,"celah Dahari."Surau yang mana satu?Setahu hamba,di kampung ini cuma ada sebuah surau." "Surau itu,"Bujang menuding ke arah surau tua yang dikelilingi rimbunan pokok buah-buahan.Kehairanan tergambar pada wajah Dahari dan isterinya.Begitu juga dengan Kartini. "Kami tak nampak surau pun,"ulas Dahari."Yang kami nampak cuma hutan lalang dan pokok senduduk yang tumbuh liar." "Betul tu,Panglima,"sokong Milah."Cuma ada sebuah perigi lama yang tak digunakan lagi." Kartini juga menggelengkan kepada bila Bujang menoleh ke arahnya. "Jangan-jangan Panglima terkena ilmu sihir,"Milah terlepas cakap. "Biar hamba buktikan sihir atau tidak,"tegas Bujang.Dia pun pergi semula ke surau tua itu. Dipetiknya beberapa butit buah rambutan,ciku dan limau yang sudah masak.Kemudian,dia kembali mendapatkan mereka dan menyerahkan buah-buahan itu. "Buah betul'kan?Bukan sihir?"Bujang membidas mereka. Untuk membuktikan betul atau tidak,mereka mengupas dan memakan buah-buahan itu. "Eh,buah betullah,abang,"kata Milah pada suaminya."Memang sedap.Manisnya lain macam." "Rupanya Panglima memiliki ilmu terus mata,"Dahari memuji Bujang."Panglima boleh melihat apa yang orang lain tidak boleh lihat.Kami nampak Panglima pergi ke hutan lalang itu. Bila Panglima kembali,Panglima membawa buah-buahan ini." Bujang mengamati surau tua itu.Digosok matanya beberapa kali,surau itu masih juga wujud di hadapannya."Subhanallah....,"tuturnya perlahan. Bujang beralih pada Kartini."Ingat lagi permintaan Kartini di perigi Hang Li Poh?" "Ingat,"jawab Kartini kehairanan. "Nampaknya hajat Kartini dimakbulkan Allah,"jelas Bujang. "Hajat?"Kartini masih belum faham. "Sanggupkah Kartini sehidup-semati dengan abang?"tanya Bujang. Kartini yang terperanjat dengan soalan itu hanya mampu mengangguk. "Sanggupkah Kartini berkorban apa sahaja kerana abang?"tanya Bujang lagi. "Sanggup,"kali ini jawapan dari mulut Kartini cukup jelas dan yakin. Bujang memegang tangan Kartini lalu beralih pula pada Dahari."Abang Dahari dan Kak Milah,izinkan hamba mengambil Kartini menjadi isteri hamba yang sah." Milah menangis gembira manakala Dahari hanya terlopong. Malam itu,Bujang dan Kartini selamat diijabkabulkan sebagai suami-isteri oleh seorang imam di kampung Pantai Kundur dengan Dahari sebagai wali.Beberapa orang penduduk kampung turut dijemput sebagai saksi dan tetamu. Hanya jamuan ringkas disediakan kerana majlis perkahwinan itu memang tidak dijangka dan dirancang dari awal.Ketika Dahari dan Milah melayani tetamu-tetamu yang hadir menjamu selera,Bujang dan Kartini berpegangan tangan bersiar-siar di pantai sambil menghirup udara malam yang nyaman. "Tak hujan pula malam ini,"kata Bujang sambil memerhati kapal-kapal yang berlabuh di pengkalan Kota Melaka."Biasanya musim tengkujuh,hujan turun tak henti-henti." "Musim tengkujuh tu di pantai timur,abang,"balas Kartini."Kalau di pantai barat ni,seperti biasa juga.Cuma hujannya lebih kerap." "Ada orang kebasahan walaupun tidak ada hujan,"Bujang menyindir. "Abang ni,"Kartini mencubit lengan suaminya."Dah lama kemarau,tentulah basah." "Tidak lama lagi,kemarau akan berakhir,"balas Bujang penuh bermakna. "Di rumah ramai orang,"Kartini memahami maksud Bujang."Lebih baik kita sewa hotel di bandar.Tak ada orang yang akan ganggu kita." "Hotel?"itulah kali pertama Bujang mendengar perkataan itu. "Bilik untuk disewa di bandar-bandar,"Kartini menerangkan pada suaminya yang kurang arif tentang kehidupan di bandar."Orang Belanda menyebutnya hotel. Makan-minum semua disediakan oleh pihak hotel.Kita cuma sediakan bayaran yang cukup." "Tentang bayaran tidak perlu dirisaukan,"balas Bujang sambil menepuk uncang wangnya. "Elok kita ke sana sekarang juga,"Kartini menyarankan."Kalau dah larut malam,pihak hotel tak benarkan masuk." "Tak maklumkan pada abang dan kakak dulu?"tanya Bujang. "Mereka akan faham,"jawab Kartini melirik manja pada suaminya. "Pakaian abang hanya sehelai sepinggang,"Bujang memandang lagi ke arah laut mencari-cari kapal Helang Laut."Kampit pakaian abang tertinggal di atas kapal." "Kapal Helang Laut?"ujar Kartini."Petang tadi ada seorang anak kapal datang ke kedai. Katanya dia anak buah Nakhoda Mamat dari kapal Helang Laut.Mereka terpaksa belayar awal kerana tidak ada barang yang dipunggah.Dia serahkan sebuah kampit kulit,katanya milik Panglima Agung." "Kalau begitu,eloklah kita ke sana dulu tukar pakaian,"Bujang mencadangkan sambil mencium bajunya yang sudah berbau peluh. "Kartini pun dah bawa kunci kedai,"sahut Kartini,menepuk baju dalamnya. Pada malam itu,tamat sudah kehidupan Kartini sebagai seorang janda di sebuah kamar penginapan yang berhias indah cara Belanda.Dia rela dirinya dipergauli sebagai seorang isteri yang sah.Menangislah sang iblis kerana tidak berjaya menggelincirkan dua insan itu ke lembah penuh noda dan dosa. Bergelumanglah mereka dengan penuh kenikmatan.Bertahun-tahun kemarau panjang,kini bumi basah dek hujan sehari.Nakhoda yang berpengalaman tidak mudah patah dayungnya.Dayung bersambut,kata bersahut.Seiring dan seirama.Malam syahdu yang disirami embun jantan terus jua berdendang hingga ke subuh hari.Laungan azan dari mesjid berhampiran menandakan tamatnya syurga dunia yang dinikmati bersama.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now