Tujuh hari kemudian iaitu pada pagi Sabtu 17 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 9 Disember 1652 Masehi, dengan diiringi oleh beratus- ratus buah lancang perang,Bahtera Indera Kayangan berlabuh di Pengkalan Batu Sawar. Perairan yang sudah sesak dengan kapal-kapal dagang bertambah sesak dengan kehadiran mereka.Bujang membenarkan anak buahnya pulang menemui anak-isteri dan membuat persediaan ke Tanah Suci. Setelah mengizinkan Chendana membawa semua madunya bermalam di Kampung Panchor,Bujang tidak membuang masa lagi terus mengumpulkan ketua-ketua lancang di tempat persembunyian rahsia mereka di tengah hutan paya bakau.Sambil menjamu selera,mereka berbincang dan mengatur rancangan rapi bagaimana hendak mengusir Syarikat Hindia Belanda atau VOC keluar dari Alam Melayu buat selama-lamanya.Sebelum berpisah menjelang senja,sekali lagi mereka berbai’ah dan bersumpah akan tetap setia pada perjuangan jihad demi amal maaruf nahi mungkar.Kemudian mereka bersurai mengikut haluan masing-masing. Malam sudah menjelma ketika Bujang merapatkan perahunya ke pelantar berhampiran rumah Datuk Temenggung di Kampung Panchor.Pelita sudah pun dipasang,menandakan semua isterinya sudah berkumpul di sana.Bulan mengambang terang. Bujang mengambil wuduk di atas tangga pelantar di mana dia pernah bermenung mengenangkan kehilangan Chendana yang disangka mati lemas.Setelah membersih-kan capalnya,dia mengatur langkah ke rumah bapa mertuanya. Malam itu Bujang berpeluang bersembahyang jemaah bersama ibubapa mertuanya,isteri-isterinya serta anaknya Fatimah.Atas desakan mertuanya,dia terpaksa menjadi imam. Selepas makan malam,seperti kebiasaanya Datuk Temenggung berihat mengambil angin di serambi bersama Bujang,membiarkan kaum perempuan dengan urusan mereka. “Petang tadi semasa ketiadaanmu,Duli Yang Dipertuan menghantar utusan menjemputmu ke istana besok,”Datuk Temenggung memulakan perbualan sambil meggulung rokok daunnya. “Mungkin ada kaitan dengan jawatanmu sebagai Laksamana Muda Johor.” “Bujang sudah lama meletak jawatan,”balas Bujang tenang. Datuk Temenggung menyalakan rokoknya dengan api pelita,kemudian menyedut rokok itu dalam-dalam.Asap rokok naik berkepul-kepul memenuhi ruang serambi.”Ayah juga bercadang hendak meletak jawatan sebelum mengikut kau ke Mekah.Ayah bukannya muda macam dulu. Tak larat lagi ke hulu-ke hilir menjunjung titah Duli Yang Dipertuan.” “Balik dari Mekah,ayah hendak tinggal di mana?”tanya Bujang. “ Di mana lagi kalau bukan di kampung ini,”ujar Datuk Temenggung. “ Tinggallah bersama kami di atas bahtera,”Bujang mempelawa mertuanya. “ Nak jadi macam Orang Laut?”tempelak Datuk Temenggung sambil ketawa kecil.” Biarlah ayah tinggal di darat.Boleh bercucuk-tanam.Boleh berkebun.” “Bujang bimbang kalau-kalau Paduka Raja membalas dendam,”Bujang menyuarakan apa yang tersirat di hati.”Sejak menjadi Laksamana dulu,Tun Jamil memang berdendam dengan kita.” “Kalau hendak mati,di mana-mana pun kita boleh mati,”bangkang Datuk Temenggung. Bujang terdiam,rasa hormatnya pada mertuanya mengatasi dendam dan marah. Datuk Temenggung juga diam.Dia tahu kepulangan Bujang bukan hendak mendengar kemelut yang berlaku di kalangan sultan dan pembesar Johor. “Semasa balik kemari tadi,ayah nampak banyak lancang kita sudah belayar meninggalkan Batu Sawar,”Datuk Temenggung beralih ke tajuk lain.”Entah kenapa mereka tergesa-gesa benar.” “Supaya tidak menimbulkan syak-wasangka pada musuh kita,lebih cepat mereka belayar,lebih bagus,”Bujang memandang tepat ke wajah mertuanya.”Begitu juga dengan kita.” “Besok,ayah dengan Tun Lela Perkasa akan memunggahkan barang-barang keperluan ke atas bahtera,”jawab Datuk Temenggung,memahami maksud kata-kata menantunya.’Siapa lagi yang boleh ikut kita?” “Sesiapa sahaja asalkan boleh menyimpan rahsia,”jelas Bujang. “Kita hendak ke Mekah,bukan hendak pergi berperang,”bidas Datuk Temenggung. “Bahtera itu bukan sebarang bahtera,tetapi bahtera dari alam ghaib,”Bujang berterus-terang dengan mertuanya.”Bujang khuatir kalau-kalau rahsia ini bocor ke tangan musuh kita dan digunakan sebagai modal untuk menjatuhkan kita.Bukan semua berpeluang berkahwin dengan orang bunian.” Datuk Temenggung mengangguk tanda faham maksud menantunya itu.”Orang yang tidak memahami perjalanan ilmu persulukan akan menuduhmu mengamalkan ajaran sesat.” “Itulah yang Bujang bimbang,”sampuk Bujang. “Pandai-pandailah ayah memilih mereka yang boleh dipercayai,”Datuk Temenggung memberi keyakinan.”Bila kita hendak membongkar sauh?” “Lusa,selepas tengah malam,”Bujang memutuskan. “Mengapa tergesa-gesa sangat hendak pergi dari sini?”tanya Chendana dalam rangkulan Bujang setelah melepaskan penat-lelah melampiaskan nafsu masing-masing. Bujang memasang telinga.Bilik yang dikongsi bersama Chendana senyap sunyi. Ratna dan Balqis yang berada di bilik sebelah sudah lama tidur. Begitu juga dengan Fatimah yang menumpang bilik datuk dan neneknya. Mayang dan Rubiah sudah kembali ke bahtera. “Abang tak sedap hati,”Bujang menjawab pertanyaan Chendana akhirnya.”Kalau-kalau kehadiran kita dapat dihidu oleh anjing-anjing Belanda.” “Tapi,bahtera itu dari luar kelihatan hampir sama seperti kapal lain,”tingkah Chendana. “Rambut manusia sama hitam,hati lain-lain,”Bujang melepaskan Chendana dari pelokannya, kemudian bangun menyarungkan kain menuju ke jendela. Jendela itu dibuka,membiarkan angin larut malam yang dingin menerpa masuk bersama bunyi kuang dari rimba.Bulan yang mengambang sudah hampir tenggelam di ufuk barat. “Mulut manusia masakan boleh ditutup,”tambah Bujang lagi,merenung malam yang gelap. “Tak usahlah abang risaukan perkara yang belum berlaku,”bisik Chendana memujuk suaminya yang tidak keruan.”Itu di luar pengetahuan kita.Serahkan semuanya pada Allah.” Bujang hanya mengeluh. Tangannya mencapai kain basahan sebelum menutup jendela itu. “Abang nak ke mana pula ni?” tanya Chendana dari pembaringannya. “Pergi mandi kat sungai tu.” “Buat apa mandi malam-malam buta ni?” “Pura-pura bertanya pula,”sindir Bujang.”Kalau tak mandi,masakan boleh bertahajud.” “Abang pergilah,”Chendana menolak.”Chendana tak tahan. Sejuk sangat ni.” Berhati-hati Bujang memijak lantai kayu beralas tikar mengkuang itu supaya tidak mengganggu mereka yang masih diulit mimpi.Pelita damar yang dipasang di serambi sudah pun padam,kawasan di situ diselimuti kegelapan.Diam-diam dia mencapai capalnya lalu mengatur langkah ke pelantar. Suasana di atas pelantar itu samar-samar sahaja kerana bulan mengambang tidak kelihatan lagi. Dalam samar-samar itu,dia ternampak satu lembaga berambut panjang.Hatinya berdebar-debar. “Balqis bukan hantulah,”bisik lembaga yang hanya berkain kemban itu. “Hai,Balqis,”tegur Bujang merapati isterinya.”Dah larut malam pun nak mandi juga.” “Kita mandi sama-sama,”Balqis membisikkan sesuatu ke telinga suaminya. Sebagai jawapan,Bujang menyelak kain Balqis dan terus merebahkan isterinya ke lantai pelantar di tepi sungai itu.. “Apa yang Panglima senyumkan itu?” tegur Yaakub Lim pada pagi Ahad 18 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 10 Disember 1652 Masehi. Bujang yang sedang memerhati barang-barang dipunggah naik ke atas bahtera bagaikan terkejut dari lamunan.Dia hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala,soalan Yaakub tidak dijawab. “Berapa ramai yang akan ikut sama ke Mekah?”tanya Bujang,melupakan kenangan semalam. “Kebanyakannya kaum-keluarga dan sanak-saudara anak buah Panglima,”Aria Wulon yang menemani Yaakub Lim mencuri peluang menjawab.”Kami berdua tak ada keluarga di sini.” “Hamba ada keluarga di Melaka,”Yaakub Lim membela diri.”Tapi dah lama tak balik.” “Nanti kita singgah di Melaka,bolehlah kamu menemui keluargamu,”balas Bujang. “Dah lama hamba tak balik ke rumah,Panglima,”Yaakub Lim mengulangi kenyataannya pada Bujang,suaranya berbaur rasa sedih dan keciwa.”Dah hampir lima tahun.” “Terpulanglah,”Bujang tidak suka mengorek rahsia rumah-tangga orang lain,lebih-lebih lagi rakannya.”Apa pun,kita akan singgah di beberapa tempat hingga ke Teluk Benggala.” “Kenapa tidak melintas Lautan Hindi,Panglina?”tanya Aria Wulon.”Lebih cepat.” “Kenapa terburu-buru,Aria?”Yaakub menjawab bagi pihak Bujang.”Kita masih ada masa yang banyak. Musim haji lambat lagi.Bulan Zulhijah. Sekarang baru bulan Safar.” Bujang memerhati Kota Batu Sawar tempat bersemayam sultan Johor yang kelihatan jelas dari atas bahteranya.”Sebenarnya,kita singgah dengan bersebab,sambil menyelam minum air.” Yaakub Lim dan Aria Wulon berpandang-pandangan,tidak memahami maksud Bujang. Bujang beralih pula perhatiannya kepada Kota Seberang yang pernah menjadi tempat almarhum ayahandanya bersemayam sebelum mangkat di Tambelan.”Dalam berjuang kita berniaga,dalam berniaga kita berjuang,”Bujang berteka-teki lagi.”Itulah jihad namanya.” “Kita hendak berniaga pula,Panglima?”tanya Aria Wulon seakan menyindir. “Kita merisik dulu,”jelas Bujang.”Siasat tentang penawaran dan permintaan.” “Penawaran dan permintaan?”tanya Yaakub Lim. Aria Wulon menggaru-garu kepalanya. “Kamu orang cina,Yaakub,”balas Bujang.”Orang cina pandai berniaga.Tentu kamu faham apa yang hamba maksudkan.” “Ya,”akui Yaakub Lim.”Caranya mudah sahaja. Beli murah jual mahal.” “Tidak,”bantah Bujang.”Ikut cara kita,beli mahal jual murah.” Bujang terus beredar pergi. Yaakub Lim dan Aria Wulon terlopong. “Angkatan kita diserang?”tanya Bujang petang itu di atas geladak. “Benar,Panglima,”Lela Wangsa mengesahkan,matanya berkisar memerhati rakan-rakan lain yang sibuk bermain sepak raga,berbual-bual kosong dan menangkap ikan.”Berita ini hamba terima dari orang-orang kita yang terselamat.” Bujang membuka ikat kepala dan mengesat peluh di mukanya. Badannya juga bersimbah peluh kerana baru lepas bermain sepak raga.”Sudah diberitahu pada orang lain?” “Hanya pada Panglima,”Lela Wangsa memerhati lagi sekelilingnya.”Yaakub,Andika dan lain-lain belum tahu-menahu.” “Rahsiakan dulu khabar-berita ini,”Bujang berpesan.”Berapa orang yang terkorban?” “Empat-lima orang sahaja,Panglima,”beritahu Lela Wangsa.”Tapi ramai yang luka-luka terkena bedilan.Beberapa buah lancang kita rosak teruk.Mujurlah mereka mendengar kata Panglima dan belayar awal meninggalkan Batu Sawar.Sebahagian besar dari angkatan kita terlepas dari kepungan dan berjaya berundur ke pulau-pulau berhampiran.Jika tidak,jumlah korban kita mungkin jauh lebih besar.” Bujang memerhati anak buahnya yang sedang berbual-bual dengan keluarga masiong-masing. “Hamba yakin ini semua angkara Belanda,”tambah Lela Wangsa membuat terkaan. “Atau penyuluhnya dari orang Melayu sendiri,”Bujang mengandaikan.”Silap hamba juga kerana membenarkan lancang-lancang lain menyusul kita dari belakang.Lain kali kita berpecah,kita bergerak berasingan.Keluargamu sudah naik kemari?” “Sudah,Panglima,”jawab Lela Wangsa.”Ayah dan ibu hamba juga ikut sama. Yang lain hamba rasa kebanyakannya sudah berada di atas bahtera ini kerana tidak mahu ketinggalan.” “Beritahu kawan-kawan kita supaya bersiap-sedia,”perintah Bujang.”Tengah malam ini tepat pukul dua-belas kita belayar meninggalkan Batu Sawar.” “Baik,Panglima,”patuh Lela Wangsa. “Bilik tidur kami memang menakjubkan,Bujang,”Mak Siti menerangkan sambil menjeling suaminya Datuk Temenggung.”Serba-serbi ada dalam bilik itu.” “Di sini kami menyebutnya kamar,Mak,”sampuk Chendana. Bujang hanya tersenyum memerhati mereka makan malam.Bapa dan ibu mertuanya,Chendana, Balqis,Ratna,Rubiah,Mayang,Fatimah – semua yang disayanginya ada di situ.Hidupnya terasa lengkap. Dia menyuap nasi lambat-lambat. “Bila kita hendak bertolak,Bujang?”tiba-tiba Datuk Temenggung bertanya sambil mengunyah. “Kalau tiada aral,malam ini jua,ayah,”ujar Bujang tenang,matanya mengerling pada jam besar di dinding yang menunjukkan hampir pukuk sembilan malam.Lebih-kurang tiga jam lagi.Dia melihat Mayang menjeling ke arahnya.Pandangan mereka bertemu.Bila dia memandang ke arah Rubiah, Rubiah mengangguk sedikit.Ternyata mereka berdua sudah mengetahui berita kemalangan yang menimpa angkatannya siang tadi. “Ayah yang menubuhkan angkatan ini,ayah kenal semua orang-orang kita?”tanya Bujang selamba. “Tidak semua,”Datuk Temenggung mengaku.”Orang-orang kita berada di mana-mana. Ayah hanya berhubung dengan ketua-ketua mereka dari setiap kampung dan daerah. Mustahil untuk mengenali semuanya.” “Tidak mustahil ada musang berbulu ayam,ada musuh dalam selimut,”bidas Bujang. “Ya,tidak mustahil,”Datuk Temenggung agak terkejut.”Tapi,kita semua sudah berbai’ah,sudah menjunjung Qur’an,sudah mengangkat sumpah akan taat setia pada perjuangan. Sesiapa yang belot,maut padahnya.” Bujang terdiam,hanya mulutnya terus mengunyah makanan. Dari jendela kamar kemudi menjelang tengah malam,diam-diam Bujang mengamati anak buahnya yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing di atas geladak bermandikan cahaya terang rembulan yang mengambang penuh.Yaakub Lim dan Lela Wangsa sedang meneliti peta besar yang dilekatkan pada dinding.Jam menunjukkan hampir tengah malam. “Yaakub,semak semua senarai penumpang,”perintah Bujang tanpa berpaling. Yaakub Lim dan Lela Wangsa saling berpandangan.”Hamba belum buat senarai,Panglima,” jawab Yaakub yang tidak mengetahui apa yang berlaku. “Siapkan senarai lengkap,”perintah Bujang lagi.”Termasuk semua anak kapal.” Bujang keluar ke geladak. Selain dari mereka yang bertugas,yang lain tidak kelihatan di atas geladak.Suasana sunyi sepi.Bujang naik ke anjung belakang meninjau kawasan sekitar bahtera. Tepat pada waktu tengah malam,sauh pun diangkat dan bahtera itu mula bergerak.Air sungai berolak tenang,berkilau-kilauan di bawah cahaya bulan. Mula-mula perlahan,kemudian beransur menjadi laju,senyap-senyap membelah ombak meninggalkan pengkalan Batu Sawar. Haluan bahtera berkepala naga menuju tepat ke muara Sungai Johor.matanya mengeluarkan cahaya menyoroti laluan yang diambil.Kota Batu Sawar sunyi sepi,begitu juga Kampung Panchor. Dari anjung belakang yang tinggi itu,Bujang memantau setiap kapal,lancang dan sampan. Setelah yakin bahtera itu tidak diekori,dia kembali semula ke geladak atas dan terus masuk ke kamar kemudi. Di bantu oleh Lela Wangsa,Yaakub Lim begitu tekun mmengemudikan bahtera itu,matanya tidak lepas-lepas memandang ke hadapan.Aria Wulon tidak ada di situ bersama mereka. “Anak-isterimu apa khabar,Lela?Bujang bertanya sambil melihat jarum kompas. “Baik,Panglima,”ujar Lela Wangsa.”Mereka semua sudah tidur.Ibubapa hamba tinggal di kamar sebelah. Kalau apa-apa hal,mereka boleh tengok-tengokkan anak-anak hamba.” “Aria Wulon?”tanya Bujang lagi dengan selamba. “Berihat agaknya,”jawab Lela Wangsa tanpa mengesyaki apa-apa.”Dia akan gantikan kami subuh nanti bersama Andika.” “Pastikan kamu berempat sahaja dibenarkan kemari,”Bujang memberi ingatan. “Walaupun Panglima Kahar?”tanya Yaakub Lim yang membisu sejak tadi. “Walaupun isteri dan anak hamba sendiri,”Bujang menegaskan.”Siapa yang bertugas menjaga meriam dan lain-lain kelengkapan perang?” “Tun Berkat,Tun Dali ,Wan Hanafi, Tok Putih, Belitong ,Awang Long ,Jusuh,Hang Isap, Tok Kilat,Dewani dan Engku Jaafar menjadi ketua kumpulan masing-masing,”Lela Wangsa menerangkan.”Dang Lenggang dan Chut Kencana mewakili kumpulan serikandi setelah isteri Panglima,Tun Chendana,menarik diri.” “Pastikan mereka bergilir-gilir pada setiap masa,siang atau malam,”Bujang mengingatkan mereka dengan tegas.”Begitu juga dengan kamar kemudi ini. Masa untuk bermain sudah tamat. Kali ni,kita akan bersungguh-sungguh.” “Maksud Panglima?”tanya Lela Wangsa. “Mulai besok,akan kita buktikan siapa kita sebenarnya,”tegas Bujang perlahan.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Ficción históricaMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...