Bab 43

259 11 1
                                    

Sambil menyumpah penjual senjata itu di dalam hati,Bujang lari susup-sasap di celah kedai-kedai itu,dikejar oleh askar-askar Belanda yang dipimpin oleh Seri Bija Diraja.Dia tidak tahu selok-belok kawasan itu.Dia hanya tahu kedai Kartini.Ke sanalah arah tujuannya untuk bersembunyi.Seperti yang diduga,kedai makan itu kosong ditinggalkan pelanggan.Hanya Kartini masih termangu-mangu di situ bersama abang dan kakak iparnya. "Kenapa Panglima bersembunyi di sini?"tanya Kartini cemas bila Bujang masuk. "Petir tidak pernah memanah dua kali di tempat yang sama,"balas Bujang. "Tapi,askar Belanda bukan petir,"bantah Kartini.Dia ternampak sorjan dan bangkon milik abangnya tergantung pada dinding,lalu diambilnya."Cuba pakai ini." Tanpa banyak soal,Bujang menanggalkan dastarnya dan menyembunyikan dastar itu di bawah bajunya. Dia mencuba sorjan dan bangkon yang biasanya dipakai oleh orang Jawa. Kartini menutup mulut menahan ketawa.Dia mengambil pula sehelai jubah yang terbelah di hadapan dan menghulurnya kepada Bujang."Tutup keris Panglima dengan jubah itu dan mari ikut hamba." "Ikut kawasan jirat di Bukit Cina,"pesan Dahari pada adiknya."Kemudian ikut Peringgit dan Bertam Ulu,baru belok ke Pantai Kundur.Tempat itu jarang dikawal askar Belanda." Kartini mengangguk,kemudian menarik tangan Bujang segera beredar dari kedai itu. Dahari dan isterinya hanya tersenyum simpul bagaikan menyimpan suatu rahsia yang hanya diketahui mereka. Bujang dibawa ke sebuah bukit tidak berapa jauh dari Kota Melaka.Sampai di kaki bukit, mereka berhenti sekejap di tepi sebuah perigi.Bujang menjenguk ke dalam perigi melihat airnya yang jernih dan segar.Lantas,dia mencapai sebuah baldi untuk mengambil air itu. "Jangan,"Kartini menahan."Air perigi ini tidak boleh diminum,Panglima." "Kenapa pula begitu?"Bujang mencampak baldi ke tanah. "Inilah perigi Hang Li Poh,"jelas Kartini."Orang-orang Acheh yang menyerang Melaka pernah menaruh racun ke dalam perigi ini sebelum mereka berundur.Ramai juga askar Portugis yang mati terminum air beracun ini.Panglima tahu sejarah perigi Hang Li Poh ini?" "Hamba bukan orang Melaka,"jawab Bujang,sebagai tanda dia tidak tahu. Kartini mengeluarkan sekeping wang dari celah baju dalamnya,bertafakur sebentar,kemudian membuang wang itu ke dalam perigi sebelum bercerita,"Perigi ini pemberian Sultan Melaka kepada Puteri Hang Li Poh sempena dengan perkahwinan mereka.Bukit Cina ini juga dhadiah-kan kepada permaisuri baginda dari negeri China itu.Di sinilah Puteri Hang Li Poh dikuburkan dan di sini juga dayang-dayangnya seramai lima ratus orang itu dikuburkan,bersama dengan keluarga mereka yang telah berkahwin campur dengan penduduk Melaka." "Mengapa wang itu dibuang ke dalam perigi?"tanya Bujang sambil menjenguk. "Menurut kepercayaan orang cina,barang siapa yang berbuat begitu,hajatnya pasti terkabul." "Apa hajat Kartini?"Bujang cuba merisik. "Itu rahsia hamba,Panglima,"wajah Kartini merah padam."Biarlah hamba dan Allah sahaja yang tahu." Bujang memerhati kawasan sekitar bukit."Lebih baik kita pergi dari sini,"katanya pada Kartini."Kalau dilihat dek anjing Belanda,tak kesampaian pula hajat Kartini." "Mari,"Kartini memegang tangan Bujang dan meramasnya. Mereka meninggalkan perigi beracun itu dan merentasi kawasan tanah perkuburan orang cina yang penuh dengan betbagai jenis nisan batu. "Cantik,"Bujang memuji,memandang ke arah sebuah tokong cina. "Itu Tokong Sam Po Kong,"Kartini menjelaskan. "Maksud hamba kuda itu,"Bujang menuding ke arah seekor kuda hitam yang besar-tinggi. "Ya,"Kartini tersenyum."Kuda siapa agaknya?Tentu bukan milik orang cina sebab mereka tak suka warna hitam.Sial,kata mereka." Mereka menghampiri kuda hitam itu. "Nampaknya bukan kuda Melayu,"Bujang memerhati kuda itu dengan teliti. "Mungkin kepunyaan seorang pegawai Belanda,"ujar Kartini."Tersesat ke sini agaknya." Bujang memegang tengkuk kuda itu dan mengurutnya perlahan."Jinak,"katanya. "Kuda tunggangan memang jinak,"balas Kartini."Panglima biasa menunggang kuda?" "Biasa,"jawab Bujang,memandang tepat ke wajah Kartini."Memang menyeronokkan. Penat tetapi menyeronokkan." Wajah Kartini merah padam mendengar kata-kata sindiran itu. "Hoi,tunggu dulu,"Bujang dihalang apabila dia hendak menaiki kuda itu. Seorang lelaki cina yang sudah tua,berkepala botak dan berpakaian seperti tok sami tampil memagang kepala kuda itu."Ini kuda gua punya.Tuan Cornelius kasi sama gua.Mau curi kah?" "Maaflah,apek,"pinta Bujang."Kami bukan mahu mencuri kuda ini.Kami mahu pinjam." Tok sami itu tidak pedulikan Bujang,sebaliknya mengamati Kartini betul-betul."Lu kopitiam sana kerja 'kan?Adik sama Dahari?" "Betul,apek,"akui Kartini."Kami mahu pinjam ini kuda. Mahu pergi Bertam Ulu. Gua punyak kakak punya emak sakit kuat. Ini gua punya laki,kami baru kahwin." "Oh,itu macam kah?"tok sami tua itu ketawa berdekah-dekah,menampaknya gusinya tanpa gigi walau sebatang."Lu mahu angkat ini kuda,angkatlah.Dulu ini kuda sakit.Tuan Cornelius suruh kasi ubat.Sudah baik,Tuan Cornelius bilang angkat terus,kasi bayar hutang. Sekarang, ini kuda banyak susah gua mahu jaga. Lu orang angkatlah." "Ada pelana dan kekang?"Bujang bertanya. "Tempat duduknya,"tambah Kartini bila tok sami itu tidak faham, "Oh,..ada..ada. Tunggu,ah?Gua pigi angkat,"jawab tok sami itu dengan gembira. Bujang tidak menunggu di situ,sebaliknya mengikut lelaki cina itu ke tokong. Dia kembali membawa peralatan yang diperlukan.Dia memasang pelana dan tali kekang pada kuda itu, dibantu oleh Kartini.Setelah siap,dia pun naik ke atas kuda itu dan menanti Kartini. "Apa ditunggu lagi?"tegurnya bila Kartini masih keberatan. "Hamba memakai kain,bagaimana hendak menunggang kuda?"rungut Kartini. "Duduk mengereng di hadapan hamba,"Bujang menyuruh sambil menghulur tangan. Bila tangan itu dicapai oleh Kartini,Bujang terus menarik Kartini naik ke atas kuda.Berderau darah Bujang bila punggung Kartini yang bulat dan padat itu terhenyak di atas ribaannya.Tambahan lagi bila tangan Kartini melengkari pinggang.Dia lelaki berdarah muda yang punya nafsu dan perasaan.Balqis jauh di Kedah.Chendana pula masih belum dijumpai. "Bolehkah kita naik kuda macam ini?"tanya Kartini,menguis rambutnya yang panjang dari terkena muka Bujang.Wajahnya merah padam kerana dia juga terasa seperti Bujang. "Apa boleh buat,"balas Bujang."Darurat." Bujang menarik tali kekang dan kuda hitam itu mula bergerak dengan perlahan. "Tunjukkan jalan ke Pantai Labu,"kata Bujang pada Kartini. "Pantai Kundur,"Kartini membetulkan dan cuba menahan ketawa. Bujang tidak terasa lucu dengan kesilapannya itu.Mereka terus menunggang berdua-duaan melalui lorong dan denai merentasi kawasan dusun dan lading tinggal. Bujang tahu Kartini sengaja memberi panduan dan pedoman agar mereka tidak melalui kawasan yang dihuni manusia untuk mengelak pandangan sumbang masyarakat kampung yang masih kuat ber-pegang pada adat dan syarak. Jika ada lain-lain alasan,dia tidak mahu memikirnya. Mula-mula Kartini agak malu-malu memeluk pinggang dan tengkuk Bujang.Lama kelamaan sifat malunya hilang dan dia mula merasa seronok terhinjut-hinjut di atas ribaan panglima muda itu.Ibarat tanah yang sekian lama gersang kini merindui titisan hujan.Ibarat perantau yang haus dahaga mengharapkan seteguk air.Bagi Bujang pula,mula-mula terganggu juga fikirannya dan terangsang juga darah mudanya.Namun,berkat amalannya selama ini,nafsunya terkunci, jiwanya menjadi tenang dan hatinya terhindar dari lintasan-lintasan yang tidak baik.Dia berjaya mengosongkan fikirannya,mengisinya dengan zikrullah dan menumpukan sepenuhnya pada arah yang dituju.Dia tidak akan tunduk pada godaan syaitan laknatullah. Tidak lama kemudian,mereka memasuki kawasan pantai.Mereka berpatah balik menyusur pantai hingga tiba di pinggir Kampung Upih yang bertentangan dengan Pulau Upih.Di situ, Kartini minta diturunkan kerana mereka sudah hampir dengan kawasan perkampungan.Bujang menunggang perlahan-lahan seiring dengan langkah Kartini. "Jauh lagi Pantai Labu?"Bujang bertanya sambil memerhati kapal-kapal yang berlabuh di pengkalan.Kapal Helang Laut juga masih kelihatan di sana.Ternyata mereka berada tidak berapa jauh dari Kota Melaka.Mereka telah berpusing-pusing mengambil jalan jauh agar untuk mengelak dari buruan askar-askar Belanda. "Pantai Kundur,"Kartini betulkan.Kali ini dia tidak dapat menahan diri dari tertawa."Pantai Kundur di depan sana.Mengapa Panglima asyik tersasul sahaja?Labu dan kundur tidak sama." "Buah tetap buah,biar apa pun namanya,"balas Bujang dengan selamba. "Tapi,ramai orang tidak suka pada buah yang sudah ditebuk tupai,"bidas Kartini. Bujang terkejut dengan jawapan itu.Dia tidak berniat hendak menyinggung hati Kartini. Dia tahu hati seorang janda mudah terguris,kata-kata orang sering disalah-tafsirkan. "Sudah lama Kartini hidup sendiri?"Bujang berhati-hati melempar soalan. "Hamba tidak pernah hidup sendiri,"Kartini menjelaskan."Hamba ada Abang Dahari dan Kak Milah.Kalau hidup sebagai janda,ya,sudah hampir sepuluh tahun." "Bercerai mati?"tanya Bujang lagi. "Tidak,"Kartini tidak segan-silu bercerita."Hamba diceraikan dengan talak tiga." "Talak tiga?Mengapa lelaki sekejam itu?"Bujang mengutuk kaum sejenisnya. "Bekas suami hamba tidak kejam,"Kartini membela."Tapi,dia terlalu panas baran.Silap sikit, dia mengamuk.Bila dalam keadaan marah,hamba diceraikan.Bila dah menyesal,kami rujuk balik.Lepas itu berulang lagi.Masuk kali ketiga,kami tak boleh rujuk lagi sampai bila-bila." "Tetapi,Kartini boleh mencari suami lain,"Bujang mengusik. "Mana ada lelaki yang sudi menjamah sisa orang lain,"Kartini menyindir pedas. "Teratai arwah isteri hamba seorang janda,"sampuk Bujang. "Ya,lelaki seperti Panglima memang sukar dicari,"balas Kartini penuh bermakna. "Ah,itu pun rumah hamba,"Kartini menuding,menutup perbualan mereka. Bujang mengambil kunci dari uncang wangnya,kunci itu dikembalikan kepada Kartini. "Panglima hendak ke mana?"tanya Kartini setelah menerima kunci rumahnya. "Kartini tahu tujuan sebenar hamba kemari?"Bujang bertanya balik. "Tidak,"jawab Kartini sepatah. "Isteri hamba dicolek orang dan dilarikan ke Melaka,"jelas Bujang."Hamba kemari untuk merampasnya kembali dari tangan mereka yang tidak bertanggung-jawab." "Kalau Panglima menyerbu masuk ke dalam kota,Panglima pasti dikeroyok oleh askar-askar Belanda ,"Kartini mendedahkan."Chendana digunakan mereka sebagai umpan." Bagaimana Kartini tahu Chendana yang dicolek sedangkan dia tidak menyebut pun nama isterinya?Bagaimana Kartini tahu Chendana dikurung di dalam kota?Soalan itu bermain-main dalam kepala Bujang tetapi tidak diluahkan. "Panglima berihatlah dulu di rumah hamba,"Kartini mempelawa."Biar hamba pergi siasat tentang Chendana.Mungkin rakan-rakan hamba di sekitar kota mendengar desas-desus dan khabar angin yang boleh membantu kita." "Baiklah,"Bujang turun dari kuda itu. "Biar hamba tukar pakaian dulu,"pinta Kartini."Pakaian ini basah tadi." "Kenapa basah?"Bujang memerhati langit yang cerah tidak berhujan. Kartini hanya tersenyum lalu beredar dari dari situ dan terus naik ke atas rumahnya. Sementara menunggu,Bujang menanggalkan jubah yang dipakainya.Sorjan dan bangkon diganti dengan dastarnya.Pakaian milik Dahari itu digumpal dilonggok di atas perdu. Kartini muncul semula dengan memakai seluar seperti lelaki.Namun,sifat kewanitaannya tetap terserlah dengan baju krung pendeknya,ikat pinggang serta selendang sutera.Rambutnya yang panjang terhurai sudah digulung menjadi sanggul,ditutup pula dengan selubung putih. Rantai emasnya tergantung dari leher yang jinjang,di lengannya kelihatan beberapa urat gelang emas.Sekali imbas,Kartini tidak ubah seperti gadis belasan tahun. Bujang menghulurkan tali kekang kuda kepada Kartini.Belum sempat Bujang membantu, Kartini sudah naik ke atas kuda,tindakannya lincah dan tangkas. "Panglima tunggu di sini,jangan ke mana-mana,"pesan Kartini bersungguh-sungguh. Kemudian,dia terus memecut pergi,kuda itu dengan mudah berlari di atas pasir.Cara dia mengendalikan kuda menunjukkan dia seorang penunggang yang cekap dan terlatih.Biasanya hanya golongan bangsawan yang diajar menunggang kuda. Tengah hari itu,Bujang sembahyang seorang diri di sebuah surau berhampiran.Badannya terasa segar selepas mandi di sebuah kolah di belakang surau.Surau itu seperti sudah lama terbiar tidak terjaga,dinding dan lelangit penuh dengan sarang labah-labah manakala lantai dipenuhi habus.Bujang membuang sarang labah-labah dan menyapu lantai menggunakan sebatang penyapu lidi.Dilap pula lantai itu dengan sehelai kain buruk yang ditemui di situ. Kain-kain sejadah yang sudah lama tidak digunakan itu dikibas-kibas habuknya sebelum disidai di tempat yang disediakan.Baru terasa berseri dan bercahaya surau tua itu. Selepas menyempurnakan sembahyangnya,seperti biasa dia berwirid,berdoa dan membaca sebuah kitab Al-Qur'an yang sudah buruk lagi koyak-koyak.Mujurlah dia dapat menghafal dan sekali-sekala sahaja merujuk pada kitab itu.Waktu-waktu seterusnya diisi dengan istighfar.tahmid serta lain-lain zikrullah.Kartini belum juga pulang.Dia terus menanti dengan sabar. Menjelang masuknya waktu asar,dia sudah jemu menanti.Lantas,dia keluar dari surau itu dan menunggu di bawah sepohon rambutan.Buah rambutan yang sedang masak ranum itu dipetik-nya buat mengalas perut.Terdapat juga beberapa pohon jambu dan ciku di keliling surau itu. Buah-buahan itu juga dicubanya sebiji-dua,hingga akhirnya dia terasa kenyang.Duduk berihat di atas buaian yang digantung dari dahan pokok,matanya terasa mengantuk.Kartini yang ditunggu-tunggu belum juga balik-balik. Bujang hampir terlelap apabila telinganya terdengar suara orang bercakap-cakap.Kerana menyangka Kartini yang balik,hatinya melonjak gembira.Rupanya abang dan kakak ipar Kartini.Dahari dan Milah balik dengan berjalan kaki dari kedai makan mereka.Sambil berjalan, mereka berbual-bual kosong tanpa buah-butirnya.Bujang turun dari buaian dan menunggu di bawah pohon limau yang sedang berbuah lebat.Dahari dan Milah semakin hampir. "Kahwin?"Bujang terdengar Dahari berkata,diiringi oleh ketawa."Panglima Agung hendak berkahwin dengan Kartini?Hei,Milah,dia tu dah ada dua orang bini,tau!Lagipun Kartini tu lebih tua darinya." "Apa kena-mengena dengan jodoh?"tempelak Milah pada suaminya. Mereka duduk di atas buaian betul-betul di hadapan Bujang.Bujang jadi hairan kerana mereka langsung tidak melihatnya sedangkan tiada apa yang menghalang pandangan mereka. "Siti Khadijah pun lebih tua dari Nabi Muhamad,"Milah meneruskan."Tentang dua isteri, itu tak jadi masalah.Bukankah lelaki boleh berkahwin empat?" "Jarang orang perempuan suka bermadu,"Dahari menyanggah pendapat isterinya. "Dengan Panglima Agung,perempuan mana pun sanggup bermadu,"tingkah Milah."Kalau Milah jadi Kartini,Milah sanggup.Panglima Agung tu bukan calang-calang lelaki. Dia bukan sahaja handal bermain senjata tapi handal juga.....!" "Awak yakin Kartini dah jatuh hati padanya?"tanya Dahari,memotong cakap isterinya. "Melihat tingkah-lakunya di kedai tadi,memang dah sah,"Milah merumuskan. "Kartini ada cakap pada awak?"Dahari seperti kurang yakin. "Milah orang perempuan,abang.Milah tahulah hati perempuan." "Susah..susah..,"Dahari mengeluh. Dia bangun dari buaian dan mara ke hadapan Bujang yang masih tercegat di bawah pohon limau.Anehnya dia masih tidak dapat melihat Bujang. "Kalau bekas suaminya tahu,tentu dia naik berang,"sambung Dahari,memandang ke arah Bujang tetapi tidak melihatnya."Dia masih sayang pada Kartini." Bujang memetik sebuah limau yang sudah masak.Buah limau itu dikupasnya. "Salah dia juga,abang,"sahut Milah dari buaian."Kalau dia masih sayang pada Kartini, mengapa dia ceraikan Kartini dengan talak tiga?Sekarang dia gila talak!" Hidung Dahari kembang-kempis seolah-olah dia tercium bau kulit limau yang sedang dikupas."Abang tak percaya Panglima Agung akan mengawini Kartini,"dia menolak hujah isterinya."Panglima Agung pemilih orangnya. Kedua-dua isterinya pun bukan sebarangan, anak Sultan Kedah,anak Temenggung Johor." "Kartini pun apa kurangnya?Abang nak bertaruh dengan Milah?" Bujang merasa dia sudah cukup mendengar perbualan yang sepatutnya menjadi rahsia. Kulit limau itu dilontarnya ke kaki Dahari,isinya dimakan seulas demi seulas. Dahari memungut kulit limau itu,dibeleknya dengan hairan. "Bila pula limau ini berbuah?"dia bertanya hairan sambil memandang ke dahan dan ranting pokok limau itu."Siapa yang memakannya?" Belum sempat Bujang menjawab,tiba-tiba kedengaran bunyi kuda berlari dengan pantas. Dari jauh,dilihatnya Kartini sedang dikejar oleh beberapa orang askar berpakaian seragam.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now