Bab 67

277 12 0
                                    

Dari bumbung gua itu muncul seekor kunang-kunang yang terbang mengeluarkan cahaya mengelilingi mereka semua. Akhirnya kunang-kunang itu berhenti di hadapan Kiai Ageng lalu bertukar menjadi asap. Dari kepulan asap itu menjelma lembaga putih yang berkelemayar terang. Lembaga putih itu meresap masuk ke dalam badan Kiai Ageng melalui rongga hidung bagaikan disedut. “Mana sesajen?”Kiai Ageng bertanya,suaranya bertukar menjadi parau. “Di sini,Mbah,”dalam kegelapan itu Juragan Musa bersusah-payah membuka bungkusan yang dibawa lantas meletakkannya di hadapan Kiai Ageng.”Daging kucing hitam.” “Lagi?”suara Kiai Ageng bertambah garau.”Mutiara delima?Besi kuning?Kulit kijang putih?” “Gusti Panglima,”Juragan Musa mencuit lutut Bujang. Bujang mengesot ke hadapan Kiai Ageng.”Assalamualaikum,Tok.” “Waalaikumussalam,”Kiai Ageng mengangkat mukanya. “Semuanya ada di sini,”Bujang menepuk bengkungnya dan hulu kerisnya.”Kalau tidak keberatan,boleh hamba tahu siapa gerangan diri Tok sebenarnya?” Kiai Ageng merenung tajam ke wajah Bujang,kedua-dua matanya mengeluarkan api merah seperti biji saga.”Mbah digelar Ki Sapu Angin,”balasnya tenang.”Mbah kenal siapa cucu. Cucu dari darah keturunan Sunan Kalijogo di Tanah Jawa,Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam di Tanah Rencong dan Daeng Mempawah dari Tanah Bugis.” “Siapa gerangan Daeng Mempawah?”tanya Bujang perlahan. “Nama Hang Tuah yang sebenarnya,”jelas Mbah Ki Sapu Angin.”Kiai Ageng ini kurang cocok memegang amanah kunci perbendaharaan ghaib.Amalannya bercampur-aduk antara yang haq dengan yang batil.Cucu sahaja yang paling cocok mengepalai upacara ini.” Bujang tidak mudah termakan dengan segala pujian itu.”Barang-barang sudah hamba sediakan.” “Nggak perlu ditunjukkan,”Ki Sapu Angin menahan.”Mbah sudah tahu barang-barang itu asli serta ada hikmahnya.Kalian datang cukup semua syarat.” Kiai Ageng yang telah diresapi Ki Sapu Angin bangun mengamati seorang demi seorang ahli kumpulan itu,kemudian duduk kembali di tempatnya berhadapan dengan Bujang. “Harta karun itu tertanam di Gunung Agung Pulau Dewata,”beritahu Ki Sapu Angin melalui Kiai Ageng.”Tetapi,hanya cucu seorang yang bisa serta mampu menerimanya dari tangan Hulubalang Tujuh Beradik yang menjaganya.Ambil dua peti sahaja,tidak lebih. Satu peti untuk cucu,satu lagi dibahagikan sama rata.” “Anak kuncinya,Mbah?”Bujang cuba bertanya lanjut. “Ambil ini,tunjukkan pada Hulubalang Tujuh Beradik,”Ki Sapu Angin menyerahkan sesuatu ke tangan Bujang.”Selebihnya pasrah pada Allah Seru Sekelian Alam. Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”jawab Bujang dan mereka serentak.Bujang nampak dengan jelas lembaga putih itu meresap keluar melalui lubang hidung Kiai Ageng,menjadi asap,kemudian menjelma menjadi seekor kunang-kunang. Kunang-kunang itu terbang ke bumbung gua lalu ghaib begitu sahaja di celah batu. “Kenapa gelap sangat ini?Mana coloknya?”kedengaran Kiai Ageng bertanya,suaranya sudah kembali seperti biasa.Sebentar kemudian,pelita damar pun dinyalakan semula. “Apa kata Mbah Jubah Hitam?”Kiai Ageng tidak sabar-sabar lagi ingin tahu. “Elok kita berbual di luar,”Bujang bangun sambil mengambil pelita damar dari tangan Si-Amat. “Ini nggak adil!”bentak Juragan Musa sebaik sahaja Bujang menceritakan kehendak dan permintaan Ki Sapu Angin di hadapan semua anak buahnya dan anak buah Kiai Ageng di tepi pantai pada malam itu. “Mana bisa Gusti Panglima dapat satu peti?”sambung Juragan Musa.”Seharusnya Kiai Ageng yang dapat?” “Sebabnya?” tanya Panglima Kahar,menyebelahi anak saudaranya. “Kiai Ageng yang menjumpai harta karun ini dulu,”Juragan Musa memberi alasan.”Kalian datang kemudian,kalian hanya menebeng.” “Tapi ini kehendak Ki Sapu Angin,”Andika membela Bujang. “Dan,Ki Sapu Angin memilih Panglima Agung,”sokong Lela Wangsa. “Arahannya jelas,”tambah Panglima Kahar.”Satu peti untuk Panglima Agung,satu peti lagi dibahagi sama rata antara kita semua,termasuk yang ada di atas lancang dan kapal.” “Kulo bagi pihak Kiai Ageng membantah keras!”Juragan Musa membentak lagi. Gelagat Juragan Musa itu tidak dilayan oleh Bujang.Harta belum dapat,mereka sudah bertekak sesame sendiri. Dia bersalam dengan Kiai Ageng, kemudian memberi perintah kepada anak buahnya,”Balik ke lancang.Malam ini juga kita belayar ke Pulau Bali.” “Lantas,keputusannya apa?”Juragan Musa terus mendesak. “Keputusan itu akan hamba berikan setelah harta wujud di depan mata,”Bujang memberi kata pemutus lalu berpaling meninggalkan Juragan Musa dan Kiai Ageng.Anak buahnya mengekorinya dari belakang menuju ke sampan dan rakit.Seperti yang diperintah,malam itu juga mereka membongkar sauh dan belayar meninggalkan Selat Madura menghala ke Pulau Bali. Petang keesokan harinya Jumaat 18 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 10 November 1652 Masehi,lancang itu dan kapal Helang Hitam berlabuh dengan selamatnya berhampiran sebuah pantai terpencil yang jauh dari kawasan petempatan penduduk Pulau Bali. Anak kapal semua bersorak gembira. Bujang yang sedang berbual-bual dengan isterinya di dalam kurung turut sama keluar ke geladak menjamu selera mata menikmati keindahan pantai pulau yang digelar Pulau Dewata itu. Tinggi menjulang menyapu awan kelihatan puncak Gunung Agung yang berkilau keemasan disuluh cahaya matahari petang. Bujang mengangguk apabila Lela Wangsa memandang ke arahnya meminta kebenaran naik ke darat.Lela Wangsa memberi isyarat kepada anak buahnya tanda mendapat kebenaran beristirihat di daratan. Mereka bersorak lagi dan berlumba-lumba turun mendapatkan sampan. Rakit buluh juga turut dibawa.Tinggal saki-baki yang terpaksa bertugas.”Tinggalkan sebuah sampan untuk Panglima!”jerit Lela Wangsa ke arah mereka,kemudian mendapatkan beberapa orang sedang memeriksa layar serta tali-temali.Dia memerhati kerja-kerja mereka dengan teliti.Kemudian dia memeriksa pula tenda-tenda yang melindungi mereka dari hujan dan panas.Terdengar namanya dipanggil oleh Bujang,dia meluru ke sana.”Ya,Panglima?” “Sediakan dua-puluh orang ahli pertikaman yang handal-handal,”Bujang memberi arahan, matanya melirik tajam kea rah kapal Helang Hitam.”Jangan lupa bawa panah.” “Panglima hendak pergi berperang?”Lela Wangsa berseloroh. “Aku rasa tak sedap hati,”jawab Bujang ringkas tetapi penuh bermakna. “Bila Panglima hendak bertolak?”tanya Lela Wangsa bila Bujang enggan mengulas lanjut. “Selepas matahari terbenam,”Bujang memandang ke langit.”Bulan hanya terbit menjelang tengah malam.Tempoh yang panjang itu cukup untuk kami bergerak tanpa dikesan musuh.” “Baiklah,Panglima.” “Seperkara lagi,”Bujang menahan Lela Wangsa yang hendak beredar.”Selepas tiga hari,bongkar sauh dan cari tempat berlabuh di sebalik pulau sana,kalau boleh di kuala sungai.” “Baik,Panglima,”Lela Wangsa terus beredar,kali ini tidak ditahan lagi. “Boleh Ratna ikut sama?”tanya Ratna menduga hati suaminya. “Mendaki gunung yang penuh mara bahaya,berhujan berpanas,bermalam tidak tentu tempat bukan pekerjaan perempuan,”Bujang memberi jawapan.”Belum lagi dikira jin mambang serta manusia yang tidak dikenali yang mungkin cuba menghalang rancangan kami.” Ratna menggangguk tenang.Secara halus permintaannya ditolak.Dia faham kehendak suaminya,dia faham kedudukannya sebagai seorang isteri yang wajib mentaati suami,biarpun hatinya berperang. Tepat seperti yang dijanjikan,dua puluh orang pendekar yang lengkap bersenjata sedia menunggu sebaik sahaja Bujang melangkah ke geladak.Dalam kegelapan malam itu,Andika dan Panglima Kahar juga menunggu dengan sabar. Mereka yang tidak ikut serta memerhati dari termpat masing-masing. “Pasang pelita banyak-banyak supaya musuh menyangka kita masih ramai,”Bujang memberi pesanan terakhir kepada Lela Wangsa sebelum mendahului rombongannya turun ke sampan. Dalam kegelapan malam sejuta bintang yang belum disentuh cahaya sang rembulan,mereka dihantar ke pantai. Senyap-senyap pula dua sampan yang membawa mereka itu kembali ke lancang. Mereka lekas-lekas lari bersembunyi di bawah pokok. “Tak sangka Kiai Ageng memusuhi kita,”bisik Andika melepas keluhan. “Bukan Kiai Ageng,”Bujang membetulkan tuduhan.”Tetapi mereka yang bersekongkol dengan Juragan Musa. Mata dan hati yang buta sentiasa memandang kepada harta dunia.” Tanpa berlengah lagi,Bujang menyandang kampitnya dan terus mengetuai rombongan itu meninggalkan kawasan pantai menuju semain jauh ke darat. Keadaan yang gelap gulita itu tidak menghalang perjalanannya. Beberapa kali mereka tersepak tunggul atau tersandung pada akar kayu, namun mereka tetap patuh mengikut ke mana sahaja yang dibawa Bujang. Tiba di pinggir hutan,Bujang berhenti mengamati lereng gunung yang bakal didakinya. Hutan kelihatan semakin tebal,menyukarkan sesiapa sahaja pada waktu siang,apa lagi pada waktu malam yang hitam pekat seperti disungkup kawah. Bujang menyatukan semua pancainderanya ke alam kebatinan. -“Ikut kunang-kunang itu.-“ hati kecilnya berbisik. Bujang mencari dan ternampak seekor kunang-kunang sedang berlegar-legar di pintu masuk sebatang denai yang sering digunakan binatang buas.Kunang-kunang itu yang dilihatnya muncul di dalam gua di Gunung Ringgit sebelum bertukar menjadi asap dan lembaga putih yang meresap masuk ke tubuh-badan Kiai Ageng. Ki Sapu Angin. “Ikut kunang-kunang itu,”perintah Bujang sambil tersenyum. Tanpa banyak soal,mereka pun melakukan seperti yang diperintah.Mereka memasuki denai yang sempit itu,mengekori kunang-kunang tersebut yang bertindak sebagai penunjuk jalan.Denai yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu itu membawa mereka mendaki semakin tinggi melalui perlerengan Gunung Agung. Menjelang tengah malam tatkala sang rembulan mula menampakkan wajahnya,mereka berhenti di pinggiran sebuah lata yang airnya mengalir jernih baik mutiara. “Kita berihat sebentar,”Bujang melihat kunang-kunang itu hinggap di sebatang ranting tidak jauh dari situ.”Siapa yang belum sembahyang.boleh sembahyang.” Mereka pun duduk berihat melepaskan penat di atas batu,tunggul,dahan yang tumbang dan apa sahaja yang sesuai.Dua-tiga orang mendirikan sembahyang yang tidak sempat dilakukannya. “Apa kata kalau kita bermalam di sini,Panglima?”Andika mencadangkan pada Bujang. “Kurang sesuai,”balas Bujang setelah memerhati kawasan sekitar sekali imbas.”Barangkali di depan sana ada perkampungan.Boleh kita tumpang bermalam.” “Tentu mudah pekerjaan kita,”tambah Panglima Kahar sambil mengibas-ngibas badannya yang berpeluh.”Bulan memancar terang hingga ke siang hari.Apa yang dicari tu,Andika?” “Kunang-kunang,”Andika menerobosi kawasan semak.”Hamba tengok ada banyak ekor. Yang mana satu yang menunjuk jalan kepada kita?” “Tengok betul-betul,”Panglima Kahar memberi panduan.”Kunang-kunang yang membantu kita agak lain sikit,cahayanya lebih terang.” “Hamba tengok sama sahaja,”keluh Andika. “Cuba tengok dari ekor mata,”Bujang pula memberi petua.”Tumpukan perhatian betul-betul. Lama-kelamaan,semua akan hilang kecuali seekor.Itulah kunang-kunang sahabat kita.” Walaupun petua itu ditujukan kepada Andika,beberapa orang pendekar lain turut sama mencubanya.Bujang dan Panglima Kahar tersenyum melihat telatah mereka. “Dah…dah nampak!”Andika menjerit riang menuding kea rah ranting berkenaan. “Di hujung ranting sana ‘kan?”sampuk seorang pendekar. “Tak nampak pun,”rungut pula seorang lagi pendekar. “Petua ini memerlukan amalan berterusan,bukan dibuat sekali-sekala,”Panglima Kahar memberi nasihat.”Inilah di antara petua pendekar dan hulubalang yang diamalkan sejak turun-temurun.” “Bagus ilmu ini,Datuk,”puji seorang pendekar lain.”Boleh Datuk ajar pada kami.” “Bukan ilmu.hanya sekadar petua,”Panglima Kahar tertawa kecil. “Alang-alang berilmu,kalah ilmu kerana petua,”Bujang pula menambah. Mereka meneruskan perjalanan tidak lama kemudian.Perjalanan kali ini lebih mudah kerana denai yang dilalui diterangi cahaya bulan.Namun,mereka masih juga mengekori kunang-kunang yang tidak jemu-jemu menunjuk jalan dengan terbang mendahului mereka. Kira-kira sepenanak nasi kemudian,mereka terdengar suara orang lelaki membaca sesuatu dari arah hadapan.Suara itu kedengaran seperti orang berzikir tetapi tidak menggunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an,malah lebih berupa jampi mantera dalam bahasa ynag tidak difahami.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now