Ketika Bujang menunaikan sembahyang subuh di kurungnya pada hari Selasa 25 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1652 Masehi,kapal Helang Laut pun berlabuh dengan selamatnya di pengkalan Kota Melaka.Dia terdengar bunyi becuk anak-anak kapal mengendalikan layar,tali-temali dan sauh,mengganggu khusyuknya.Selepas berwirid,berdoa dan berzikir ala kadar,dia menulis catatan di dalam bukunya.Kemudian,dia mula mengemaskan barang-barangnya untuk dibawa ke darat.Hari itu,dia akan membuat perhitungan terakhir. Berjaya atau tidak Chendana diselamatkan,dia hanya mampu berdoa dan bertawakal. Di kala fajar sudah hilang berganti cahaya kuning sang suria di ufuk timur,Bujang sudah berada di atas geladak,lengkap berpakaian pendekar dan berkeris.Kampit kulitnya tidak dibawa,sebaliknya ditinggalkan di dalam kurungnya.Dia memerhati anak-anak kapal yang berada di atas geladak itu. “Mana Tuan Nakhoda?”dia bertanya pada seorang anak kapal yang sedang berihat. “Tuan Nakhoda belum habis sembahyang subuh,”jawab anak kapal itu.”Biasanya bila matahari tinggi segalah,baru dia keluar dari kurungnya.” “Hamba hendak ke darat,”Bujang menegaskan.”Selesai pekerjaan hamba,insyaAllah hamba akan kembali.” Anak kapal itu hendak memasang papan tempat berjalan kaki dari buritan kapal ke pengkalan tetapi ditahan oleh Bujang.”Tak apa,hamba boleh lompat.” Kerana jarak antara kapal dengan pengkalan memang rapat disebabkan oleh air pasang penuh,dengan mudah sahaja Bujang melompat ke atas pengkalan kayu itu.Pagi masih awal benar,tidak ramai orang berkeliaran di situ.Seperti biasa dia menuju ke pasar yang menjadi tumpuan ramai.Dua perkara dia terlepas pandang.Ketika dia meninggalkan kapal Helang Laut, dia tidak nampak beberapa buah finisi Bugis sedang menghampiri pengkalan dari arah selatan Selat Melaka.Angkatan Bugis itu membawa bendera rasmi Kerajaan Gowa. Dan,ketika dia membelok ke kiri menuju ke pasar,Chendana muncul dari arah bangunan putih tempat kediaman Tuan Johanes Melaka.Chendana dikawal oleh beberapa orang pendekar dan askar Belanda lalu dibawa pergi entah ke mana.Kedatangan angkatan dari Bugis dan kemunculan Chendana tidak disedari langsung oleh Bujang. Beberapa buah gerai dan kedai sudah dibuka meskipun bilangan pelanggan belum ramai. Kartini juga sudah membuka kedai makannya.Sementara abang dan kakak iparnya sibuk menyediakan makan-minum di dapur,Kartini duduk di kerusi menunggu pelanggan datang. Setakat ini,belum ada lagi pelanggan yang masuk kerana keadaan pasar masih lengang. Bila ternampak seorang pelanggan berpakaian serba hitam,dia segera bangun untuk mempelawa pelanggan itu singgah di kedainya.Dia terperanjat,matanya terbeliak dan mulutnya terlopong bila wajah pendekar itu dicamnya. “Panglima Agung?”dia segera menutup mulutnya,takut didengari orang lain.Dia memerhati sekeliling,memandang pada abang dan kaka iparnya di dapur,kemudian mencapai tangan Bujang dan menariknya masuk ke dalam kedai.”Apa Panglima buat di sini?” “Hamba hendak bersarapan,”jawab Bujang.”Kartini macam terkejut melihat hamba.” “Memang terkejut.Mari kita duduk di sana,”Kartini pun menarik tangan Bujang,membawa-nya ke sebuah meja yang agak terlindung dari pandangan orang yang lalu-lalang.”Duduklah, Panglima hendak makan apa?Minum apa?” Bujang duduk di kerusi,memandang Kartini ke atas dan ke bawah.”Makanan biasa.” Tanpa bertanya tentang minuman,Kartini lekas-lekas ke dapur mendapatkan abang dan kakak iparnya.Bujang memandang penuh minat.Cara Kartini bercerita,dia bukan sekadar menyampaikan pesanan Bujang,malahan ada cerita lain yang diselitkan.Beberapa orang pelanggan lain mula masuk dan duduk di meja yang disediakan.Kebanyakan mereka membawa keris dan golok.Melihat mereka bersenjata,Bujang menarik nafas lega.Dia yang memakai keris tidak akan disyaki oleh sesiapa. Kartini kembali membawa sepinggan nasi lemak dengan lauk-pauknya dan secawan air the yang masih panas.Dia menghidangkan makanan dan minuman itu di meja Bujang.Melihat sudah ada pelanggan lain yang datang,Kartini tidak jadi duduk untuk berbual bertanya khabar dengan Bujang.Dia menghampiri meja pelanggan itu untuk meminta pesanan.Dengan lafaz bismillah,Bujang mula menjamah sarapannya.Lebih ramai pelanggan yang menjenguk dan masuk.Kartini tidak ada masa hendak melayannya kerana tak menang tangan.Dia pun meng-habiskan sarapannya.Bila dia mengeluarkan uncang wang dari dalam bajunya untuk membayar harga makanan dan minuman itu,Kartini lekas-lekas datang menahannya. “Simpan wang itu dan ambil kunci rumah ini,”Kartini menghulurkan sesuatu ke dalam genggaman-nya.” Kalau apa-apa hal,kita jumpa di sana.” “Di mana?”Bujang juga berbisik. “Pantai Kundur,dekat surau,”bisik Kartini dan terus beredar ke meja lain. Bujang menyimpan kunci itu di dalam uncang wangnya,uncang itu disimpan kembali. Dia keluar dari kedai makan itu dengan lagak seperti biasa.Tiada siapa yang ambil peduli halnya.Dia pun berjalan-jalan di sekitar pasar itu melihat barang-barang jualan.Sebuah kedai menjual senjata Melayu menarik minatnya.Dia berhenti untuk melihat keris,pedang,rencong dan bermacam-macam jenis senjata yang dipamerkan.Perhatiannya tertumpu pada beberapa bilah kerambit.Dia memilih sebilah kerambit yang sama besar dengan kerambit Chendana. Kerambit itu dihunusnya dan dibelek seketika.Kemudian,dia mengeluarkan kerambit Chendana dari celah ikat pinggangnya.Kerambit Chendana itu disarungkan dengan sarung yang baru diambil.Padan.Kerambit Chendana sudah bersarung. Dia mengeluarkan uncang wang. “Berapa harganya?”Bujang bertanya pada penjual senjata itu. “Sahaya tak jual sarung,sahaya jual senjatanya sekali,”balas penjual ini. “Hamba hanya mahu sarungnya,”Bujang meletakkan sekeping wang emas di atas meja penjual.Penjual it uterus mengambil wang tersebut tanpa soal-jawab lagi.Bujang menyelit kerambit Chendana bersama kerambitnya di belakang lalu beredar ke kedai-kedai lain pula. Tetapi dia berminat hendak membeli-belah lagi.Hajatnya ke situ untuk mencari tempat di mana Chendana disembunyikan dan menyelamatkannya. Sambil berjalan-jalan dan berpura-pura melihat barang jualan,matanya mencuri-curi melihat kota yang dikawal rapi itu sambil akalnya mencari jalan bagaimana hendak masuk ke sana tanpa disedari Belanda.Berbanding dengan kawasan pasar yang bebas dimasuki sesiapa,di dalam kawasan kota setiap pengunjung diawasi dengan teliti oleh askar-askar berseragam yang lengkap bersenjata api. Tiba-tiba Bujang ternampak Seri Bija Diraja sedang berjalan keluar dari dalam kota dan sedang menuju ke arahnya.Dia cepat-cepat membelakangkan pembesar itu dan berpura-pura melihat kain batik yang dipamerkan.Setelah Seri Bija Diraja agak jauh,dia pun mengekorinya dari belakang.Seri Bija Diraja sedang menghala ke tempat di mana gerai-gerai makanan berada. Bujang terus mengekorinya.Dengan tidak semena-mena,kedengaran beberapa das tembakan dari arah kota.Terdengar pula jeritan dan pekikan.Keadaan pasar yang baru hendak rancak tiba-tiba kecoh,orang ramai berlari-larian sambil menjerit’”Amuk!Amuk!” “Asal aku pijak sahaja bumi Melaka,ada saja orang mengamuk,”Bujang merungut dalam hati. Dia melihat beberapa orang askar bersenjata menuju kemari.Kali ini dia tidak akan lari.Berani kerana benar,takut kerana salah.Askar-askar itu berhenti di hadapannya. “Ada nampak orang mengamuk?”tanya seorang askar. “Sana,”Bujang menunjuk ke arah Seri Bija Diraja yang masih terpinga-pinga. Askar-askar it uterus berlari mendapatkan Seri Bija Diraja.Bujang tersenyum lebar.Perangkapnya mengena. Namun,kejayaannya tidak lama.Dia ternampak penjual senjata tadi menghampiri askar-askar itu dan menuding ke arahnya. “Dia pun terlibat,”terdengar penjual senjata itu memberitahu askar-askar tersebut. Belum sempat Bujang membantah,askar-askar itu sudah membidik senjata api mereka tepat ke arahnya.Dia tunduk bersembunyi di sebalik dinding kedai.Beberapa das tembakan dilepas-kan,sebutir peluru menembusi dinding kedai sejengkal dari kepalanya.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Ficção HistóricaMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...