Sudah hamba asingkan kepingan wang emas dan perak dari lain-lain barang berharga.” “Baguslah kalau begitu,”jawab Bujang.”Separuh dari harta itu kau berikan kepada pembuat kapal di Pulau Duyong,separuh lagi gunakan untuk membeli kelengkapan perang.” “Ada lagi berita baik,Panglima,”sambung Lela Wangsa.”Kita menempah sepuluh buah lancang,sebuah sudah pun sampai di Batu Sawar petang tadi,dibawa oleh Nakhoda Kintan.” “Cepatnya,”sahut Bujang,kagum. “Lancang itu memang sudah lama siap,”Lela Wangsa menjelaskan.”Ditempah oleh seorang anak raja Bugis tapi belum dibayar cengkeramnya.Jadi,tukang kapal itu pun berikan dulu pada kita sebab kita bayar tunai.Dia juga membuat beberapa ubah-suai ke atas lancang itu khas untuk kegunaan Panglima.Bentuknya seakan-akan sebuah finisi Bugis.” “Diubah-suai bagaimana pula?”tanya Bujang ingin tahu. “Pertama,lancang itu memang lebih besar dari biasa kerana asalnya dibina untuk kegunaan kerabat raja Bugis,”jelas Lela Wangsa.”Geladaknya tiga tingkat.Kurungnya di tingkat tengah lengkap dengan pintu dan tingkap.Bukan itu sahaja,di atas geladak pula dibina tempat khas untuk Panglima berihat bersebelahan dengan tempat jurumudi dan nakhoda. Panglima tengok-lah sendiri nanti.” “Angkatan perang kita berada di Bentan,”Bujang berfikir sejenak.”Kau pilih kawan-kawan kita yang ingin ikut serta dan suruh mereka bersiap-sedia.Besok pagi kita belayar ke sana.” “Baik,Panglima,”akur Lela Wangsa dengan taat lalu segera minta diri. Setelah Lela Wangsa pergi,Bujang tidak bertangguh lagi,terus masuk menemui Chendana untuk memenuhi tanggung-jawabnya sebagai seorang suami.Malam semakin larut.Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dedaun bergoyang lembut mengikut irama.Akhirnya embun jantan pun turun membasahi daun lalu menitis ke bumi yang segar.Jauh dari hutan,burung kuang berbunyi tingkah-meningkah.Sekali-sekala kedengaran ayam hutan mengekas. “Lain macam sahaja perangai Chendana,”tegur Bujang pada isterinya ketika mereka berpelukan dalam selimut. “Tak ada apa-apa,abang,”Chendana cuba menyembunyikan perasaaannya. “ Tidak cukupkah layanan abang pada Chendana?”Bujang cuba mencungkil. “Lebih dari cukup,”jawab Chendana bena tak bena.”Semuanya memuaskan.” “ Habis tu,apa lagi yang tidak kena?”Bujang terus mendesak. “ Chendana merasa berat hati hendak melepaskan abang pergi belayar besok,”akhirnya Chendana tidak dapat menahan rasa hatinya lagi.”Tak boleh kah ditangguhkan dulu barang seminggu-dua lagi?” “Ini titah perintah,tak dapat tidak mesti dipatuhi,”Bujang memberi alasan.”Kerja raja di-junjung,kerja sendiri dikilik.” “Chendana bermimpi lagi mimpi yang sama,”Chendana menyatakan.”Mimpi dibelit ular…!” “Ah,…jangan mudah percaya pada mimpi,”Bujang cepat-cepat mencelah.”Bukankah mimpi itu hanya mainan tidur? Berdoa dan bertawakallah kepada Allah. Abang berjanji abang akan segera pulang apabila pekerjaan ini selesai.” Chendana menatap wajah suaminya lama-lama,rambut suaminya itu dibelai-belai. “Abang,”katanya perlahan.”Chendana kepingin hendak makan daging pelanduk.” “Tunggulah sampai abang balik dari Rokan,”jawab Bujang.”Kijang atau rusa boleh tak?” “Ala abang ni,”balas Chendana seakan merajuk.”Bukan Chendana yang kepingin sangat. Ini semua pembawaan anak dalam kandungan.” “Anak dalam kandungan?Maksud Chendana?Oh Chendana,”Bujang terus memeluk dan mengucup dahi isterinya dengan gembira sekali.”Tapi,..betulkah semua ini?” “Tak percaya lagi,”sindir Chendana dengan manja.”Tentulah betul.Dah tiga hari lewat.” “Apa yang lewat?”tanya Bujang,tidak faham. “Lewatlah,”balas Chendana.”Orang lelaki mana tahu perkara ini.” Bujang nampak macam faham tetapi masih bingung.”Chendana pastikah?” “Tubuh-badan Chendana,tentulah Chendana pasti,”Chendana menekan suaranya. “Bertuahnya abang,”Bujang memeluk Chendana sekali lagi.”Kedua-dua isteri abang sudah berbadan dua.Tak lama lagi Fatimah akan mendapat adik .” “Kalau boleh,abang cari pelanduk jantan,ya?”pinta Chendana. “Kenapa pula mesti pelanduk jantan?”sekali lagi Bujang bingung. “Kerana Chendana rasa anak kita ini anak lelaki,”ujar Chendana. “Baiklah,”Bujang berjanji.”Kerana Chendana,abang sanggup berkorban apa sahaja.” “Macam itulah,”Chendana memeluk suaminya erat-erat.”Apa kata kita raikan sekali lagi kegembiraan kita?” “Pantang kucing menolak ikan,”balas Bujang yang sentiasa kemaruk dan tidak pernah jemu. Chendana mengilai manja apabila Bujang menindihnya……..! Keesokan paginya pada hari Jumaat 23 Zulkaedah 1062 Hijrah@15 Oktober 1652 Masehi, lancang yang dinaiki Bujang mula belayar meninggalkan pengkalan Batu Sawar.Semua anak kapal melambai-lambai ke arah kaum-keluarga,sanak-saudara dan sahabat-handai yang datang berpusu-pusu untuk mengucapkan selamat jalan.Ramai yang menitiskan air mata. Suasana bertambah sayu apabila Nakhoda Kintan melaungkan azan sebagai tanda perpisahan. Dari atas geladak,Bujang melihat Chendana tidak henti-henti mengesat air mata sambil menangis tersedu-sedu,dipujuk oleh kedua-dua orang tuanya.Hatinya turut merasa sebak dan hiba.Namun,air mata bukan penghalang,malah azamnya bertambah kuat,untuk meneruskan rancangan yang telah dipersetujui bersama.Pantang pendekar berundur setelah melangkah. Dia pun beredar ke hadapan sekali,memerhati dengan tenang lancang itu membelah ombak sungai menuju ke kuala.Lain-lain pendekar dan hulubalang mencontohi perbuatannya dan menumpu-kan perhatian pada pekerjaan utama mereka yang dititahkan sultan.Awak-awak sibuk mengendalikan kemudi dan tali-temali layar di bawah pengawasan Nakhoda Kintan. “Berapa ramai angkatan kita yang menunggu di Sungai Charang?”Bujang bertanya setelah Lela Wangsa berada di sisinya. “Enam puluh buah lancang,”jawab Lela Wangsa.”Lebih kurang enam ribu orang pendekar dan hulubalang,Panglima. Lengkap dengan segala peralatan perang.” “Angkatan perang Rokan?”tanya Bujang,fikirannya mula membuat rancangan. “Tak sampai seribu orang,diketuai oleh Panglima Berantai,”Lela Wangsa menjelaskan. “Rajanya?”tanya Bujang lagi sambil membimbit kampit kulitnya. “Seorang raja dari Minangkabau yang bergelar Raja Hitam,”jelas Lela Wangsa.”Panglima Berantai itu ayam tambatannya kerana ilmu persilatannya terlalu tinggi.Kalau Panglima Berantai dapat dikalahkan,mudah sahaja kita menakluki Rokan.” “Kurung Panglima di sana,”Lela Wangsa menunjuk ke arah sebuah bilik berbumbung di belakang bilik kemudi.”Kawasan itu kawasan larangan,tak siapa pun boleh masuk.Panglima berihatlah dulu,nanti hamba tunjukkan semua tempat dan kelengkapan di lancang ini.” “Baiklah,”Bujang pun berjalan menuju ke tempat yang ditunjukkan.Kurungnya itu bertingkap dua dan berpintu,dipasang kisi-kisi supaya mudah angin keluar-masuk.Di dalamnya kelihatan seperti sebuah bilik yang sederhana besar,lengkap dengan katil,meja,bangku,almari dan sebuah rak bertingkat.Lantainya dihampar dengan tikar mengkuang.Terdapat sebuah lagi bilik kecil yang dipisahkan oleh bidai buluh,siap dengan tempayan air dan gayung,dijadikan tempat mandi.Bilik mandi itu dipasang saluran ke bawah lantai geladak,seterusnya ke buritan lancang untuk mengalirkan air kumbahan dan najis.Dia juga melihat sebuah peti besi dengan anak kuncinya ditinggalkan dalam lubang kunci.Dibukanya peti besi itu untuk memeriksa saki-baki barang berharga yang belum digunakan,kemudian dikuncinya peti besi itu.Kuncinya diambil, digantung pada dinding.Dia meletak kampitnya di atas peti besi itu dan mencuba katil yang disediakan.Katil yang disediakan dengan tilam kekabu cukup selesa.Semua perabot dalam bilik itu dipasak dan dipaku pada lantai geladak supaya tidak bergerak.Dilihatnya terdapat sebuah lagi tingkap kecil yang bersambung ke tempat kemudi.Tingkap itu boleh disorong dan ditarik, dari tingkap itu kelihatan Jurumudi dengan cerakah kemudinya seperti roda kereta lembu.Dia mengangguk pada Jurumudi dan Nakhoda,kemudian menutup semula tingkap gelongsor itu lalu keluar semula ke geladak. Lancang kepunyaannya itu memang kelihatan seperti finisi Bugis dengan empat tiang layar serta dilengkapkan dengan dua puluh pucuk meriam tembaga yang sederhana besarnya.Di hadapan dan di belakang lancang itu dipasang pula meriam pemuras untuk menembak peluru penabur.Kurung tempat penginapan Nakhoda Kintan,Jurumudi,Jurubatu dan tukang dibina di atas geladak juga iaitu di bahagian buritan lancang.Bila Bujang turun ke bawah geladak,dilihat-nya lebih banyak kurung untuk menempatkan awak-awak,pendekar dan hulubalang,siap dengan meja panjang dan bangku di ruang makan,sebuah tandas dan sebuah bilik mandi.Di situlah ditempatkan semua meriam dengan muncungnya yang disumbat sabut itu terjulur keluar melalui lubang angin.Pelantar meriam itu diikat kukuh dengan tali dan rantai.Peluru dan ubat bedil diletakkan di sebelah supaya mudah dicapai jika keadaan memerlukan.Bujang turun lagi ke bawah untuk memeriksa tempat simpanan senjata,bahan-bahan makanan dan lain-lain peralatan yang diperlukan dalam pelayaran.Barang-barang itu disusun kemas dalam petak masing-masing,dialas dengan kayu tebal di atas lantai.Suasana di perut lancang itu agak panas dan gelap kerana kekurangan udara dan cahaya.Dia pun naik semula ke atas geladak. Ketika berjalan-jalan memeriksa keadaan lancang tadi,dia terserempak dengan ramai orang tetapi dia sekadar mengangkat tangan atau mengangguk kerana kebanyakan mereka tidak dikenalinya.Namun,mereka semua mengenalinya. Matahari semakin terik membakar muka dan badannya..Dia pun kembali berihat di kurungnya. Tengah hari itu,Lela Wangsa membawakan makanan untuknya. “Kau dah makan,Jalak?”tanya Bujang sambil membasuh tangan. “Baru nak makan,Panglima,”sahut Lela Wangsa dari pintu kurung.”Kami semua makan beramai-ramai di bawah,termasuk Nakhoda Kintan.Hanya Panglima sebagai tuan punya lancang ini diberi keistimewaan.” “Hamba kurang gemar diberi layanan istimewa,”Bujang menyatakan. “Inilah peraturan yang sudah ditetapkan oleh Undang-Undang Laut Melaka sejak dari dulu lagi,Panglima,”jelas Lela Wangsa.”Raja berkuasa di darat,nakhoda berkuasa di laut.Bisanya pemilik kapal atau lancang juga dianggap sebagai nakhoda,arahan dan perintahnya mesti dipatuhi.Panglima kenalah belajar tentang ilmu pelayaran dari Nakhoda Kintan.” Setelah Lela Wangsa pergi,Bujang berfikir panjang sambil menjamu selera.Lalu dia pun mengambil keputusan.Selesai sahaja makan dan sembahyang jamak yang diqasarkan,dia terus bertandang ke tempat Nakhoda Kintan di bilik kemudi. Nakhoda Kintan ketika itu sedang berihat dan menghisap rokok daun sambil mengawasi jurumudi menjalankan tugasnya. “Ah,Panglima Agung,silakan duduk,”tegur Nakhoda Kintan dengan ramah. “Terima kasih,Tuan Nakhoda,”balas Bujang,namun dia masih berdiri memerhati keadaan di dalam tempat itu. “Panglima dah biasa belayar?”tanya Nakhoda Kintas sambil menyedut rokoknya. “Biasa juga,”ujar Bujang.”Tapi hamba tak pernah masuk ke tempat seperti ini.” “Bilik kemudi memang tempat yang penting,nadi sebuah lancang dan kapal,”Nakhoda Kintan menceritakan tanpa diminta.”Masa hamba lebih banyak dihabiskan di sini bersama Jurumudi. Kami terpaksa berhati-hati.Silap sikit membuat perhitungan,mala petaka jadinya.” “Banyakkah perkara yang perlu dipelajari dalam ilmu pelayaran?”tanya Bujang memerhati lakaran kertas besar yang dilekatkan ke dinding. Nakhoda Kintan memandang tepat ke arah Bujang.”Kalau Panglima ingin belajar,hamba boleh tolong ajarkan,”dia mempelawa diri.”Pertama sekali Panglima perlu belajar cara melihat peta dan kompas.Untuk itu,Panglima kena tahu tulisan Rumi yang digunakan oleh Belanda. Mereka menggunakan jam dan teropong serta lain-lain alat pelayaran.Taqwim mereka dikira mengikut tahun Masehi,bukan tahun Hijrah seperti yang kita gunakan.” “Tahun Masehi?”Bujang bingung. “Tahun mereka dikira mengikut kelahiran Nabi Isa yang dipanggil Al-Masih,”Nakhoda Kintan menerangkan lebih lanjut sambil bangun menunjukkan sebuah taqwim besar di dinding itu.”Contohnya hari ini hari Jumaat 23 Zulkaedah tahun Hijrah 1062 dikira sebagai 16 Oktober tahun Masehi 1652.” Nakhoda Kintan menunjukkan pula sebuah jam yang tergantung pada dinding itu.”Sekarang sudah hampir pukul 2.30 petang mengikut kiraan jam. Dan,yang di sebelah Jurumudi itu pula dipanggil kompas.Kompas menunjukkan arah utara,selatan,timur dan barat,ditulis dengan angka Rumi dan amat penting dalam pelayaran sedangkan kebanyakan kita masih menggunakan matahari dan bintang sebagai pedoman.” “Dari mana Tuan Nakhoda belajar semua ini?”tanya Bujang kagum. “Dari saudagar cina,Arab,keling dan juga saudagar barat di samping saudagar-saudagar kita di Alam Melayu ini,”jelas Nakhoda Kintan. “Termasuk Belanda dan Portugis?”tanya Bujang,curiga. “Bukan semua orang barat datang ke Alam Melayu untuk menjajah kita,Panglima,”bidas Nakhoda Kintas.”Ramai juga yang datang untuk berniaga.Mereka tidak suka berperang dengan kita dan mereka tidak lokek mencurahkan ilmu kepada kita jika kita rajin bertanya.Contohnya Tuan Locq,Tuan James,Tuan Jourdain dan beberapa orang lagi yang hamba kenali.Untuk pergi jauh dan bertambah maju,kita perlu belajar dari orang-orang barat.” “Bertuah hamba mendapat Tuan Nakhoda mengendalikan lancang ini,”Bujang memuji ikhlas. “Orang yang berilmu seperti Tuan Nakhoda memang sangat-sangat diperlukan dalam perjuangan hamba.” “Hamba pun sudah tua,tak larat lagi hendak belayar jauh-jauh,”Nakhoda Kintan menolak tawaran itu.”Bila sudah ada pengganti yang lebih muda,hamba akan balik ke kampung-halaman hamba di Trengganu.Tapi,sementara itu,hamba bolehlah berikan sedikit tunjuk-ajar,petua dan pantang-larang ilmu pelayaran.” “Hamba sudah bersedia,Tuan Nakhoda,”sambut Bujang lalu duduk di sebelah nakhoda itu. Nakhoda Kintan tertawa.”Baiklah,Panglima.Kita mulakan dengan taqwim Belanda ini.” Mulai petang itu hingga ke waktu senja,Nakhoda Kintan pun mencurahkan segala ilmunya kepada Bujang dalam waktu yang singkat itu.Bujang ditunjukkan cara menggunakan kompas dan peta serta cara membaca taqwim dan mengira waktu mengikut kaedah orang barat. Akhir sekali,Bujang diajar menulis dalam tulisan Rumi menggunakan kalam buluh dan dakwat. Banyak perkara baru yang dipelajarinya dari nakhoda itu walaupun tidak sepenuhnya. Rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Tunku Balqis dan Chendana terubat jua. Malam itu semua pendekar dan hulubalang berada di atas geladak menyaksikan Pulau Bentan yang semakin hampir.Ditemani oleh orang kanannya Lela Wangsa,Bujang membiarkan sahaja Nakhoda Kintan dan awak-awak mengendalikan lancang memasuki muara Sungai Charang dan menumpukan perhatian kepada angkatan perang Johor yang sedang berlabuh di perairan itu. Enam puluh buah kapal semuanya,lengkap dengan kelengkapan peperangan.Lampu berkelip-kelipan dari setiap tiang layar dan pengkalan. Di darat,lebih ramai lagi para pendekar dan hulubalang mengerumuni beberapa unggun api yang menerangi kawasan pantai.Kelihatan juga beberapa kumpulan sedang berlatih silat. “Panglima,boleh hamba berikan isyarat kepada mereka?”tanya Lela Wangsa. “Isyarat?”Bujang terpinga-pinga. “Isyarat ini penting supaya kita tidak disangka musuh,”jelas Lela Wangsa. “Hamba ibarat budak yang baru belajar,”balas Bujang.”Lakukanlah apa yang perlu.” Lela Wangsa pun menjerit memberi perintah kepada anak buahnya.Sebentar kemudian, kedengaran tiga das bedilan meriam dilepaskan,gegak gempitanya bergema memecah kesunyian malam itu. Bendera dan panji-panji juga dinaikkkan ke hujung tiang layar. Dari salah sebuah kapal yang berlabuh itu kedengaran bedilan balas tiga das juga. “Mereka sudah maklum kedatangan kita,”kata Lela Wangsa. “Malam ini kita berihat dulu,”Bujang memberi perintah.”Besok pagi,hamba mahu berjumpa dengan semua ketua hulubalang dari setiap kapal perang.” “Hamba akan hantar utusan memberitahu mereka tentang jemputan Panglima itu,”jawab Lela Wangsa lalu pergi menemui salah seorang anak buahnya di situ.Bujang menunggu seketika. Setelah sauh selamat dilabuhkan dan layar mula digulung,dia pun kembali ke kurungnya untuk menunaikan sembahyang jamak-qasar. Pada hari Sabtu 24 Zulkaedah 1062 Hijrah bersamaan dengan 16 Oktober 1652 Masehi keesokan harinya,semua ketua hulubalang dari kapal-kapal lain sudah menunggu di atas geladak apabila Bujang keluar dari kurungnya dengan memakai persalinan lengkap seorang panglima serta berkeris dua.Dia bersalam-salaman dengan mereka,kemudian menyuruh mereka duduk. Setelah mereka duduk dalam satu bulatan besar,dia pun duduk bersila di sebelah sahabatnya Lela Wangsa. Dia memerhati mereka satu persatu sekali imbas.Enam puluh orang ketua hulubalang yang diberi kepercayaan memimpin enam ribu pendekar dan hulubalang yang akan menyerang Rokan. “Assalamualaikum,”Bujang memulakan ucapan.Setelah salamnya dijawab,dia pun menarik nafas lalu meneruskan.”Nampaknya tuan hamba sekelian tidak-tidak sabar lagi hendak berbakti kepada Duli Yang Dipertuan Sultan Johor.Begitu juga dengan hamba. Tetapi….!” Bujang bangun,keris panjangnya yang masih tersarung itu dipegang kukuh. “Kita tidak akan menyerang Rokan,”Bujang menegaskan,matanya memandang tajam ke arah mereka yang duduk di kelilingnya.”Apa dosa orang-orang Rokan maka kita perlu mengorbankan nyawa mereka?Sebaliknya kita akan mengepung mereka dan memberi mereka kesempatan melalui jalan perdamaian.” “Orang Kaya Panglima Agung,”sampuk seorang ketua hulubalang.”Bukankah kita dititahkan Duli Yang Dipertuan supaya memerangi Rokan?Melanggar titah itu bererti durhaka.” “Baginda tidak ada di sini,”tegas Bujang.”Ini lancang hamba.Semua angkatan perang ini di bawah tanggung-jawab hamba.Hamba yang berkuasa sekarang. Melanggar perintah hamba bererti maut.” “Kalau begitu,hamba sedia melanggar perintah Orang Kaya,”ketua hulubalang itu bangun menghunus kerisnya mencabar Bujang.Yang lain-lain saling berpandangan.Ada yang diam tanpa berkata sesuatu,ada yang menggelengkan kepala dan ada juga beberapa orang yang mengangguk kepala tanda menyokong ketua hulubalang itu. Melihat keadaan agak kecoh,Lela Wangsa segera tampil ke hadapan. “Tun Dalam,sarungkan kerismu,”perintah Lela Wangsa kepada ketua hulubalang yang cuba membantah rancangan itu.”Tahukah kamu siapa yang berdiri di hadapan kamu sekarang?Inilah Panglima Agung dari Kedah.Panglima Agung bijaksana orangnya dan celik akal budinya.Tentu ada muslihat tertentu yang hanya Panglima Agung yang mengetahuinya.” “Jadi,apa yang harus kita lakukan,Lela?”tanya Tun Dalam,kerisnya masih terhunus. “Kita ikut sahaja dengan rancangan Panglima Agung,”Lela Wangsa menggesa.”Kita kepung dulu perairan Rokan. Jika mereka enggan berdamai,baru kita serang.” Melihat ramai ketua hulubalang lain mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Lela Wangsa itu,Tun Dalam pun menyarungkan kerisnya lalu duduk semula.Lela Wangsa juga kembali duduk setelah berjaya memujuk rakan-rakannya. “Benar seperti kata Lela Wangsa,”Bujang meneruskan seolah-olah tidak ada sebarang gangguan.”Kita akan mengepung perairan Rokan.Hamba sendiri akan naik ke darat menemui Raja Hitam dan Panglima Berantai.Tuan hamba semua boleh ikut hamba jika mahu.Sekarang baliklah ke kapal masing-masing.Kita akan belayar ke Rokan sekarang juga.” Mereka pun bangun bersalaman dengan Bujang,kemudian turun ke perahu masing-masing yang tertambat pada lancang itu. “Tun Dalam,”kata Bujang pada ketua hulubalang yang paling akhir.”Lain kali,perintah hamba jangan disanggah,cakap hamba jangan dibantah.” Tun Dalam seperti hendak menjawab tetapi tidak jadi.Dia terus turun ke perahunya. Bujang melihat ramai pendekar dan hulubalang menunggu di atas geladak,semua kapal perang sudah bersiap-sedia hendak menarik sauh dan mengembangkan layar.Cuaca pagi itu cukup baik dengan angin bertiup tidak henti-henti.Dia pun mengangguk pada Lela Wangsa.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...