Lela Wangsa pula memberi isyarat pada Nakhoda Kintan supaya belayar. “Kita belayar ke Rokan,”jerit Nakhoda Kintan dengan lantang.”Jurubatu,tarik sauh ke atas!Awak-awak,turunkan semua layar!Jurumudi,jaga cerakah kemudi! Cepat,jangan buang masa!!” Anak buah Nakhoda Kintan bercempera menjalankan tugas masing-masing. Tidak lama kemudian,lancang itu mula bergerak ditiup angin,diikuti oleh kapal-kapal perang lain. Mereka belayar dalam satu barisan panjang menghala ke arah Selat Melaka.Kerana cahaya matahari belum lagi panas,ramai yang masih berkeliaran di atas geladak menyaksikan kebiruan laut yang luas terbentang dan beberapa buah pulau di sekitar mereka. “Kita akan singgah sekejap di perairan Singapura untuk bergabung dengan Orang-orang Laut yang diketuai oleh Raja Negara,”Lela Wangsa menerangkan sambil menuding dengan jarinya ke arah pulau tersebut.”Kemudian kita akan belayar ke arah Pulau Karimun sebelum menyeberangi Selat Melaka dan terus ke Pulau Bengkalis berhampiran Rokan di tanah besar Sumatera.” “Berapa lama pelayaran ini?”tanya Bujang,tiba-tiba teringatkan pada Chendana. “Bergantung pada keadaan cuaca,Panglima,”Lela Wangsa membuat ramalan sambil memerhati laut dan awan-gemawan.”Kalau cuaca baik dan tiada angin mati,dua-tiga hari lagi sampailah kita di Pulau Bengkalis.” Bujang memandang ke arah tanah besar Johor di mana letaknya Batu Sawar.Dalam khayalan terbayang wajah Chendana yang bertahi lalat dan berlesung pipit,senyuman manis bak madu.Baru sehari berpisah terasa bagaikan setahun. Dia tersenyum sendirian. Telatahnya diperhati oleh Lela Wangsa yang mengerti perasaannya. “Sabarlah,Panglima,”Lela Wangsa memujuk.”Selesai sahaja perkerjaan ini,kita akan terus belayar pulang.Hamba dan rakan-rakan lain pun turut merasa rindu pada anak-isteri.” Bujang hanya mengangguk,terhibur dengan pujukan sahabatnya itu.Diam-diam dia beredar ke tempat Nakhoda Kintan untuk menyambung pelajarannya yang tertangguh. Menjelang tengah hari,angkatan mereka disertai pula oleh Raja Negara dengan sepuluh buah perahu layar membawa kira-kira seratus Orang Laut yang bersenjatakan golok,seligi dan buluh sumpitan. Perahu layar yang dinaiki Raja Negara membawa bendera Johor dan belayar di sebelah lancang Bujang.Panas terik matahari tidak mereka hiraukan langsung.Bujang yang sedang belajar menulis dalam kurungnya merasa kagum dengan kemahiran Orang-orang Laut mengendalikan perahu mereka yang kecil tetapi laju itu.Mereka memang pelaut sejati. Ketika matahari separuh terbenam di kaki langit dengan cahaya merahnya berkilau-kilauan di permukaan laut,angkatan perang itu memasuki kawasan perairan Pulau Karimun.Bujang yang sedang bermain sepak raga bersama Lela Wangsa dan beberapa orang pendekar berhenti sejenak untuk menikmati keindahan pulau yang bagaikan tidak berpenghuni itu. “Pulau Karimun,Panglima,”beritahu Lela Wangsa yang turut berhenti bermain.”Di sanalah Raden Mas Ayu dan ayahnya Pangeran Agung tinggal sebelum mereka berpindah dan menetap di Singapura.” “Siapa gerangan Raden Mas Ayu?”tanya Bujang yang tidak mengetahui kisah itu. “Dia dan ayahnya berasal dari keturunan Betara Majapahit,”Lela Wangsa dengan rela hati bercerita.”Dek kerana merajuk kerana isterinya mati dibunuh,mereka pun membawa diri ke rantau orang.Waktu itu Raden Mas Ayu masih lagi bayi.Malangnya ketika di Singapura,mereka menjadi korban fitnah.Makam Raden Mas Ayu masih ada di sana. Kata orang,makam itu keramat kerana Raden Mas Ayu seorang gadis yang berhati suci,matinya kerana teraniaya.” “Banyak juga yang kau pelajari sejak menetap di Johor,”puji Bujang pada Lela Wangsa. “Hamba pun cuma mendengar cerita orang,”Lela Wangsa merendah diri.”Sebenarnya sejak Singapura masih bernama Temasik,sudah ada raja-raja Melayu dari Bukit Siguntang yang memerintah.Raja pertamanya bernama Sang Nila Utama,makamnya masih ada di Bukit Larangan.Raja terakhir Singapura yang bernama Permaisura itulah yang membuka negeri Melaka.Bila dia memeluk agama Islam,namanya ditukar kepada Sultan Iskandar Syah.” “Kau sepatutnya jadi tukang tulis,bukan hulubalang,”puji Bujang lagi. “Siapa kata hamba tidak menulis?”Lela Wangsa mendedahkan.”Setiap peristiwa yang hamba alami dari Acheh hingga ke Johor,semuanya hamba tulis dalam kitab.Hamba belajar cara-cara-nya dari Tun Seri Lanang,bekas Bendahara Johor yang ditawan dan dibawa ke Acheh.Dialah tukang tulis kitab ‘Sejarah Melayu’ yang termahsyur itu. Panglima boleh menulis?” “Boleh,tapi cuma tulisan Jawi,”ujar Bujang.”Hamba baru belajar menulis Rumi.” “Rumi atau Jawi tidak penting,asalkan tulisan boleh dibaca,”jelas Lela Wangsa.”Malam nanti datanglah ke kurung hamba,boleh hamba tunjukkan kitab yang telah hamba tulis.Kalau Panglima mahu,hamba boleh hadiahkan sebuah kitab kosong supaya Panglima boleh belajar.” “InsyaAllah,hamba akan ke sana nanti,”Bujang berjanji.”Boleh juga hamba abadikan segala pengalaman hidup buat tatapan anak-cucu di kemudian hari kelak.” Dua hari kemudian iaitu pada petang Isnin 26 Zulkaedah 1062 Hijrah bersamaan dengan 18 Oktober 1652 Masehi,angkatan perang itu pun berlabuh tidak jauh dari pesisir pantai Pulau Bengkalis. Kawasan itu belum didiami manusia kerana terlindung dari Rokan dan tanah besar Sumatera. Ramai yang naik ke darat untuk mandi-manda,beristirehat dan bersantai. Awak-awak pula ditugaskan mencari kayu api,bekalan makanan dan bekalan air tawar.Mana-mana yang tinggal di kapal memeriksa tali-temali,menjahit layar yang koyak dan membaiki apa-apa yang rosak. Bujang mengambil kesempatan itu untuk mengadakan persidangan dengan semua ketua hulubalang,termasuk Raja Negara. Seperti biasa dia ditemani oleh Lela Wangsa. “Malam ini kita akan belayar ke Rokan dan berlabuh di sana tanpa disedari oleh penduduk,”Bujang memberitahu mereka yang duduk di atas pasir di hadapannya.”Besok pagi, hamba bersama beberapa orang pendekar akan mengadap Raja Hitam.Yang lain-lain tunggu di atas kapal,sesiapa pun tidak dibenarkan naik ke darat selagi hamba belum memberi perintah.” “Bolehkah kami ketua hulubalang ikut sama sebagai wakil setiap kapal?”tanya Tun Dalam. “Enam puluh orang terlalu ramai,”bantah Bujang.”Nanti kita disalah-sangka pula.” “Kalau difikirkan,enam puluh orang terlalu sedikit,”Tun Dalam berselisih pendapat.”Khabar-nya bilangan pendekar Rokan hampir seribu orang.Kita akan dikeroyok kalau berlaku peperangan sebelum orang-orang kita dari kapal datang membantu.” “Jangan lebih sudu dari kuah,Tun Dalam,”Bujang memberi amaran,matanya merenung tajam pada Tun Dalam.”Kedatangan hamba bukan untuk berperang tetapi untuk berdamai.Kalau kita terlalu ramai naik ke darat,orang-orang Rokan akan menyangka kita datang hendak berperang.” Tun Dalam membalas renungan Bujang dengan berani.Mata mereka bertembung dalam satu suasana yang mencemaskan seperti telur di hujung tanduk.Lela Wangsa,Raja Negara dan lain-lain bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan. “Baiklah,”akhirnya Bujang mengalah dan memberitahu mereka semua.”Hanya seorang dari setiap kapal,tidak lebih dari itu.”Bujang kembali merenung Tun Dalam,”Kamu pula kalau ingin turut serta,jaga budi-bahasamu dan tutur-katamu.Jangan kerana nila setitik,rosak pula susu sebelanga.” “Cis!Terlalu lancang mulut Panglima!”Tun Dalam bingkas bangun menghunus kerisnya. “Biarkan!”Bujang menahan bila yang lain-lain bangun hendak menghalang Tun Dalam. “Sudah dua kali dia menjual,kali ini hamba membelinya,”sambung Bujang dengan tenang. Mereka pun berundur beberapa langkah memberi ruang kepada Bujang dan Tun Dalam menunjukkan kehandalan masing-masing.Pendekar dan hulubalang lain yang berada di pantai itu mula berkerumun. “Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya!”jerit Tun Dalam dengan lantang sambil menimang-nimang kerisnya. Bujang mara dua-tiga langkah mendapatkan Tun Dalam,kedua-dua kerisnya tidak disentuh. “Hamba tahu kamu hulubalang handalan,ilmu penuh di dada,”Bujang menyindir.”Kamu banyak pengalaman,tahan lasak dan tahan diuji.Kamu sudah membunuh ramai musuh. Sedangkan hamba masih mentah,usia baru setahun jagung,ubun-ubun masih lembik.” “Kalau begitu,biar hamba mengajar Panglima supaya menghormati orang yang lebih tua,” Tun Dalam mencebik,kerisnya ditayang ke kiri dan ke kanan mengikut tarian silat. “Dengan segala hormatnya dipersilakan,wahai guruku,”Bujang menyindir lagi. Tun Dalam tidak menjawab lagi,hanya misainya bergerak-gerak menahan marah.Sambil mempamerkan tarian bunga silat yang cantik dan penuh berseni,dia mula mengatur langkah menghampiri Bujang.Bujang tidak berganjak walau seinci,masih tercegat berpeluk tubuh,mata-nya meneliti setiap gerakgeri Tun Dalam. “Hunus keris Panglima!”Tun Dalam mencabar.”Belum pernah hamba bertikam dengan orang yang tidak bersenjata!” “Orang seperti kamu tidak layak dilawan dengan senjata,”tegas Bujang. Mendengar kata-kata Bujang itu,Tun Dalam semakin naik darah. Dia terus menikam. Namun, kerisnya hanya menikam angin.Sekelip mata kemudian,satu tamparan kencang hinggap di mukanya,menyebabkan dia jatuh terlentang di atas pasir. “Kenapa,Pak Guru?”Bujang bertanya selamba.”Pak Guru tersandung akar?” Sambil mengesat bibirnya yang berdarah,Tun Dalam bingkas bangun lalu meluru ke arah Bujang seperti kerbau terlepas dari kandang. Dia terus menikam dan menyimbat dengan sekuat tenaganya.Dengan tenang Bujang menepis dan mengelak setiap serangan,langkahnya diatur rapi.Tiba-tiba Tun Dalam jatuh tersungkur mencium pasir akibat sepakan kuat dan padu di belakangnya.Bila dia cuba memalingkan badannya,tangannya yang memegang keris dipijak. “Hamba rasa cukuplah pelajaran hari ini,”tegas Bujang sambil merampas keris Tun Dalam. Keris itu dilontar lalu terpacak pada sebatang pokok tidak jauh dari situ.”Muda jangan disangka anak,tua jangan disangka ayah. Kalau berguru kepalang ajar,ibarat bunga kembang tak jadi.” Bujang menghulur tangan kepada Tun Dalam untuk bersalam.Mula-mula Tun Dalam agak terkejut dengan tindak-tanduk Bujang yang tidak disangka-sangka itu.Akhirnya dia malu alah lalu bersalam dengan Bujang tanda bermaaf-maafan.Bujang menarik tangan Tun Dalam dan membantunya bangun. Kemudian Bujang beralih memandang mereka yang berkerumun.”Lepas sembahyang maghrib,kita belayar ke Rokan,”katanya tenang.Dia pun menuju ke perahu,diikuti oleh Lela Wangsa.Mereka berdayung kembali ke lancang.Di belakang mereka,pendekar dan hulubalang mula bercakap-cakap sesama sendiri tentang kejadian yang baru berlaku. Tepat seperti kehendak Bujang,selepas matahari terbenam beberapa ketika,angkatan perang itu pun membongkar sauh dan belayar ke Rokan.Dari kurungnya,Bujang yang baru selesai membaca doa berpuas hati melihat semua kapal perang berbaris mengekori lancangnya.Seperti biasa, lancang Bujang diiringi oleh Raja Negara dan anak buahnya. Menjelang tengah malam,Bujang sudah berada di atas geladak bersama pendekar dan hulubalang memerhati daratan Rokan yang kelihatan gelap seperti puntung kayu hanyut. “Padam semua lampu,”perintahnya.Beberapa orang pendekar dengan segera memadam tanglung dan pelita ayan yang digantung pada tiang layar.Suasana di atas lancang itu menjadi gelap gelita.Tidak lama kemudian,kapal-kapal lain mencontohi perbuatannya. “ Awasi kawasan pantai,”katanya pada Lela Wangsa lalu menuju ke tempat Nakhoda Kintan. Dia turut memerhati dengan teliti Jurumudi menjalankan tugasnya sambil meneropong ke daratan yang masih gelap itu.”Perlahan sikit,”katanya pada Nakhoda Kintan. “Layar dua..layar tiga…Gulung!”perintah Nakhoda Kintan pada awak-awak. Perintah itu dengan segera dilaksanakan.Dengan hanya menggunakan layar hadapan,lancang itu semakin perlahan menuju ke arah daratan.Semua awak-awak berhati-hati kalau-kalau terdapat batu karang atau beting pasir yang boleh menyebabkan lancang itu terkandas.Bujang terus meneropong ke daratan kalau-kalau ternampak musuh. “Berhenti di sini,”perintah Bujang pada Nakhoda Kintan tidak lama kemudian. “Berlabuh!”jerit Nakhoda Kintan kepada anak buahnya.Layar hadapan digulung,sauh pun dicampakkan ke laut.Akhirnya lancang itu berlabuh dengan selamat.Tanah daratan Rokan masih sayup-sayup di kejauhan,masih diselubungi kegelapan malam. Kapal-kapal lain juga mula melabuhkan sauh di kiri-kanan lancang itu dan berbaris di sepanjang kawasan perairan Lokan. Bujang kembali mendapatkan Lela Wangsa.”Sediakan dua-tiga orang pengawal berjaga-jaga, yang lain-lain bolehlah berihat sampai subuh.” Sementara Lela Wangsa memilih dan mengatur barisan kawalan,Bujang meneropong lagi ke tanah daratan,seolah-olah tidak berpuas hati dengan apa yang dilihatnya.Keadaan di sana terlalu sunyi,terlalu lengang,tiada kelihatan langsung kelibat binatang,apa lagi manusia. Sekali pandang semua penduduk Rokan seperti nyenyak tidur diulit mimpi tetapi hati kecilnya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. “Hamba tercium perangkap,”kata Bujang bila Lela Wangsa kembali ke sisinya. “Perangkap?”Lela Wangsa seperti tidak percaya. “Cuba tengok di sana,”Bujang hulurkan teropong kepada Lela Wangsa. Lela Wangsa pun meneropong ke darat dengan teliti. “Hamba tak nampak apa-apa pun,Panglima,”keluh Lela Wangsa. “Tengok betul-betul,”gesa Bujang.”Perhati di celah perdu kelapa.” Lela Wangsa meneropong lagi.Tiba-tiba dia berteriak,”Hamba dah nampak!Muncung meriam….satu,dua,tiga,..ada kira-kira lima puluh pucuk meriam disembunyikan di balik perdu kelapa dan pokok-pokok kayu. Semua muncung dihala ke laut. Hamba juga nampak kelibat manusia bersembunyi di dalam semak dan belukar.” “Bijak,”Bujang memuji.”Mereka memang bijak.” “Bagaimana mereka tahu kedatangan kita?”tanya Lela Wangsa memulangkan teropong. “Mulut tempayan boleh ditutup,”balas Bujang.”Tentu ada yang membocorkan rahsia.” “Orang-orang kita dalam angkatan Fisabilillah tidak akan berani melanggar sumpah,”Lela Wangsa memberi pendapatnya.“Hamba rasa tentu ada salah seorang perajurit kita yang menjadi musuh dalam selimut dan bersubahat dengan Rokan.Kalau kita mara lebih hampir ke pantai, sudah tentu kita akan diserang-hendap.Licik betul si-pengkhianat ini.” “Bukan itu sahaja,hamba yakin sepanjang kawasan pantai ini telah dipasang jerat dan perangkap,”Bujang memandang tajam menembusi kegelapan itu. “Habis,apa rancangan kita sekarang,Panglima?”tanya Lela Wangsa. “Kita tunggu besok pagi,”balas Bujang lalu berpaling kembali ke kurungnya.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...