Besoknya pada hari Sabtu 12 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 4 November 1652 Masehi,Bujang dan Daeng Ratna pun dinikahkan oleh seorang imam di hadapan anak kapal dan beberapa orang penduduk kampung dengan berwalikan Andika.Tok Imam dengan ikhlas hati mengadakan kenduri bagi meraikan kedua mempelai itu.Kenduri itu walaupun sederhana tetapi meriah.Sebelum kembali ke lancang,Bujang menghadiahkan beberapa uncang wang emas untuk pembinaan masjid baru di kampung itu.Andika dan Panglima Kahar tinggal di darat untuk menunggu kedatangan kaum Tengger serta membuat persediaan yang sepatutnya. “Nah,ambil ini,”Bujang menghulurkan sebutir batu delima kepada isterinya Ratna.”Sebagai mas kawin dan tanda pernikahan kita.” “Terima kasih,”Ratna mencium pipi suaminya.Batu itu dibalut dengan sehelai sapu tangan sutera lalu disimpan di dalam bajunya.”Biar Ratna pindahkan barang-barang Ratna ke sini.” Mereka keluar dari kurung khas di atas geladak itu. Sementara Ratna turun ke bawah geladak, Bujang ke tepi lancang meninjau ke darat kalau-kalau kaum Tengger yang ditunggu-tunggu itu sudah sampai.Dilihatnya beberapa orang anak buahnya sedang berbual-bual kosong dengan penduduk kampung,sampan mereka masih tertambat di pantai.Kampung itu tidak banyak berbeza dengan lain-lain kampung nelayan di kepulauan Melayu dengan pohon-pohon kelapa menjulang ke langit serta daun-daun kelapa yang melambai-lambai ditiup angin. Lela Wangsa menghampiri Bujang dan sama-sama menikmati keindahan pantai di waktu pagi. Kabus tebal masih menyelubungi kawasan pergunungan di pedalaman,puncaknya berkilau-kilauan terkena pancaran cahaya matahari. “Pemergian kami nanti,kau belayarlah ke Gresik,”beritahu Bujang pada Lela Wangsa. “InsyaAllah,Panglima,”Lela Wangsa berjanji.”Tapi,hamba kesal tidak dapat ikut sama. Kalau tidak,bolehlah hamba ceritakan pada anak-isteri hamba di Johor.” “Pengalaman di laut pun apa kurangnya,”Bujang cuba menghiburkan hati rakannya. “Hamba rasa tentu ada rahsia di sebalik pemergian Panglima ke Gunung Bromo,”Lela Wangsa cuba mengorek.”Kalau tidak,masakan Panglima sanggup bersusah-payah menempuh hutan belantara dan gunung-ganang.” “Kita perlukan harta yang banyak untuk membiayai perjuangan kita,”Bujang mendedahkan tujuannya.”Pak Buyon mengetahui di mana letaknya harta karun Pulau Bali.” “Kita akan ke Pulau Bali pula?”Lela Wangsa agak terkejut. “Musim tengkujuh belum berakhir,”Bujang masih berahsia.”Laut Cina Selatan masih bergelora.Untuk sampai ke Tanah Bugis, kita terpaksa melalui Pulau Bali.” “Betul tu,Panglima,”Lela Wangsa menyokong.”Tapi,apa yang ada di Pulau Bali.” “Sama-samalah kita tengok nanti,”Bujang tetap menyimpan rahsianya.Sambil tersenyum, dia kembali ke kurungnya. “Ratna tak ikut sama bersembahyang?”tanya Bujang ketika menghampar sejadah. “Tak boleh,”Ratna tersenyum simpul sambil mengemas barang-barang yang perlu dibawa. “Mengapa pula tak boleh?”Bujang pura-pura bertanya. “Tak boleh,tak bolehlah,”jawab Ratna dengan manja. Bujang tertawa kecil lalu mengangkat takbir memulakan sembahyangnya. Sementara menunggu suaminya habis sembahyang,Ratna terus melipat kain-baju mereka untuk kegunaan dalam pengembaraan. Cuaca petang itu cukup panas.matahari tergantung di sebelah barat bagaikan bola emas. Langit biru bersih tanpa tompokan awan.Namun,bayu yang tak henti-henti bertiup menyerbu masuk melalui jendela dan menyejukkan kurung itu. Selepas memberi salam,Bujang berwirid pula.Ratna mengemaskan kampit Bujang.Sepucuk pistol dikeluarkan,kain-baju suaminya dimasukkan ke dalam kampit itu manakala kain-bajunya pula dimasukkan ke dalam sebuah kampit lain yang tidak dapat ditembusi air.Barulah dimasukkan barang-barang lain ke kedua-dua kampit itu.Selepas berdoa,Bujang bangun menukar pakaiannya dengan pakaian yang sesuai untuk perjalanan jauh. “Assalamualaikum,”terdengar satu suara halus memberi salam dari luar. “Waalaikumussalam,”segera dibalas Ratna.”Apa pula mahunya dayang-dayang ini?” Ratna bangun membuka pintu kurung.Dengan serta-merta bau harum yang semerbak menerpa masuk.Ratna tergamam.Berdiri di luar ialah dua orang perempuan cantik yang belum pernah dilihatnya.Mereka berdua tersenyum-senyum memandang Ratna. “Kanda Bujang ada?”bertanya perempuan cantik yang berselindang kuning manakala perempuan yang berpakaian hijau sedondon hanya tersenyum. “Siapa tu,Ratna?”tanya Bujang yang sedang menyarungkan bajunya. “Jemputlah masuk,”Ratna mempelawa kedua-dua perempuan cantik itu. Bujang tidak terkejut menerima kunjungan mereka yang sudah dikenalinya itu. “Duduklah,”pelawa Bujang pada mereka. Mereka pun duduk bersimpuh penuh sopan,diikuti oleh Ratna yang masih kebingungan.”Ratna,inilah tunangan abang dari alam ghaib.Puteri Mayang Sari dan Puteri Rubiah.” Antara takut dengan berani,Ratna bersalaman dengan mereka. “Kedatangan kami hanya sebentar,sekadar ingin bertandang,”jelas Mayang Sari. “Juga untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua mempelai,”sambung Puteri Rubiah pula.Senyuman tidak lekang dari bibir mereka. “Terima kasih,”ucap Bujang bagi pihak Ratna yang masih terpinga-pinga. “Usah gusar,Daeng Ratna Sari,”Mayang Sari meneruskan.”Dengan izin Allah Taala,kita akan bermadu tidak lama lagi.Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”balas Bujang dan Ratna serentak. Kedua-dua puteri dari alam ghaib itu melirik ke arah Bujang dengan senyuman paling manis sebelum menghilangkan diri dalam sekelip mata. “Subhanallah,”ujar Bujang.Ratna juga membisikkan kalimah suci itu. Tiba-tiba kedengaran pintu kurung mereka diketuk dari luar.Ratna tersentak. Bujang bangun lalu segera membukanya.”Ada apa,Andika?” “Kaum Tengger sudah pun sampai,Panglima,”hidung Andika kembang-kempis tercium bau wangi yang masih berlegar di situ.”Mereka berkampung di hadapan candi itu. Memang benar, ketuanya bernama Bapa Puyon.” “Hari sudah petang,suruh mereka berihat dulu,”perintah Bujang.”Besok pagi kita bertolak.” “Baik,Panglima,”patuh Andika,hidungnya masih kembang-kempis ketika dia berpaling meninggalkan kurung khas itu. “Malam ini dapatlah kita bermesra,”Bujang menutup pintu kurung. “Bermesra boleh asalkan jangan melampaui batas,”Ratna mengingatkan suaminya sambil tersenyum manja.”Mahkota ini akan Ratna serahkan pada malam pertama nanti.” Ketika matahari masih di balik gunung pada hari Ahad 13 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 5 November 1652 Masehi,Bujang dan rombongannya pun bertolak dengan menaiki kuda. Selain Pak Buyon terdapat kira-kira sepuluh orang lelaki dan perempuan kaum Tengger yang semuanya memakai pakaian hitam. Malah,kuda mereka juga berwarna hitam. Pak Buyon berada di hadapan sekali sebagai penunjuk jalan,diikuti oleh Bujang,Ratna,Panglima Kahar dan Andika. Dayang-dayang Ratna berada di belakang sekali bersama kaum Tengger. Mereka menunggang perlahan-lahan melalui batas sawah padi yang beralun hijau seperi ombak besar. Beberapa orang petani yang sedang bercucuk-tanam melambai-lambai kea rah mereka. “Pak Buyon dari mana sebenarnya?”Bujang membuka tajuk perbualan. “ Dari Legok Sari,Gusti Panglima,”balas Pak Buyon dari atas kudanya.”Laskar-laskar Demang Tegis menangkap kami. Dibawa ke sana untuk membina taman.Nasrani,Minahasa dan ramai lagi sama-sama ditangkap.Kami melawan dapat lari. Ini sahaja yang masih hidup. Kejam betul.” “Bukan semua orang Islam kejam,Pak Buyon,”Bujang membela diri. Pak Buyon hanya mengangguk tetapi tidak memberi sebarang kenyataan. Pengalaman pahit menjadikan dia masih ragu-ragu pada kejujuran Bujang. Menjelang tengah hari baru mereka melepasi kawasan sawah padi yang luas bagaikan tidak bertepi itu. Mereka melalui kampung-kampung terpencil yang dikelilingi hutan belantara. Denai-denai yang dipayungi rimbunan pohon-pohon rendang melindungi mereka dari panahan cahaya matahari yang terik. Bunyi siulan burung serta lain-lain unggas hutan menjadi halwa telinga sepanjang perjalanan. Mereka menunggang dengan perlahan,membiarkan kuda mereka mengikut langkah sendiri. “Selepas ini,kita akan mula mendaki,”beritahu Pak Buyon pada Bujang ketika mereka berhenti rihat di tepi sebatang anak sungai untuk mengalas perut.”Dusun kami di pinggir Kali Mas.” “Jauh lagi.Pak Buyon?”Bujang bertanya sambil mengerling pada isterinya yang sedang makan. “Tak jauh,kurang-lebih lima hari lima malam,”balas Pak Buyon selamba. “Lima hari?”Panglima Kahar terkejut. “Kita tidak bisa berjalan malam,”Pak Buyon menjelaskan.”Jika dihitung siangnya sahaja,jauhnya sepuluh hari lagi.” “Sepuluh hari?”Andika yang tidak biasa berjalan dalam hutan tersedak. Pak Buyon ketawa terbahak-bahak.”Dalam hutan tidak bisa ribut-ribut,”katanya.”Kalau kalian kepenatan,kita rihat. Santai.” “Dalam hutan ada ini?”Panglima Kahar menunjukkan isyarat misai harimau. Memang menjadi pantang menyebut nama-nama binatang ketika berada di dalam hutan. “Semestinya ada,”balas Pak Buyon bersahaja.”Bukan itu sahaja,yang menjalar,yang melompat, yang berbulu persis manusia pun ada. Tapi,nggak perlu gentar,Gusti Panglima ada bedil.” Beberapa orang lelaki Tengger memandang pada pistol Bujang yang tergantung di pelana kuda bersama busar panah lalu mengangguk tanda setuju. Mereka meneruskan perjalanan tidak lama kemudian. Benar seperti kata Pak Buyon.Mereka terpaksa mendaki melalui lorong yang bengkang-bengkok di perlerengan gunung itu,menuruni lembah-lembah hijau,menyeberangi anak sungai dan meredah denai-denai yang jarang dimasuki manusia.Kadangkala mereka terpaksa melangkah pokok yang tumbang menghalang jalan atau mengelak batu yang bergolek ke atas jalan. Setelah hari hampir gelap,baru mereka berhanti bermalam di pinggir sebuah kolam yang dikelilingi rumput liar.Panglima Kahar dan Andika mendirikan khemah manakala Pak Buyon dan anak buahnya membina ran di atas pokok. Bujang tahu waktu asar masih panjang tetapi keadaan di dalam hutan belantara menjadikan suasana agak gelap seperti hendak malam. Dia segera mendiri-kan sembahyang jamak taqkhir,kemudian membantu menyalakan unggun api untuk menghalau nyamuk dan agas.Mereka telah mendirikan tiga buah khemah.Satu untuk Bujang dan isterinya, satu lagi untuk dikongsi bersama Panglima Kahar dan Andika manakala khemah ketiga untuk kegunaan dayang-dayang. Sementara dayang-dayang memasak menggunakan dapur potjie,Bujang,Panglima Kahar dan Andika mengambil kesempatan untuk mandi-manda di kolam itu.Mereka membentangkan tikar dan bersembahyang jemaah. Kerana Panglima Kahar lebih tua,secara resmi dia dilantik sebagai imam.Selepas sembahyang,mereka bertiga membantu Ratna dan dayang-dayang menghidangkan makanan. Di atas tikar mengkuang itu mereka menjamu selera. Kerana keletihan,masing-masing tidak banyak bercakap. Kaum Tengger makan berasingan dan tidak bercampur-gaul dengan mereka.Semakin malam,cuaca semakin dingin.Seorang demi seorang masuk tidur kecuali Bujang yang masih berihat di tepi unggun api. Melihat Bujang keseorangan,Pak Buyon mendekatinya. “Belum mengantuk lagi,Pak Buyon?”tegur Bujang. “Manira sudah biasa berjaga sampai larut malam,”Pak Buyon menyorong sebatang dahan kering ke dalam unggun api,kemudian duduk di sebelah Bujang.Mereka sama-sama melihat api yang menjilat dahan kering itu. Malam yang bermandikan cahaya bulan itu mula diseliputi kabus. “Siapa yang berjaga malam ini?”tanya Bujang,menjenguk ke arah kawasan kaum Tengger. “Dua orang,”jawab Pak Buyon.”Gusti Panglima nggak perlu risau.Anak buah manira ada. Mereka juga akan menjaga dan memberi makan kuda kita semua.” Tiba-tiba Bujang bangun masuk ke dalam khemahnya,kemudian keluar membawa selaras pistol.”Pak Buyon tahu menggunakan senjata api ini?” “Bisa juga,”Pak Buyon mengamati pistol itu penuh minat.”Senjata kompeni Holanda. Tapi harganya mahal amat,nggak mampu kami membelinya.” “Ambillah,pemberian ikhlas dari hamba,”Bujang menghulurkan pistol itu. Pak Buyon tergamam seketika.”Gusti Panglima nggak main-main?” “Hamba bersungguh-sungguh,ambillah,”Bujang menghulurkan sekali lagi pistol itu. Pak Buyon menerimanya dengan senang hati,matanya bercahaya keriangan seperti anak kecil yang mendapat barang permainan.Dibeleknya pistol itu ke kiri ke kanan dan ke atas ke bawah dengan penuh bangga. Dengan senjata seperti itu,dia akan menjadi orang terpandang dalam kampungnya,mungkin dilantik sebagai kepala desa. “Ini ubat letupan dan peluru,”Bujang menyerahkan pula dua uncang kecil.”Hamba minta diri dulu,Pak Buyon. Besok pagi kita jumpa lagi.” Pak Buyon hanya tersengih menampakkan giginya yang rompong.Bujang masuk ke dalam khemah lalu membaringkan diri di sisi Ratna.Didapati isterinya sudah pun tidur.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...