Dia dihampiri oleh Daeng Ratna,Andika dan Panglima Kahar. Lela Wangsa serta rakan-rakan lain sedang berdayung sampan menuju ke lancang. Daeng Ratna membisu seribu bahasa,hanya sekali-sekala tangannya mengesat air mata.Andika dan Panglima Kahar juga tidak bersuara,masing-masing melayan perasaan sendiri. "Hamba ingin pulang ke Batu Sawar,"Bujang bersuara tenang sambil memerhati beberapa orang perajurit Jawa mengusung tujuh buah peti ke sampan. "Itulah yang sebaik-baiknya,Bujang,"Panglima Kahar menyokong.Daeng Ratna tunduk menggigit bibir menyembunyikan perasaannya. "Namun,sebelum itu,hamba ingin mengembara lagi,"sambung Bujang. "Mengembara,Panglima?"sampuk Andika."Ke mana gerangan mahu dituju?" "Ke Tanah Bugis,"ujar Bujang."Memetik sekuntum bunga yang sedang kembang." "Tentang itu hamba sokong sepenuhnya,"Andika kenyit mata pada sepupunya. Daeng Ratna masih tunduk tetapi bibirnya mengukir senyum,wajahnya merah padam. ."Selesai semua pekerjaan,kita akan mulakan perang sabil ke atas armada Belanda," Bujang berpaling memerhati mereka satu persatu." Allah matlamat kita,Rasulullah junjungan kita,Qur'an dan hadis pedoman kita,berjihad cara hidup kita." Petang itu juga,mereka membongkar sauh meninggalkan pantai Jokjakarta,meninggalkan Sultan Hawengku Buano dan Raden Adjeng Kartini,meninggalkan segala kenangan pahit dan manis semasa mereka berada di situ.Sultan Hawengku Buano sendiri turut melambaikan tangan ke arah lancang yang belayar tenang menghala ke Selat Bali. "Ada apa di sana?"Bujang menuding dengan mulutnya ke tanah daratan. Mereka semua memandang ke tanah daratan yang bermandikan cahaya bulan. "Banjaran gunung,Panglima,"jawab Andika. "Memanglah banjaran gunung,Andika,"sindir Lela Wangsa."Maksud Panglima,negari apa yang ada di sana,sungai.kampung....!" "Gunung Merapi,Gunung Willis,Gunung Kelud.Gunung Kawi .Gunung Ijang dan Gunung Bromo,"Panglima Kahar menyelamatkan keadaan."Banjaran itu bersambung sampai ke Timur." "Gresik juga di sebelah sana?"tanya Bujang. "Gresik,Daha dan banyak lagi,"jelas Panglima Kahar."Kenapa,Bujang?" Semua memasang telinga kerana ingin mendengar jawapan dari Bujang. "Firasat hamba mengatakan kita akan temui sesuatu yang berharga di sana,"ujar Bujang tanpa menjelaskan lebih lanjut."Semalam hamba bermimpi lagi."Mereka semua memasang telinga ingin mendengar cerita selanjutnya.Bujang sengaja melengah-lengahkannya. "Mimpi apa,Panglima?"tanya Lela Wangsa yang tidak sabar-sabar lagi. "Kaum Tengger,"balas Bujang lambat-lambat."Hamba bermimpi mengembara dengan mereka hingga ke Gunung Bromo.Di Gresik,hamba bertemu pula dengan Kiai Ageng." "Tak pernah dengar tentang kaum itu,"sampuk Panglima Kahar."Tapi,Kiai Ageng seorang guru suluk terkenal di Tanah Jawa ini.Kata orang,dia diberi kunci perbendaharaan alam ghaib. Ramai orang menggunakan kepakarannya untuk meminta keris,barang berharga dan sebagainya." "Kalau begitu,elok kita ke sana,Panglima,"Andika mencadangkan. "Memang kita akan singgah di Gresik sebelum ke Tanah Bugis,"Bujang menerima cadangan itu, diterima sebulat suara oleh semua."Hamba ingin menziarahi makam Maulana Malik Ibrahim dan makam Sunan Giri." "Dua orang tokoh Wali Sembilan,"Andika bersuara penuh bangga."Hamba sudah lama bercita-cita ingin menziarahi makam mereka. Boleh hamba ikut Panglima?" "Kalau kamu ikut serta,siapa yang hendak menjaga Daeng Ratna di lancang?"Bujang memerhati tanah daratan yang bergunung-ganang."Hamba ingin mengembara mengikut jalan darat melalui Gunung Bromo hingga ke Gresik." "Hamba sudah tentu tidak dapat ikut Panglima kerana terpaksa menjaga lancang ini,"Lela Wangsa mengeluh. "Di mana kita hendak mulakan,Bujang?"tanya Panglima Kahar yang tidak terikat dengan tugas serta tanggung-jawab. Bujang tersenyum melihat bapa saudaranya."Kita berlabuh berhampiran Chandi Prambanan," sambungnya tenang."Besok atau lusa,kita akan bertemu dengan kaum Tengger yang hendak pulang ke perkampungan mereka di lereng gunung itu." "Siapa mereka tu,Panglima?"tanya Andika,kagum dengan ramalan Bujang. "Saki-baki keturunan Pateh Gajah Mada yang terpaksa meninggalkan Majapahit kerana enggan memeluk agama Islam,"Bujang menerangkan berdasarkan mimpinya."Mereka sekarang menetap di sekitar Gunung Bromo dan Pulau Bali dengan mengamalkan agama Hindu,agama nenek-moyang mereka." "Biar hamba maklumkan kepada Jurumudi,"Lela Wangsa beredar dari situ. "Panglima,"Andika cuba memujuk."Kalau hamba ikut,boleh hamba bawa Daeng Ratna bersama?" "Terlalu merbahaya,"Bujang memberi kata putus. "Ratna boleh menjaga diri sendiri,"celah Daeng Ratna yang muncul dari belakang. Bujang berpaling menyambut kedatangan Daeng Ratna."Bukan itu yang abang maksudkan." Melihat Bujang ingin berdua-duaan dengan Daeng Ratna,Andika dan Panglima Kahar segera menegundurkan dari dari situ. "Di dalam hutan banyak binatang buas dan ganas,"Bujang memberi alasan. "Ratna rasa bukan itu alasannya,"mereka sama-sama memandang ke daratan di mana sebuah candi kelihatan berbalam-balam."Kita bukan muhrim,bukan suami-isteri yang sah lagi." "Benar,Ratna,"Bujang mengakui kebijaksanaan bakal isterinya itu."Hukum menegah syarak melarang." "Kita boleh berkahwin di sini,"Daeng Ratna meluahkan cadangannya. "Itu barang mustahil,"Bujang menegaskan,mengenangkan ibubapa Ratna di Tanah Bugis. "Kenapa pula mustahil?"bantah Ratna."Betul,Ratna perlu berwalikan Ayahanda di Makasar. Tetapi,jika ketiadaan Ayahanda,Andika boleh menjadi wali nikah kerana dia sepupu Ratna yang paling tua dan paling rapat." "Di mana hendak dicari tok imam?"Bujang mula menaruh minat. "Soal imam perkara kecil,"Ratna menggiatkan."Kalau kita berlabuh berhampiran kawasan perkampungan,tentu ada seorang dua yang layak menikahkan kita.Paman dan anak buah abang boleh menjadi saksi.Sempurna sudah rukun dan syarat." "Kita perlu mendapat izin dan restu dari Ayahanda dan Bonda di Makasar,"Bujang masih memberi alasan."Kurang manis kita memandai-mandai dalam perkara ini." "Bukan memandai-mandai,"Ratna tetap menegakkan kebenarannya."Mereka akan faham. Lagi pun,kita hanya akan bersatu selepas majlis perkahwinan diraja yang akan diadakan di sana. Pernikahan kita ini sekadar menjaga maruah serta mengelak dari fitnah dan dosa." "Apa pula kata Andika?"Bujang menoleh kepada anak buahnya tidak jauh dari situ. "Andika pasti bersetuju dengan Ratna,"Ratna mengukir senyum kerana secara tidak langsung Bujang sudah memberi persetujuannya."Dayang-dayang boleh tolong memasak untuk kita." Bujang melihat lancang itu mula membelok ke kawasan pesisir pantai."Baiklah,"jawabnya. Ratna nyaris-nyaris melonjak keriangan.Kalaulah anak kapal tidak ada di situ,mahu dipeluknya Bujang erat-erat.Dia bergegas ke kurungnya di bawah geladak,tidak sabar-sabar lagi hendak memaklumkan berita baik itu kepada dayang-dayangnya. Lancang itu akhirnya berlabuh tidak jauh dari sebuah candi di tengah-tengah sebuah perkampungan di pinggir Laut Selatan itu. Layar digulung,sauh diturunkan ke laut. "Candi Prambanan,"bisik Bujang,candi itu sama seperti yang dilihat dalam mimpinya. Di situlah dia akan menemui Bapa Puyon,ketua kaum Tengger.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...