Tepat seperti ramalan Ratna.Dua hari kemudian iaitu pada pagi Jumaat 25 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 17 November 1652 Masehi,bahtera Indera Kayangan pun berlabuh dengan selamatnya di pelabuhan Makasar.Mereka berpusu-pusu naik ke darat melalui pengkalan kayu bertiang tinggi yang dibina kukuh siap dengan pintu gerbang bertulis Jawi mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari luar.Berpakaian hitam sedondon serta berkeris,Bujang turut menemani Ratna hingga ke persimpangan jalan di pinggir pasar. “Itulah istana Ayahanda,”Ratna menuding ke arah sebuah istana tersergam indah dikelilingi tembok batu tidak jauh dari situ. “Di sini kita berpisah buat sementara waktu,”balas Bujang dengan tenang,minatnya lebih tertumpu pada sebuah mesjid bersebelahan istana.”Kita berjumpa lagi di atas pelamin.” Ratna mencium tangan suaminya dengan penuh kasih-sayang.Sebagai balasan,Bujang mengucup dahi isterinya.Ratna tersipu-sipu beredar pergi bersama dayang-dayangnya. Setelah bersalam dengan Bujang,Panglima Kahar dan Andika turut mengikut Ratna ke istana. Bujang bersama anak buahnya masuk ke dalam pasar.Mereka singgah di sebuah warong untuk bersarapan pagi.Bujang duduk semeja dengan Yaakub Lim dan Aria Wulon manakala rakan-rakan mereka memlih meja-meja lain di sekeliling mereka. Mereka memesan makanan dan minuman. “Panglima masih terasa kehilangan Lela Wangsa?”tanya Yaakub Lim sambil minum-minum selepas menjamu selera.Aria Wulon memasang telinga,takut kalau-kalau soalan rakannya itu mengguris hati Bujang. “Arwah Lela Wangsa sahabat kita,dicubit paha kiri paha kanan terasa juga,”tegas Bujang. “Tetapi kematiannya berbalas sudah,”tambah Bujang lagi,suaranya mengandungi kepuasan. “Tak sangka Kiai Agung boleh bersahabat dengan bajingan goblok seperti Juragan Musa,” luah Aria Wulon.”Bukankah dia keturunan Sunan Giri wali orang Islam itu?” “Darah keturunan belum tentu menjamin iman kita,Aria”Yaakub menyelar.”Tengok,kau orang Melayu tapi masih menganut agama Hindu. Tapi hamba orang cina sudah Islam sejak dari lahir.” “Orang Islam sendiri pun belum terjamin masuk syurga,”tambah Bujang pula. Aria Wulon terdiam,kata-kata dari dua rakannya meresap ke dalam hatinya. “Panglima,”Yaakub mengubah tajuk perbualan.”Ada yang sudah rindu pada anak-isteri yang sudah lama ditinggalkan.Mereka tertanya-tanya berapa lama kita berlabuh di sini.” Bujang meneguk minumannya dengan tenang.Dia tahu mereka semua memasang telinga. “Kita belayar pulang selepas selesai majlis perkahwinan hamba,”ujarnya membuat keputusan. Mendengar jawapan itu,beberapa orang anak buahnya menarik nafas lega. “Kemudian kita belayar ke Mekah,”sambung Bujang lagi,memerhati mereka semua sekilas pandang.”Kamu semua boleh ikut sama jika ingin. Balik dari Mekah…,”Bujang terdiam sejenak, menyedari di mana dia berada di saat itu.Kata-katanya itu dihabiskan dengan menarik kerisnya separuh lalu menyarungkannya kembali sebagai tanda pengenalan perjuangan mereka.Tanda itu dibalas hampir serentak oleh anak buahnya,pelanggan-pelanggan lain yang berada di warung itu tercengan kehairanan tidak tahu-menahu. Petang itu Bujang bersembahyang Jumaat di mesjid berhampiran istana bersama anak buahnya dan penduduk tempatan. Khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun imamnya orang Bugis.Sebagai musafir,dia tidak diwajibkan menunaikan sembahyang Jumaat.Namun, peluang itu diambil untuk bercampur-gaul dengan masyarakat setempat setelah sekian lama mengembara.Kaum-kerabat Ratna serta beberapa orang pembesar Bugis juga turut hadir tetapi mereka tidak mengenalinya.Seperti biasa,dia tidak terus meninggalkan mesjid sebaik sahaja selesai solat. Sebaliknya,selepas bersalam dengan pak imam,dia menuju ke sebuah rak di mana kitab-kitab lama disusun.Sebuah kitab bertajuk ‘Hakikat Insan’ menarik minatnyaKitab itu dibuka lalu diselak beberapa lembar melihat isinya.Kemudian dia memilih suatu sudut mesjid yang agak tersorok, di situ dia duduk membaca kitab itu dengan khusyuk. Lantaran terlalu khusyuk,Bujang tidak menyedari langsung kehadiran beberapa tetamu yang tidak diundang.Tiba-tiba sahaja rongga hidungnya diasak oleh bau wangi yang harum semerbak yang sudah biasa dihidunya.Sedar-sedar di hadapannya wujud Sheikh Kuala,diapit oleh Raja Abal Yusuf serta Puteri Mayang Sari.Di belakang mere duduk kaum-keluarga Raja Abal Yusuf. Bila ditoleh ke kanan,Bujang agak terkejut melihat kehadiran Panglima Kahar,Yaakub Lim,Andika dan Tok Kilat manakala di sebelah kirinya duduk empat orang hulubalang yang tidak dikenali. Gurunya yang berpakaian serba putih dengan janggut dan misai seperti kapas dibusar tunduk meneliti sebuah kitab Al-Qur’an yang terbuka di atas rehal kayu. “Supaya akad nikah ini lebih afdal.kami turut menjemput imam dan saksi dari kalangan manusia,”Raja Abal Yusuf bersuara tenang,melirik pada Sheikh Kuala,kemudian pada Panglima Kahar serta tiga lagi rakannya.”Supaya di belakang hari,tidak ada yang mempersoalkannya.” “Bujang sudah bersedia?”tanya Sheikh Kuala pada anak murid kesayangannya. Sebagai jawapan,Bujang bangun menghampiri Sheikh Kuala,kemudian duduk bersila penuh takzim di hadapan gurunya dari Acheh itu. Sheikh Kuala mencapai tangan Bujuang lalu menggenggamnya erat,”Aku nikahkah dikau Tengku Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Abdullah dengan Yang Mulia Puteri Mayang Sari anak perempuan kepada Raja Abal Yusuf yang memerintah Negeri Antah Berantah dengan mas kahwin sebentuk cincin mutiara delima.” “Aku terima nikahnya Puteri Mayang Sari anak perempuan kepada Raja Abal Yusuf dengan mas kahwin sebentuk cincin mutiara delima,”Bujang menyambut lafaz yang diucapkan. “Sah?”tanya Sheikh Kuala pada saksi-saksi. “Sah,”balas Panglima Kahar penuh yakin.Yaakub Lim,Andika dan Tok Kilat cuma angguk kepala mengiyakan pengesahan rakan mereka. “Bagaimana dengan anakanda empat beradik?”tanya Raja Abal Yusuf pada empat hulubalang di sebelah kiri Bujang. Mereka mengangguk sambil menyusun sembah. “Alhamdulillah,”sampuk Sheikh Kuala berpuas hati,lalu menadah tangan membacakan doa ringkas,diaminkan oleh mereka semua. Sebaik sahaja Bujang menyapukan tangannya ke muka,mereka semua tiba-tiba ghaib dari pandangan kecuali Puteri Mayang Sari.Ketika Bujang masih terpinga-pinga,Puteri Mayang Sari bangun bersimpuh di hadapan suaminya,kemudian tangan suaminya itu dicium. Sebagai balasan, Bujang mengucup dahi isterinya dari alam bunian itu. “Pertunangan kita berakhir sudah,sekarang kandalah suami dinda,”tutur Mayang lembut. “Majlis perkahwinan menjelang tiba,kanda akan dijemput ke peterana.” “Baiklah,”jawab Bujang sepatah. “Jika kanda perlukan dinda,cincin zamrud itulah tanda,”sambung Mayang Sari lagi. Belum sempat Bujang memjawab lagi,Puteri Mayang Sari memberi salam dan terus menghilangkan diri dari pandangan,meninggalkan bau harum yang masih mewangi di udara. “Waalaikumussalam,”tutur Bujang perlahan,menjawab salam tersebut. Lewat petang baru dia keluar dari mesjid itu bersama beberapa orang jemaah yang bersolat asar. Ditinjau ke arah warong tadi.Warong itu penuh dengan pelanggan tetapi anak buahnya tidak kelihatan di situ.Kebanyakan mereka bersiar-siar di pengkalan sambil menghirup udara petang sementara yang lain sudah kembali ke bahtera.Dua-tiga orang anak buahnya kelihatan memancing dan menahan pukat,ada juga yang berperahu mencandat sotong.Sekali pandang,mereka tidak ubah seperti penduduk tempatan dan bukan angkatan Fisabilillah yang bakal memerangi Belanda. Demi terpandang Yaakub Lim bercekak pinggang di pengkalan,dia terus menghampiri rakannya itu. “Selamat pengantin baru,Panglima,”Yaakub mengucapkan sambil tersenyum-senyum bersalam dengan Bujang.”Hamba rasa seperti bermimpi tadi.” “Kamu tidak bermimpi,Yaakub,”Bujang mengerling pada cincin zamrudnya.”Mana bapa saudara hamba?” “Panglima Kahar dengan Andika kembali ke istana Raja Bugis menguruskan perkahwinan Panglima,”Yaakub menjelaskan.”Begitu juga dengan Daeng Samarinda.Khabarnya majlis persandingan Panglima dengan Puteri Ratna akan diadakan seminggu lagi,selama tujuh hari tujuh malam.” “Mudah-mudahan tidak bertelagah dengan majlis Raja Abal Yusuf,”Bujang mengerutkan dahinya,membayangkan seribu kemungkinan. Petang itu,Bujang mengisi masa lapang bermain sepak raga bersama anak buahnya di atas geladak bahtera sambil dihembus bayu yang menyejukkan badan. Malam itu dia dikunjungi Mayang Sari.Dia menyedari kehadiran isterinya itu ketika menunaikan solat.Selepas mmemberi salam dan berdoa,baru dia berpaling ke arah isterinya yang duduk bersimpuh berpakaian serba kuning.Melihat isterinya tersenyum simpul penuh makna,hatinya berdebar-debar,nafsu mudanya tiba-tiba bergelora. “Santapan sudah disediakan,”pelawa Mayang Sari.”Jemputlah,kanda pujaan.” Bujang bangun mengikut Mayang Sari ke kamar mereka,kemudian duduk menghadapi hidangan yang ditutup dengan tudung saji sutera.Tanpa sepatah kata,Mayang Sari menyenduk nasi ke pinggan mereka.Selepas membasuh tangan,diam-diam mereka menjamu selera.Tidak ada yang bersuara,hanya kedengaran makanan dikunyah dan sekali-sekala bunyi sudu berlaga dengan pinggan.Masing-masing membisu seribu bahasa sehingga selesai makan. “Mulai sekarang,inilah kamar Mayang,”Bujang bersuara sambil membasuh tangan.”Di sebelah ialah kamar Rubiah.Begitu juga dengan isteri abang yang lain,masing-masing disediakan kamar sendiri supaya senang dan selesa.” “Sebarang kata kanda,dinda menurut saja,”Mayang Sari turut sama membasuh tangan. Bujang bangun dan keluar dengan tenang dari kamar isterinya.Kamar besar yang menempatkan lapan kamar kecil itu diperhati seketika,kemudian dia beredar ke jendela merenung malam yang hitam pekat.Pintu gelongsor dibuka,dia beredar pula ke anjung hadapan mengambil angin. Mayang Sari muncul tidak lama kemudian,sama-sama menyaksikan bintang yang berkerlipan di langit. “Mala ini malam bahagia,malam kita bersama,”gemersik suara Mayang Sari di angin lalu.”Dinda akan sentiasa di sisi kanda.Dipanggil,dinda datang. Disuruh pergi,dinda menjauhkan diri.” “Tadi,Mayang tidak ikut sama bersembahyang,”tegur Bujang meluahkan isi hatinya. “Adat melarang syarak mengharamkan,”Mayang Sari menjelaskan.”Seperti manusia biasa, kami juga ada ketikanya tidak boleh digauli kerana badan tidak suci.” “Oh,begitu kiranya,”Bujang tersenyum tanda faham perkara yang sebenarnya. “Selain dari itu,semua dihalalkan,”Mayang Sari turut sama mengukir senyum.”Bukan kehendak dinda,kehendak ayahanda sebenarnya.Sempena dengan hari Jumaat penghulu segala hari.Dalam seminggu ini kenalah kanda bersabar,masakan lari gunung yang dikejar.Minggu depan malam Jumaat baru dibolehkan.” “Abang faham,”Bujang membelai rambut isterinya.”Kalau Mayang kasihkan abang,janganlah berkanda berdinda lagi dengan abang.Abang tidak mahu isteri abang dibeza-bezakan.” “Baiklah,abang,”patuh Mayang Sari menatap wajah suaminya seketika.Bila mata bertentang mata,jiwa mula bergelora.Seolah-olah mengetahui apa yang terpendam di hati suaminya,Mayang Sari segera tersipu-sipu melarikan pandangannya kea rah lain. Begitu juga dengan Bujang yang berpura-pura membilang bintang di langit. “Dalam waktu yang terdekat ini,abang akan dicuba dengan dugaan yang cukup getir,”tiba-tiba Mayang Sari mengubah tajuk.”Hati-hatilah.Pada Allah dilupa jangan.” “Dugaan?”Bujang tertarik hati ingin mengetahui selanjutnya.”Dugaan yang bagaimana?” “Kami dilarang mencampuri urusan manusia,”Mayang Sari menjelaskan.”Ada yang boleh diceritakan,ada juga yang dilarang.Apa yang diceritakan,tidak lebih dan tidak kurang. Jika Mayang berdiam diri,bererti perkara itu tidak dibolehkan.” Bujang mengangguk tanda faham meskipun hatinya berasa sedikit keciwa. “Malam masih muda,mari kita bercengkerama,”Bujang mengajak isterinya. “Boleh,”Mayang Sari mengikut sahaja kehendak suaminya.”Asalkan tidak melanggar pantang- larang,asalkan dijaga batas-sempadan.” Dari anjung,mereka beredar ke kamar sambil berpelukan. Enam hari kemudian iaitu pada petang Khamis 1 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 23 November 1652 Masehi ketika Bujang berihat di warong sambil menjamah pisang goreng bersama Yaakub Lim dan Aria Wulon,mereka dihampiri oleh Panglima Kahar dan Andika dengan wajah berseri-seri. ‘Berita baik,Panglima,”Andika terus memaklumkan selepas mereka bersalam dan duduk bersama di meja itu.”Kami membawa perutusan dari Yang Mulia Daeng Relaku Sultan Gowa. Panglima dijemput ke istana mala mini untuk mandi berlangir menjelang hari perkahwinan besok.” “Malam ini?”Bujang teringat janjinya pada Mayang Sari yang belum terlaksana. “Ya,malam ini,”Panglima Kahar mengukuhkan kenyataan.”Hanya mandi berlangir dengan tujuh jenis bunga,khabarnya untuk membuang sial dan menaikkan seri di wajah.Besok pagi dimulakan majlis akad nikah,seterusnya majlis persandingan di raja yang dihadiri oleh ramai tetamu dari dalam dan luar negeri.” “Bujang kena bermalam di istana?”tanya Bujang,tidak begitu gembira. “Sudah tentu,”balas Panglima Kahar,hairan dengan sikap anak saudaranya itu. “Panglima pergilah tukar pakaian,”tambah Andika pula.”Perjalanan ke sana agak jauh juga. Kereta kuda sudah disediakan,kami tunggu Panglima di hadapan pintu gerbang istana.” “Jauh?”Bujang bertambah hairan.”Ke mana gerangan hendak dituju sebenarnya?” “Istana hinggap berhampiran sebuah tasik,”Andika menjelaskan.”Di situlah Panglima akan menetap selama tujuh hari majlis perkahwinan ini. Daeng Ratna menunggu di sana.” Bujang membisikkan sesuatu ke telinga Yaakub Lim. “Ayoh,kita ke sana sekarang,”katanya pada Andika setelah Yaakub Lim beredar pergi bersama Aria Wulon. Perjalanan dengan pedati yang ditarik oleh enam ekor kuda tidak memakan masa yang lama.Setelah melalui kawasan perkampungan dan sawah-ladang,tibalah mereka di istana hinggap di pinggir tasik menjelang senja.Istana kayu berbumbung empat itu turut dibina serambi tempat menerima tetamu.Pekarangan istana yang luas itu dipagari tembok buluh yang diruncingkan hujungnya.Kerana senjakala sudah berlabuh,pelita dinyalakan di sana-sini menerangi kawasan. Pedati itu berhenti di hadapan pintu gerbang yang dikawal dua hulubalang. Demi melihat Andika,pintu gerbang itu terus dibuka.Bujang terus mengikut Andika dan Panglima Kahar memasuki pekarangan istana. Mereka disambut oleh Sultan Hasanuddin timang-timangan Daeng Relaku Raja Gowa yang sedia menunggu di serambi bersama para pembesar baginda.Gong dipalu bertalu-talu menandakan ketibaan pengantin lelaki. Bujang dibawa ke sebuah bilik untuk ditukar dengan pakaian yang sesuai,kemudian diiring pula ke tempat mandi di mana Daeng Ratna sedia menanti dengan hanya berkain kemban. Mereka didudukkan lalu dijirus dengan air tujuh jenis bunga dari sebuah tempayan besar.Sebagai penutup, mereka dijirus pula dengan air limau sintuk dari sebuah buyung sebelum dibawa keluar dari kawasan mandian.Bujang dibenar menukar pakaiannya yang basah sebelum ditemukan semula dengan Ratna di bilik pengantin yang dihias indah.Maka selesailah upacara mandi berlangir yang ringkas tetapi amat bermakna itu. Raja Gowa dan kaum-kerabat serta para pembesar kembali ke istana besar bersama lain-lain tetamu.Tinggal dayang-dayang dan dua orang pengawal untuk membantu kedua mempelai itu. Bujangmengambil kesempatan untuk menunaikan kewajipannya kepada Allah. Berdua-duaan di serambi pada malam itu sambil memandang tasik yang sunyi sepi,Bujang menggunakan akalnya untuk bersama Mayang Sari seperti yang dijanjikan. “Malam ini malam Jumaat,”Bujang mengingatkan Ratna. “Tapi pagi besok baru kita diakad nikah secara rasmi di hadapan ayahanda,”Ratna mengulangi pendiriannya.”Ratna berpegang pada adat demi menjaga maruah kerabat di raja Bugis.” “Abang hendak kembali ke bahtera,”Bujang menyampaikan hajatnya.”Ada sedikit amalan yang perlu dibuat sempena dengan malam penuh hikmah ini.” “Di sini pun boleh dilakukan,”balas Ratna yang tidak mengerti maksud sebenar.”Gunakan bilik yang kosong.Nanti Ratna minta dayang-dayang kemaskan.” Bujang terdiam,mati akal mencari jalan untuk bertemu dengan Mayang Sari. “Biarlah abang berterus-terang dengan Ratna,”Bujang mengaku akhirnya.”Sebenarnya malam ini giliran abang dengan Mayang Sari. Abang sudah berjanji.” “Kalau begitu,tak apalah,”ujar Ratna dengan tenang.”Kerbau dipegang pada tali,manusia dipegang pada janji.Kembalilah abang ke bahtera.Ratna izinkan dengan rela hati.” “Terima kasih,Ratna,”Bujang mengucup dahi isterinya. Malam itu juga Bujang dihantar oleh pengawal ke pengkalan.Tanpa mempedulikan beberapa orang anak buahnya yang masih berbual kosong di geladak,dia terus ke kamarnya untuk menemui Mayang Sari.Isterinya dari alam bunian itu sudah pun menunggu di kamarnya dengan pakaian nipis serba putih.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...