Bab 35

285 12 0
                                    

Pagi Ahad 25 Zulkaedah 1062 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1652 Masehi ketika terang-terang tanah,semua pendekar dan hulubalang sudah bersiap-sedia di atas geladak dan di tempat masing-masing. Ketua-ketua hulubalang seramai enam puluh orang di bawah pimpinan Tun Dalam juga sudah menunggu dalam perahu mereka,hanya menunggu perintah. Bujang muncul dari kurungnya dengan berpakaian lengkap seorang panglima,berbaju layang serta berkeris dua.Dia disambut oleh Lela Wangsa dan Raja Negara yang sedia menanti. Bujang turun ke perahu,diikuti diam-diam oleh dua orang pengiringnya itu.Dia duduk di hadapan sekali.Perahu itu didayung oleh seorang anak buah Raja Negara,terus menghala ke pantai. Perahu-perahu yang membawa semua ketua hulubalang mengekori dari belakag. Bujang sudah menduga kedatangan mereka pasti ditunggu.Kawasan pantai semakin hampir. Tidak lama kemudian,tampak dengan jelas deretan pendekar dan hulubalang Rokan yang berbaris sepanjang pantai,lengkap dengan peralatan senjata.Semua meriam sudah dihala ke arah laut dengan sumbu terpasang,siap-sedia untuk memuntahkan peluru.Seorang hulubalang yang memakai baju berantai tercegat gagah memegang pancang yang diikat dengan bendera kerajaan Rokan.Bujang bangun berdiri berpeluk tubuh,baju layangnya mengerbang ditiup angin.Lela Wangsa juga bangun memegang panji-panji kerajaan Johor manakala Raja Negara membantu anak buahnya mendayung perahu. “Kita semakin hampir,Panglima,”Lela Wangsa bersuara sambil menoleh melihat perahu-perahu lain yang masih mengekori di belakang. “Teruskan,jangan berhenti,”jawab Bujang tenang. Raja Negara dan anak buahnya terus juga mendayung. “Hamba rasa kedatangan kita tidak akan disambut dengan baik,”Lela Wangsa mula curiga. Bujang tidak menjawab,hanya perhatiannya tertumpu ke pantai. Tiba-tiba satu das tembakan meriam meletus dari pantai tetapi peluru itu tersasar jauh. “Bawa bertenang,”pesan Bujang bila melihat suasana mulai kecoh. “Serang!”terdengar jeritan lantang suara Tun Dalam. Serentak dengan itu,semua perahu yang dinaiki oleh ketua-ketua hulubalang Johor mula didayung dengan laju menuju ke pantai. Tiba-tiba satu dentuman lagi meletup dari darat. Sebutir peluru meriam hinggap di sisi perahu Bujang menyebabkan perahu itu teroleng-oleng hendak karam. “Allah,”Bujang berseru.Sekali lonjak,dia sudah tercegat di hadapan hulubalang Rokan yang berbaju rantai itu.Keadaan hingar-bingar menjadi senyap,tembakan meriam tidak kedengaran lagi.Masing-masing tergamam dengan kehadiran Bujang secara tiba-tiba itu.Bujang menoleh ke belakang.Melihat orang-orangnya sudah hampir ke gigi air,dia mengangkat tangan menahan mereka dari melakukan serangan.Mereka berlompatan ke darat tetapi tidak ada yang berani melanggar perintah Bujang. Lela Wangsa dan Raja Negara mara menghampiri Bujang. Bujang memerhati pula barisan pertahanan Rokan yang juga tidak menyerang meskipun senjata terhunus di tangan. Diapit oleh Lela Wangsa dan Raja Negara,Bujang melangkah dengan tenang menghampiri ketua hulubalang Rokan. “Assalamualaikum,”Bujang memberi salam tanda perkenalan. “Waalaikumussalam,”ketua hulubalang berbaju berantai itu tampil di hadapan Bujang.”Hamba Panglima Berantai,penjaga Pantai Dumai ini.” “Hamba bergelar Panglima Agung,”Bujang memperkenalkan diri.”Pacal yang berdua ini anak buah hamba,Lela Wangsa dan Raja Negara.” “Kami utusan dari Duli Yang Dipertuan Johor,”sambung Lela Wangsa pula sambil menjulang panji-panji kerajaan Johor. “Kami datang hendak mengembalikan hak ketuanan Johor ke atas Rokan,”kata Bujang. “Apa hajat Sultan Johor menghantar budak-budak kemari?”sindir Panglima Berantai.”Hendak menjajah Rokan lagi?” “Kami datang hendak berdamai,bukan hendak menjajah,”jelas Bujang. “Berdamai?”Panglima Berantai ketawa kecil.”Kalau hendak berdamai,takkan membawa enam puluh buah kapal perang dengan beribu-ribu perajurit?Baik disambut baik,kalau jahat disambut jahat!” “Siapa yang menyerang dahulu?”Bujang mula mengeraskan suara. “Kami bertindak menyerang sebelum diserang kerana bilangan kami tidak seramai perajurit Johor,”Panglima Berantai memberikan alasan. “Kalau kami datang hendak berperang,sudah lama Rokan menjadi padang jarak padang tekukur,”tegas Bujang. “Hei,kamu!”Panglima Berantai menuding jarinya tepat ke muka Bujang.”Datangmu tidak diundang,pergimu tidak dihantar.Panglima Agung atau Panglima Besar,kami peduli apa?” Lela Wangsa ingin mencelah tetapi ditahan oleh Bujang. “Sekali kamu melompat tinggi seperti helang,jangan ingat kami gentar,”sambung Panglima Berantai lagi dengan angkuh.”Kami juga ada ramai pendekar sakti yang tak mampan dek senjata. Pulanglah ke Johor! Rokan jangan diganggu!” “Kami hendak berbaik-baik,mengapa sengketa yang dicari?”tanya Bujang. “Sudah lama benar Rokan dijajah Johor,”keluh Panglima Berantai.”Kami tidak mahu lagi dijajah oleh orang luar.Kami mahu bebas dan merdeka.Kami sudah ada raja sendiri yang dibawa dari Pagar Ruyong.Namanya Raja Jempul,bergelar Raja Hitam.Kami mahu menjadi sebuah negeri yang berdaulat,bukan masih bergantung pada Johor.” “Itulah tujuan utama kami kemari,”akal Bujang pantas berfikit.”Biarlah kami bantu Rokan menjadi sebuah negeri yang bebas lagi berdaulat di Alam Melayu ini.” Panglima Berantai merenung tepat ke mata Bujang,kebengisan di wajahnya beransur-ansur hilang berganti dengan senyuman.”Kalau begitu niat kalian,kami sambut dengan baik. Berihat-lah dulu.Kalian akan diiring ke istana dan disambut dengan meriah.” Panglima Berantai berpaling memberi isyarat tangan kepada semua anak buahnya sebagai tanda berdamai.Pendekar dan hulubalang Rokan menyarungkan senjata mereka dan mula bersurai,kecuali beberapa orang yang ditugaskan menjaga meriam.Melihat keadaan kembali aman,Tun Dalam dan lain-lain ketua hulubalang dari Johor turut sama menyarungkan senjata masing-masing lalu datang mengerumuni Bujang,Lela Wangsa dan Raja Negara. Seorang pendekar Rokan membawa seekor kuda kepada Panglima Berantai. Panglima Berantai pun naik ke atas kuda itu.”Tunggu sehingga kalian dijemput,”katanya ringkas lalu memecut kuda itu menuju ke istana. Bujang dan orang-orangnya pun duduk berihat di bawah pokok sambil dijamu air kelapa muda oleh beberapa orang pendekar Rokan yang baik hati. “Bijak sungguh Panglima melembutkan hatinya,”puji Lela Wangsa ketika mereka mengalas perut.”Sangka hamba tadi,kita akan mati dikeroyok oleh perajurit Rokan.” “Betul,Panglima,”tambah Raja Negara.”Balik ke Batu Sawar nanti,Panglima tentu dinaikkan pangkat dan dianugerahkan tanah pegangan.Entah-entah Panglima diberi jawatan penting dalam istana.” “Tidak,”Bujang menjawab tegas.”Inilah khidmat hamba yang pertama dan terakhir pada Sultan Johor.Harta dan pangkat bukan tujuan hidup hamba.Mati syahid dalam memerangi orang-orang kafir,itulah matlamat hamba.” “Panglima,macam mana Panglima boleh melompat dari perahu ke darat tadi?”tiba-tiba Tun Dalam menyampuk mengubah tajuk perbualan.”Apa ilmu yang Panglima pakai?” Bujang,Lela Wangsa dan Raja Negara terkedu.Mereka tahu lain-lain ketua hulubalang sedang memesang telinga hendak mendengar jawapan dari mulut Bujang sendiri. “Tun Dalam,”tegur Lela Wangsa,telinganya merah.”Kalau hendak berumah biar dindingnya papan,kalau hendak dihormat biar dirimu bersopan.” “Tidak mengapa,Lela,”Bujang menghalang sebelum berlaku perang mulut antara Lela Wangsa dengan Tun Dalam.”Tun Dalam,kamu faham maksud ayat yang berbunyi:wamaromai- ta-izromaita-wala-kinnallah-haroma?” “Hamba kurang faham,”balas Tun Dalam perlahan. “Kita manusia bersifat baharu,”Bujang menerangkan,ditujukan kepada semua yang berkerumun di situ.”Dibakar kita hangus,dibunuh kita mati.Allah Yang Maha Berkuasa yang membantu kita,yang menerbangkan kita,yang menyelamatkan kita.Kenali diri sendiri,nescaya kita akan mengenali Allah.” Jawapan Bujang yang ringkas tetapi padat dan bernas itu menyebabkan mereka termenung seketika menghayati kata-kata itu.Tun Dalam juga seperti berfikir. “Tun Dalam,”Bujang memberi nasihat.”Kamu boleh pergi jauh jika kamu kurang bercakap dan banyak berfikir.Kata orang,kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa.” “Hamba faham,Panglima,”sahut Tun Dalam,suaranya merendah.Dia malu pada diri sendiri kerana ditegur oleh orang yang jauh lebih muda darinya.Semacam ada kesalan pada wajahnya. Perbualan pendek itu terganggu oleh kedatangan pendekar-pendekar berkuda yang diarah menjemput mereka.Malangnya mereka hanya membawa empat ekor kuda untuk kegunaan tetamu yang baru tiba di Rokan itu.Bujang memilih seekor kuda jantan berwarna putih, manakala Lela Wangsa dan Raja Negara memilih kuda hitam.Kuda perang masih kosong. Tun Dalam memandang pada Bujang.Melihat Bujang mengangguk,dia pun melompat ke atas kuda perang itu dengan gembira lalu berkata kepada kawan-kawannya,”Kamu semua tunggu di sini sampai kami balik.” Mereka berempat pun diiringi pendekar-pendekar berkuda menuju ke istana Raja Hitam yang terletak di atas sebuah bukit kecil yang landai.Sepanjang perjalanan itu,mereka menjadi tontonan ramai yang keluar dari rumah,memerhati dari bawah rumah atau meninjau dari tingkap. Bujang menjadi tarikan utama kerana pakaiannya berbeza dari tiga lagi tetamu dari Johor itu,sementelah pula dia menunggang kuda putih yang melambangkan kebangsawanan. Dari jauh,istana Raja Hitam tidak banyak berbeza dengan rumah-rumah lain di situ kecuali bentuknya yang lebih besar,lebih tinggi serta dipagari pula oleh kubu batu dengan pintu gerbang yang berukir cantik. Istana itu berbumbung tiga.Dinding kayu,tingkap dan kisi-kisi berukir cantik. Kuda yang jinak berkeliaran di merata tempat seperti tidak bertuan. Tiba di pintu gerbang,keempat pendatang dari Johor itu turun dari kuda masing-masing. Bujang mendahului anak buahnya masuk ke pekarangan istana yang luas itu. Mereka disambut oleh barisan pendekar Rokan yang bersenjatakan lembing,masing-masing berbaris di kiri-kanan jalan menuju ke pintu masuk istana. Panglima Berantai dengan pakaian yang cantik sedang menunggu di pintu itu. “Selamat datang ke istana Yang Mulia Raja Hitam,”sambut Panglima Berantai.”Sila ikut hamba ke Balai Gadang untuk mengadap ke Bawah Duli Yang Mulia.” Bujang,Lela Wangsa,Raja Negara dan Tun Dalam pun mengikut panglima Rokan itu masuk ke istana. Mereka dibawa ke sebuah balai besar di tengah-tengah istana itu.Raja Hitam dan beberapa orang pembesar baginda sudah menunggu.Raja Hitam duduk bertahta di atas sebuah singgahsana berukir cantik serta berbentuk seperti kepala singa.Canang dipalu menandakan ketibaan mereka.Panglima Berantai masuk mengadap,diikuti oleh Bujang,Lela Wangsa,Raja Negara dan Tun Dalam.Raja Hitam tersenyum mempersilakan mereka duduk bersama pembesar-pembesar lain.Tetapi Bujang ditahannya. “Panglima Agung,”titah Raja Hitam.”Beta berkenan mendengar perutusan dari Johor.” “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,”Bujang bertelut menyusun jari sepuluh.”Ada pun patik membawa perutusan dari baginda Sultan Johor tentang perkara hendak menjalinkan persabahatan dengan negeri Rokan ini.Ampun Tuanku.” “Persahabatan itu beta terima,”titah Raja Hitam.”Sultan Johor harus ambil ingatan bahawa kami di Rokan ini beraja ke Johor tetapi bertuan ke Minangkabau.Adat perpatih kami amalkan di sini.Hukum bersendi adat,adat bersendi syarak.” “Ingatan itu akan patik persembahkan ke bawah duli Sultan Johor,”sembah Bujang. “Baiklah,Panglima Agung,”Raja Hitam mempersilakan Bujang duduk.Bujang menyusun sembah penuh takzim lalu duduk bersila di antara Lela Wangsa dan Raja Negera.Kedengaran bunyi canang dipukul sekali.Beberapa orang biduanda masuk membawa talam berisi ayapan dan kudap-kudapan. Semua itu dihidangkan di hadapan para pembesar dan tetamu manakala Raja Hitam dilayan oleh dayang-dayang baginda.Setelah semua bersedia,Raja Hitam pun mempersilakan pembesar dan tetamu menjamu selera. Sebentar kemudian,masuk sekumpulan penari jelita dan pemain alat bunyi-bunyian membuat persembahan sebagai mengiringi majlis santapan itu. Para penari menggunakan piring dan lilin yang masih menyala,badan meliuk-lintuk mengikut rentak lagu yang dimainkan.Kemudian penari-penari itu mempamerkan tarian yang berbentuk bunga silat,gerak-langkah mereka teratur rapi,setiap gerak-geri membawa maksud yang tersirat.Ketika persembahan itu berlangsung,Bujang lihat Panglima Berantai keluar tergesa-gesa dengan hanya menjamah sedikit kudap-kudapan.Setelah persembahan tarian selesai dan semua penari melangkah keluar, barulah Panglima Berantai kembali menyatakan sesuatu kepada Raja Hitam.Raja Hitam bertepuk tangan untuk menarik perhatian,kemudian bertitah,”Tetamu dari Johor,sila beredar ke gelanggang silat.Terimalah persembahan istimewa dari Rokan.” Bujang pun bangun mengikut Panglima Berantai,diikuti oleh Lela Wangsa,Raja Negara dan Tun Dalam.Mereka dibawa keluar dari balai itu menuju ke belakang istana.Di situ terdapat sebuah padang dengan beberapa buah pondok beratap rumbia yang tidak berdinding.Sekitar padang itu dikelilingi oleh pagar buluh yang tinggi. Salah satu pondok itu menempatkan sekumpulan pendekar berpakaian hitam berselindang merah. Panglima Berantai mempersilakan mereka masuk ke sebuah pondok kosong di sebelah pondok itu. Raja Hitam masuk tidak lama kemudian bersama beberapa orang pembesar serta penduduk Rokan yang datang sebagai penyokong.Mereka memenuhi pondok-pondok lain.Bujang duduk di atas pangkin yang disedia-kan. Bila gong dipalu,keluarlah kumpulan pendekar berselindang merah tadi ke tengah gelanggang Membuat satu bulatan besar.Mereka menghunus golok masing-masing.Sangkaan Bujang, mereka akan membuat pertunjukan silat dengan bermain golok.Sebaliknya,mereka mula menetak,menikam dan menghiris muka,tangan,tengkuk dan lain-lain anggota badan tanpa sedikit pun meninggalkan kesan.Kemudian,mereka serang-menyerang antara satu sama lain, namun tiada yang luka.Kulit mereka kebal tidak dapat dilukai oleh senjata tajam. “Itulah Pencak Silat Debus dari Minangkabau,”Panglima Berantai menerangkan.”Setengah tempat dipanggil Dabus.Semua anak murid hamba itu kebal,boleh bergolek di atas kaca dan boleh dijirus dengan air panas tanpa sebarang kesan.Lihat pula kebolehan mereka seterusnya.” Bagaikan diperintah,tiba-tiba semua pendekar itu melompat setinggi pokok kelapa lalu mengapung di udara seperti burung,kemudian turun semula ke tanah. “Kalau Panglima Agung boleh melompat tinggi,kami sepuluh kali lebih mampu,”Panglima Berantai mendabik dada.”Barangkali ada yang tak mampu dilakukan oleh orang Johor.” Panglima Berantai pun terjun dari pangkin itu menuju ke arah anak muridnya.Dia berkata sesuatu kepada mereka,kemudian kembali mendapatkan Bujang. Bujang tertarik hati untuk melihat adegan seterusnya apabila semua pendekar itu membuka baju dan selindang lalu baring meniarap di atas padang. “Panglima sangsi pada Ilmu Debus?”tanya Panglima Berantai.”Panglima rasa ilmu itu terkeluar dari ajaran Islam?” Bujang hanya diam memerhati gelagat pendekar-pendekar itu di tengah padang. “Kira-kira 34 tahun yang lalu,Sultan Maulana Hassanuddin dan Patih Tirtayasa telah mengembangkan ilmu Debus di Banten sebagai satu cara menyebar agama Islam,”Panglima Berantai menerangkan lagi tanpa diminta,” Ramailah orang kafir masuk Islam kerana tertarik dengan ilmu itu,hingga tersebar ke seluruh Sumatera. Yang Mulia Raja Hitam membawa Ilmu Debus ini ke Rokan.” “Ilmu itu bertunjak dari mana?”tanya Bujang. “Dari keturunan Wali Songo di Tanah Jawa,”dakwa Panglima Berantai,kemudian menunjuk ke tengah padang.”Mereka sedang meneran.Sekejap lagi,ekor akan tumbuh,kuku dan taring menjadi panjang,seluruh tubuh badan mereka ditumbuhi belang dan mereka akan bertukar menjadi harimau.” “Harimau?”terpancut kata itu dari mulut Tun Dalam.Lela Wangsa dan Raja Negara saling bertukar pandangan lalu mengesot lebih rapat ke sisi Bujang.Perhatian Bujang masih tertumpu sepenuhnya ke tengah padang.Sebentar kemudian,semua anak murid Panglima Berantai bangun menanggalkan seluar mereka yang koyak-rabak.Mereka telah bertukar sepenuhnya menjadi harimau belang tetapi masih berdiri seperti manusia. “Orang Johor boleh buat begitu?”sindir Panglima Berantai pada Bujang. Bujang tahu mereka berempat sengaja ditunjukkan permainan luar-biasa itu untuk membukti-kan kekuatan dan kelebihan perajurit Rokan ke atas hulubalang Johor. “Wali Sembilan tidak pernah mengajar ilmu seperti itu,”balas Bujang. Panglima Berantai tersenyum pahit,kemudian memetik jarinya ke arah anak buahnya. Kumpulan harimau jadian itu menguap,menggeliat dan mengaum lantang sebelum merangkak menuju ke pondok tempat Bujang berada.Tun Dalam dan Raja Negara bangun memegang hulu keris masing-masing. Bujang dan Lela Wangsa tidak berganjak dari tempat mereka. “Jangan takut,mereka harimau baik-baik,”sindir Panglima Berantai lagi. Baik atau jahat,harimau-harimau itu menderam lantas menyerbu ke pondok Bujang dengan rupa yang bengis.Mereka menyeringai ke arah tetamu itu,menampakkan taring yang tajam. Mata mereka mengerdip seperti manusia. “Sudah!Pergi balik,”Panglima Berantai pura-pura marah.”Kamu sudah menakutkan tetamu kita dari Johor.Cukuplah,sekarang kita sudah tahu setinggi mana ilmu mereka.” Berubah air muka Bujang dan Lela Wangsa tetapi mereka diam seribu bahasa. Harimau-harimau itu terus menyeringai ke arah Bujang dan enggan mendengar kata. “Mereka mencabar Panglima Agung menunjukkan kejantanan di tengah gelanggang,” Panglima Berantai mencabar,”Demi menjaga maruah Johor,silakanlah.” “Gayung bersahut kata bersambut,”Bujang terus membalas. “Tapi,Panglima…,”Lela Wangsa cuba membantah. “Tidak mengapa,Lela Wangsa,”tegas Bujang sambil menyingsing lengan bajunya.” Telah datang kebenaran,sesungguhnya kepalsuan pasti binasa dengan izin Allah.” Harimau-harimau itu mengaum lantang,kemudian kembali ke tengah gelanggang. Di situ mereka berpaling menghadapi Bujang sambil mengodek-ngodek ekor dan mencakar tanah seolah-olah tidak sabar lagi hendak membaham Bujang. Dari atas pangkin itu,Bujang melompat ke tanah. Dengan tidak semena-mena kedengaran bunyi letupan yang kuat dan seluruh kawasan di tempat harimau-harimau itu berada dipenuhi asap seperti berlaku kebakaran. “Apa yang berlaku?”jerit Panglima Berantai lalu melompat ke tanah. Tun Dalam,Raja Negera dan Lela Wangsa tercengang-cengang mendapatkan Bujang. Sebaik sahaja asap itu hilang ditiup angin,semua harimau itu bergelimpangan di tengah padang dalam keadaan rentung seperti dipanah petir,badan mereka masih berasap.Panglima Berantai berlari untuk memeriksa anak buahnya yang sudah bertukar rupa itu. “Apa yang Panglima lakukan?”tanya Tun Dalam,cemas. “Hamba tidak melakukan apa-apa,”jelas Bujang dengan jujur. Saki-baki anak buah Panglima Berantai turut mengerumuni rakan-rakan mereka yang telah menjadi mangsa itu.Begitu juga dengan Raja Hitam dan beberapa orang pembesar baginda. “Hamba rasa lebih baik kita balik ke lancang,”Lela Wangsa mencadangkan sambil menuding ke arah pintu gelanggang yang masih tertutup. “Satu cadangan yang baik,”Bujang menyokong.Raja Negara dan Tun Dalam angguk kepala. Ketika suasana masih kecoh dengan kejadian yang tidak diduga itu,mereka berempat diam-diam membuka pintu gelanggang dan segera keluar dari situ. Di luar,mereka ternampak beberapa ekor kuda yang tertambat pada sebatang pokok. Seperti sudah sepakat,mereka terus menuju ke kuda itu,melompat ke atas kuda masing-masing dan memecut laju menghala ke pantai.Sebentar kemudian,mereka sampai di tempat ketua-ketua hulubalang lain sedang berihat. Tanpa berlengah,mereka terus melompat ke tanah dan membiarkan kuda yang mereka pinjam itu berlari balik ke tempat asal. “Cepat!Naik perahu!Kita balik ke kapal!”jerit Tun Dalam kepada rakan-rakannya. Mereka yang tercengang-cengang itu patuh pada perintah.Namun,belum sempat mereka tiba ke perahu masing-masing,kedengaran bunyi kuat kuda berlari menuju kemari. “Mereka datang hendak membalas dendam,Panglima,”Lela Wangsa berpaling menghadapi Panglima Berantai dan anak buahnya yang sudah hampir.”Kita amuk?” “Ya,”Bujang menghunus keris panjangnya,diikuti oleh Lela Wangsa.”Nampaknya kita bergeruh hari ini.” “Siap-sedia semua!”perintah Tun Dalam kepada rakan-rakannya.Mereka segera berpatah balik menempatkan diri di kiri-kanan Bujang dengan senjata terhunus di tangan. Berepa orang anak buah Panglima Berantai melompat dari belakang kuda lalu mengapung di udara seperti burung. Bujang mencantas udara dengan keris panjangnya,mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Tiba-tiba semua perajurit yang berapungan itu jatuh tergolek ke tanah seperti layang-layang putus tali.Melihat rakan-rakan mereka tewas,lain-lain perajurit melompat turun dari kuda masing-masing dan terus menyerbu ke arah barisan pendekar dan hulubalang Johor. “Jangan!Berhenti semua!”jerit Panglima Berantai dengan lantang.Tetapi jeritan itu tidak dipedulikan.Mereka terus mara menyerang Bujang dan anak buahnya.Pendekar dan hulubalang dari Johor itu tidak ada pilihan lain lagi melainkan terpaksa berperang demi mempertahankan diri.Bujang tidak menunggu lawannya menyerang,sebaliknya dia terus menyerang melibas dan menikam dengan keris panjangnya,kakinya seperti tidak berpijak di atas bumi.Lela Wangsa dan Raja Negara juga bertindak mengikut cara tersendiri.Begitu juga dengan Tun Dalam serta rakan-rakannya. Kilauan senjata yang terkena pancaran cahaya matahari bertukar menjadi merah oleh kesan darah.Suara mengaduh kedengaran di sana-sini,musuh tumbang satu demi satu seperti batang pisang.Tidak sampai senafas,pertarungan itu pun berakhir.Beberapa orang perajurit Rokan tergolek di atas pasir,dua-tiga orang lagi terbaring sambil mengerang kesakitan. Lain-lain perajurit tidak berani menyerang lagi. Di pihak Bujang,seorang rakan Tun Dalam tertiarap di gigi air dengan tidak bergerak,seorang lagi menekan perutnya yang luka ditembusi senjata.Bujang,Lela Wangsa,Raja Negara dan Tun Dalam tidak mendapat sebarang kecederaan. Kecuali Bujang,mereka semua kelihatan termengah-mengah melepas penat. Panglima Berantai meluru dengan kudanya ke arah mereka. “Berundur!Berundur semua!”perintahnya pada saki-baki anak buahnya yang masih tinggal. Setelah melihat mereka mula berundur,Panglima Berantai turun dari kudanya dan memerhati mayat-mayat perajuritnya yang terkorban. “Degil!Tak dengar perintah!”marahnya pada mereka yang telah kaku itu,”Bawa semua mayat itu pergi!” Bujang membasuh keris panjangnya dengan air laut,kemudian menyarungkannya. Dia menghampiri Panglima Berantai,mereka sama-sama melihat mayat-mayat itu diusung pergi. Mayat ketua hulubalang yang terbunuh diletakkan dalam perahu bersama rakannya yang cedera di perut. “Sudah hamba cuba menghalang tetapi mereka terlalu degil,”rungut Panglima Berantai,suara-nya mengandungi kekesalan.”Kemarahan menjadikan mereka pekak dan tuli.” Bujang,Lela Wangsa dan Raja Negara tidak berkata apa-apa. “Nyatalah sudah ilmu Panglima Agung terlalu tinggi,”Panglima Berantai memuji.”Tujuh orang anak murid hamba yang menjadi harimau itu hangus seperti kena bakar.” “Hamba langsung tidak menyentuh mereka,”Bujang mengulangi kata-katanya. “Maksud Panglima,mereka bukan mati kerana ilmu Panglima?”tanya Panglima Berantai. “Mereka mati kerana sudah sampai ajal,”balas Bujang.”Semuanya kehendak Allah.” “Mustahil ilmu kami bercanggah dari ajaran Islam,”Panglima Berantai masih cuba menegakkan benang basah.”Kami menggunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an.Hamba mendapat-nya secara langsung dari Sultan Maulana Hassanuddin di kraton Banten bersama Yang Mulia Raja Hitam.Kami warisi semua ini dari Wali Songo.Takkan para wali tersilap.” “Mungkin cara penggunaannya dimurkai Allah,”Bujang membuat andaian. “Maksud Panglima?”Panglima Berantai tidak mengerti. Bujang memberi isyarat kepada semua pendekar dan hulubalang supaya naik ke perahu. “Allah melaknat orang-orang yang bersifat takbur,”Bujang menjelaskan. “Itulah yang hamba titik-beratkan kepada semua anak murid hamba,”Panglima Berantai masih membela diri.”Setiap pesilat Debus dilarang sama sekali bersifat takbur,angkuh,sombong dan riak kerana semua ilmu kepunyaan Allah.” “Berkata memang mudah,”balas Bujang.”Pokok-pangkalnya bergantung pada niat.Jika niat kita baik,Alhamdulillah.Tetapi,syaitan amat bijak menipu manusia.Perbuatan yang jahat dan buruk dihiasinya supaya nampak baik dan indah.Sedangkan Nabi kita yang maasum pun kerap diganggu syaitan,inikan pula kita manusia biasa.” “Barangkali benar juga kata Panglima,”Panglima Berantai memandang ke arah angkatan perang Johor yang berlabuh di tengah laut.”Kami sering membuat pertunjukan untuk menarik minat orang.Tidak mustahil syaitan akan menyelit di dalam hati supaya timbul perasaan yang tidak elok itu.Niat kami baik tetapi caranya kurang baik.” “Maafkan hamba kerana cuba menunjuk-ajar Datuk Panglima yang terlebih dahulu makan garam dari hamba,”Bujang memohon dengan penuh keikhlasan. “Kalau untuk kebaikan,hamba berlapang dada dan terima dengan hati yang terbuka,”balas Panglima Berantai dengan jujur.”Bertuah bumi Johor mendapat seorang hulubalang seperti Panglima.Sampaikan salam hamba dan Yang Mulia Raja Hitam kepada Sultan Johor. Rokan masih ingin bernaung di bawah panji-panji kedaulatan Johor. Insyaallah,sebulan-dua lagi kami akan belayar ke sana mempersembahkan ufti.” “Alhamdulillah,”Bujang melihat semua orang-orang sudah bersedia dalam perahu.”Maafkan hamba kerana mungkir janji.” “Mungkir janji?”tanya Panglima Berantai kehairanan. Bujang hanya mengeluh sambil memandang ke tengah laut. “Sebenarnya Panglima Agung berjanji akan menjalankan pekerjaan ini tanpa menumpahkan setitik darah jua pun,”jawab Lela Wangsa.”Malang sekali,bukan setitik,malah banyak darah yang tumpah ke bumi pada hari ini.” “Apa nak dikesalkan,Panglima Agung,”Panglima Berantai memegang bahu Bujang.”Bukan salah Panglima,salah anak buah hamba juga yang terlalu menurut nafsu. Lupakan saja apa yang berlaku.Anggaplah ini sebagai takdir yang tak dapat ditolak lagi.” Bujang mengangguk lalu menghulur tangan bersalam,”Panjang umur,insyaAllah kita akan berjumpa lagi,Datuk Panglima,”suara Bujang tertahan-tahan.”Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”suara Panglima Berantai agak sebak. Perpisahan mereka jauh bezanya dengan pertemuan mereka pagi tadi. Setelah Lela Wangsa dan Raja Negara bersalam dengan Panglima Berantai,Bujang pun terus ke perahu mereka.Enam puluh buah perahu kembali ke kapal masing-masing,membawa satu mayat dan seorang rakan mereka yang terkorban. Di atas lancang,anak buah Bujang juga tidak banyak bercakap,seolah-olah turut bersedih di atas kejadian berdarah yang baru berlaku.Bujang sendiri tercegat memandang ke tanah Rokan yang banyak meninggalkan kenangan.Dalam satu segi pekerjaannya itu boleh dianggap berhasil kerana Rokan dan Johor kembali berdamai.Namun,perdamaian itu terlalu mahal harganya kerana telah memakan korban yang banyak.Apa boleh buat,dia hanya mampu merancang,Allah jua yang menentukannya. Nakhoda Kintan nampaknya faham benar kehendak Bujang.Tanpa menunggu perintah,dia terus mengarahkan anak buahnya membongkar sauh belayar pulang. Sebaik sahaja lancang itu bergerak dipukul angin,lain-lain kapal dalam angkatan perang itu mula mengekori mereka. Lantaran terlalu sibuk dengan pekerjaannya,Bujang nyaris-nyaris terlupa pada pesanan Chendana supaya mencari daging pelanduk jantan.Dengan segera dia menghampiri Nakhoda Kintan yang sedang mengawasi Jurumudi menjaga haluan lancang. “Tuan Nakhoda,”pinta Bujang.”Isteri hamba mengidam hendak makan daging pelanduk jantan.Boleh kita singgah di mana-mana untuk berburu?” Nakhoda Kintan tersenyum.”Hamba faham,Panglima.Kehendak perempuan mesti dituruti. Kalau tidak kempunan pula,”balasnya.”Kita boleh singgah di Pulau Bengkalis dekat sini. Tapi hamba rasa Pulau Karimun lebih sesuai kerana di situ masih banyak hutan belantara.” “Ikut suka Tuan Nakhodalah,”Bujang bersetuju.”Hamba mengikut sahaja.” “Kalau begitu,Panglima tak perlu naik ke darat,”ujar Nakhoda Kintan.”Nanti hamba kerahkan dua-tiga orang anak buah hamba pergi memburu di sana.Panglima tentu penat,berihatlah.” “Baiklah,”akur Bujang.”Berterima kasih hamba pada Tuan Nakhoda.” Sepanjang pelayaran balik,Bujang lebih banyak menghabiskan masa terperap dalam kurung-nya dengan sembahyang sunat,membaca kitab suci Al-Qur’an dan berzikir.Kenangannya dihantui oleh peristiwa di istana Raja Hitam dan pertempuran di pantai Rokan yang telah meragut banyak nyawa.Di samping itu,dia sering terkenangkan pada Chendana dan merasa tidak sabar-sabar lagi hendak bertemu dengan isterinya.Kalaulah dia bersayap,mahu dia terbang balik ke Kampung Panchor di saat itu juga.Entah kenapa,berbagai gambaran buruk terlintas dalam hatinya.Dia beristighfar banyak-banyak dan minta dijauhi segala mala petaka.Makan-minumnya dihantar oleh Lela Wangsa yang setia.Sekali-sekala dia keluar juga mengambil angin di geladak dan berbual-bual kosong dengan sahabatnya itu tetapi dia lebih suka mengurung diri dan hanyut dalam dunianya sendiri.Bila Nakhoda Kintan memaklumkan bahawa mereka berjaya menjerat seekor pelantuk jantan,menyembelihnya dan menyalainya, Bujang hanya sekadar mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Perubahan perangainya itu disedari oleh awak-awak,pendekar serta hulubalang tetapi ramai berpendapat bahawa dia masih lagi bersedih dan berkabung di atas kejadian berdarah di Rokan itu.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now