Bab 22

283 13 0
                                    

Di luar,suara riuh-rendah dan hingar-bingar masih berterusan.Kartini terperanjat besar,dan nyaris-nyaris menjerit,bila melihat Bujang keluar dari kawah panas itu dalam keadaan basah-kuyup.Abang dan kakak iparnya turut terkejut. "Waduh,kulo ini manusia atau dewata?"Adi sempat bertanya penuh kagum. Bujang tidak menjawab,sebaliknya bergegas ke jendela dan mengintai ke luar. "Mereka sudah pergi,"beritahu Kartini sambil mendekati Bujang."Tapi keadaan belum cukup selamat.Tunggulah malam nanti." "Tuan berihatlah dulu,"pelawa Adi pula."Biar sahaya pergi tengok-tengok.Kalau semua sudah beres,sahaya akan balik beritahu tuan." Bujang hanya mengangguk.Adi membuka pintu dan terus keluar,Milah lekas mengunci pintu itu dari dalam.Bujang ternampak kampitnya tersorok di bawah para.Dia pun pergi hendak mengambil kampit itu.Tiba-tiba kakinya terpijak kesan-kesan air panas tertumpah di tepi kawah."Panasnya,"Bujang terlompat."Capal hamba hilang ketika lari tadi." "Panas?"Kartini kehairanan."Tadi tuan masuk ke dalam kawah,tak panas pun." "Tadi waktu darurat,"jawab Bujang ringkas sambil mencapai kampitnya. "Tuan pergilah tukar pakaian yang basah itu,"pelawa Milah pula."Kalau nak sembahyang, gunalah bilik suami sahaya." "Tak payahlah panggil hamba tuan,"Bujang menegur."Nama hamba Bujang.Hamba bergelar Panglima Agung." "Panglima Agung?"Kartini nyaris-nyaris menjerit kesukaan."Panglimalah yang kami tunggu-tunggu selama ini. Kami ada menerima khabar mengatakan...." "Kartini,biarlah Panglima berihat dulu,"Milah cepat-cepat mencelah."Panglima tentu penat." "Terima kasih,"ucap Bujang sambil menuju ke bilik air untuk menukar pakaiannya. Malam itu,Kartini semakin gelisah.Abangnya belum lagi balik-balik sejak tengah hari tadi. Kakak iparnya pula sudah balik ke rumah mereka tidak jauh dari situ.Tinggal dia berdua-duaan bersama panglima dari Kedah itu.Lilin sudah dinyalakan.Air dalam kawah sudah lama sejuk.Sekejap dia duduk menunggu di atas sebuah bangku,sekejap pula dia mundar-mandir dalam warong itu tanpa tujuan.Perasaannya bercampur-aduk antara gembira dan takut. Dia gembira kerana lelaki idamannya yang dicari-cari selama ini sudah menjelma dalam hidup-nya.Diam-diam dia mengakui hatinya memang tertawan pada ketampanan dan sifat-sifat kejantanan Bujang.Tambahan pula,umur mereka lebih-kurang sama.Tetapi,dia takut kalau-kalau cintanya ditolak.Dia tidak peduli jika Bujang sudah beristeri.Pokoknya,dia rela bermadu asalkan cita-citanya tercapai. Bujang keluar dari bilik,siap berpakaian seperti pemuda kampung,sambil menggalas kampit barunya.Kartini tersenyum simpul melihat kedatangan kekasihnya itu. "Mana pakaian hamba yang basah tadi?"tanya Bujang sambil menyimpan kedua-dua bilah kerisnya ke dalam kampit. "Kakak hamba bawa pulang ke rumah kami untuk dibasuh,"Kartini mencuri-curi melihat Bujang."Rumah kami di Pantai Kundur,tak jauh dari sini." "Abang cik puan belum kembali?'Bujang memandang ke arah pintu. "Belum,"sambut Kartini."Janganlah panggil hamba cik puan.Hamba sebatang karah,tidak ada suami.Kami sudah lama bercerai.Sudah tiga tahun."Kartini melerek penuh makna."Tinggallah di rumah kami buat semalam-dua sehingga keadaan sudah selamat." "Hamba tidak boleh berlama di Melaka,"Bujang menolak pelawaan itu."Pekerjaan hamba belum selesai.Hamba diminta mengambil kunci khazanah dari kumpulan Awang Kerambit." "Kunci khazanah?"Kartini berpura-pura terkejut. "Kunci perbendaharaan Angkatan Fisabillah,"Bujang menerangkan."Sebagai ketua,hamba diamanah menyimpannya.Namun,buat masa ini,kunci itu ada pada ketua kumpulan Awang Kerambit." "Panglima kenal siapa ketuanya?"tanya Kartini. "Belum,"Bujang duduk di atas bangku di sebelah Kartini. "Hamba sendiri tidak kenal,"Kartini pura-pura menafikan."Tapi kumpulannya kerap merompak kapal dagang yang belayar di sekitar Singapura dan Selat Teberau. Carilah mereka di sana." "Memang itu tujuan hamba,"tegas Bujang."Dengan adanya kunci itu,bolehlah hamba mengatur rancangan memerangi Kompeni Belanda." "Kunci itu tidak ada pada mereka,"akhirnya Kartini berterus-terang."Hamba yang disuruh menyimpannya oleh Awang Kerambit dan diminta diserahkan pada Panglima." Ketika Bujang masih terpinga-pinga memandang Kartini,Kartini terus menyelak rambutnya yang panjang terhurai itu,mendedahkan leher yang jenjang dan putih melepak.Seutas kalung emas yang tergantung pada leher itu dikeluarkan,diberikan pada Bujang. Jari mereka bersentuhan,mata bertentang mata.Tersirap darah muda Bujang,sudah beberapa hari dia tidak menjamah kehangatan tubuh isterinya Tunku Balqis.Hati Kartini berdebar-debar kencang,keinginannya memuncak setelah tiga tahun hidup menjanda. Bujang segera menerima kalung emas itu untuk menyembunyikan perasaanya. "Hamba hanya perlukan kuncinya,"ujar Bujang perlahan setelah membuka kalung itu dan mengambil kunci tersebut.Kalung emas itu diserahkan kembali kepada Kartini.Kali ini dipastikan tangan mereka tidak bersentuh lagi.Kunci itu disimpan di dalam saku tali pinggang kulit yang terdapat dalam kampitnya.Kartini hanya tunduk,mukanya merah padam menahan perasaan yang bergelora. Bujang bangun menuju ke jendela.Jendela itu dikuak sedikit.Dijenguknya keluar,memerhati suasana pasar yang masih dikunjungi ramai walaupun hari sudah malam.Lampu dan pelita dipasang di merata tempat untuk menerangi kawasan itu.Hidungnya tercium bau makanan dari gerai-gerai di situ.Perutnya terasa berkeroncong. "Panglima lapar?"tanya Kartini seolah-olah dapat membaca isi hati Bujang.Tanpa menunggu jawapan,dia lantas bangun mengambil dompet wangnya yang terletak di atas para."Biar hamba padamkan lampu dan kunci warong ini,lepas itu kita pergi makan." Bujang mengikut sahaja kehendak Kartini tanpa membantah atau menolak. "Sejak bila Kartini turut-serta dalam perjuangan ini?"tanya Bujang pada Kartini ketika mereka makan di sebuah gerai di pinggir laut. "Sejak hamba bercerai dengan suami hamba di Tanah Jawa,"jelas Kartini tanpa berselindung lagi."Hamba berpindah ke Melaka mengikut abang hamba Dahari.Di sini,tugas hamba ialah mencari maklumat tentang kegiatan Belanda untuk disampaikan kepada Awang Kerambit." "Jadi,Kartini memang kenal siapa Awang Kerambit,"Bujang meneka. "Tidak,hamba tak kenal,"Kartini menafikan."Segala maklumat disampaikan melalui orang tengah.Mereka sering bertukar orang supaya tidak dapat dikesan.Kami menggunakan tanda-tanda tertentu supaya mudah dikenali.Tempat perjumpaan kami ialah di hadapan bangunan stadhuys." "Bangunan apa?"tanya Bujang kehairanan kerana itulah kali pertama mendengarnya. "Bangunan bercat putih berhampiran dengan kota,"Kartini menjelaskan."Di situlah Gabenor Melaka menjadikan rumahnya dan juga pejabatnya.Dikawal rapi siang dan malam.Tuan Mandulika juga tinggal di sana." Bujang diam,segala maklumat itu disimpan dalam hatinya. "Sayang sekali,selepas ini hamba terpaksa keluar dari angkatan kita,"kata Kartini. "Kenpa pula begitu?"Bujang terkejut."Kartini hendak ke mana?" "Menjadi seorang isteri dan suri rumah,"Kartini memasukkan jarumnya."Sudah lama sangat hamba hidup menjanda.Teringin juga bersuami lagi." "Sudah ada calonnya?"Bujang cuba mencungkil rahsia. "Sudah,"balas Kartini,melerek pada Bujang. "Orang jauh atau orang dekat?"tanya Bujang lagi,lerekan Kartini tidak dilihatnya. "Nak dikatakan jauh orangnya dekat,nak dikatakan dekat orangnya jauh,"Kartini menjawab penuh teka-teki sambil memerhati Bujang dari ekor matanya."Orang ini baru sahaja hamba kenali tetapi entah kenapa hati hamba sudah tertarik padanya.Kalau ada jodoh,hamba sedia menerimanya sebagai suami hamba yang sah." "Perkahwinan memerlukan percintaan,"Bujang menegaskan."Tiada ertinya berkahwin kalau tiada rasa cinta dan kasih-sayang." "Apakah Panglima bercinta sebelum berkahwin?"Kartini pula cuba mencungkil rahsia. Bujang tertawa kecil."Hamba pun sebenarnya berkahwin seperti bidan terjun,"Bujang mendedahkan."Maklumlah,waktu itu kami sedang berperang.Hamba berkahwin dengan tiga orang serentak." "Tiga orang?"Kartini tersedak."Waduh,hebatnya!" "Ini bukan perihal hebat,"Bujang membela diri."Untuk menyelamatkan diri dari perbuatan zina,itulah jalan yang terbaik di saat itu." "Ya,"Kartini bersetuju."Jalan yang terbaik untuk kita salurkan nafsu kita secara halal." "Carilah lelaki yang sesuai,"Bujang menolak dengan lembut."Di Melaka ini tentu ramai lagi lelaki seperti hamba,apa lagi yang masih teruna." "Jadi,Panglima merasa seperti hamba merasa?"Kartini terasa malu pada diri sendiri. "Kita manusia biasa,ada nafsu dan perasaan,"Bujang mengulas."Tapi ingatlah,ikut hati mati,ikut nafsu lesu,ikut rasa binasa." "Panglima hendak bermalam di mana?"tanya Kartini setelah diam sejenak. "Kalau boleh,hamba ingin terus belayar ke Johor malam ini juga,"balas Bujang. "Hamba kenal seorang juragan di pelabuhan,"Kartini membuka peluang."Orang memanggil-nya Daeng Gondrong.Dia saudagar rempah yang kerap berulang-alik antara Melaka dengan Tanah Bugis.Kapalnya 'Macan Laut' ada berlabuh di sana tetapi hamba tak tahu bila dia akan belayar." "Inilah peluang yang ditunggu-tunggu,"ujar Bujang,gembira dengan perubahan nasibnya. "Panglima tunggu di sini dulu,jangan ke mana-mana,"Kartini berpesan."Selepas makan,hamba akan pergi bertanya di pengkalan kalau-kalau ada perahu atau sampan yang boleh dipinjam atau disewa.Mana tahu kalau-kalau ada mata-mata yang kenal Panglima." "Dengan pakaian seperti ini,masakan hamba dikenali,"kata Bujang."Lagipun,hamba tidak memakai sebarang senjata." "Tidak salah kita berwaspada,'kan?"bidas Kartini."Inilah sahaja yang mampu hamba bantu. Selepas berpisah,kita tidak mungkin berjumpa lagi." "Hamba terhutang budi pada Kartini kerana banyak membantu hamba,"Bujang ucapkan dengan penuh keikhlasan."Hutang emas boleh dibayar,hutang budi dibawa mati." "Kalau roboh kota Melaka,papan di Jawa hamba dirikan,kalau sungguh bagai dikata,badan dan nyawa hamba serahkan,"Kartini menjawab penuh erti."Kalau Panglima sudah belayar nanti, ingatlah di sini bahawa hamba sentiasa menanti dan mengharap." - "Menanti dan mengharap...menanti dan mengharap...menanti dan mengharap.....!"- Kata-kata Kartini itu masih bermain dalam fikiran Bujang ketika dia terbaring cuba melelap-kan mata malam itu di atas geladak kapal Daeng Gondrong.Dia segera bangun.Beberapa orang anak kapal masih berborak kosong tidak jauh dari situ sambil bermain judi.Oleh kerana dia tidak memahami percakapan mereka,dia tidak berani bergaul dengan mereka.Kapal itu baru sahaja mengangkat sauh dan meninggalkan pelabuhan Kota Melaka.Bujang beredar ke buritan kapal,kampitnya tidak lupa dibawa bersama.Dia memandang ke arah Kota Melaka yang sudah jauh ditinggalkan.Dia pun duduk bersandar pada tiang layar sambil meriba kampitnya,kenangannya pada Kartini masih mengganggu fikirannya.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now