Andaikata mereka bertemu tengah hari itu,pasti berbeza perjalanan hidup yang ditempuhi mereka.Tiba di kamar tumpangan,Bujang mengambil peluang melelapkan mata ketika ketiadaan Kartini.Di pengkalan,Lela Wangsa sedia menyambut kedatangan Chendana, Temenggung dan ayahnya Tun Lela Pahlawan ke lancang untuk belayar balik ke Batu Sawar. Kartini pula singgah menjamu selera di kedai abangnya,diperhati oleh Seri Bija Diraja dari kedai sebelah. “Siang tadi Kartini bertemu kenalan lama,”kata Kartini dalam pelukan suaminya.Penatnya sudah reda selepas berhempas-pulas melayani nafsu masing-masing.”Katanya dia ada terlihat seorang perempuan Melayu seperti rupa Chendana diheret ke kapal Tuan Jourdain.Kapal itu sudah pun belayar ke Jayakarta.” Bujang bangun menyarungkan kainnya menuju ke jendela.Jendela itu dikuak luas-luas, membiarkan angin malam dari laut menyerbu masuk.Dia memerhati kapal-kapal yang berlabuh sepi di pengkalan. “Abang masih ingin terus mencari Chendana?”Kartini juga bangun berkemban kain. “Chendana isteri abang,”Bujang menjawab ringkas. Kartini beredar ke meja solek untuk menyisir rambutnya yang kusut masai. “Kartini juga isteri abang,”balas Kartini,suaranya bernada cemburu. “Chendana masih ditawan,”Bujang menegaskan”Abang suaminya.Dayus kalau abang hanya berpeluk tubuh.” “Kartini tak hendak ikut,”bangkang Kartini sambil menyikat rambutnya.”Kartini hendak tunggu di Melaka .Abang pergilah seorang.” “Terpulanglah,”Bujang tidak berminat hendak bertekak dengan isterinya.Dia menyarungkan baju dan mencapai kain basahan menuju ke perigi di belakang.Kartini tidak menyedari akan perubahan perangai suaminya.Dia terlalu asyik mendandan dirinya.Selepas menyikat rambut, dibuat sanggul lintang pula.Lama juga dia mengemas sanggulnya mencari bentuk yang sesuai dengan rupanya yang bujur sirih.Puas hati,dia menyapu bedak sejuk ke seluruh mukanya. Bujang kembali tidak lama kemudian.Dia sudah pun mandi. “Kata orang,tak elok mandi malam,”Kartini menegur suaminya,cuba membuat jenaka.”Lemah saraf. Nanti Kartini juga yang rugi.” Bujang mula menyarungkan pakaian pendekar,jenaka isterinya tidak dilayan. “Kami perempuan Jawa senantiasa makan jamu demi mengekalkan kebahagiaan hubungan suami-isteri,”Kartini mengatakan dengan bangga.”Kaum pria pula makan makjun.” “Mengapa Kartini bohong pada abang?”tanya Bujang sambil memakai bengkung kulit. “Bohong?”wajah Kartini berubah.”Apa maksud abang?” “Kartini mengatakan kapal Helang Laut sudah belayar ke Betawi,”Bujang menyelit dua kerambitnya di celah bengkung.”Siang tadi abang terserempak dengan anak buah Nakhoda Mamat di pengkalan.Kapal itu masih berlabuh dan akan belayar besok pagi.” “Mungkin Kartini tersalah dengar nama kapal itu,”Kartini masih bermuka-muka. “Mana kunci lagi satu?”Bujang bertanya lagi,menyisipkan keris pendek ke pinggang. “Kunci?”Kartini berpura-pura tidak faham. “Kunci khazanah angkatan Fisabillah,”Bujang memakai baju layangnya.”Ada satu lagi kunci dalam simpanan Kartini.Kunci pada peti besi yang tertanam dekat makam Sheikh Ismail di Pulau Besar.” “Bagaimana abang tahu semua ini?Abang guna ilmu?”tanya Kartini balik. “Memang sudah diberitahu awal-awal lagi,”Bujang mendedahkan sambil mengenakan dastar-nya.”Kuncinya ada dua.Kartini hanya serahkan satu kunci.” “Memang Kartini hendak serahkan,”balas Kartini.”Kartini terlupa.” Kartini bangun menuju ke tempat simpanan barang-barangnya,menyambil sebatang kunci tembaga lalu menyerahkan kepada suaminya.Bujang menyimpan kunci itu di dalam saku kecil di bengkung kulitnya. “Abang nak ke mana malam-malam ini?”tanya Kartini kehairanan melihat suaminya mula mengemas kampitnya.”Nak belayar ke Betawi?” “Betul Kartini tidak mahu ikut abang?”Bujang bertanya kembali. “Hampir sepuluh tahun Kartini meninggalkan Tanah Jawa,”jawab Kartini.”Agar tidak timbul gara-gara,Kartini bersumpah tidak akan memijak tanah leluhor itu lagi.” “Baiklah,”Bujang menutup kampit dan menggalasnya.”Abang ada pekerjaan penting. Kepulangan abang jangan ditunggu.” “Tapi….,”Kartini cuba menahan suaminya.Tanpa menghiraukan rayuan isterinya,Bujang terus keluar dari kamar penginapan itu. Dia keluar dari kawasan rumah penginapan dan terus ke pengkalan.Beberapa orang anak buah Nakhoda Mamat sudah menunggu dengan dua buah perahu,membawa peralatan yang diperlukan. “Mana Nakhoda Mamat?”tanya Bujang sambil menaiki salah sebuah perahu itu. “Tuan Nakhoda menunggu Panglima di Pulau Besar,”jawab seorang awak-awak. “Ayuh,kita mulakan sekarang,”perintah Bujang.”Pekerjaan ini mesti selesai sebelum subuh.” Dua perahu itu pun segera didayung meninggalkan pengkalan menuju ke Pulau Besar di dalam kegelapan itu.Masing-masing diam membisu,memandangkan tempat tujuan mereka ialah sebuah makam ulama yang dipercayai banyak keramatnya.Kira-kira sepenanak nasi kemudian, sampailah mereka di sebuah kawasan pantai yang terpencil di pulau itu.Mereka naik ke darat membawa peralatan masing-masing. “Makam keramat itu ada di sana,Panglima,”seorang anak kapal menunjuk ke darat lagi. “Kamu berempat tunggu di sini,”Bujang menyerahkan dua pistol yang diambil dari kampit-nya.”Awasi kalau-kalau ada orang lain datang.Yang lain ikut hamba.” Dalam kegelapan itu,Bujang mengikut beberapa orang anak kapal ke makam yang dimaksud-kan.Bulan tua yang baru hendak terbit sedikit sebanyak membantu mereka menerangi kawasan yang jarang dimasuki manusia itu.Nakhoda Mamat bersama beberapa orang lagi anak kapal sudah menunggu berhampiran sebuah nisan batu yang dibalut kain kuning. “Kami sudah bersedia,Panglima,”kata Nakhoda Mamat dengan perlahan,takut kalau-kalau suaranya didengari oleh penduduk ghaib di pulau keramat itu. Bujang memerhati kawasan sekitar,mengambil arah matahari terbit dan arah matahari terbenam.Dia menghampiri batu nisan itu lalu berdiri di sebelahnya,yang lain-lain tidak berganjak dari tempat masing-masing.Dia bertafakur sebentar di dalam kegelapan yang agak menyeramkan itu.Dengan lafaz bismillah,dia melangkah sepuluh tapak tepat menghala ke arah matahari terbenam dan berhenti di situ.Lama juga dia berhenti di situ,matanya dipejam. Nakhoda Mamat dan anak buahnya tidak bersuara,hanya memerhati dengan teliti setiap gerakgeri Bujang.Tiba-tiba terdengar bunyi harimau mengaum kuat,menyebabkan dua-tiga orang nyaris-nyaris melarikan diri.Kemudian diikuti oleh suara perempuan mengilai meremangkan bulu roma,berselang-seli dengan bunyi bayi menangis,bunyi anjing melolong dan bunyi sesuatu mencakar tanah.Bujang menepuk tangannya ,sekali gus semua bunyi yang menakutkan itu hilang lenyap. “Gali di sini,”perintah Bujang,menuding dengan jarinya. Tanpa berlengah,semua anak buah Nakhoda Mamat tampil dengan cangkul serta lain-lain peralatan untuk memulakan kerja-kerja menggali.Bujang berundur ke sisi Nakhoda Mamat dan membiarkan mereka dengan pekerjaan itu.Tidak ada yang bersuara,hanya kedengaran tanah digali tidak henti-henti.Keringat dingin mengalir dari badan mereka kerana keletihan dan juga ketakutan..Tidak lama kemudian,mereka berjaya mengeluarkan sebuah peti kayu yang dilapisi kepingan besi waja sebesar keranda kanak-kanak.Mereka segera mengusung peti itu lalu diletakkan di hadapan Bujang untuk dibuka. “Bersihkan dan bawa ke kapal,”Bujang tidak jadi membuka peti itu.Dia menghampiri lubang di mana peti itu dikeluarkan.Dicampakkan sekeping wang emas ke dalam lubang itu. “Kambus balik lubangnya,”perintahnya kepada anak-anak kapal.Lubang itu segera dikambus dan diratakan seperti sediakala. Ketika dinihari,peti yang sudah dibersihkan oleh selamat berada di atas geladak,diletak di atas kain kuning.Semua anak kapal berkeliaran di sekitar peti itu,menunggu Bujang membuka-nya dengan anak kunci.Bujang masih tercegat berpeluk tubuh memandang sayup ke arah Pulau Besar yang samar-samar.Nakhoda Mamat berdiri di sebelahnya,menunggu perintah seterusnya. Dalam perkara ini,mereka nampaknya menyerahkan bulat-bulat kepada Bujang tanpa yang berani membantah atau bersoal-jawab. “Semua anak kapal sudah bersedia,Tuan Nakhoda?”tanya Bujang tanpa menoleh. “Sudah,Panglima,”lekas-lekas Nakhoda Mamat menjawab. “Kalau begitu,eloklah kita belayar sekarang,”Bujang membuat keputusan. “Baik,Panglima,”Nakhoda Mamat patuh pada Bujang seperti patuhnya murid pada gurunya. Ketika Nakhoda Mamat memberi perintah supaya dibongkar sauh dan belayar,Bujang masuk ke kurungnya di sebelah tempat Jurumudi.Dinihari itu,Khamis 26 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 19 Oktober 1652 Masehi,kapal Helang Laut belayar meninggalkan pengkalan Kota Melaka menuju ke Betawi.Bujang mengambil wuduk untuk mengerjakan sembahyang tahajud dan witir sementara menunggu masuknya waktu subuh. Tengah hari itu mereka belayar menyusuri perairan Sumatera.Peti kayu yang dipercayai mengandungi harta karun dibiarkan begitu sahaja di tengah geladak,tiada siapa berani mengusiknya walaupun beberapa orang masih berkerumun di situ. “Itu Gunung Merapi,Panglima,”Nakhoda Mamat menuding dengan jarinya apabila ditanya oleh Bujang.”Di sebelahnya Gunung Kerinchi. Kedua-dua gunung itu menjadi mercu tanda kalau kita belayar dari arah Melaka.Yang memanjang itu ialah Banjaran Barisan.” “Ada apa di sebalik banjaran itu?”Bujang bertanya ingin tahu. “Ada beberapa kerajaan kecil di sebelah sana,”Nakhoda Mamat tidak lokek berkongsi ilmu dengan Bujang.”Antaranya Langkat,Barus,Pagar Ruyong,Inderapura dan Bangkahulu. Di sebelah sini,kita akan belayar melalui pantai Inderagiri,Jambi dan Palembang.” “Jauh lagikah Betawi dari sini?”Bujang meninjau ke hadapan dari tempat Jurumudi. “Kalau tiada aral,minggu depan sampailah kita,”jelas Nakhoda Mamat.”Hamba sengaja belayar berhampiran pantai supaya mengelak dari terkena tempias angin tengkujuh.Tapi,kena berhati-hati kalau-kalau terdapat batu karang atau beting pasir.” Bujang mengangguk,pengetahuan itu disimpan di dalam kotak fikirannya. “Sekarang ini kawasan perairan tak berapa aman,”Nakhoda Mamat bercerita pula untuk mengisi masa lapang.”Sultan Kedah yang baru memang bencikan Belanda.Baru-baru ini baginda dan orang-orang Kedah menyerang dan membakar semua gudang Belanda. Tuan Joan Truitjman turut ditawan dan diminta wang tebusan.” Bujang terbayangkan wajah abang iparnya Raja Muda Mahmud yang kini menjadi Sultan Kedah.Sepatutnya dia bersama orang-orang Kedah membantu baginda menghalau Belanda dari Negeri Jelapang Padi itu.Sebaliknya,dia berada jauh dari bumi Kedah,mencari isterinya yang entah apa kesudahannya. Sebagai Imam Khalifah angkatan Fisabilillah,dia merasa bersalah juga kerana tidak berada di sisi rakan-rakan lain dalam perang jihad ini. “Ada khabar angin yang bertiup mengatakan Johor dan Jambi juga akan berperang,”Nakhoda Mamat menyampaikan.”Puncanya kerana Raja Muda Johor membatalkan pertunangannya dengan anak Raja Jambi.Apa nak jadi dengan orang-orang Melayu sekarang.” “Siapa yang mengetuai angkatan perang Johor?”tanya Bujang. “Khabarnya Paduka Raja Laksamana,”jelas Nakhoda Mamat.”Orang Kaya Temenggung tidak dapat turut serta kerana masih kurang sihat. Kena angin ahmar.” Bujang tersenyum mendengar alasan bapa mertuanya itu.Kali terakhir,bapa mertuanya itu sihat wal afiat,luka dipahanya juga hampir sembuh.Bapa mertuanya mengambil langkah bijak tidak mahu campur tangan dalam pertelingkahan antara Johor dengan Jambi.Dia berharap rakan-rakannya di Johor juga tidak terlibat dalam peperangan hanya semata-mata kerana seorang perempuan.Singkat betul fikiran sultan-sultan Melayu. “Nampaknya anak buah hamba semakin gelisah,”Nakhoda Mamat menuding ke arah anak-anak kapal yang berkerumun dekat peti itu.”Mereka tak sabar-sabar lagi ingin melihat apa yang ada dalam peti itu. Kalau mengikut Undang-undang Laut Melaka,mereka juga berhak mendapat habuan masing-masing.” “Harta itu untuk tujuan peperangan,”Bujang menegaskan, membunuh harapan Nakhoda Mamat.”Hamba sebagai pemegang amanah tidak boleh menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Inilah janji dan sumpah hamba.” “Tapi,harta karun mesti dibahagi dua,satu bahagian untuk nakhoda dan satu bahagian lagi dikongsi sama rata dengan anak kapal,”bantah Nakhoda Mamat.”Hamba bukan tamak,tapi peraturan itu sudah termaktub dalam Undang-undang Laut Melaka.” “Harta rampasan perang bukan harta karun,”tegas Bujang lagi.”Sementelah lagi,undang-undang itu sudah berusia lebih dua ratus tahun.Kerajaan Melaka pun sudah lama hancur.” “Jadi,apa rancangan Panglima?”tanya Nakhoda Mamat,perasaannya meluap ingin tahu. “Beginilah,”Bujang memilih jalan terbaik.”Segala penat-lelah Tuan Nakhoda serta anak kapal semua akan hamba berikan balasan yang setimpal.Selebihnya hamba simpan sebagai harta perbendaharaan kami. Hamba yang bertanggung-jawab di akhirat kelak.” Mendengar penerangan Bujang yang panjang-lebar itu,Nakhoda Mamat terdiam. Dia hanya menganggguk tanda bersetuju dengan keputusan Bujang. Petang itu setelah matahari tidak lagi terik,baru Bujang keluar dari kurungnya menghampiri peti kayu dengan membawa anak kuncinya.Nakhoda Mamat yang sedang berbual-bual kosong dengan Jurumudi bergegas mengekori Bujang.Begitu juga dengan anak-anak kapal yang tidak bertugas,masing-masing mengerumuni tempat itu seperti semut menghurungi gula. Bujang menyerahkan kunci itu kepada Nakhoda Mamat sebagai merasmikan pembukaannya. “Awang Sulong,”Nakhoda Mamat memanggil pula ketua anak kapal.”Kau tolong buka peti harta ini.”Awang Sulong pun tampil ke hadapan dengan sukacita untuk membuka perti itu. “Agaknya berapa banyak semua harta ini,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat. Bujang tersenyum tawar.”Burung terbang jangan dipipiskan lada,”katanya tenang.”Berbunyi guruh di langit,belum tentu hujan akan turun.” Nakhoda Mamat dan semua anak kapal terpinga-pinga,tidak memahami maksud kata-kata Bujang itu.Bila Awang Sulong berjaya membuka peti itu,mereka semua terperanjat melihat peti itu kosong.Mereka tidak percaya dengan apa yang dilihat. “Tak mungkin kosong,”rungut seorang anak kapal.”Semalam peti ini berat sungguh.” “Kalau berat,tentu ada isinya,”balas rakannya pula sambil mengangkat peti yang ringan itu. “Kalau tak ada,ke mana perginya semua harta ini?”rungut pula yang lain. “Nampaknya ayam terlepas,tangan bau tahi,”kata Nakhoda Mamat pada Bujang. Bujang hanya tersenyum tawar melihat tingkah-laku manusia boleh berubah dalam sekelip mata hanya kerana harta dunia yang tidak kekal abadi. “Kami tak puas hati,Panglima,”seorang anak kapal yang besar tinggi tampil mewakili rakan-rakannya.”Kami yang penat-penat menggali,tiba-tiba harta ini hilang. Jangan-jangan Panglima yang mencurinya!” “Bagong!”marah Awang Sulong.”Kau ni badan saja besar tapi tak ada otak!Masa bila Panglima mencurinya?Sejak dari semalam peti ini tidak disentuhnya.”Awang Sulong menjegil ke arah rakan-rakan lain.”Ada sesiapa nampak Panglima kemari sebelum ini?Cakap!” Tiba-tiba Bujang merasa jijik dengan apa yang berlaku. “Manusia,”keluhnya sambil menutup kembali peti itu.”Baru diuji sedikit dengan kekayaan, sudah bertukar rupa.Ini semua daki dunia.” Bujang mengangkat sedikit peti itu,kemudian melepasnya ke lantai geladak.Peti itu kedengaran seperti padat berisi sesuatu. “Tuan Nakhoda,”perintah Bujang.”Ambillah separuh dari harta kekayaan ini,berkongsi dengan semua anak kapal.” Bujang pun kembali ke kurungnya tanpa menoleh lagi. Setelah melihat Bujang sudah masuk ke kurung,beberapa orang anak kapal tidak menunggu arahan lagi,terus membuka peti itu.Tampak pada mereka peti itu penuh dengan wang emas dari berbagai tempat.Mereka semua terperanjat.Ada yang memegang dan memeriksa wang itu untuk mempastikan kejadian itu benar-benar berlaku dan bukan sihir. Awang Sulong menggelengkan kepala,sedih dengan kejadian yang baru berlaku. “Apa lagi,Tuan,?”katanya pada Nakhoda Mamat.”Ambil sajalah dan bahagikan sama adil sama rata.Bahagian hamba,hamba tak mahu.” Tiba-tiba,suasana riang bertukar menjadi muram.Beberapa das tembakan meriam kedengaran dari arah hadapan kapal mereka.Sebutir peluru kena tepat pada sebatang tiang layar,menyebab-kan tiang itu patah. “Gulong layar!Kita berlabuh!”jerit Nakhoda Mamat.Anak buahnya bertempiaran ke tempat masing-masing untuk melakukan yang diperintah.Bujang juga keluar semula ke geladak untuk melihat apa yang berlaku. “Macam mana ni,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat cemas. Bujang meninjau ke arah beberapa buah kapal yang sedang mengepung mereka. “Eloklah kita menyerah diri,”Bujang menyarankan. “Maksud hamba semua harta itu,”Nakhoda Mamat menuding ke arah wang emas dalam peti. “Harta itu tidak akan ke mana-mana,”Bujang meninjau lagi ke arah kapal-kapal yang semakin hampir.”Siapa gerangan mereka?” “Hamba pun tidak kenal,Panglima,”jawab Nakhoda Mamat,gugup.”Apa kita nak buat?” “Jangan melawan,”pesan Bujang.”Melawan bererti kita mencari nahas.” “Hoi!Kalian semua dari mana?”jerit seorang hulubalang dari sebuah kapal yang paling hampir dengan Helang Laut.” Bujang dan Nakhoda Mamat berlari ke buritan kapal mereka. “Kami saudagar dari Melaka,”Nakhoda Mamat menjerit balas,perasaan gugupnya beransur hilang.”Kami bawa barang dagangan. Kami hendak ke Batavia!” “Kami angkatan perang Jambi,”jerit hulubalang itu.”Kami sedang berperang dengan Johor. Perairan di sekitar Muara Jambi ditutup pada semua kapal luar!Ikut jalan jauh atau patah balik ke Melaka!” “Kami nak cepat ni!”Nakhoda Mamat membangkang. “Kalau bantah,kami bedil!”hulubalang itu mengugut.”Itu baru tiang layar!Sekali lagi,rosak binasa kapal kalian!” “Boleh kami baiki tiang layar yang patah?”tanya Bujang pula. “Kamu siapa?Juragan?”tanya balik hulubalang itu. “Hamba Alang Iskandar dari Acheh,”Bujang menggunakan nama sebenarnya. Hulubalang itu kelihatan berbincang seketika dengan rakan-rakannya. “Baiklah,”balas hulubalang itu.”Kami beri tempoh tiga hari.Hari Ahad kalian mesti nyah dari sini!” “Terima kasih,”jerit Nakhoda Mamat,kemudian memerintah Awang Sulong,”Kumpul semua yang mahir bertukang,kita naik ke darat mencari kayu untuk dibuat tiang layar.” Bujang tidak melepaskan kesempatan itu.Dia terus kembali ke kurung mengemas barang-barangnya,termasuk buku catatan sudah menjadi teman setianya.Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam kampit.Dia keluar menggalas kampitnya menunggu di geladak. “Panglima,biar hamba masukkan bahagian Panglima ke dalam kampit itu,”pinta Awang Sulong,menuding pada wang emas dalam peti yang terdedah dan tidak diendahkan lagi kerana masing-masing sibuk.Tanpa membantah,Bujang menyerahkan sahaja kampitnya kepada Awang Sulong. Dia beredar ke pinggir kapal memerhati sampan diturunkan ke air. “Panglima pun hendak ikut kami?”tanya Awang Sulong, menyerahkan semula kampitnya. “Nampaknya begitulah,”Bujang merasa kampitnya terlalu berat,lalu dikeluarkan sepucuk pistol dan diberikan kepada Awang.”Simpanlah,pemberian ikhlas dari hamba.” Awang Sulong menerima pemberian itu dengan senang hati.”Dari mana Panglima dapat ni?” “Dari anjing Belanda yang cuba membunuh hamba,”Bujang menerangkan. Perbualan ringkas mereka terganggu oleh kedatangan Nakhoda Mamat.”Hari sudah hampir senja,”katanya pada Awang Sulong.”Besok pagi sahaja kita naik ke darat.” “Tapi,Tuan,sampan sudah diturunkan ke air,”Awang Sulong membantah. “Tarik balik ke atas,”Nakhoda Mamat berkeras.”Takkan malam-malam nak cari kayu.” “Tidak mengapa,”Bujang menyejukkan hati Awang Sulong yang mula menunjukkan tanda-tanda hendak mengengkari perintah Nakhoda Mamat.”Pekerjaan hamba boleh ditangguh sampai besok pagi.” “Panglima hendak ke mana?”tanya Nakhoda Mamat kehairanan. “Ke Muara Jambi,”jawab Bujang ringkas,menuju ke tangga tali. “Ke sarang musuh?”mata Nakhoda Mamat terbeliak.”Kalau Panglima ke sana samalah seperti Panglima pergi menyerah nyawa. Di atas kapal lebih selamat.” “Berapa lama kita tersadai di sini?”tanya Bujang memandang ke daratan. “Kita diberi tempoh tiga hari,tiga harilah lamanya,”jelas Nakhoda Mamat.”Mencari kayu untuk dibuat tiang layar baru bukannya mudah,Panglima.Kayunya mesti kuat dan tahan lama. Tukang kayu pula perlu teliti supaya kerjanya sempurna.” “Hamba perlu segera ke Betawi sebelum terlambat,”Bujang seperti merayu. “Apa yang boleh kita buat lagi,Panglima?”rungut Nakhoda Mamat.”Sial betul angkatan perang Jambi itu!Kita yang tak terlibat,tiang layar kena bedil!” “Itu nasib baik tiang layar,”sampuk Awang Sulong.”Kalau kapal kita yang dibedil,lagi bertambah malang.” “Awang,kau pergi tolong rakan-rakanmu memotong tiang yang patah itu dan membuangnya ke laut,”Nakhoda Mamat mengusir ketua awak-awaknya dengan cara halus. Menyedari hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong,Awang berlalu dari situ,mukanya mencuba. “Panglima masih mencari isteri Panglima yang hilang itu?”tanya Nakhoda Mamat. Bujang mengangguk.”Kali terakhir,isteri hamba dilihat menaiki kapal Tuan Jourdain.” “Tuan Jourdain?”Nakhoda Mamat berfikir sejenak.”Hamba kenal saudagar Inggeris itu. Dia kemari untuk berniaga.Dia takkan terlibat dengan kerja sia-sia seperti ini.” “Barangkali dia tidak tahu-menahu dalam perkara ini,”Bujang membuat andaian.”Tetapi,ada anak kapalnya yang bersubahat melarikan isteri hamba ke Betawi.” “Bagaimana dengan Daeng Ratna Sari?”Nakhoda Mamat menduga hati Bujang. “Daeng Ratna tidak ada kena-mengena dalam perkara ini,”balas Bujang lalu menggalas kampitnya yang berat itu kembali ke kurung.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...