Pagi-pagi lagi sebaik sahaja selesai sembahyang subuh dan berwirid pada hari Khamis 3 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 26 Oktober 1652 Masehi,Bujang sudah berada di atas geladak memerhati Pelabuhan Betawi yang semakin jelas walaupun diseliputi kabus nipis.Kampit kulit berisi barang-barangnya turut sama dibawanya. Kapal dagang yang ditumpanginya sudah memasuki kawasan pelabuhan. Mulut Nakhoda Mamat bicuk memberi arahan kepada jurumudi dan jurubatu supaya kapal itu dapat dikendalikan dengan selamat tanpa berlanggar dengan ratusan lagi kapal-kapal kecil dan besar yang keluar-masuk dan berlabuh di perairan itu. Kapal-kapal itu datang dari pelbagai tempat dengan pelbagai bentuk dan rupa. Armada Belanda dengan bendera VOC berkibar megah kelihatan di merata tempat untuk menjaga keselamatan pelabuhan tersebut dan juga sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.Kawasan penempatan soldadu Belanda yang dipanggil ‘berek’ juga didirikan di sekitar pelabuhan. Panglima Kahar muncul tidak lama kemudian sambil membimbit buntil pakaiannya. Melihat Bujang,dia pun menghampiri anak saudaranya itu lalu sama-sama memerhati pelabuhan Betawi.Panglima Kahar diam sahaja melihat Kartini tidak ada bersama Bujang.Bujang pula begitu asyik menyoroti setiap wajah di pelabuhan itu,mencari-cari wajah Chendana yang sudah lama tidak ditatapnya. “Tongkang itu membawa barang-barang dari kapal dagang ke Pasar Weltevreden tidak jauh dari pelabuhan,”Panglima Kahar bercerita tanpa diminta.”Terusan itu dipanggil Kali Besar atau Ciliwung.Di hadapan terusan itu berdiri Kota Batavia,dulu dikenali sebagai Kota Jayakarta semasa pemerintahan Sultan Fatahillah dulu.” Bujang memerhati setiap inci kota bertembok tinggi dan tersergam angkuh di pinggir terusan itu. Kota Batavia dilengkapi dengan berbagai jenis meriam besar dan kecil”Seperti Kota A’Famosa yang didirikan di atas runtuhan istana Sultan Melaka,” rungutnya perlahan tetapi dengan nada suara yang tersirat kebencian. Akhirnya,kapal itu berlabuh dengan selamat di pengkalan.Sauh diturunkan ke air,layar digulung,tali dicampak ke darat untuk diikat pada tunggul pancang yang disediakan. Papan lebar berdinding dipasang supaya penumpang boleh naik-turun ke pengkalan. “ Dah bersedia,Bujang?”Panglima Kahar melirik pada anak saudaranya. Bujang hanya mengangguk,matanya tidak lepas-lepas memerhati kawasan pengkalan. “Ada bawa ‘pass’ atau surat kebenaran Kompeni?”Tanya Panglima Kahar lagi. Sebagai jawapan,Bujang mengeluarkan segulung watikah pemberian Gabenor-Jeneral Cornelis Van de Lijn pada majlis santapan di raja dulu lalu menghulurkan kepada bapa saudaranya. Panglima Kahar membuka watikah itu,menatapnya seketika.Dia berpuas hati dengan apa yang dilihatnya.Watikah itu dikembalikan kepada Bujang. “Paman faham apa yang tertulis?”Tanya Bujang sambil menggulung watikahnya. “Sikit-sikit,”balas Panglima Kahar.”Baru belajar mengenal huruf Rumi.Tapi watikah itu juga bertulis Jawi dengan cop mohor Sultan Kedah,menerangkan siapa sebenarnya Bujang. Rupanya Bujang bergelar Tengku Laksama Agung Raja Laut Negeri Kedah Darul-Aman.” “Mari,Paman,”Bujang mengajak Panglima Kahar naik ke pengkalan. “Isterimu Kartini bagaimana?”tanya Panglima Kahar. “Pandai-pandailah dia membawa diri,”suara Bujang seperti orang merajuk. Tanpa sepatah kata lagi,Panglima Kahar mengikut anak saudaranya turun dari kapal. Menjejak kaki di pengkalan,beberapa orang soldadu Belanda membenarkan mereka melepasi pintu pemeriksaan tanpa banyak soal-jawab setelah melihat watikah yang ditunjukkan oleh Bujang.Bujang pun mengajak pamannya bersarapan pagi di pasar. “Kalau Paman tanya satu soalan,marah tak?”tanya Panglima Kahar ketika mereka menjamu selera di sebuah kedai makanan.”Soalan ini bersangkut-paut dengan Kartini isterimu.” “Tanyalah apa sahaja,Paman,”balas Bujang bena tak bena. “Bujang kenal Sultan Hamengku Buono?”Panglima Kahar terus bertanya. “Ini kali pertama Bujang mendengar namanya,”jawab Bujang dengan ikhlas. “Dia pemerintah Jawa Tengah yang berpusat di Jokjakarta,”Panglima Kahar mula bercerita sambil menjamah sarapan.”Sepuluh tahun yang lalu,dia berkahwin dengan seorang puteri Jawa berdarah Ningrat.Dek kerana sifat panas barannya dan cemburu yang terlalu kuat,puteri itu diceraikan dengan talak tiga.Kerana malu,puteri itu meninggalkan Tanah Jawa.” “ Apa kena-mengena dengan Kartini?”sampuk Bujang. “ Nama sebenarnya ialah Raden Adjeng Kartini,janda Sultan Hamengku Buono,” Panglima Kahar terus bercerita.”Kerana diceraikan dengan talak tiga,mereka tidak boleh disatukan semula.Melainkan jika ada orang yang sanggup menjadi ‘cina buta’.” “ Cina buta?” tiba-tiba selera Bujang hilang.Pinggan berisi makanan itu ditolaknya.Dia bangun dengan penuh hormat.Panglima Kahar yang hairan degan perubahan sikap anak saudaranya itu juga bangun.Rupanya Bujang bangun kerana menyambut kedatangan seorang puteri Bugis yang diapit oleh beberapa orang pengawal bersenjatakan lembing.Panglima Kahar tidak kenal siapa puteri itu tetapi dia kenal Andika yang turut sama menemani puteri tersebut. Bujang kenal siapa Daeng Ratna dan Andika lalu dia menyusun sembah tanda hormat. Daeng Ratna mengarahkan para pengawalnya pergi,kemudian merapati meja Bujang bersama Andika. “Datuk Panglima Kahar,”tegur Andika sambil tersenyum.”Hamba gembira kita berjumpa lagi. Mari diperhamba tunjukkan pasar-pasar di sini.Yang Mulia Daeng Ratna Sari ingin berbicara empat mata dengan Tengku Panglima Agung.” “Baiklah,”Panglima Kahar mengerti maksud Andika. Dia pun mengikut Andika beredar pergi dari situ,meninggalkan Bujang bersama puteri Bugis itu. “Izinkan diperhamba duduk,”Ratna memohon kebenaran dari Bujang. “Silakan,Yang Mulia Puteri,”Bujang mempelawa sambil menghulurkan kerusi.Setelah Ratna duduk,Bujang memanggil pekedai lalu memesan makan-minum tambahan.Diam-diam Ratna menjamu selera bersama Bujang,sepatah kata pun tidak diucapkan.Ratna kelihatan tunduk seolah-olah malu bertentang mata dengan Bujang.Bujang juga tunduk tetapi sekali-sekala matanya melirik ke kiri dan ke kanan kalau-kalau Kartini muncul.Dia tidak mahu berlaku perang mulut di khalayak ramai yang menyebabkan mereka bertiga mendapat malu. “Mengapa nian nampak gelisah?”Ratna bertanya lembut sambil membasuh tangan. Bujang tersentak.Lekas-lekas dia menghabiskan sarapannya. “Barangkali di sini kurang cocok,”pelawa Ratna.”Ayuh kita ke pesanggerahan dinda.” “Baiklah,”Bujang mengikut sahaja pelawaan Ratna tanpa bantahan. “Biar dinda bayar ongkosnya,”Ratna mencelah bila melihat Bujang menggamit ke arah pekedai.Dia meletakkan beberapa keping wang Belanda di atas meja,kemudian bangun mempelawa Bujang,”Mari ikut dinda.” Seperti kerbau dicucuk hidung,Bujang mengikut sahaja permintaan Ratna.Mereka berjalan beriringan tetapi tidak berpegangan tangan. Para pengawal muncul entah dari mana lalu mengiringi mereka dari belakang.Hati Bujang berkata-kata namun mulut membisu seribu bahasa.Bau harum dari pakaian Ratna menyebabkan Bujang terasa seperti berkhayal. Sedar-sedar mereka sudah sampai di hadapan sebuah rumah tumpangan dua tingkat yang diperbuat daripada batu,bumbungnya genting merah. Ratna member isyarat kepada pengawalnya supaya bersurai,kemudian berpaling ke arah Bujang dengan senyuman terukir di bibir.”Inilah pesanggerahan dinda buat sementara waktu. Orang Holanda menyebutnya hotel. Silakan,Tengku Panglima.” “Panggil saja ‘panglima’,”Bujang menegur Ratna,mata mereka bertentangan. “Baiklah,Kanda Panglima,”Ratna tunduk,wajahnya merah padam. “Abang ‘kan lebih manis,”tegur Bujang lagi,menyebabkan wajah Ratna bertambah merah. Dengan tersipu-sipu,Ratna mempelawa Bujang masuk ke rumah tumpangannya. “Perbuatan kita ini menjolok mata,”Bujang menolak bila mereka tiba di hadapan pintu. “Mengapa pula?”Ratna menangkis.”Kita hanya berbicara.Lagipun,sekarang sudah siang.” “Nafsu tidak mengenal siang atau malam,”tegas Bujang.”Maafkan hamba.” Tanpa berlengah lagi,Bujang berpaling lalu bergegas meninggalkan bilik itu.Ratna terpinga-pinga melihat telatah Bujang. Sebentar kemudian,pintu itu dibuka dan muncul beberapa orang dayang-dayang. Mereka turut sama memerhati Bujang tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. “Waduh..orangnya tampan,”seorang dayang-dayang memuji.” Memang pantas Tuan Puteri jatuh hati padanya.” Melihat Ratna menjeling tajam ke arah mereka,tidak ada yang berani bersuara lagi.Dayang-dayang yang celupar mulut itu tunduk kemalu-maluan. “ Panglima Agung memang seorang pria yang budiman,”Ratna memuji dengan ikhlas. Dayang-dayangnya hanya mampu mengangguk tanda bersetuju dengan pendapatanya. Dalam perjalanan mencari kedai tadi,Bujang tersesat jalan.Dia sudah lupa arah yang dilalui bersama Panglima Kahar dan Ratna.Sementelah lagi,dia baru pertama kali menjejak kaki dan belum mahir dengan selok-belok kawasan Betawi. Tambahan pula,fikirannya masih keliru dan berkecamuk dengan tindak-tanduk puteri dari Bugis itu. Apa muslihat Ratna membawanya ke tempat seperti itu?Tidak mungkin untuk menggodanya kerana Ratna kelihatan seperti orang baik-baik.Kalau untuk berbicara,banyak lagi tempat yang lebih sesuai yang tidak mengundang fitnah orang.Pening kepalanya memikirkan sikap dan tingkah-laku Ratna itu. Bandar Betawi mula bangun. Manusia berbagai bangsa berpusu-pusu dengan urusan masing-masing.Gedung,kedai-kedai dan rumah kediaman kelihatan di merata tempat. Jalan bersimpang-siur,penuh dengan orang ramai dan kenderaan berkuda.Daripada tercangak-cangak seperti rusa masuk kampung,Bujang mengambil keputusan untuk mengikut sahaja ke mana kaki melangkah.Fikirannya yang munasabah memilih untuk menghala ke arah pelabuhan di mana banyak kapal berlabuh.Sambil menggalas kampitnya,dia pun mengatur langkah dengan tenang,matanya sentiasa berhati-hati kalau-kalau ada yang berniat jahat.Rambut sama hitam, hati lain-lain. Bujang bernasib baik. Setelah puas berjalan-jalan tanpa arah dan tujuan,dia ternampak sebuah masjid menjelang tengah hari.Masjid batu itu terletak berhampiran sebatang sungai yang mengalir ke laut.Air sungai itu jernih sekali,anak-anak ikan kelihatan berenang-renang di dalamnya.Kerana memikirkan waktu zohor kian hampir,dia pun singgah di masjid itu. Berbeza dengan keadaan di luar,keadaan di dalam masjid itu sejuk dan nyaman seperti waktu pagi. Dia menuju ke belakang masjid di mana terdapat sebuah kolah yang bertembok dan berturap dengan batu putih.Sebuah baldi kayu yang bertali juga kelihatan di situ. Dengan kain basahan yang tergantung pada ampaian,dia pun menceduk air kolah yang sejuk lagi berbau wangi itu lalu mandi dengan sepuas-puasnya.Mendengar laungan azan,dia lekas-lekas menukar pakaiannya dan masuk ke dalam untuk menunaikan sembahyang zohor.Tengah hari itu,dia berjemaah bersama beberapa makmum yang semuanya berpakaian serba putih.Imamnya pula berjubah dan berserban hijau seperti Raja Abal Yusuf yang ditemuinya dulu. Selepas berwirid dan berdoa,mereka bersalam-salaman dengan Bujang tanpa sepatah suara pun.Hanya bibir mereka tidak henti-henti berzikir.”Air margajiwa,”kata imam mereka sambil memandangke arah kolah di luar masjid.Kemudian,sekali gus mereka hilang dari pandangan. “Subhanallah…,”hanya itu yang mampu Bujang tuturkan. Kejadian seperti itu sudah tidak asing lagi baginya. Siapa imam dan makmum itu,hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia duduk berihat dalam masjid itu sambil membaca kitab-kitab lama yang bertulis Jawi sementara menunggu waktu asar kalau-kalau dapat berjumpa lagi dengan imam dan makmum tadi. Namun,tiba waktu asar,tiada siapa yang berkunjung datang. Lantas,dia pun bersembahyang seorang diri. Matahari petang sudah hilang sengatnya tatkala Bujang meneruskan perjalanan sambil menggalas kampitnya. Petang itu,dia memakai pakaian hijau sedondon anugerah dari Pangeran Ratu Jambi.Dua bilah kerisnya tersisip di celah bengkung.Dia menyusuri tebing sungai untuk sampai ke pengkalan.Sungai itu seakan-akan terusan yang dilihatnya dari laut pagi tadi. Anehnya,Kota Batavia kemegahan Belanda sudah hilang.Tempatnya diganti dengan sebuah istana besar yang lengkap dengan pintu gerbang,tembok batu dan meriam-mariam lama yang dipasang di sekitar kota.Bendera hijau bertulis kalimah Allah berkibar dari sebatang tiang di hadapan pintu kota,dikawal oleh beberapa orang pendekar berlembing. Rupa paras mereka seperti orang Melayu tetapi mereka berpakaian ala Jawa. Bujang berjalan terus hingga ke pengkalan.Kerana cuaca tidak lagi panas,ramai orang berkeliaran mengambil angin.Penumpang dari kapal-kapal yang berlabuh di situ juga turun bersiar-siar.Bujang mencari-cari kapal Nakhoda Mamat yang ditumpanginya kelmarin. Ternyata kapal itu sudah belayar entah ke mana.Bujang jadi tergamam. Fikirannya buntu seketika.Masakan bapa saudaranya juga turut menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Bujang berpatah balik ke Pasar Weltevreden. Di situ akan ditemui jawapannya. Dia mengikut jalan yang dilalui bersama Panglima Kahar pagi tadi.Tidak lama kemudian,dia pun sampai di kedai makan tersebut.Hatinya bersorak riang demi terpandang bapa saudaranya sedang duduk menjamu selera. Tanpa membuang masa,dia terus meletak kampitnya lalu duduk di kerusi tadi. “Ke mana Bujang menghilang diri?”rungut Panglima Kahar sambil mengunyah makanannya.” Sebut saja tentang ‘cina buta’,Bujang terus bangun dan pergi.” “Bujang cuma…,” dia jadi bingung,tidak dapat meneruskan kata-katanya. “Sempat pula tukar pakaian lain,”rungut Panglima Kahar lagi,melihat Bujang ke atas dan ke bawah yang dibaluti pakaian serba hijau dari Jambi. Tiba-tiba Bujang teringatkan sesuatu.Rungutan bapa saudaranya itu tidak dihiraukan. Makanannya didapati masih tinggal separuh,air minumannya pula baru dihirup dua-tiga teguk. “Sebentar lagi,kita akan dikunjungi tetamu,”katanya perlahan seolah-olah pada diri sendiri. “Siapa?” tanya Panglima Kahar kehairanan,matanya melilau ke kiri dan ke kanan. “Daeng Ratna Sari dari Bugis,”balas Bujang,matanya memicing memandang ke hadapan. “Tak kenal pun,”jawab Panglima Kahar acuh tak acuh.”Siapa itu?” “ Paman tentu kenal sepupunya Daeng Andika,”Bujang menjelaskan,hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.Sungguh tidak masuk akal.Daeng Ratna Sari muncul diiringi para pengawal berlembing serta ditemani oleh Daeng Andika.Apa yang berlaku berulang kembali di depan matanya.Daeng Andika berkata sesuatu kepada sepupunya,kemudian mara merapati mereka mereka. ““Datuk Panglima Kahar,”tegur Andika sambil tersenyum.”Hamba gembira kita berjumpa lagi. Mari diperhamba tunjukkan pasar-pasar di sini.Yang Mulia Daeng Ratna Sari ingin berbicara empat mata dengan Tengku Panglima Agung.” Ternyata Panglima Kahar amat mengenali Andika.”Baiklah,”ujarnya sepatah s sambil melirik pada Bujang dan Ratna,kemudian bangun hendak mengikut Andika pergi dari situ. “Jangan,”Bujang menahan,memegang bahu bapa saudara.”Jika Paman pergi,kita tidak akan berjumpa lagi buat selama-lamanya.” Panglima Kahar terkejut.Begitu juga dengan Andika. “Apa yang Bujang cakap ini?”Panglima Kahar hampir-hampir memarahi anak saudaranya. “Percayalah,”Bujang menoleh kepada Ratna yang masih tercegat tidak jauh dari situ.” Sebentar lagi,Daeng Ratna akan menyuruh para pengawal pergi dari sini,kemudian mara ke meja kita dan mempelawa hamba ke rumah tumpangan yang dipanggil ‘hotel’.” Panglima Kahar dan Andika saling pandang-memandang. Belum sempat mereka bersuara lagi,Ratna terus memerintah para pengawalnya beredar dari situ. Ratna melenggang merapati meja mereka dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya. Izinkan diperhamba duduk,”Ratna memohon kebenaran dari Bujang. “Silakan,Yang Mulia Puteri,”pelawa Bujang sambil menyorong kerusi menyuruh Ratna duduk.Sesaat kemudian,baru dia sedar kata-kata itulah yang diucapnya pagi tadi. Ratna pun duduk tanpa mengesyaki apa-apa. “Paman dengan Andika jangan ke mana-mana,tunggu di meja sebelah,”Bujang cepat-cepat melarang bila melihat mereka hendak pergi. Sekali lagi Panglima Kahar dan Andika bertukar pandangan.Namun,mereka patuh pada kehendak Bujang.Tanpa sebarang bantahan,mereka beredar ke sebuah meja lain tidak berapa jauh dari situ. Tinggal Bujang berdua-duaan dengan Ratna.Bujang memanggil pekedai lalu memesan sarapan untuk Ratna.Ketika menunggu sarapan tiba,baru Bujang sedar matahari masih berada di ufuk Timur dan belum tergelincir ke Barat.Hari masih pagi.Petang belum lagi menjelang tiba! Bila makanan yang dipesan tiba,Bujang pun mempelawa Ratna makan.Puteri Bugis itu pun makan sambil tunduk,mmengunyah lambat-lambat penuh sopan,matanya sekerdip pun tidak diangkat melihat Bujang.Sambil menjamu selera,Bujang juga sedar peristiwa yang dialaminya ketika itu belum lagi berlalu sedangkan dia sudah mengalaminya. “Mengapa nian nampak gelisah?”Bujang bertanya bila melihat Ratna membasuh tangan. Ratna terperanjat besar,wajahnya pucat.”Panglima..boleh membaca isi hati dinda?” “Bukan begitu,Tuan Puteri,”Bujang juga membasuh tangannya.”Allah Taala bukakan kasyafNya seketika.Tuan Puteri hendak mempelawa hamba ke hotel,bukan?” Ratna masih kelihatan pucat.”Bagaimana Panglima tahu rancangan dinda?” “Hotel itu dua tingkat,diperbuat dari batu,”Bujang meneruskan.”Letaknya tidak jauh dari sini.” “Benar,”Ratna mengaku.”Tempat itu dijadikan pesanggerahan sementara dinda dan dayang-dayang sebelum kami belayar. Bagaimana Panglima tahu semua ini?” “Hamba sudah pergi ke tempat itu,”Bujang berterus-terang.”Percaya atau tidak,itulah hakikat yang sebenarnya.” “Selepas itu,apa yang berlaku pada Panglima?”Ratna mula berminat ingin tahu. “Hamba menolak bila dipelawa masuk. Nafsu tidak mengenal siang atau malam,kata hamba pada Tuan Puteri,”Bujang menerangkan lagi.”Ketika meninggalkan tempat itu,hamba tersesat jalan. Hamba temui sebuah masjid di pinggir sungai.Hamba sembahyang jemaah di masjid tersebut. Malah,hamba turut mandi dari kolah air margajiwa serta menukar pakaian.” “Bagaimana rupa masjid itu,Panglima?”Ratna bertanya lagi. “Hamba tak berapa ingat,”jelas Bujang selanjutnya.”Yang hamba tahu udaranya sejuk dan nyaman. Makmum berpakaian serba putih.Tok Imam berjubah dan berserban hijau.” “Berjubah dan berserban hijau?”tanya Ratna. Bujang mengangguk.”Mirip pakaian Abal Yusuf,raja jin Islam.” Ratna diam sejenak,terkedu dengan cerita luar biasa itu.Bujang memanggil pekedai untuk membayar harga makan-minum. “Biar dinda bayar ongkosnya,”Ratna mencelah sambil mengeluarkan uncang wangnya. “Tunggu,”Bujang menahan.”Tuan Puteri akan membayar dengan beberapa keping wang Belanda. Betul tak?” Ratna membuka genggamannya.”Empat florin. Benar,memang wang Holanda.” “Tuan Puteri masih sangsi pada hamba?”Bujang menduga. “Memang sukar untuk dipercaya,”balas Ratna.”Tetapi,dinda yakin Panglima bercakap benar.Panglima tidak akan berbohong pada orang yang Panglima kasihi.” “Pada siapa?”Bujang menyoal balik. Menyedari keterlanjurannya,Ratna menggigit bibir,wajahnya merah padam. “Pada orang yang hamba kasihi?”Bujang mengajuk kata-kata Ratna. “Izinkan dinda bermohon diri,”Ratna bangun tergesa-gesa,wajahnya yang merah bertambah merah.”Andi,kita pulang sekarang. Semoga kita berjumpa lagi,Panglima.” Bujang melihat sahaja Ratna meninggalkan tempat itu dengan ditemani Andika serta diiringi para pengawalnya.Kemudian,dia bangun mendapatkan Panglima Kahar lalu mengajak bapa saudaranya beredar pergi. “Pernah Paman mendengar perihal air margajiwa?”tiba-tiba Bujang bertanya ketika mereka berjalan-jalan di sekitar pasar. “Air margajiwa,”Panglima Kahar diam sejenak mencari modal.”Paman belum pernah melihatnya.Menurut cerita orang,sesiapa yang mandi air margajiwa walaupun setitik, dia tidak akan dimakan usia. Dia sentiasa awet muda hinggal ke akhir hayat.” “Di mana boleh kita menemuinya?”Bujang terus bertanya. “Memang sukar sekali,”ujar Panglima Kahar.”Air margajiwa hanya wujud di alam ghaib, di alam bunian. Ada juga orang mengatakan itulah air bahtera Nabi Noh Alaihissalam selepas banjir besar menenggelami bumi.Bujang bertanya ini ada apa-apa ke?” “Saja bertanya,”Bujang berdalih.”Di mana harus kita mencari Chendana?” “Paman rasa eloklah kita berpecah,”Panglima Kahar membuat cadangan.”Paman ke utara, Bujang ke selatan Batavia. Malam nanti kita berjumpa di atas kapal Nakhoda Mamat.” Bujang teringat pada Kartini yang menunggu di kapal itu.”Kita berjumpa di masjid berhampiran istana,”tegas Bujang tanpa berfikir panjang.Panglima Kahar angguk.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...