Bab 14

409 11 0
                                    

Tiba-tiba masuk beberapa orang pendekar ke depan panca persada,dipimpin oleh Tunku Mahmud.Hati Bujang berdebar-debar melihat parang lading yang dibawa oleh mereka. Tunku Mahmud berdiri di tepi manakala anak buahnya mula membuat pertunjukkan bunga silat di hadapan Bujang dan Tunku Balqis.Debaran hati Bujang bertambah kuat apabila ternampak perca kain tiga warna diikat pada hulu semua parang lading mereka.Bujang bingkas bangun,mengepal hulu keris panjangnya.Dihunusnya keris itu separuh,kemudian disarungkan kembali dan dibalikkan sarung keris ke arah tubuh.Itulah salah satu isyarat Angkatan Fisabillah sebagai tanda pengenalan persaudaraan. Bujang duduk kembali setelah memberi salam perguruan dengan menangkup kedua-dua tangannya dan dibawa ke kiri dada. Dia berharap mereka memahami maksudnya itu. Selepas membuat tarian silat,mereka berundur ke tepi,meninggalkan dua orang pesilat yang akan membuat persembahan selanjutnya. Kedua-dua pesilat itu mula bertetak dan berparang seolah-olah betul-betul berkelahi,parang lading memercikkan bunga api setiap kali berlaga. Bujang duduk memerhati dengan teliti kalau-kalau salah seorang dari mereka meluru ke arah Gabenor-Jeneral. Dia menarik nafas lega apabila pertunjukan itu tamat dan kedua-dua pendekar itu berundur ke tepi.Dipimpin oleh Tunku Mahmud,mereka keluar beramai-ramai dari kawasan di hadapan panca persada itu. Sempat Bujang melihat Mak Andam berkata sesuatu pada Tunku Mahmud sambil menunjuk ke arah pelamin. Tamatnya pertunjukan silat itu bererti tamatlah masanya Bujang dan Tunku Balqis di-pertontonkan di atas pelamin.Mak Andam dan Penghulu Adat segera datang mengiringi mereka turun dari panca persada.Sebaik sahaja mereka menaiki tangga masuk ke istana, pertunjukan hadrah pun dimulakan di Balai Besar.Ketika menoleh ke belakang,Bujang nampak Gabenor-Jeneral Belanda diiringi para pegawainya mengikut lain-lain penonton yang berpusu-pusu ke hadapan Balai Besar. Bujang dan Tunku Balqis diiringi setakat kamar mereka sahaja.Selepas itu,Mak Andam dan Penghulu Adat meninggalkan dengan senyum menguntum. Bujang dan isterinya terus masuk ke kamar mereka yang juga dijadikan kamar pengantin. Bujang beredar ke jendela melihat permainan hadrah manakala Tunku Balqis sibuk memeriksa hadiah-hadiah yang diterima dari para tetamu. "Abang perlu tukar pakaian,"katanya setelah berfikir sejenak. "Nanti apa pula kata Mak Andam,"rungut Tunku Balqis sambil membelek-belek hadiah yang diberi."Lepas ini majlis Santapan Di raja,semua tetamu hadir." "Termasuk Gabenor-Jeneral itu?"tanya Bujang menoleh ke arah Tunku Balqis. "Tentulah,"balas Tunku Balqis."Apa abang risau pasal Tuan Gabenor-Jeneral itu?Kalau ada orang hendak membunuhnya,biarlah.Pucuk dicita ulam mendatang." "Balqis tidak faham,"ujar Bujang kembali memerhati pertunjukan hadrah,tetapi fikirannya tidak ke situ." Kalau dia dibunuh pada hari perkahwinan kita,nama abang turut tercemar. Sementelah lagi,abang tidak mahu orang merosakkan majlis perkahwinan kita." "Terpulanglah pada abang,"Tunku Balqis lebih tertarik pada hadiah-hadiahnya. Bujang pun menukar pakaian pengantin dengan pakaian panglima. "Abang tunggu di bawah,'katanya pada Tunku Balqis lalu keluar dari kamar itu. Tiba di bawah,dia tiba-tiba terasa hendak buang air kecil. Matanya melilau mencari tempat yang sesuai yang tidak ramai orang.Teringatkan Taman Larangan,dia terus ke sana. Dengan mengambil sebekas air kolam,dia pun bertenggek di sebalik belukar. Ketika asyik melepas hajat,tiba-tiba dia terdengar tapak kaki orang berjalan.Lekas-lekas diselesaikan hajatnya. Kemudian dia menguak sedikit belukar itu dan mengintai ke sana. Dua lelaki yang tidak dikenali terhendap-hendap menuju ke pintu keluar taman. "Kali ini mampuslah orang putih jahanam itu,"kata seorang lelaki gempal. "Kau yakinkah Jusuh berani mati?"tanya rakannya yang tinggi-lampai. "Dia orang Petani,Mat,"balas lelaki gempal."Dia percaya kalau kita mati dibunuh orang kafir,kita mati syahid.Syahid dalam perang sabil." "Yalah,Komeng,aku setuju,"tiba-tiba Mat terhenti bila ternampak Bujang."Eh,ada orang nampak kita!"Mereka segera menghunus golok masing-masing. Bujang segera keluar dari tempat persembunyian dan bersemuka dengan mereka. "Heh!Apa kau buat di sini?"sergah Mat,mengacu goloknya."Tidakkah kau tahu ini Taman Larangan?Kami diarah berkawal di sini!Orang luar tak boleh masuk!" "Maafkan hamba,"Bujang pura-pura menyerah diri."Hamba tidak tahu taman ini Taman Larangan. Biarlah hamba pergi." "Eh,Mat!Itu Panglima Agunglah!"jerit Komeng. "Panglima Agung?".Mereka terus menyerang Bujang. Bujang mengelak tetakan Komeng sambil memaut tengkuk Mat lantas mengilas tangannya ke belakang.Golok dari tangan Mat segera dirampasnya.Bila Komeng menyimpat keluar, Bujang mengelak sedikit sambil mematahkan tengkuk Mat.Sekelip mata kemudian,golok ditangannya menyantas leher Komeng. Dia melepaskan Mat. Mat dan Komeng jatuh terkulai ke tanah hampir serentak,tengkuk Mat patah manakala Komeng menggelepar seperti ayam disembelih sebelum mati. "Jusuh...,"Bujang teringat nama yang disebut mereka. Dia mengambil sarung golok di pinggang Mat,menyarungkan golok itu dan segera keluar dari Taman Larangan. Dia menghala ke hadapan Balai Besar di mana pertunjukan hadrah sudah berakhir dan diganti dengan persembahan ronggeng.Lagu rancak yang dibunyikan menyebabkan berapa orang tampil ke depan untuk menari.Beberapa orang pegawai Belanda turut menari terkinja-kinja seperti kera kena belacan. Mata Bujang mencari Gabenor-Jeneral. Pegawai tertinggi Belanda itu duduk bersama beberapa orang tetamu berbangsa cina,dilayan oleh tiga pelayan yang menuangkan air kuning berbueh-bueh ke dalam bekas minuman mereka.Beberapa orang pendekar juga kelihatan tetapi mereka berada berjauhan dan asyik menumpukan perhatian pada penari-penari ronggeng.Bujang mencari-cari di mana bakal pembunuh itu.Ketika salah seorang tunduk sedikit untuk menuangkan minuman keras itu ke dalam bijana Gabenor-Jeneral,Bujang ternampak sebelah lagi tangannya menyeluk ke bawah baju untuk mengambil sesuatu. "Jusuh!"jerit Bujang dengan lantang,menyebabkan pertunjukan ronggeng berhenti. Pelayan itu terkejut,lantas menghunus sebilah lawi ayam lalu menerpa hendak menikam leher Gabenor-Jeneral. Jarak yang agak jauh tidak memungkinkan Bujang tiba tepat pada masanya.Hanya satu pilihan yang ada padanya.Golok di tangannya itu dihunus secepat kilat, secepat kilat pula dibaling ke arah pelayan bernama Jusuh itu.Golok itu tepat menembusi tengkuk Jusuh. Jusuh terhoyong-hayang dan jatuh tersembam di hadapan Gabenor-Jeneral,kaki dan tangannya menggelepar kesakitan.Pegawai-pegawai Belanda yang asyik menari sebentar tadi meluru ke arah Jusuh lalu menembak Jusuh bertubi-tubi. Jusuh tidak bergerak lagi,lawi ayamnya masih tergenggam kukuh. Bujang menghampiri mayat Jusuh.Orang ramai mula berkerumun untuk melihat lebih dekat.Kemudian,Bujang memandang tepat ke wajah Gabenor-Jeneral.Mereka bertentang mata.Gabenor-Jeneral itu tampil menghulurkan tangan pada Bujang. "Hartelijk dank voor het redden van mijn life,"dia mengucapkan terima kasih pada Bujang dalam bahasanya."I moet je altijd onthouden. Tangan yang dihulurkan itu tidak disambut oleh Bujang.Sebaliknya dia merenung tepat ke arah pegawai-pegawai Belanda lain. Dia terdengar Gabenor-Jeneral Belanda itu memberi perintah kepada orang-orangnya,"Annuleren onze plan!Dismiss!" Bujang tidak tunggu lama lagi.Dia terus menyusup di celah orang ramai untuk menjauhkan diri dari tempat itu. Dia terserempak dengan Tunku Mahmud di atas tangga istana.Abang iparnya tidak berkata sepatah jua pun,hanya menggelengkan kepala penuh kesal. Bujang juga membisu seribu bahasa,hanya matanya merenung Tunku Mahmud penuh tanda tanya.Dia terus masuk ke dalam istana dan bergegas ke kamarnya. "Abang telah merosakkan majlis kita,"Tunku Balqis yang meninjau semuanya dari jendela kamar itu melemparkan cemuhan sebaik sahaja Bujang membuka pintu. "Oh!"Bujang menutup pintu dengan menghempasnya."Jadi,Balqis lebih suka Si-Jusuh itu merosakkan majlis kita dengan membunuh Gabenor-Jeneral keparat itu?" Tunku Balqis terdiam,menyedari dia telah terlanjur kata dengan suaminya. Bujang menghunus kedua kerisnya lalu diletakkan di atas almari.Dastarnya ditanggalkan, dilonggokkan di atas katil.Bengkungnya pula menyusul. "Balqis mohon ampun dan maaf,"Tunku Balqis memujuk,memeluk lengan suaminya penuh kesal."Balqis tak sepatutnya berkata begitu pada abang." Bujang menepis tangan Tunku Balqis dan berpaling untuk menghamburkan isterinya dengan kata-kata pedas.Mujurlah kemunculan Fatimah dan Tunku Mahmud menyelamatkan keadaan.Fatimah berlari masuk menunjukkan hadiahnya pada Bujang dan Tunku Balqis. "Ayah,Bonda..,tengok ni!Fatimah pun dapat hadiah!"jeritnya keriangan sambil menunjukkan sebuah peti kayu yang bersalut damar berkilat. "Apa bendanya itu,Fatimah?"tanya Bujang,turut melihat peti itu.Kemarahannya menurun. "Inilah peti nyanyi,"Fatimah menerangkan."Bila kita buka pintunya,keluar perempuan menari berpusing-pusing." "Cantiknya,"puji Tunku Balqis."Siapa yang beri?" "Tuan Gabenor tu,"balas Fatimah menuding ke arah jendela terbuka. "Tuan Gabenor?"suara Bujang berubah. Menyedari dia telah membuat kesilapan kali kedua,Tunku Balqis lekas-lekas mengajak anaknya keluar,"Mari kita tunjukkan pada Nenda." "Duduklah dulu,Tunku,"pelawa Bujang,suaranya tertahan-tahan menahan marah. "Tak apalah,"Tunku Mahmud mengalah demi terpandang wajah Bujang yang masih membara."Lain kali sahaja kita berbicara. Kanda pergi dulu." Sekali lagi Bujang terselamat dari berlakunya perang mulut.Sejak akhir-akhir ini mengapa dia terlalu cepat melenting?Dia telah diasuh dan dididik supaya mengutamakan kesabaran, mengapa sekarang dia terlalu lekas hilang sabar? Bujang menutup pintu kamar dan duduk di jendela memandang ke luar. - ("Manusia mampu mendaki gunung yang paling tinggi,manusia mampu menyelami ke dalam lautan yang paling dalam,manusia mampu menguasai jin dan haiwan,tetapi manusia terlalu sukar menguasai hawa nafsu sendiri.")- Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata gurunya ketika di Gunung Jerai dulu. Bujang mulai sedar sekarang,manusia yang dimaksudkan oleh gurunya itu tidak lain tidak bukan adalah dirinya sendiri.Kekangan hawa nafsu boleh membawa kepada kebinasaan. "Kelmarin kenangan,hari ini kenyataan,besuk tidak ketahuan,"dia memerhati wajahnya di dalam cermin.Maksudnya segala yang telah berlaku tidak dapat diubah lagi,tetapi yang dlakukan pada hari itu akan menentukan corak masa depannya.Dia telah membunuh anak buahnya sendiri di hadapan Gabenor-Jeneral Belanda.Namanya akan tercemar di kalangan Angkatan Fisabilillah dan Ketua Pemerintah Kompeni Belanda itu sudah mengenali dirinya. Bujang mengeluh sendirian mengenangkan dirinya.Dilihatnya di kamar itu ada satu tempayan besar berisi air bersih.Dia mengambil wuduk dan mengerjakan sembahyang sunat memohon ilham dari Allah.Hanya dengan jalan sembahyang sahajalah segala kekusutan dapat dihurai.Penyudah sembahyang itu ialah berzikir.Dia pun duduk bersila,memejam mata,menumpukan semua pancaindera pada yang SATU dan mula berzikir perlahan-lahan mengikut tarikan nafasnya.Setiap kali nafas ditarik,dibayangkan kalimah Allah berkilauan masuk melalui rongga hidungnya,masuk ke dalam fikirannya,keluar melalui ubun-ubun,mengalir ke muka dengan cahaya gemilang,masuk ke dada,meresap ke dalam hati, berlegar dalam perutnya,keluar melalui ari-ari.Dibayangkan kalimah Allah itu mencuci bersih setiap anggota badan yang dilaluinya,terutama sekali hati.Bila nafas dihembus,dia membayangkan segala kekotoran,segala sifat-sifat mazmuah keluar dari dirinya.Begitulah yang dilakukan,menarik nafas dengan kalimah lailahaillallah,melepas nafas juga dengan kalimah lailhaillallah,seperti yang diajar dalam tarekatnya. "Abang...,"Bujang terdengar namanya diseru. Dia membuka mata dan melihat Tunku Balqis tersenyum di sebelahnya."Majlis santapan di raja." "Cepatnya,"Bujang kagum dengan masa yang begitu pantas berlalu. "Dah tengah hari pun,"Tunku Balqis menjawab,tidak memahami maksud suaminya. "Abang kena tukar pakaian,"melihat isterinya berpakaian indah,Bujang bangun. "Pakai persalinan panglima pun tidak mengapa,"Tunku Balqis memberi kelonggaran. Bujang pun mengambil dastar dari atas katil lalu memakainya.Tunku Balqis pula membantu suaminya memakai bengkung merah dan baju layang. Sambil menyisip kedua-dua bilah kerisnya di pinggang,dia segera mengikut isterinya keluar. Di Dewan Santapan, semua kaum-kerabat sudah menunggu kecuali baginda Sultan.Para pembesar serta beberapa orang tetamu terpilih sudah hadir.Bujang melihat Gabenor-Jeneral Belanda juga turut hadir bersama beberapa orang raja Melayu dari negeri berhampiran. Majlis Santapan Di raja dimulakan dengan bacaan doa oleh Datuk Seraja Imam. Kemudian,Bujang dan isterinya diminta menyuapkan nasi ke mulut masing-masing. Selepas itu,barulah para tetamu mula menjamu selera.Tiada siapa yang bersuara.Yang kedengaran hanyalah bunyi sudu,bunyi pinggan dan sekali-sekala bunyi air dihirup. Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.Bujang habis dahulu,diikuti oleh Tunku Balqis dan Fatimah. Mereka bangun hendak beredar tetapi ditahan oleh Raja Muda. "Tunggu dulu,Dinda Tengku Alang Iskandar,"titak Raja Muda."Tuan Gabenor-Jeneral ingin memberi hadiah istimewa kerana menyelamatkan nyawanya." Seorang budak suruhan membawa talam beralas kain kuning menghampiri Gabenor-Jeneral.Pegawai Tertinggi Belanda itu meletakkan segulung kertas dan seketul logam berwarna emas di atas talam itu.Dengan berhati-hati,talam itu dibawa kepada Bujang. Bujang pun menerimanya tanpa banyak karenah dan mengangguk pada Gabenor-Jeneral tanda terima kasih. "Yang bulat itu dipanggil jam,"Tunku Mahmud menerangkan tanpa diminta."Ia diperbuat daripada emas.Mahal harganya.Orang barat menggunakannya untuk mengetahui masa. Yang bergulung itu pula ialah surat kebenaran." "Surat kebenarang?"Bujang teringat pertama kali dia tiba di Kuala Kedah tempoh hari. "Pada zahirnya surat itu hanya sekeping kertas,"Tunku Mahmud menerangkan lagi."Tetapi nilainya amat tinggi.Dengan surat ini,Kanda boleh pergi ke mana-mana pelabuhan di dunia, untuk berniaga,berdagang,bersantai dan lain-lain tujuan." "Dinda pacal yang hina menjunjung kasih,"Bujang menuturkan. "Dinda boleh berangkat sekarang,"Tunku Mahmud memberi kebenaran. Bujang pun bangun semula bersama isteri dan anaknya lalu keluar dari Dewan Santapan. "Tolong simpan barang-barang ini,"pinta Bujang pada isterinya setelah agak jauh."Abang hendak keluar sekejap mencari Perkasa." Isteri dan anaknya tidak membantah. Bujuang terus keluar dari istana menuju ke masjid berhampiran. Dia masuk ke masjid mengerjakan sembahyang zohor. Dugaannya tepat. Selepas memberi salam,bahunya dicuit dan Perkasa menghulurkan tangan bersalam. 'Aku tidak boleh berlama di sini,Bujang,"Perkasa memulakan perbualan."Hari ini juga aku akan balik ke Kuala Kedah." "Tentu kau ingin bercakap perihal Jusuh,"Bujang membuat serkap jarang. "Siapa Jusuh?"Perkasa pura-pura tidak tahu."Aku tak kenal Jusuh.Perihal ini melibatkan Angkatan kita.Oleh kerana kau sudah jadi Imam Khalifah kami,kami ingin tahu tentang rampasan perang yang ada dalam simpanan kami?" "Rampasan perang?"tanya kehairanan. "Kami rampas barang-barang dari saudagar,pedagang dan sebagainya,"Perkasa menceritakan."Kami ambil sikit buat belanja,selebihnya kami sembunyikan di Tanjung Jaga dekat lereng Gunung Jerai." "Habis tu?"tanya Bujang. "Kami semua berkongsi sama rata,"kata Perkasa."Kau nak bahagian kau?" "Kamu semua simpanlah,"Bujang menolak."Aku tak hendak walau sebahara pun." "Jadi,kami bolehlah terus merompak dan menyamun?"Perkasa ingin tahu. "Kalau kau rompak harta-benda Belanda dan kuncu-kuncunya,aku tidak melarang,"Bujang mengingatkan Perkasa."Tetapi,kalau kau rampas dari orang-orang lain dari itu,tanggunglah dosanya di akhirat nanti.Matlamat tidak menghalalkan cara,Perkasa." "Baiklah,aku faham sekarang,"jawab Perkasa berpuas hati. "Bagaimana dengan Jusuh?'Bujang mengulangi pertanyaan itu. "Aku dah cakap tadi...." "Jangan cuba berselindung di balik telunjuk,Perkasa,"celah Bujang."Terkilat ikan di air, sudah kutahu jantan betinanya." "Yang aku tahu,dia orang baru dalam Angkatan kita,"Perkasa memberi alasan."Dia hanya mengikut arahan.Dia tidak tahu siapa ketua sebenarnya." "Mulai saat ini,aku yang memberi arahan,"Bujang menegaskan."Hitam atau putih,aku yang akan mewarnakannya.Maklumlah kepada semua ahli." "Baiklah,aku akan maklumkan,"Perkasa akur. "Satu perkara lagi,Perkasa,"tanya Bujang."Siapa Adimala Tunggal." "Aku tak pernah dengar nama itu,"jawab Perkasa,tidak berani bertentang mata."Aku pergi dulu,Bujang.Sampaikan salam pada kemanakanku Fatimah." "InsyaAlllah,"mereka bersalam-salaman.Perkasa tergesa-gesa keluar dari mesjid itu. Acara kemuncak petang itu memang ditunggu-tunggu kerana persembahan silat dan tomoi akan diadakan.Penonton sudah lama berkerumun di sekitar Balai Besar,lebih-lebih lagi ada khabar angin mengatakan Raja Ligor yang turut hadir sebagai tetamu kehormat membawa bersamanya panglima-panglima handal dari Siam yang dijangka mempertontonkan permainan tomoi yang luar biasa.Raja Muda bersama anak buahnya mewakili silat Melayu khabarnya akan memperlihatkan kekuatan kebatinan..Para pembesar dan tetamu kehormat mengambil tempat masing-masing di Balai Besar manakala penonton yang datang berpusu-pusu itu hanya berdiri di bawah terik matahari.Bujang,Tunku Balqis dan Fatimah hanya menyaksikan dari jendela kamar mereka. Tidak lama kemudian Tunku Mahmud masuk ke gelanggang bersama anak buahnya. Kemunculan mereka mendapat sorakan bergemuruh dari penonton.Mereka tidak membuang masa,terus memulakan pertunjukan.Seorang demi seorang menyelak baju manakala Tunku Mahmud menetak mereka dengan parang lading satu persatu tetapi tiada yang cedera. Tunku Mahmud kemudian mengambil periuk berisi minyak panas yang sudah disediakan.Seorang demi seorang anak buahnya dituangnya dengan minyak yang masih menggelegak itu. Seperti biasa,tiada kesan terbakar atau melecur pada badan mereka.Penonton bersorak gembira memberi perangsang.Acara seterusnya ialah permainan silat bersenjata. Dua pesilat yang paling handal tampil menunjukkan kelincahan masing-masing.Mereka menikam, menetak dan memarang bersungguh-sungguh seperti pertarungan betul,parang lading yang berlaga memercikkan bunga api.Penonton terdiam,kagum dengan ketangkasan dan kehandalan mereka.Bila pertunjukkan selesai,bergemuruh bunyi tepukan dan sorakan. Tunku Mahmud nampaknya seperti tidak berpuas hati bila melihat beberapa orang panglima Raja Ligor seakan menyindir pertunjukan silat itu. Dia tampil ke tengah gelanggang bersama seorang pendekar tegap"Datuk-Datuk,tuan-tuan dan rakyat beta sekelian!"suaranya lantang,semua penonton diam untuk mendengar dengan teliti."Inilah Pendekar Daik,anak murid beta yang paling kanan dan paling handal!Mari kita berlawan cara persahabatan tanpa menggunakan senjata!Kepada siapa yang berani turun gelanggang, beta cabar!Datanglah,tak kira Melayu,Cina atau Siam!" "Kanda Tunku Mahmud mulalah tu nak tunjuk takbur,"Tunku Balqis mencebik menyatakan pada Bujang di sebelahnya.Bujang hanya mendiamkan diri,perhatiannya ditumpukan pada adegan yang bakal berlaku di Balai Besar. "Silakan!"kali ini Tunku Mahmud mengulangi cabarannya kepada para pembesar dan tetamu kehormat."Melayu,Cina,Siam,Orang Putih,silakan kalau berani!" Para penonton mula bercakap-cakap.Raja Ligor dilihat mengatakan sesuatu kepada barisan panglimanya. "Abang hendak turun ke bawah,"Bujang menegaskan sambil mencapai kedua-dua kerisnya dari atas almari lalu bergegas keluar.Sambil melangkah panjang-panjang,dua bilah keris itu disisip kukuh-kukuh di celah bengkung merahnya.Dia merasa tidak sedap hati dan perlu campur tangan bagi mengelak pertumpahan darah.Kerana para penonton bersesak-sesak,dia menghadapi kesukaran menghampiri Balai Besar.Bila dia berjaya tiba di tepi balai itu, seorang panglima Raja Ligor yang tegap sasa sudah berada di tengah gelanggang berdepan dengan Pendekar Daik.Tunku Mahmud berundur ke tepi memberi ruang.Orang ramai tidak berani bersuara,suasana sepi bagaikan dilanggar garuda. Panglima Siam itu membuat persembahan bunga tomoinya sebelum mara dengan berani merapati Pendekar Daik.Pendekar Daik juga mempamirkan persembahan bunga silat yang cantik sehingga memukau ramai penonton.Kemudian,Pendekar Daik melakukan kesilapan yang membahayakan dirinya.Dia sepatutnya membuat penantian menunggu serangan lawan. Sebaliknya,dia terus melakukan serangan dengan menumbuk dan menyepak.Peluang seperti itulah yang ditunggu-tunggu oleh lawannya.Panglima Siam itu dengan tangkas menangkis setiap serangan dengan lutut dan sikunya,matanya liar mencari peluang menyerang balas. Peluang itu terbuka bila kaki Pendekar Daik tergelincir akibat dikuis.Kedudukannya tidak tegap lagi.Macam kilat,Panglima Siam itu memaut leher Pendekar Daik,lututnya bertubi-tubi ditujukan ke rusuk kiri dan rusuk kanan Panglima Daik.Ketika Pendekar Daik menyeringai menahan kesakitan,,kedua-dua siku panglima Siam hinggap pula di mukanya. Pukulan siku yang dilepaskan seperti baling-baling itu menyebabkan hidung,mulut dan matanya cedera,darah merah membasahi muka.Pendekar Daik mula lemah.Kesempatan itu tidak dilepaskan.Sambil melompat tinggi,panglima Siam itu melepaskan satu hentakan siku yang kuat tepat mengenai ubun-ubun Pendekar Daik.Pendekar Daik jatuh terkulai seperti layang-layang putus tali.Penonton terdiam,tidak ada yang bersorak.Tunku Mahmud segera mendapatkan pendekar harapannya yang terbaring tidak bergerak.Sedar-sedar Bujang juga berada di sisi abang iparnya. "Nah,itulah balasan orang yang takbur,"Bujang menyindir pedas. Tunku Mahmud menjeling pada Bujang,kemudian memandang pada Pendekar Daik. "Dia matikah?"tanya Tunku Mahmud,suaranya cemas. "Nyawa-nyawa ikan,"balas Bujang,menjeling tajam pada panglima Siam itu. Panglima Siam itu memusing badannya menghadapi penonton."Hoi,orang Melayu!Mana lagi orang kuat kamu!"jeritnya megah sambil menepuk dadanya."Ini Kutcai!Mari lawan sama Kutcai!Kutcai kuat!Melayu lemah!Melayu bodoh!" Beberapa orang anak buah Tunku Mahmud tampil ke hadapan dengan wajah bengis. Tunku Mahmud juga kelihatan berang."Bagus!Sekarang ajar si-bangsat itu betul-betul!" Anak buahnya mula membuka langkah silat.Panglima Siam menanti sambil tersenyum sumbing.Tunku Mahmud terus menyerbu.Namun,belum sempat mengatur langkah,satu tamparan kencang hingga di belakang tengkuknya,menyebabkan dia terjatuh ke tanah. Dia memusing badan sambil menyambar hulu kerisnya. "Cis!"Bujang memijak tangan abang iparnya sebelum sempat keris itu dihunus."Sifat takbur Tunku telah menjatuhkan maruah orang Melayu.Sekarang,maruah itu terpaksa patik tebus." Tanpa mempedulikan Tunku Mahmud,Bujang mara sambil memberi isyarat kepada anak buah abang iparnya supaya berundur.Dia tahu cabaran panglima Raja Ligor itu ditujukan padanya. "Cincai,,cuba ulang lagi kata-katamu tadi,"Bujang mencabar,tangan berpeluk tubuh. "Kutcai!Nama aku Kutcai,bukan Cincai!"Panglima Siam itu menengking marah kerana namanya dipersendakan begitu rupa."Jaga kau,Melayu!" "Betulkah orang Melayu bodoh dan lemah?"Bujang mendesak. "Kalau kau boleh kalahkan aku,kau kuat!"Kutcai mencebik. "Tiada yang kuat melainkan Allah,"tegas Bujang.Di saat itu,terkenang kembali perbuatan orang-orang Siam dan membantu Belanda sehingga menyebabkan Kuala Kedah menjadi padang jarak padang tekukur. "Kau minta pada Tuhan kau,aku minta pada Tok Put!"Kutcai mula menujuk-nunjukkan bunga tomoi seolah-olah mencabar Bujang menyerangnya. Tetapi,Bujang tidak sebodoh itu.Dia tidak akan termakan umpan yang dijaja di depan mata. Dia tahu caranya untuk menjerat umpan itu.Dia juga tidak memasang kuda-kuda seperti kebanyakan pendekar.Sebaliknya,dia hanya tercegat menanti serangan,tangannya masih berpeluk tubuh. Kaedah itulah selalu digunakan Sunan Kalijogo,salah seorang Wali Sembilan,ketika berhadapan dengan musuh dari Kerajaan Majapahit.Kaedah seperti itu juga diajar sendiri oleh Sunan Kalijogo ketika Bujang berguru di Gunung Jerai. Barangkali kerana terlalu jemu menunggu,tiba-tiba Kutcai melepaskan sepakan kencang ke arah batang tengkuk Bujang.Pergerakannya cukup pantas,dibuat secara mengejut di saat disangkanya Bujang lalai.Namun,betapa pantas sepakan itu,pantas lagi Bujang bertindak. Bujang tidak berundur,malah maju setapak sambil membuat tetakan gunting ke leher Kutcai dengan kedua-dua tapak tangannya.Sekelip mata kemudian,penumbuk kirinya singgah di tengah dada Kutcai.Bujang merendahkan badan,penumbuk kanannya pula hinggap di celah kangkang Kutchai.Penyudahnya,Bujang bangun memaut tengkuk Kutchai dengan tangan kiri,siku kanannya dilepaskan tepat ke pelipis Kutcai.Sebagai melepaskan geram,diterajangnya dada Kutcai kuat-kuat.Kutcai jatuh terlentang macam batang pisang.Tepukan serta sorakan dari penonton bergemuruh hebat,jauh lebih hebat dari tadi.Bujang berundur dan berpeluk tubuh semula seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Rakan-rakan Kutcai menyerbu ke gelanggang sambil membawa pedang.Melihat Kutcai tidak bernyawa lagi,mereka terus menyerang Bujang seperti singa kelaparan. Bujang tidak bertangguh lagi.Keris panjangnya dihunus.Dia menyerbu dan menikam,mengelak dan merodok,kedua-dua kakinya bagaikan tidak berpijak di tanah,keris panjangnya begitu pantas dan ligat sehingga tidak kelihatan pada pandangan mata kasar. Tidak sampai senafas,empat panglima Siam itu bergelimpangan di tepi mayat Kutcai dan menggelepar lemah,darah mencurah-curah dari liang luka di perut dan dada masing-masing.Kali ini,penonton tidak bersorak lagi. Semua bagaikan terpukau dengan kejadian yang berlaku begitu pantas. Bujang berundur ke sisi Tunku Mahmud yang sedang memeriksa Pendekar Daik. Bila Bujang menoleh ke arahnya,dia hanya menggelengkan kepala mengatakan Pendekar Daik sudah tiada. Bujang masih tercegat,keris panjangnya terhunus di tangan menanti perkembangan selanjutnya. Nampaknya tiada lagi tindakan susulan.Saki-baki pengiring Raja Ligor turun ke gelanggang mengusung mayat rakan-rakan mereka keluar dari situ.Raja Ligor tidak berkelip-kelip mamandang Bujang.Bujang hanya menyusun sembah persilatan sebagai tanda hormat pada Raja Ligor.Kemudian,dia menyarungkan kerisnya,menghunus sekerat,lantas menyarungkan semuala.Dia agak terperanjat melihat pergerakannya ditiru oleh ramai pendekar dan hulubalang di situ,menandakan mereka juga ahli Angkatan Fisabilillah. Anggukan dari Tunku Mahmud mengesahkannya. "Pendekar Daik tidak ada peluang langsung,"kata Tunku Mahmud setelah memberi isyarat kepada anak buahnya membawa mayat itu pergi. "Pukulan tomoi memang merbahaya,"Bujang ternampak kesan tamparan masih merah di tengkuk abang iparnya."Maafkan patik kerana menampar Tunku tadi. Patik hilang pertimbangan melihat sikap biadap Kutcai." " Tak mengapa,Dinda,"Tunku Mahmud memberi maaf."Kadangkala Kanda memang patut diajar supaya tidak lupa diri. Kalau orang menjual,baru kita membeli." "Seeloknya begitulah,Tunku,"Bujang gembira kerana abang iparnya sudah insaf. Pertunjukan Mak Yong dengan barisan penarinya yang jelita berjaya mengalih perhatian penonton dari peristiwa berdarah yang baru disaksikan. Bujang menepuk bahu abang ipar-nya dan segera berundur dari keriuhan itu. Malam itu ketika pertunjukan wayang kulit berlangsung di Balai Besar,Bujang ditahan di tengah jalan oleh sepuluh orang lelaki yang tidak dikenali selepas selesai menunaikan jemaah Isyak di masjid berhampiran. Bujang tidak membawa kedua-dua bilah kerisnya tetapi kerambitnya masih tersembunyi di celah bengkung. "Kami kawan-kawan Jusuh,"seorang lelaki yang melantik dirinya sebagai ketua menyatakan kepada Bujang.Bahasanya ada pelat-pelat Siam. Dia bersama rakan-rakannya semua membawa senjata yang tajam berkilat. Bujang tidak menjawab,hanya mengamati mereka satu persatu. Dia tahu mereka berani bersemuka dengannya kerana mereka menyangka dia tidak bersenjata. "Kami mahu tahu apa salah Jusuh sehingga dia dibunuh begitu kejam,"jerkah ketua itu. "Dia dibunuh kerana engkar perintah,"balas Bujang dengan tenang. "Perintah siapa?"desak ketua kumpulan itu."Jusuh diperintah supaya membunuh Orang Putih jahanam itu!Siapa pula yang berani melarangnya?" "Panglima Agung,"balas Tunku Mahmud yang muncul dari dalam gelap."Kamu semua baru datang dari Petani,bukan?Mungkin kamu tidak tahu.Kumpulan Panglima Agung sudah dibubarkan.Kita semua menjadi Angkatan Fisabilillah.Panglima Agunglah ketua dan imam khalifah kita mulai dari sekarang." Mereka semua segera menyarungkan senjata masing-masing dan menyusun sembah di hadapan Tunku Mahmud. "Inilah Panglima Agung,"Tunku Mahmud menepuk bahu Bujang."Dia juga adik ipar beta.Air dicincang takkan putus.Cubit paha kanan,paha kiri terasa sakit juga.Faham semua?" "Faham,Tuanku Raja Muda,"mereka menjawab hampir serentak. "Sekarang baliklah ke Petani,jangan berdendam lagi,"perintah Tunku Mahmud. "Nanti dulu,"Bujang menahan mereka."Biar hamba jernihkan yang keruh. Tindakan Jusuh itu kurang bijak.Kalau bukan hamba yang membunuhnya,dia pasti dibunuh oleh pegawai-pegawai Belanda itu.Bukan begitu caranya mati syahid." "Sebenarnya bukan Panglima Agung yang membunuh Jusuh,"Tunku Mahmud mengguna-kan akal culasnya."Panglima Agung sekadar mencederakannya.Pegawai-pegawai Belanda itulah yang menembak Jusuh sampai mati. Kalau masih ragu-ragu,tanyalah kawan-kawan beta yang lain." "Kami percaya pada Tunku Raja Muda,"kata ketua mereka."Kami minta maaf kerana tersalah sangka.Kami mohon diri.Daulat Tuanku!" Mereka segera menghilangkan diri dalam kegelapan malam itu. "Bijak betul akal bicara Tunku,"Bujang memuji abang iparnya ketika mereka berjalan pulang."Patik sendiri tidak terfikir tentang tipu-muslihat itu." "Kadangkala kita terpaksa menggunakan tipu-muslihat untuk terus hidup,sama seperti Panglima menggunakannya ketika menentang Kutcai dan rakan-rakannya petang tadi,"ujar Tunku Mahmud dengan padat."Tetapi,perihal Jusuh itu bukan tipu-muslihat.Hakikatnya,dia memang mati dibunuh Belanda.Kanda sendiri melihat mayatnya.Golok yang dibaling hanya sipi mengenai urat mari.Dia mati akibat peluru yang bersarang di belakangnya." "Patik kagum dengan kepintaran Tunku,"Bujang memuji lagi dengan ikhlas. "Kanda belajar dari Belanda juga,"balas Tunku Mahmud sambil menepuk buntut pistol yang tersisip di pinggangnya."Kita perlu belajar dari orang Barat.Dalam beberapa perkara, mereka lebih baik dari kita." Bujang diam-diam mengakui hakikat itu meskipun dia menentang Belanda. "Oh ya,"sambung Tunku Mahmud lagi apabila mereka tiba di hadapan pintu gerbang."Paduka Ayahanda sudah hampir sembuh,berkat bantuan Panglima dulu.Besok kita akan bersidang di Balai Rong Seri.Khabarnya Ayahanda akan memberi anugerah kepada Datuk-Datuk yang banyak berjasa." "InsyaAllah,patik akan ke sana besok,"Bujang berjanji. "Kanda akan menemui orang-orang kita di Bukit Keplu,"Tunku Mahmud merendahkan suaranya."Panglima ada rancangan malam ini? "Patik ingin menyaksikan wayang kulit,"Bujang memberi alasan. "Kalau begitu,besok kita berjumpa di Balai Rong Seri,"balas Tunku Mahmud. Setelah Tunku Mahmud hilang di dalam gelap,Bujang masuk ke pekarangan istana melalui pintu gerbang.Dia melihat sekali imbas sahaja pertunjukan wayang kulit yang sedang berlangsung itu biarpun ramai penonton berkerumun. Lagipun malam itu malam terakhir sambutan majlis perkahwinannya.Dia perlu berkemas-kemas untuk berpindah ke istana Siputih keesokan harinya.Dilihatnya tetamu kehormat pun ramai yang sudah meninggalkan istana Kota Naga sejak peristiwa berdarah petang tadi,termasuk Raja Ligor dan Gabenor-Jeneral Belanda.Yang tinggal hanyalah beberapa orang raja Melayu.Ketika dia melintas di hadapan Balai Penghadapan atau Balai Rong Seri,kelihatan baginda Sultan dan Bonda Permaisuri,Tunku Pangeran,Fatimah,Wan Sara dan lain-lain kerabat bersama beberapa orang pembesar sedang asyik menyaksikan persembahan Mek Mulong dengan iringan serunai,rebana dan gong..Dilihatnya Tunku Balqis isterinya tidak ada di situ. Dia segera masuk ke dalam istana. Sampai di kamarnya,dia mendapati keadaan dalam kamar itu gelap tidak berlampu. "Kunci pintu rapat-rapat,abang,"suara isterinya kedengaran manja dari atas katil. Samar-samar dilihatnya isterinya sudah berada dalam selimut. "Balqis pun nak main wayang kulit?"sindir Bujang sambil menjenguk ke luar jendela di mana pertunjukan wayang kulit sedang diadakan di Balai Besar. "Balqis ada permainan yang lebih baik dari wayang kulit,"balas Tunku Balqis dengan suara manja."Permainan ini dipanggil bersentuh kulit." Bujang tertawa lalu menutup jendela itu. Pagi itu ketika Bujang bersiul-siul melangkah dengan riang menuju ke Balai Rong Seri, dia ditahan oleh kakak iparnya Wan Sara yang kelihatan pucat dan cemas. "Kenapa,Kanda?"tanya Bujang,wajah riangnya berubah. "Fatimah,"Wan Sara cuba menerangkan."Dia...dia pengsan di kamar Bonda." Bujang mendahului Wan Sara memasuki kamar peraduan emak mertuanya Bonda Permaisuri.Fatimah terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dikerumuni dayang-dayang,mulutnya berbueh.Bujang terus mencempung anaknya itu,dibawa balik ke kamarnya.Tunku Balqis yang sedang bersolek sambil menyanyi perlahan terperanjat bila suaminya mengetuk-ngetuk pintu dari luar.Dia bingkas bangun meninggalkan cermin dan meja solek lalu membuka pintu itu.Tambah terperanjat lagi apabila suaminya masuk mencempung anaknya yang kelihatan pucat seperti mayat. Bujang terus membaringkan Wan Fatimah di atas katil tanpa menghiraukan isterinya yang mula menangis teresak-esak."Dayang-dayang,bawa air kemari,"perintahnya. Di Balai Rong Seri,semua pembesar sudah hadir untuk memulakan persidangan. Baginda Sultan mencari-cari Bujang tetapi menantunya itu belum datang lagi.Baginda menoleh ke arah Bonda Permaisuri,kemudian ke arah dua orang puteranya Tunku Pangeran dan Tunku Mahmud Raja Muda. Tunku Mahmud hanya menggelengkan kepala sambil melihat tempat kosong di sebelahnya yang dikhaskan untuk Bujang. "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,"sembah Tunku Mat Akib Raja Bendahara."Eloklah kita mulakan persidangan ini,memandangkan semua pembesar sudah hadir." "Molek,"baginda menjawab antara rela dengan tidak."Dauk-Datuk sekelian,beta merasa bangga dan bertuah kerana orang Belanda banyak membantu kita memakmurkan negeri ini. Kali ini,Tuan Gabenor-Jeneral Cornelis Van de Lijn menawarkan bantuan panglimanya yang terhandal, Datuk Awang Kelana ,yang bergelar Datuk Maharajalela Bunuh Tidak Bertanya. Datuk Awang Kelana ini berasal dari Perak tetapi sudah lama berkhidmat dengan Kompeni Belanda sebagai Ketua perajurit.Tujuan Datuk Awang Kelana ke negeri kita ini ialah untuk menghapus segala penyamun,perompak dan lanun yang masih berleluasa. Dengan bangganya beta memperkenalkan Datuk Awang Kelana!" Datuk Awang Kelana yang gempal dan tegap,bermisai keras melenting,berjanggut dan berjambang bangun menyusun sembah kepada baginda Sultan,mengangguk ke kiri dan ke kanan kepada Datuk-Datuk,kemudian duduk semula.Namun,semua sempat melihat pedang dan pistol yang dibawanya. Baginda Sultan beralih pandangan kepada Tunku Mahmud Raja Muda."Anakanda selaku Raja Muda,dan juga Anakanda Tunku Pangeran Raja Temenggung,berilah sokongan dan kerjasama kepada Datuk Awang Kelana untuk menghapuskan kumpulan haram itu." Tunku Mahmud dan Tunku Pangeran menyusun sembah tanda taat setia. "Datuk-Datuk sekelian,"baginda bertitah lagi."Beta juga berkenan menganugerahkan kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar jawatan Laksamana yang membawa gelaran Tengku Laksamana Agung Raja Laut." Ketika baginda Sultan menyebut 'agung',Tunku Mahmud sengaja batuk-batuk kecil supaya nama itu tidak jelas didengar."Kenapa gerangan,Anakanda?" "Ampun Anakanda,Paduka Ayahanda,"sembah Tunku Mahmud sambil batuk-batuk kecil lagi."Anakanda kurang sihat hari ini." "Tak mengapa,Anakanda,"ujar baginda Sultan."Persidangan kita tidak lama." "Datuk-Datuk,"baginda meneruskan."Selaras dengan gelaran itu,Tengku Alang Iskandar akan dianugerahkan istana Kota Siputih sebagai tempat bersemayam.Kawasan pegangannya pula bermula dari Tanjung Jaga hingga ke Sungai Kerian,termasuk juga Pulau Langkawi, Pulau Pinang serta pulau-pulau di sekitar.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now