Bab 63

248 15 3
                                    

Menjelang dinihari pada hari Isnin 14 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 6 November 1652 Masehi,Bujang bangun mengambil wuduk lalu mengerjakan sembahyang tahajud seperti kebiasaannya.Suasana gelap-gelita kerana bulan sudah tenggelam.Cuaca dingin hingga ke tulang hitam tidak sedikit pun mengganggu khusyuknya.Pemuda Tengger yang berkawal malam datang menambah kayu api,menyebabkan unggun api bertambah marak menerangi kawasan yang berkabus tebal itu.Selepas menutup tahajudnya dengan solat witir,Bujang duduk bersila mengamalkan zikrullah hingga fajar sidiq menyingsing.Kokokan ayam hutan berderai-derai entah dari mana. Dia mendirikan sembahyang subuh seorang diri kerana Panglima Kahar dan Andika masih meringkuk dalam khemah. Ketika Bujang berwirid selepas sembahyang,kaum Tengger seorang demi seorang turun dari ran untuk menyalakan api dan menyediakan sarapan.Dayang-dayang juga bangun tanpa disuruh,diikuti oleh Ratna yang turut membantu bertanak pulut serta menjerang air.Panglima Kahar dan Andika bangun mengerjakan sembahyang subuh berasingan. Semua itu disedari oleh Bujang.Selesai berdoa,Bujang berzikir ringkas sahaja kerana terpaksa membantu mengemaskan barang-barang. Terang-terang tanah,mereka meneruskan perjalanan selepas bersarapan ala kadar. Di kala matahari muncul dari ufuk Timur,mereka mula menuruni kawasan pergunungan menghala ke lembah Gunung Bromo.Mereka terpaksa berhati-hati supaya kaki kuda tidak tersandung akar atau tergelincir ke dalam lopak.Menjelang tengah hari,cuaca masih sejuk kerana sentiasa dinaungi pohon-pohon rendang. Mereka tidak berhenti,sebaliknya mengalas perut sambil menunggang perlahan-lahan. Waktu senjakala,mereka berhenti di sebatang sungai yang agak luas,airnya mengalir deras. “Sungai Mas,”beritahu Pak Buyon pada Bujang sementara anak buah masing-masing sibuk mendirikan tempat kediaman sementara serta menyediakan makan malam.”Di seberang sana ialah dusun kami,di lereng Gunung Bromo.Gusti Panglima kena naik rakit ikut sungai ini ke Gresik.” “Rakit?”Bujang teringat kembali pengalaman di Jambi. “Tak apa,anak buah manira pandai bina rakit bambu,”kenyataan Pak Buyon melegakan hati Bujang.”Kalau kita cepat,malam ini juga ditanggung beres.” “Kalau begitu,Pak Buyon ambillah semua kuda kami bersama dengan bekalan makanan yang berlebihan,”Bujang menawarkan sebagai balasan. Pak Buyon hanya tersengih seperti biasa. Bujang menggunakan waktu siang yang masih tinggal sedikit untuk menunaikan sebahyangnya. Kemudian,bersama Panglima Kahar dan Andika,dia membantu kaum lelaki Tengger menebang buluh betung yang tumbuh liar di tebing sungai itu untuk membina rakit sementara kaum wanita sibuk menyediakan makan-minum.Dengan berpandukan cahaya terang dari bulan purnama dan cahaya unggun api,pekerjaan mereka menjadi lebih mudah. Orang Tengger memang cekap membina rakit bambu.Tidak berapa lama kemudian,wujudlah bentuk sebuah rakit yang berlantai tiga lapis,diikat kukuh-kukuh menggunakan rotan seni.Cuma tinggal untuk dipasang dinding,bumbung,pelampung dan galah kemudi. Mereka berhenti rihat dan beramai-ramai menjamah juadah yang disediakan. “Selepas ini Gusti Panglima bolehlah bersantai,nggak perlu susah-susah lagi,”Pak Buyon menjelaskan sambil menyuap makanan.”Anak buah manira boleh bereskan.” “Dengan apalah hendak hamba balas jasa Pak Bulon,”Bujang mengucapkan. “Berian ini sudah lebih dari cukup,”ujar Pak Buyon menepuk pistolnya yang sentiasa dibawa ke mana sahaja.”Senjata api ini amat bernilai bagi kami orang Tengger.” “Pak Buyon kata sepuluh hari,”Andika mengungkit.”Ini belum sampai lima hari.” Pak Buyon ketawa berdekah-dekah.”Nasib kita baik,tidak tersesat,tak berjumpa binatang buas, tak ketemu apa-apa pun,”Pak Buyon termenung sejenak.”Sebetulnya,memang aneh,ya?” Kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan,Bujang cepat-cepat minta diri.Dia terus mengajak isterinya mandi di sungai dan membiarkan orang lain yang lebih arif menyiapkan rakit buluh itu. Kembali ke tikar hamparan,dia agak terkejut melihat Ratna menyarungkan kain telekung dan bersiap-sedia menjadi makmum.Fahamlah ia bahawa haid isterinya sudah kering.”Cepatnya.” “Dah genap lima hari,”tersipu-sipu Ratna menjawab.”Cepatlah,kita solat.” Selepas berjemaah dengan isterinya,Bujang memeriksa rakit yang hampir siap itu. Dia terkejut melihat tiga buah khemah turut dipasang di atas rakit itu. “Dah ada bumbung,khemah pula?”rungutnya pada Panglima Kahar dan Andika. “Bumbung hanya di atas,”Panglima Kahar memberi alasan.”Kalau hujan,tempias juga. Sebab itulah kita perlukan khemah.” “Pindahkan barang-barang kita ke atas rakit,”pinta Bujang. Dia menghampiri Pak Buyon yang sedang berborak dengan dua-tiga orang lelaki Tengger. “Duduklah,Gusti Panglima,”pelawa Pak Buyon.”Kami sedang bersidang tentang Gusti.” “Tentang hamba?”Bujang duduk di atas tunggul bersama mereka. “Begini,Gusti Panglima,”Pak Buyon mengeluarkan secebis belulang lembu yang berlukis rajah-rajah tertentu.”Ketika leluhur kami meninggalkan Majapahit,banyak harta karun disembunyikan di sekitar Pulau Dewata,bakal digunakan untuk membangun kembali Kerajaan Hindu yang sudah tumbang.Salah satu tempatnya di Gunung Agung. Ini gambar rajahnya.”Pak Buyon menghulurkan belulang itu kepada Bujang. Bujang mengamati belulang itu sekali imbas tetapi tidak memahaminya. “Itu gambar rajah Gunung Agung,dilukis leluhur kami,”Pak Buyon menjelaskan.”Tempat harta karun itu disembunyikan ditanda dengan patung Siva.Ambillah,Gusti Panglima.” “Berbudi sungguh Pak Buyon pada kami,”ujar Bujang penuh terharu. “Harta karun itu milik Dewata Mulia Raya,bukan milik kami”balas Pak Buyon.”Kendatipun kami beragama Hindu,kami sokong sepenuhnya usaha Gusti Panglima menentang Holanda. Moga-moga harta itu bisa membantu perjuangan Gusti.” “Terima kasih,jasa kebaktian Pak Buyon dan anak buah Pak Buyon akan kami kenang hingga ke mati,”Bujang menggulung belulang itu lalu merenung air sungai yang deras.”Bolehkah Pak Buyon menyeberangi sungai dengan kuda?” “Di sini tidak bisa,”Pak Buyon tersenyum.”Kalau ke hulu sikit,kalinya tidak luas dan bisa diseberangi.” Bujang melihat rakit yang sudah siap itu ditolak ke dalam sungai.”Nampaknya,sampai di sini sahaja kita dapat bersama,Pak Buyon.” “Ya,”mereka sama-sama bangun,Pak Buyon menggenyeh matanya yang berair.”Perpisahan ini memang menyakitkan.Tambahan lagi,kita sudah jadi seperti sebuah keluarga.” “Kita tetap serumpun meskipun berlainan agama,”Bujang membalas. Bujang berpelukan dengan Pak Buyon dan bersalaman pula dengan kaum lelaki Tengger.Begitu juga dengan Panglima Kahar dan Andika yang muncul kemudian.Manakala Ratna serta dayang-dayangnya bersalaman dengan kaum perempuan Tengger. Upacara itu ringkas sahaja tetapi amat mengharukan. Beberapa orang menitiskan air mata. Tidak lama kemudian,rakit buluh itu hanyut dibawa arus sungai yang deras,dikemudikan oleh Andika.Mereka melambai-lambai ke tebing sungai sehingga Pak Buyon serta anak buahnya hilang ditelan kesamaran malam.Ratna dan dayang-dayang pun masuk ke khemah masing-masing. Sementara Andika menyediakan tikar sembahyang,Bujang menghampiri bapa saudaranya di hadapan sekali yang sedang mengendalikan galah kemudi.Air sungai berkilau-kilauan terkena cahaya bulan purnama. “Inilah rezeki kita,”tegur Panglima Kahar,melirik pada belulang di tangan Bujang.”Tentu tujuh keturunan pun makan tak habis.” “Ya,”akui Bujang.”Allah memberikan rezeki dengan cara yang tidak disangka-sangka.” Panglima Kahar mendongak bulan yang jauh di barat,menandakan malam semakin larut. “Bujang nak berihat,pergilah,”pelawa Panglima Kahar.”Paman dengan Andika boleh bergilir-gilir menjaga kemudi.” Pelawaan bapa saudaranya itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.Kebetulan,dia memang letih dan mengantuk.”Baiklah,”ujarnya perlahan.”Nanti Bujang bantu.” Bujang masuk ke dalam khemahnya yang gelap untuk menyimpan belulang pemberian Pak Buyon. Semasa meraba-raba mencari kampitnya,tangannya tersentuh badan isterinya yang hangat. Darah mudanya tersirap. Kalau diikutkan hati,mahu diratah Ratna pada malam itu juga.Namun, bila teringat kembali janjinya,hatinya jadi tawar dan nafsunya padam.Diam-diam dia menyimpan belulang itu di dalam kampitnya lalu baring di sebelah isterinya. “Sabarlah,abang,”bisik Ratna dalam kegelapan itu seolah-olah memahami perasaan suaminya yang sedang berperang.Dia memeluk suaminya penuh mesra.”Takkan lari gunung yang dikejar.” Selepas sembahyang subuh pada keesokan harinya Selasa 15 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 7 November 1652 Masehi,Bujang mengambil-alih tugas Andika menjaga galah kemudi meskipun pada mulanya Andika menolak. Sementara Andika sembahyang,Panglima Kahar bangun mengambil wuduk. Bujang menumpukan perhatiannya di hadapan,membiarkan Ratna dan dayang-dayang menyediakan sarapan.Asap berkepul-kepul dari dapur tanah yang digunakan dan berbaur dengan kabus pagi.Malam berganti siang,fajar menghilang diganti sang suria yang menjenguk dari ufuk Timur.Selepas menunaikan kewajipan masing-masing,Andika dan Panglima Kahar beredar ke sisi Bujang.Mereka sama-sama memerhati arus sungai menolak rakit serta tebing sungai yang ditumbuhi hutan nipah,bakau dan sebagainya.Masing-masing terbayangkan kuala sungai dan Gresik yang bakal mereka tempuhi.Rakit mereka terus juga teroleng-oleng dipukul ombak sungai. “Sungai ini di mana hujungnya?”tanya Bujang sambil mengemaskan duduk silanya. “Surabaya,”jawab Panglima Kahar. “Kata orang,nama itu berasal dari kisah seekor buaya dengan….!” “Hisy!”Panglima Kahar menepuk bahu Andika.”Kenapa disebut nama binatang itu.” “Maaf,Datuk,hamba terlupa tentang pantang-larang itu,”Andika memohon ikhlas. “Hanya pantang-larang,tidak lebih dari itu,”Bujang cuba menjernihkan suasana. “Pantang-larang nenek-moyang kita ada banyak kebenarannya,”Panglima Kahar mem-pertahankan kepercayaannya.”Kalau kita langgar,buruk padahnya.Khabarnya setiap tahun sungai ini memakan korban.” Mujurlah kedatangan Ratna membawa sarapan menyelamatkan keadaan.Dulang berisi pulut dan air kopi panas itu diletakkan di atas tikar.kemudian kembali ke belakang rakit. “Panglima makan dulu,”Andika mengambil-alih galah kemudi dari tangan Bujang. Bujang menghulurkan sepinggan pulut kepada bapa saudaranya,sepinggan lagi diambilnya. Pulut kukus yang dipanaskan,berlaukkan ikan kering bakar memang menyelerakan.Dicicah pula dengan sambal belacan yang dipicit-picit. “Pada anggaran Paman,berapa jauh lagi ke muara sungai?”Bujang bertanya. “Lebih-kurang seratus batu,”Panglima Kahar mengira dalam kepalanya.”Kalau naik rakit,dekat-dekat seminggu juga lamanya.” “Kalau ada angin kuat nanti,kita pasang layar,”Bujang mencadangkan.Cadangan itu disambut dengan anggukan oleh Andika dan Panglima Kahar.Perang mulut antara mereka sudah reda. “Agaknya lancang kita sudah berlabuh di Gresik,”Andika membuat tekaan. Tekaan Andika tepat sekali.Pada waktu itu,lancang yang dipimpin oleh Lela Wangsa baru sahaja melabuhkan sauh tidak berapa jauh dari Pelabuhan Gresik.Walau pun tidak sehebat Betawi, berbagai jenis perahu,sampan dan tongkang tertambat di pengkalan manakala di kiri dan kanan pintu kuala kelihatan kapal-kapal berbagai jenis dari berbagai tempat berlabuh. Di darat,terdapat gudang-gudang,kedai-kedai dan rumah kediaman. Kelihatan juga sebuah masjid yang sudah berusia ratusan tahun.Pembangunan di situ memang pesat. Sementara anak buahnya sibuk dengan pekerjaan masing-masing,Lela Wangsa mundar-mandir di atas geladak memerhati di sekitar lancang.Dia merasa bosan.Sejak ketiadaan Andika,dia terasa bagaikan kehilangan tangan kanannya.Hulubalang berdarah raja dari Tanah Bugis itu begitu secocok dengan jiwanya.Bukan dia tidak mempunyai rakan-rakan di kalangan anak buahnya. Namun,kedudukannya sebagai nakhoda dan panglima perang merenggangkan perhubungan mereka. Dia dihormati dan mungkin juga digeruni di kalangan pendekar dan hulubalang di atas lancang itu.Lebih-lebih lagi bila meraka tahu dia amat rapat dengan Panglima Agung. Panglima Agung pula ibarat rajanya.Dia sangguh meredah lautan api,dia sanggup melakukan apa sahaja, bahkan dia sanggup menggadai nyawa jika diperintah oleh Panglima Agung. Tenggelam dalam fikiran sendiri,Lela Wangsa tidak sedar seorang pendekar menghampirinya. “Lela Wangsa,”pendekar itu memaklumkan.”Ada sebuah sampan menuju kemari.” “Panglima Agung?”hati Lela Wangsa melonjak riang. “Bukan,”pendekar itu membunuh kegembiraan Lela Wangsa.”Tiga orang tidak dikenali.” “Suruh mereka pergi,”perintah Lela Wangsa.”Lancang ini tidak membawa penumpang.” “Mereka nak berjumpa dengan Panglima Agung,”pendekar itu mendesak. Mahu tidak mahu,Lela Wangsa terpaksa menerima tetamu yang tidak diundang itu.Seorang lelaki berwajah bengis naik ke lancang.Dua orang lagi,salah seorang memakai serban,menunggu di dalam sampan. “Hamba Juragan Musa,wakil Kiai Ageng,”lelaki itu berterus memperkenalkan diri selepas bersalam dengan Lela Wangsa.”Boleh kami berjumpa dengan Panglima Agung?Urusan penting.” “Panglima Agung belum sampai lagi,”Lela Wangsa memandang ke darat. “Bila dia akan sampai?”Juragan Musa seperti tidak boleh bersabar lagi. “Panglima Agung mengikut jalan darat dari Jokjakarta kemari melalui pergunungan Bromo,” Lela Wangsa menerangkan.” Sukar untuk diramal bila dia akan sampai di sini.” “Kalau dia balik,kami menunggu di sana,”Juragan Musa menunjuk ke arah sebuah kapal yang berlabuh berhampiran.”Kapal Helang Laut. Jangan lupa beritahu dia.” Jurugan Musa bersalam dengan Lela Wangsa dan bergegas turun ke sampan. Panas cuping telinga Lela Wangsa dengan sikap dan telatah juragan itu.Dia ingat dia siapa, datang tanpa dijemput,kemudian pandai-pandai pula memberi perintah? Dia segera berpindah tempat memandang jauh-jauh ke kawasan pergunungan yang kelihatan samar-samar. “Harap-harap Panglima Agung selamat dalam perjalanan,”bisiknya pada diri sendiri. Rupanya harapan Lela Wangsa belum lagi berbunga. Petang itu,Bujang sedang memancing bersama Ratna apabila dia terasa rakit itu seperti melanggar sesuatu.Andika yang sedang melelapkan mata juga terjaga dari tidurnya. “Kita berlanggar dengan apa,Paman?”Bujang meninjau ke arah Panglima Kahar yang sedang menjaga galah kemudi.”Bunyi macam terlanggar tunggul.” “Dengan apa lagi,dengan binatang itulah,”Panglima Kahar menjuihkan mulutnya ke tengah sungai.Seekor buaya yang besar kelihatan terapung seperti kayu hanyut. Bujang menyerahkan beberapa ekor ikan yang dipancingnya kepada Ratna lalu segera ke bahagian hadapan rakit. “Itulah degil sangat,tak hendak dengar nasihat orang,”Panglima Kahar mengomel,kemudian bingkas bangun menyerahkan galah kemudi kepada Bujang,”Pegang ini.” Andik juga bangun sambil menggenyeh mata memandang ke hadapan. Sambil bercekak pinggang,mulut Panglima Kahar kumat-kamit membaca sesuatu.Berkat bacaan doanya,akhirnya buaya itu menyelam dan hilang ke perut sungai. “Lain kali,kenalah jaga mulut,”Panglima Kahar mengomel lagi.”Jangan celupar sangat.” Andika rasa tercabar. Dia hendak menjawab tetapi bahunya dicuit oleh Bujang. Bujang geleng kepala kepada Andika,tidak mahu perkara itu dipanjang-panjangkan. “Boleh tahan juga Paman,”Bujang memuji bapa saudaranya. “Mujurlah Paman tahu sedikit-sebanyak ilmu pelengang,”Panglima Kahar masih tercegat kalau-kalau buaya lain datang.”Seganas mana pun binatang,dapat kita jinakkan kalau kita tahu petuanya. Setiap binatang ada kelemahannya.” “Boleh kami berguru pada Paman?”Bujang bergurau sambil tersenyum pada Andika. “Boleh,”Panglima Kahar tidak bergurau.”Anak-anak Paman semua perempuan walhal ilmu ini hanya sesuai diperturunkan kepada anak lelaki.Menantu lelaki seorang pun tak layak.” “Barangkali bakal menantu ini layak,”Bujang bergurau sambil menepuk bahu Andika. Andika yang dijadikan bahan gurauan tidak senang duduk.Panglima Kahar menjeling pada Andika, kemudian duduk semula.Andika membasuh muka lalu turut sama duduk. “Abang!”tiba-tiba Ratna menjerit sambil menunjuk ke hadapan.Panglima Kahar dan Andika bingkas bangun memandang kea rah yang ditunjukkan. Walaupun Bujang tidak bangun kerana menjaga kemudi,dapat juga dilihatnya dengan jelas. Jauh di hadapan kelihatan berpuluh-puluh ekor buaya beratur merentangi sungai dari tebing ke tebing seolah-olah cuba menghalang perjalanan rakit itu.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now