"Hoi,awak pekak kah?”jerit ketua lanun itu pada Bujang bila bujang masih tercegat. Bujang pun turut sama meniarap di sebelah Andika. “Suaranya macam kukenal,”bisiknya pada Andika.Andika memberi isyarat supaya diam. Lanun-lanun itu turun ke bawah geladak dan mula menggelidah mencari barang-barang berharga.Ketua lanun itu mundar-mandir di atas geladak mengawasi mereka yang sedang meniarap.”Siapa ketua kamu?”jerkah ketua lanun itu dengan garang. “Hamba,”Nakhoda Ali mnengangkat kepalanya.”Nakhoda Ali.” “Orang Belanda keparat itu siapa?”jerkah ketua lanun itu. “Dia bukan orang Belanda,”beritahu Nakhoda Ali terketar-ketar.”Namanya Tuan Jourdain, orang Inggeris. Kapal ini kepunyaannya.” “Tentu orang kaya,”balas ketua lanun itu,melihat rakan-rakannya mengusung sebuah peti besi yang berkunci.”Berikan kunci peti besi itu!” “Sir,give key,”beritahu Nakhoda Ali pada Tuan Jourdain. Tuan Jourdain hanya mengangkat kunci tinggi-tinggi tetapi tidak berani mengangkat mukanya. Ketua lanun it uterus merampas kunci tersebut lalu melontar kepada anak buahnya.Peti besi itu berjaya dibuka.Sebaik sahaja melihat apa yang terdapat dalam peti besi itu,lanun-lanun itu bersorak riang. “Awak!”ketua lanun itu terpandang buntil Bujang.”Ada apa dalam bungkusan itu?” “Cuma pakaian,”jawab Bujang.”Pemberian isteri hamba.” Ketua lanun itu terdiam sejenak mendengar suara Bujang,kemudian merapati Bujang. “Kalau nenek awak beri pun aku peduli apa!”dia mencebik sambil merampas buntil Bujang. Buntil itu dibukanya,maka ternampaklah dua bila keris milik Bujang. “Keris siapa ini?”tanya ketua lanun itu,menunjukkan kedua-dua bilah keris itu. “Keris itu milik hamba,”Bujang membalas dengan tenang. “Bohong!”tengking ketua lanun itu.”Aku kenal siapa pemilik sebenar keris dua bilah ini! Dia sudah mati 10 tahun yang lalu,dibunuh Belanda di Kuala Kedah.” Baru suara ketua lanun itu dapat dicam oleh Bujang. “Hamba belum mati,”tegas Bujang.”Belum ajal berpantang maut.” Ketua lanun itu membongkok mengamati wajah Bujang.”Siapa awak sebenarnya?” “Datuk Panglima Dermang,”Bujang bangun dengan selamba.”Tidakkah Datuk kenal lagi pada hamba anak Pak Jalil?” “Bujang?”Panglima Dermang terkejut lalu memegang bahu Bujang.”Betulkah kau Bujang?” “Benar,Datuk,”Bujang menghulurkan tangan.”Hamba tidak mati seperti yang disangka. Hamba diselamatkan oleh seorang nelayan dan dirawat sehingga sembuh.” “Bujang,”Panglima Dermang terus menyambut tangan yang dihulur.”Syukur Alhamdulillah kau masih hidup.Datuk rasa seperti bulan jatuh ke riba.” Datuk Panglima Dermang menyimpan semula kedua-dua keris itu dan memulangkan buntil itu kepada Bujang.”Kawan-kawan semua! Simpan senjatamu! Serahkan semua sekali barang-barang berharga yang kita rampas!Ini sahabat lama Datuk,namanya Panglima Agung!” Lanun-lanun itu segera mengusung peti besi itu ke bawah geladak dan memulangkan barang-barang berharga yang telah mereka rampas. “Ke mana kau menghilang diri selama ini,Bujang?”tanya Datuk Panglima Dermang. “Hamba ke Gunung Jerai,”ujar Bujang ringkas. Datuk Panglima Dermang mengangguk-angguk tanda faham. “Tidak sia-sia ilmu yang kau tuntut,Bujang,”puji Datuk Panglima Dermang.”Datuk sudah tua.Kau akan Datuk lantik mengetuai perjuangan ini.” “Hamba sudah pun dilantik oleh Tunku Mahmud Raja Muda Kedah,”jelas Bujang. “Memang kau yang paling layak,Bujang,”puji Datuk Panglima Dermang lagi.”Sifatmu cukup lengkap.Kewibawaaan,ketokohan,kebijaksanaan,keilmuan,semua ada padamu.” “Janganlah keterlaluan memuji hamba,Datuk,”mohon Bujang sambil tersenyum. Datuk Panglima Dermang membalas senyuman itu.”Oh ya,apa khabar Sultan Kedah?” “Ke Bawah Duli masih bersemayam di Kota Naga,”Bujang tidak menceritakan dengan panjang-lebar tentang ayahanda iparnya,termasuk tentang penyakitnya. “Kali terakhir Datuk mendengar khabar mengenainya,baginda ke Ligor bersama Tunku Pangeran menghantar bunga emas,”melihat rakan-rakannya sudah lama menunggu,Datuk Panglima Dermang pun menepuk bahu Bujang sambil berbisik,”Kalau umur panjang,jenguk-jenguklah teratak buruk Datuk di Kuala Selangor.” “InsyaAllah,Datuk,”balas Bujang.Mereka berpelukan.Kemudian,Datuk Panglima Dermang pun turun ke perahu,diikuti oleh anak buahnya.Sebentar kemudian,semua perahu itu didayung laju menghala ke Pulau Sialu. Barulah Nakhoda Ali,Tuan Jourdain dan semua awak-awak berani mengangkat muka dan bangun dengan gembira.Andika terus mendapatkan Bujang. “Sudah kuduga siapa kau,Bujang,”tegurnya dengan riang.”Pakailah kerismu.Tak perlu kau menyamar lagi.” Belum sempat Bujang menjawab,Nakhoda Ali sudah muncul bersama Tuan Jourdain. “Tuan Jourdain mengucapkan terima kasih pada Panglima,”kata Nakhoda Ali penuh sopan. “Yes,lad,”sokong Tuan Jourdain dalam bahasanya.” If you want to work with me,I will give you the post of Chief of Guards. I will pay you well.” Bujang yang tidak memahami kata-kata itu memandang pada Nakhoda Ali. “Tuan Jourdain menawarkan kerja pada Panglima,”jelas Nakhoda Ali. “Terima kasih,hamba sudah pun ada pekerjaan,”Bujang menolak. Tanpa diperintah,Andika dan awak-awak lain terus menurunkan layar dan menaikkan sauh untuk meneruskan pelayaran. Bujang beredar ke buritan kapal memerhati Pulau Sialu. Tuan Jourdain kembali ke kurungnya di bawah geladak namakala Nakhoda Ali tinggal memberi arahan-arahan tertentu kepada anak buahnya. Tidak lama kemudian,layar pun berkembang ditiup angin dan kapal itu mula bergerak makin lama semakin laju.Bujang masih tercegat di buritan kapal.Teka-teki mengenai Panglima Dermang sudah terjawab sedikit demi sedikit. Panglima Dermang memang mengetuai Angkatan Fisabillah sebelum ini tetapi kegiatannya hanya terhad di sini.Kejadian samun dan rompakan yang berlaku di Kedah ternyata didalangi oleh orang lain yang tidak dikenali.Mungkin Adimala Tunggal,mungkin juga Raja Muda. Atau pun mungkin juga kumpulan Awang Kerambit yang masih rahsia itu. Dua hari kemudian,kapal itu pun berlabuh di pengkalan Kota Melaka.Bujang bersalam-salaman dengan Nakhoda Ali,Tuan Jourdain serta semua awak-awak,terutama sekali Andika. Kemudian,dia pun melangkahi papan sekeping yang menhubungkan dengan pengkalan. Di atas,dia tercangak-cangak seperti rusa masuk kampung,kagum dengan kepesatan pengkalan itu. Sambil berjalan menggalas buntilnya menuju ke darat,dia memerhati kapal-kapal kecil dan besar dari berbagai ceruk rantau berlabuh di sepanjang pengkalan itu.Tongkang dan sampan berulang-alik membawa barangan dan penumpang.Sepanjang pantai hingga sampai ke kuala,manusia berbagai-bagai bentuk dan rupa berpusu-pusu membeli-belah atau berjalan-jalan.Pondok pisang sesikat,warong,gerai dan kedai dibina di merata tempat,lorong-lorong sempit yang bersimpang-siur itu penuh dengan kereta lembu yang membawa penumpang dan barang-barang.Ketika berjalan,Bujang melihat juga kalau-kalau ada barang keperluan yang berkenan di hatinya.Sebaik sahaja terpandang Kota Melaka yang tersergam di atas sebuah bukit,dia terpegun seketika. Kota daripada batu yang mempunyai empat pintu gerbang itu dilengkapkan dengan berpuluh-puluh pucuk meriam kecil serta beberapa pucuk meriam besar, semua muncung meriam itu dihala ke laut.Di atas setiap pintu gerbang itu berkibar megah bendera Kompeni Belanda yang berbelang hijau,putih dan merah. Dari salah satu pintu gerbang yang turut menempatkan menara kawalan,seorang pegawai berkulit sawo matang berpakaian seragam meneropong setiap kapal yang keluar-masuk pengkalan.Bila ternampak kapal yang dinaiki Bujang,dia meletak teropongnya di atas meja dan membuka sebuah buku tebal dengan kulitnya bertulis ‘Verenigde Oostindische Compagnie’ – ‘VOC’ – Dagh Register’ dengan tulisan warna emas.Jarinya mencari nama-nama kapal tersenarai dalam buku pendaftaran harian itu.Akhirnya,jarinya berhenti pada nama ‘Jourdain&de Souza’. Dia mencelupkan kalam bulu ayam ke dalam bekas dakwat. Di hujung nama itu dituliskan tarikh pada hari itu.”2 Oktober 1652,” dengan tulisan rumi yang herot-petot dan kerana dia seorang Islam,ditambah pula,”10 Zulkaidah 1062 Hijrah.” Dia tidak ingat hari itu hari apa,lalu ditinggalkan kosong pada ruang itu. Dia meneropong lagi ke arah pengkalan,memerhati orang ramai.Perhatiannya tertumpu pada Bujang.Lama juga dia mengamati rupa paras dan pakaian Bujang.Kemudian,dia menurunkan teropongnya semula lalu menggoncang loceng kecil di atas meja beberapa kali.’ Seorang mata-mata berpakaian seragam sepertinya dengan tiga calit di lengan baju segera masuk memberi tabik hormat. “Sahaya datang,Tuan Madulika,”kata mata-mata itu dengan kuat. “Sarsan Lorenzo,”perintah Tuan Mandulika.”Awak nampak orang itu?” Mata-mata yang dipanggil Sarsan Lorenzo mengikut arah yang ditunjuk oleh ketuanya. “Orang Melayu,Tuan,”katanya.”Tapi sahaya tak nampak dia bawa senjata.” “Pergi siasat sama dia,bodoh!”marah Tuan Mandulika.”Bawa mata-mata.Kalau dia buat kacau,tangkap.Tapi ingat,jangan beri dia nampak awak semua.Faham?” “Faham,Tuan,”balas Sarsan Lorenzo.”Sahaya ikut perintah Tuan.” “Pergi!”Tuan Mandulika menghalaunya dengan kasar. Sarsan Lorenzo yang mukanya sudah tebal dengan maki-hamun pegawainya itu memberi tabik hormat,berpaling dan pergi dari situ. Ketika Bujang berjalan-jalan melihat barang jualan,hatinya tertarik pada sebuah kampit kulit yang siap dengan tali galas.Diteliti betul-betul,yakinlah dia kulit itu kulit lembu. Muat untuk memasukkan buntilnya,tepi dijahit dengan dua saku dan tidak basah jika terkena hujan. “Berapa harganya?”dia bertanya pada penjual berkulit gelap itu. “Sepuluh florins,”balas penjual itu sambil tersenyum menampakkan giginya yang berkarat. Bujang tidak tahu berapa nilai wang yang dimaksudkan itu.Dia mengeluarkan uncang wang dari buntilnya,mengira sepuluh keping wang perak,terus membayar tanpa tawar-menawar. Dia menyimpan uncang wangnya,kemudian memasukkan buntilnya ke dalam kampit itu. “Tunggu dulu,tambi,”penjual itu menahan.”Ini duit tarak laku.” “Wang perak,”beritahu Bujang.”Digunakan di negeri Kedah.” “Ini bukan Kedah,”penjual itu berkeras.”Kasi bayar sepuluh florins.” “Wang tetap wang dan sah digunakan di mana-mana,”Bujang juga mulai berkeras. Rupanya perselisihan faham itu menarik minat seorang perempuan muda yang berniaga nasi dan lauk-pauk selang beberapa gerai dari situ.Tambah tertarik lagi minatnya pada Bujang. Dia pun menghampiri penjual berkulit gelap itu,”Ada apa,Maideen?” “Ini orang guna duit tarak laku,”Maideen menyerahkan wang itu. Perempuan itu meneliti wang yang diberikan itu.” Kedah Darul-aman?” “Benar,”Bujang mengaku.”Sepuluh tera semuanya.” “Duit ini memangtak laku di sini,”terang perempuan itu.”Tak apalah,Maideen.Biar sahaya tolong bayar untuk pria ini.”Perempuan itu berkejar balik ke gerainya,kemudian kembali menyerahkan wang yang diminta kepada Maideen. Maideen tersengih,puas hati. “Terima kasih,”Bujang mengucapkan.”Simpanlah wang hamba itu sebagai gantinya.” “Kembali,”balas perempuan itu dengan mesra.”Singgahlah makan di gerai kami dulu.” Baru Bujang teringat dia belum menjamah sarapan pada pagi itu. Dia pun mengangguk dan mengikut sahaja pelawaan perempuan muda itu. “Encik nak makan apa?”tanya perempuan muda itu dengan ramah. Bujang memerhati semua makanan yang dijual,kemudian menuding,”Yang itu.” “Itu mee goreng,”balas perempuan itu.”Minum?Kopi..teh…serbat?” “Kopi panas,”jawabnya ringkas.”Boleh hamba bayar dengan wang dari Kedah?” “Makan dulu,bayarannya dikira kemudian,”sahut perempuan itu sambil melenggang pergi dengan gaya yang menggoda.Bujang melihat perempuan muda itu berkata sesuatu pada sepasang suami-isteri yang sedang memasak,kemudian kembali untuk melayan pelanggan lain pula.Bujang tertarik pada perempuan muda itu.Bukan sahaja kerana perempuan itu cantik dan pinggangnya ramping,tetapi telor percakapan perempuan itu juga menarik minatnya.Siapa gerangannya?Bila perempuan itu melerek padanya ketika melayan kehendak pelanggan-pelanggan lain,dia menjadi malu pada diri sendiri.Lekas-lekas dipandangnya ke arah lain. Bila makanan yang dipesan sampai,dia terus makan tanpa mengangkat muka. Dua orang mata-mata berpakaian seragam datang duduk di meja sebelah. “Kartini,”jerit salah seorang mata-mata itu.”Teh cina,dua!” “Baik,Sarsan,”balas perempuan muda itu lalu masuk memberitahu suami-isteri tadi. Ketika menjamu selera,Bujang menyedari dirinya menjadi perhatian ramai pelanggan di situ,terutama sekali dua mata-mata di sebelah mejanya.Dia mula merasa tidak selesa. Cepat-cepat dihabiskan makanan itu kemudian minum seteguk-dua buat membasuh mulut.Belum sempat dia bangun hendak pergi,perempuan yang dipanggil Kartini itu datang membawa talam berisi tiga cawan teh cina yang masih panas.Dua cawan diberikan pada mata-mata itu manakala secawan lagi diletak di atas meja Bujang. “Hamba tidak memesan minuman ini,”Bujang agak terkejut. “Lihat apa di dalamnya,”bisik Kartini dan terus pergi ke meja lain pula. Bila dilihat,Bujang ternampak cebisan kecil kain tiga warna lambang Angkatan Fisabilillah diikat rapi dan dicampur bersama daun-daun teh.Kartini memperkenalkan diri sebagai ahli. Dia perlu menjawabnya untuk mengesahkannya.Dia cuba ingat balik isyarat-isyarat yang dipelajarinya dulu.Dua bilah kerisnya dalam kampit itu tidak boleh digunakan,takut kalau-kalau disyaki orang,terutama sekali mata-mata di sebelahnya.Kalau dia tersalah balas,silap-silap dia dibunuh kerana dianggap musuh dalam selimut.Akhirnya dia mengambil sekeping wang perak,diketuk tiga kali pada cawan itu.Bila Kartini bergegas datang,dia terus menghulur wang itu dengan mengepitnya antara ibu jari dan jari telunjuk manakala jari hantu,jari manis dan jari kelingking dibiar lurus,membentuk angka 30 dalam tulisan Jawi,juga melambangkan 30 juzuk Al-Qur’an.Kartini pura-pura tidak nampak.Namun,bila dia menerima wang itu,digunakan cara yang sama.Lepas itu,dia terus membawa cawan pergi tanpa menoleh pada Bujang lagi.Bujang bangun,menyangkut kampitnya pada bahu lalu segera beredar dari situ.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...