Bab 3

594 11 0
                                    

Bujang bergegas mengekori Panglima Dermang melalui sebatang denai yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu. Tiba di tempat yang dimaksudkan,Tok Peran sedang leka menyalakan unggun api untuk menghalau nyamuk dan agas.Beberapa ekor gajah dan kuda kelihatan berhampiran teratak beratap rumbia itu.Gajah-gajah telah dirantai ke perdu pokok,pergelangan kaki dipasang simpai.Kuda pula berada dalam kandang buluh,sedang mengunyah rumput.

Demi terpandang wajah Panglima Dermang,Tok Peran terus tunduk menyusun sembah penuh takzim.

"Tok Peran,"Panglima Dermang memegang bahu Tok Peran dan menyuruhnya berdiri."Ini sahabat baik hamba.Bujang namanya.Baru datang dari Kuala Kedah."

"Ya,Datuk,"sahut Tok Peran,teragak-agak hendak bersalam dengan Bujang.

"Kami perlu ke istana dengan segera,"Panglima Dermang terus menerangkan tujuan -nya."Negeri kita dilanda mala petaka,musuh akan menyerang bila-bila masa."

"Hamba faham,Datuk,"Tok Peran tunduk."Akan hamba sediakan kenaikan ke istana.Datuk pilih gajah atau kuda?"

"Gajah,"jawab Panglima Dermang sambil tersenyum."Sahabat hamba ini belum biasa menunggang kuda."

"Hamba akan sediakan seekor gajah,"Tok Peran juga tersenyum menampakkan giginya yang tinggal sebatang."Datuk berdua berihatlah dulu.Buatlah teratak buruk pacal hamba ini bak rumah sendiri."

Selepas berihat seketika dan menunaikan sembahyang maghrib,mereka pula bertolak menaiki gajah yang digembala oleh Tok Peran. Perjalanan menempuh denai melalui hutan kecil,belukar,paya dan sawah-bendang membawa mereka ke sebuah kawasan perkampungan yang luas dengan rumah-rumah kediaman yang berselerak tidak tentu arah.Cahaya sang rembulan yang terang menampakkan istana Kota Naga tersergam megah di tengah-tengah rumah penduduk.Kawasan istana yang luas itu dikelilingi kubu batang nibung yang ditajamkan di hujungnya,tingginya kira-kira dua kali tinggi orang dewasa.Pintu gerbangnya ada dua,keempat-empat penjuru kubu itu didirikan balai kecil tempat para pengawal bertugas.

Tiba di hadapan pintu gerbang yang dikawal oleh dua orang pengawal berlembing, gajah itu pun direndahkan badannya. Panglima Dermang dan Bujang menggelungsur turun dari belakang gajah. Setelah melambaikan tangan pada Tok Peran tanda berterima kasih,mereka berdua pun mendekati pintu gerbang itu.Dua pengawal yang bertugas itu hendak menyergah tetapi tidak jadi apabila mengenali Panglima Dermang."Datuk Panglima Dermang,"tegur salah seorang pengawal."Selamat datang. Ke Bawah Duli Tuanku sedang bersidang dengan para pembesar di balai rong seri."

"Pucuk dicita ulam mendatang,"balas Panglima Dermang."Mari,Bujang."

Pintu gerbang dibuka. Mereka berdua pun masuk ke pekarangan istana yang luas itu. Panglima Dermang terus membawa Bujang menuju ke bangunan istana kayu yang agam itu. Dua orang pengawal berlembing yang mengawal pintu istana mengelak memberi laluan.Mereka menghala ke sebuah ruangan yang luas.. Dua orang lagi pengawal berlembing berjaga di pintu masuk ke balai itu. Persidangan yang sedang berjalan rancak itu berhenti apabila Panglima Dermang masuk bersama Bujang."Ikut apa yang Datuk buat,"bisiknya pada Bujang.

Bujang angguk tanda faham. Mereka pun mara selangkah,tunduk melutut menyusun jari sepuluh,bangun semula,mara lagi selangkah lalu tunduk melutut menyusun sembah. Tiga kali berturut-turut perbuatan itu diulang baru mereka berhenti di hadapan tahta di mana baginda Sultan sedang bersemayam. Baginda diapit oleh permaisuri dan putera sulongnya. Di kiri-kanan baginda duduk para pembesar dalam dua barisan.

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,"Panglima Dermang menyusun sembah."Patik bersama sahabat patik masuk mengadap,ampun Tuanku."

"Siapakah sahabatmu itu,Datuk Panglima?"tanya baginda merenung Bujang.

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,"Panglima Dermang menyusun sembah lagi."Ada pun pacal sahabat patik ini namanya Bujang, berasal dari Kuala Kedah,berhajat memperhambakan diri ke bawah Duli Tuanku,ampun Tuanku."

"Beta sedang bersidang dengan para pembesar,"titah baginda setelah puas mengamati Bujang."Walau bagaimana pun,hajat itu beta perkenankan.Bawa Si-Bujang ini berjumpa Ketua Hulubalang supaya diberi jawatan pendekar."

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,"Panglima Dermang menyusun sembah lagi."Sebelum patik menguruskan perkara perjawatan sahabat patik ini,patik mohon limpah perkenan Tuanku untuk mempersembahkan satu perkara penting yang menyentuh soal keselamatan negeri Kedah Darul'Aman ini."

"Beta baru sahaja berbincang dengan para pembesar tentang perkara keselamatan negeri kita ini,"sahut baginda."Teruskan,Datuk Panglima Dermang Seri Wangsa."

Panglima Dermang pun menerangkan apa yang telah berlaku di Kuala Kedah kepada baginda Sultan di hadapan semua pembesar yang hadir di balai rong seri itu. Diceritakan tentang ancaman baru dari Belanda,Acheh dan Siam. Diceritakan usaha memperkembangkan silat di kampung itu yang dipelopori oleh Tok Penghulu dan kini diambil-alih oleh Pak Guru Abdul Jalil. Diceritakan

juga kejayaan Bujang,anak Pak Guru,membunuh lima orang soldadu Belanda yang menceroboh kawasan kampung.

Akhir sekali,Panglima Dermang memohon bantuan pendekar dan hulubalang untuk mempertahankan Kuala Kedah yang dianggap pintu masuk penting ke negeri ini. Suasana dalam balai rong seri itu sunyi sepi ketika Panglima Dermang bercerita, masing-masing memasang telinga mendengar dengan teliti,terutama sekali baginda Sultan.Jika sebelum ini Bujang tidak dipandang sebelah mata pun,ramai para pembesar mula memberi perhatian sebaik sahaja cerita itu tamat. Baginda Sultan sendiri tidak lepas-lepas memerhati Bujang dari atas tahtanya sambil berbisik-bisik dengan permaisuri serta putera sulongnya.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now