Bab 45

248 12 3
                                    

Keesokannya hari Rabu 26 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 18 Oktober 1652 Masehi, Bujang seperti biasa bersiap-sedia hendak menunaikan sembahyang fardu subuh meskipun badannya letih dan matanya mengantuk kerana berjaga sepanjang malam. Dilihatnya Kartini masih mengerekot di bawah kain selimut tebal.Mata itu pejam tetapi dia tahu isterinya belum lagi tidur. "Bangun,Kartini,"dia menggoncang bahu isterinya."Sembahyang subuh." Kartini menggeliat dalam kain selimut."Letihlah.Abang sembahyanglah dulu." "Bangunlah,"pujuk Bujang."Jangan biar mata Kartini dikencing syaitan." "Abang buatlah dulu,nanti Kartini sembahyang qada,"balas Kartini dari dalam selimut. "Badan Kartini dah tak bermaya ni.Abang punya pasallah Kartini jadi begini." "Bertepuk tangan sebelah takkan berbunyi,"ujar Bujang."Bangunlah,Kartini." Kartini terus diam mematikan diri di dalam selimutnya,telinganya ditutup. "Baiklah,"Bujang mengalah."Kali ini abang maafkan.Lain kali jangan diulang lagi." Bujang pun mandi membersihkan diri di sebuah perigi berturap batu di belakang kamar penginapan itu,kemudian kembali mendirikan sembahyang subuh seorang diri.Kartini sudah berdengkur di dalam selimutnya. Sembahyangnya tidak begitu khusyuk kerana asyik memikir-kan tingkah-laku Kartini yang indah khabar dari rupa.Hatinya tertanya-tanya apakah dia sudah tersilap memilih Kartini sebagai isterinya. Di saat Chendana amat memerlukan pertolongan-nya,dia mengambil kesempatan untuk berkahwin lain.Walau bagaimana pun,dia tidak mahu menyimpan perasaan buruk terhadap Kartina,biarlah dia berbaik sangka terhadapnya.Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit.Batu jika dititis dengan air setiap hari lama-lama berlubang juga. Selepas berwirid,doanya panjang sekali pagi itu."Ya Allah,jika Kartini itu baik bagi diriku,bagi agamaku,duniaku dan akhiratku,maka kekalkanlah ia sebagai isteriku.Dan,jika Kartini tidak baik bagi diriku,bagi agamaku,duniaku dan akhiratku,maka usahlah dipanjangkan lagi jodoh kami,"dia menamatkan doanya dengan kata-kata itu lalu menyapu tangan ke mukanya. Bujang menarik nafas panjang samba menjeling ke arah isterinya yang masih tidur nyenyak. Dia sudah melakukan dengan sebaik-baiknya,selebihnya terpulanglah kepada Allah. Pagi itu dia menyamar seperti orang biasa.Kerisnya tidak dibawa,kerambitnya pula disorok di bawah baju Melayu.Dia keluar berjalan-jalan di sekitar Kota Melaka dengan harapan dia akan terserempak dengan Chendana.Harapannya untuk menemui Chendana dengan cara begitu memang tipis tetapi dia tidak ada pilihan lain lagi.Dia tidak boleh bertindak membabi buta dengan menyerbu ke dalam kota dan mengamuk seperti orang gila.Tindakan seperti itu bukan sahaja kurang bijak,malah merugikan,silap-silap melayang nyawa dengan sia-sia.Masalahnya dia tidak boleh bertanya kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.Mata-mata dan anjing-anjing Belanda terlalu banyak. Selepas mengalas perut ala kadar,dia mengambil pendekatan yang berlainan.Dia menemui beberapa orang pemilik perahu penambang yang mengambil upah membawa penumpang ke pengkalan atau membawa penumpang ke kapal-kapal dan berbual-bual kosong dengan mereka untuk mencungkil rahsia.Penat-lelahnya membuahkan hasil. "Orangnya masih muda,cantik dan bertahi lalat di tepi bibir?"lelaki tua yang terakhir ditemuinya itu cuba mengingatkan kembali."Ya,sahaya nampak ada seorang perempuan Melayu seperti itu.Petang kelmarin dia diheret ke atas kapal Bugis.Khabarnya,kapal itu sudah belayar ke Batavia." "Batavia?Di mana tu?"tanya Bujang,hatinya melonjak gembira. "Di Pulau Jawa,"jelas lelaki itu."Markas Kompeni Belanda.Orang Melayu menyebutnya sebagai Betawi dan Jayakarta." "Tuan hamba ingat nama kapalnya?"tanya Bujang. "Tak ingat,"lelaki itu geleng kepala. "Kapal Helang Laut?"tanya Bujang lagi,teringat pada Nakhoda Mamat. "Bukan,"jawab lelaki itu."Nama kapal itu macam nama orang barat." Bujang berpuas hati dengan maklumat yang diterima.Dihulurkan sekeping wang emas kepada lelaki yang banyak membantunya lalu segera menuju ke pengkalan untuk bertanya kalau-kalau ada kapal yang hendak belayar ke Betawi atau Batavia. Pada saat itu juga,Chendana duduk memandang keluar melalui tingkap berjerejak.Dia sudah dipindahkan dari tahanan sementara di pejabat lama Gabenor Johanes van Twist ke rumah pasung.Di situ keadaannya jauh berbeza.Lantainya kotor dan berdebu.Tandasnya hanyalah sebuah baldi.Bekalan air dicatu,makan-minum tidak menentu.Baru sehari-semalam berada di situ sudah terasa betapa peritnya penderitaan.Sudah beberapa kali dia tidak dapat mandi kerana ketiadaan air.Pakaiannya yang sehelai sepinggang itu sudah lama tidak dibasuh.Badannya berbau hapak,tengit dan berbagai-bagai bau lagi.Rambutnya juga tidak terurus lagi,hanya sekadar disanggul begitu sahaja tanpa disikat.Bedak dan wangian jauh sekali.Keadaan di situ juga agak panas kerana hanya terdapat satu jendela,pintu pula sentiasa berkunci.Satu kebaikan rumah pasung itu ialah dia boleh melihat ke pengkalan dengan jelas.Kapal-kapal yang berlabuh di sana memberi harapan dan semangat baru kepadanya.Dia tidak putus-putus berdoa agar salah sebuah kapal itu membawa Bujang. Ketika menongkat dagu memandang ke pengkalan tengah hari itu,tiba-tiba dia ternampak seorang pemuda berpakaian biasa sedang berbual-bual dengan seorang anak kapal.Hatinya berdebar-debar melihat susuk tubuh dan raut wajah pemuda itu seperti Bujang. "Abang Bujang?"harapan baru mula berbunga di hati. Namun,wajah pemuda itu terlalu jauh untuk dicam.Sementelah lagi,pemuda itu tidak membawa sebarang senjata. Harapan yang berbunga kembali pudar. Dia mula bosan menunggu terlalu lama.Hanya anak dalam kandungannya yang memberikan kekuatan untuk terus bertahan.Teringat pada anak yang belum lahir itu,dia pun mencapai sekeping roti di atas pangkin.Roti itu sudah kering dan berkulat,dihurung semut pula. Dikuis-kuis roti itu,dibuang bahagian yang berkulat,dimakan juga.Air sejuk digunakan untuk membasahkan tekak dan memudahkan roti ditelan. "Kerana engkaulah mak makan,wahai anakku,"dia menepuk perutnya.Setitik air mata mengalir ke pipi,dikesatnya dengan lengan baju.Bunyi anak kunci dipulas dari arah pintu tidak dipedulikan.Dia sudah menduga siapa yang datang.Dia tidak ingin lagi melihat muka Seri Bija Diraja yang telah menganiaya dan berlaku kejam padanya sehingga hidupnya sengsara tidak keruan.Kedengaran pintu rumah pasung dibuka dengan perlahan tetapi bunyinya kuat membingitkan telinga. "Letakkan sahaja makan di situ,"tempelak Chendana,tidak mahu memandang ke pintu. Kedengaran bunyi talam diletak di atas pangkin.Chendana masih enggan melihat. "Keluarlah!"jeritnya."Apa ditunggu lagi,Hang Jana?Aku benci melihat mukamu!" Dia pun menutup mukanya lalu menangis teresak-esak,air mata mengalir di celah jari. "Sudahlah,Chendana,"suara Temenggung terketar-ketar."Jangan menangis lagi." Chendana tergamam mendengar suara yang memang dikenalinya itu.Dia mengangkat mukanya yang berhamburan air mata memandang ke arah suara itu.Ayahnya tercegat di situ diapit oleh Lela Wangsa dan Tun Lela Pahlawan,masing-masing menitiskan air mata. "Ayah!"Chendana meluru lalu memeluk ayahnya erat-erat seolah-olah tidak mahu melepas-nya lagi.Temenggung membelai-belai belakang anaknya sambil mengesat air matanya.Tun Lela Pahlawan tunduk menekur lantai manakala anaknya Lela Wangsa beredar ke jendela, tidak tertahan menyaksikan adegan yang menyedihkan itu. "Betulkah ini ayah?Chendana tak bermimpi?"Chendana memandang wajah Temenggung. "Betul,nak,"suara Temenggung tertahan-tahan."Ini ayahmu." "Makanlah dulu,"Tun Lela Pahlawan mengambil talam berisi makanan lalu memberikan kepada Chendana."Makanan ini kami beli di luar." Chendana menjamah makanan itu dan terus memakannya dengan lahap.Lela Wangsa menggelengkan kepala sambil menghulur secangkir air minuman kepada Chendana.Minuman itu juga dihabiskan Chendana dalam beberapa teguk. "Pelan-pelan,jangan gelojoh,"tegur Temenggung."Nanti tercekik pula." Chendana membawa makanan itu dengan talamnya sekali lalu tunduk di atas pangkin. Dia mula makan dengan tenang. "Sepatutnya Seri Bija Diraja dibunuh sahaja!"rungut Lela Wangsa,tidak berpuas hati. "Itulah orang muda,singkat fikiran,"marah Tun Lela Pahlawan."Kalau dibunuh pun apa faedahnya?Orang Kaya Temenggung tentu mempunyai sebab kenapa Seri Bija Diraja dihalau sahaja dari bumi Johor." "Ada sebabnya,"jawab Temenggung."Seri Bija Diraja hanya ikan bilis,orang kecil dalam pakatan ini.Jika dia dibebaskan,lambat-laun dia akan membawa kita kepada ikan jerung yang merancang semua ini. Ular kalau dipukul kepalanya,ekornya akan mati juga." "Kau dengar tu,Jalak,"Tun Lela Pahlawan menasihati anaknya."Fikir itu pelita hati." "Berita baik ini mesti disampaikan kepada Panglima Agung,"kata Lela Wangsa kepada Temenggung."Tetapi,di mana hendak kita mencarinya,Orang Kaya?" "Kerana Bujang menyangka Chendana dilarikan oleh orang-orang Bugis,aku yakin dia sudah belayar ke Tanah Bugis,"Temenggung menyatakan pendapatnya."Jalak,kau ambil lancangnya dan belayar ke sana.Cari di sekitar Makasar atau Tanah Toraja." "Sekarang musim tengkujuh sudah bermula,"Lela Wangsa pula menggunakan fikirannya yang waras."Kapal-kapal yang hendak ke Makasar akan berlabuh di Singapura atau di Betawi sementara menunggu musim bertukar." "Kalau begitu,tanya Tok Kilat kalau-kalau dia ada ternampak Bujang,"kata Temenggung. "Biarlah ayah hamba berjumpa Tok Kilat,"Lela Wangsa menolak."Hamba hendak belayar ke Betawi kalau-kalau Panglima Agung ada di sana." "Bijak juga otak kau,Jalak,"Tun Lela Pahlawan memuji anaknya. "Orang muda,ayah,singkat fikiran,"Lela Wangsa memulangkan paku buah keras. Chendana tersedak mendengar jawapan Lela Wangsa yang melucukan itu.Cepat-cepat diteguknya air minuman. "Kau makan cepat sikit,Chendana,"Temenggung juga tersenyum."Lepas tu pergi mandi,tukar pakaian.Ayah dah beli pakaian baru buatmu.Rupamu dah jadi macam peminta sedekah." Tun Lela Pahlawan dan Lela Wangsa sama-sama tersenyum.Mereka tahu lelucon itu menandakan Temenggung sudah kembali menjadi dirinya yang sebenar sebelum kehilangan Chendana.Kegembiraan Temenggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Mereka pun tumpang gembira. Ayah mana yang tidak gembira kalau dapat bertemu semula dengan anaknya? Namun,kegembiraan itu tidak dikongsi oleh Bujang.Dia gagal mencari kapal yang hendak ke Betawi dalam waktu yang terdekat.Setelah memberi pesan kepada beberapa orang anak kapal supaya mencarinya di rumah penginapan jika ada berita baik,dia pun menuju ke pasar.Waktu zohor sudah hampir tiba.Kerana belum terasa lapar,dia terus melangkah ke masjid.Seperti yang dijangka,masjid itu bersih dan terjaga rapi tetapi kosong.Kebanyakan orang berat tulang untuk mengunjungi masjid pada waktu zohor dan asar.Biasanya waktu-waktu itu ramai lagi masih berada di laut,di ladang,di sawah padi dan di gedung-gedung perniagaan atau sedang berihat setelah penat bekerja.Mujurlah masjid jarang dikunci untuk kemudahan musafir sepertinya. Di tepi kolah air tergantung sehelai kain basahan yang sengaja ditinggalkan untuk kegunaan para musafir.Bujang pun mandi terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid mengerjakan sembahyang.Ketika Bujang meninggalkan kawasan masjid itu, Kartini bertembung dengan Chendana di simpang empat.Mereka tidak mengenali antara satu sama lain meskipun sama-sama dalam kumpulan Awang Kerambit.Kartini tidak mnyedari Chendana itu madunya dan juga ketuanya Awang Kerambit. Mereka kerap bertemu tetapi masing-masing memakai topeng.Mereka tidak kenal wajah masing-masing.Chendana yang sudah berdandan rapi serta berpakaian bersih ditemani ayahnya Temenggung dan diiringi oleh Tun Lela Pahlawan.Kartini juga sudah siap bersolek selepas bangun dari tidur dan mandi. Ketika bertembung,mereka sekadar melihat sekali imbas sebelum berpisah di lorong yang berlainan.Setelah mereka agak jauh terpisah,barulah Bujang sampai.Di sebelah kanannya ialah lorong yang baru dilalui Chendana menuju ke pengkalan manakala di sebelah kirinya menuju ke kedai-kedai makan. Dia tidak membelok ke kiri atau ke kanan.Sebaliknya dia berjalan terus menghala ke rumah tumpangan.Sudah ditakdirkan mereka nyaris-nyaris bertemu tetapi tidak diketemukan Allah.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now