Bab 49

231 12 1
                                    

"Panglima…Panglima Agung,” Bujang yang sedang berjalan di celah orang ramai bersama Kartini tiba-tiba disapa dari Belakang.Mengenali suara yang menyapanya,dia berhenti lantas lekas-lekas menoleh. Awang Sulung kelihatan tersengih-sengih mendapatkannya.Mereka bersalam dengan gembira. “Tak sangka kita berjumpa lagi,Panglima,”luah Awang Sulung sambil melepaskan tangan Bujang yang digenggamnya erat-erar”Tiang layar sudah dibaiki.Kami singgah di sini untuk membeli bekalan makanan sebelum belayar ke Betawi.” “Bila kamu semua hendak belayar?”tanya Bujang sambil mengeluarkan seuncang wang dari kampitnya. “Tahun baru nanti,”selamba Awang Sulung menjawab.”Kita berihat dua hari di sini.” “Tahun baru?”Bujang belum faham maksud rakannya. “Besok akhir Zulhijah,lusa kita sambut Awal Muharam tahun baru Hijrah,”Awang Sulung menerangkan.”Tuan Nakhoda nak buat kenduri kesyukuran sikit kerana mendapat harta karun dari Pulau Besar dulu.” “Kau bawa barang-barang ini ke kapal,”Bujang menyerahkan kampit itu kepada Awang Sulung lalu mencapai tangan Kartini.”Kami suami-isteri hendak bersiar-siar sambil membeli-belah.” “Hamba faham,Panglima,”balas Awang Sulung sambil tersenyum lebar. “Apa yang disenyumkan itu?”Tunku Balqis menegur Chendana dari belakang. “Tak ada apa.Kak,”Chendana masih tersenyum memerhati telatah Wan Fatimah terkial-kial mengejar ayam bersama Mak Siti dan Datuk Temenggung.”Teringat masa kita kecil-kecil dulu di Kedah.Begitu cepat masa berlalu.” Tunku Balqis tertawa kecil lalu duduk di atas buaian di samping Chendana. “Kita ni sama-sama berat,”usik Tunku Balqis.”Agaknya siapa gerangan yang bakal menyambut cahaya mata terlebih dahulu.” “Tentulah Kak Balqis,”ujar Chendana.”Kakak yang menikmatinya lebih awal.” “Hidup suami-isteri memang penuh nikmat,”Tunku Balqis menyokong.”Tapi yang menanggungnya kita orang perempuan.Sembilan bulan sepuluh hari lamanya.” Chendana dan Tunku Balqis sama-sama ketawa. Ayam yang dikejar berjaya ditangkap.Wan Fatimah mengikut datuk dan neneknya untuk melihat ayam itu disembelih. “Apa rancangan Kakak seterusnya?”Tanya Chendana selepas habis ketawa. “Entahlah,Chendana,”Tunku Balqis memahami maksud yang tersirat.”Kita tidak tahu di mana Abang Bujang berada sekarang.Entah hidup entah sudah….!”Tunku Balqis tidak dapat meneruskan kata-katanya,hanya hampu merenung cincin emas batu delima yang tersarung di jari manisnya. “Chendana yakin Abang Bujang masih hidup,”Chendana turut sama merenung cincinnya yang serupa dengan cincin madunya.”Gerak hati dan firasat mengatakan begitu. Kepada Lela Wangsa sudah diperintahkan belayar ke Betawi mencarinya di sana.” “Mengapa tidak mencarinya di Tanah Bugis,”Tunku Balqis menyarankan. “Tanah Bugis? Makasar?”Chendana terpinga-pinga,tidak terlintas langsung pada fikiran. “ Mengikut cerita Chendana semalam,Kakak yakin suami kita akan ke sana,”Tunku Balqis member buah fikiran.”Dia percaya Chendana dilarikan ke Tanah Bugis.” “Barangkali benar juga tekaan Kakak,”Chendana bersetuju.”Tapi,apa daya kita sekarang? Lancang abang Bujang sudah dibawa belayar oleh Lela Wangsa.” “Kapal Kakak masih berlabuh di sini,dikawal oleh pendekar dan hulubalang Kedah,” Tunku Balqis member perangsang.”Kalau Chendana bersetuju,akan Kakak titahkan mereka bersiap- sedia.” “Molek sekali,”balas Chendana dengan wajah berseri-seri.”Akan Chendana usulkan perkara ini kepada ibu dan ayah. Mereka pasti membantah kemahuan kita.Tetapi,tahulah Chendana memujuk mereka…!” Dua hari kemudian iaitu pada hari Selasa 1 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 24 Oktober 1652 Masehi, kapal dagang yang diketuai oleh Nakhoda Mamat pun belayar meninggalkan Kuala Musi. Kerana Bujang hendak cepat sampai di Betawi,kenduri kesyukuran sempena menyambut tahun baru Islam diadakan di atas kapal demi menjimatkan masa. Meninggalkan Kartini di dalam kurung yang ditempah khas,Bujang meraikan majlis tersebut bersama semua anak kapal. Mereka menjamu selera sambil menikmati hembusan nyaman udara pagi.Bujang agak terperanjat bila terserempak dengan Panglima Kahar di atas kapal itu. “Apa Datuk Panglima buat di atas kapal ini?”tegur Bujang lantas duduk bersila di sebelah Panglima Kahar.”Hamba kira Datuk sudah kembali ke Jambi.” “Tugas hamba belum selesai sepenuhnya,”dengan tenang Panglima Kahar menjawab sambil menikmati juadah yang disajikan. “ Tugas?”Bujang masih belum mengerti maksud Panglima Kahar itu. “ Hamba ditugaskan Yang Mulia Pangeran Ratu membantu Panglima sehingga isteri Panglima berjaya ditemui dengan selamat,”Panglima Kahar menjelaskan dengan panjang-lebar. “Itulah janji hamba pada baginda Yang Mulia.Lagipun,ada sesuatu tentang diri Panglima yang membuatkan hamba ingin terus berdamping dengan Panglima.” “Tentang apa,Datuk?”Tanya Bujang sambil mengunyah. “Entahlah,”balas Panglima Kahar.”Sukar nak hamba terangkan.Mungkin juga kerana kita sama-sama berdarah Acheh.Mungkin juga kerana Keris Sempana Riau yang pernah dimiliki sepupu hamba almarhummah Tengku Chut Narasari.” “Arwah emak hamba sepupu Datuk?”Bujang tersedak.”Jadi..maksud Datuk….!” “ Tepat sekali,Panglima,”Panglima Kahar mengiyakan.”Hamba paman Panglima dan panglima anak kemanakan hamba.” “Kemanakan?”Bujang tidak dapat menyembunyikan kegembiraanya. Panglima Kahar dipeluknya,menyebabkan hulubalang tua itu hamper-hampuir tersedak. “Dari kata dan kiasan,awal-awal lagi Bujang sudah menduga siapa Paman sebenarnya,” Bujang melepaskan Panglima Kahar dari pelukan lalu meneguk secangkir minuman.”Kiranya dugaan Bujang tidak meleset.” “Air dicincang takkan putus,Panglima,”sambut Panglima Kahar dengan bangga. “Bujang,Paman,”Bujang membetulkan.”Tak payahlah kita berpanglima lagi.” Sebagai jawapan,Panglima Kahar hanya ketawa terbahak-bahak tanpa menghiraukan anak-anak kapal lain yang berada berhampiran.Mereka yang tidak mengerti apa-apa turut sama tersenyum melihat telatah hulubalang tua itu. Rupanya kegembiraan itu tidak dikongsi oleh Daeng Ratna Sari. Termenung di atas geladak sambil melemparkan pandangan jauh ke tengah laut,dalam kotak fikirannya hanya terbayang seraut wajah tampan yang menjadi kegilaannya siang dan malam.Kendatipun bermisai dan berjambang,wajah itu sungguh tenang,air mukanya jernih bagaikan terpancar dari setulus hati yang suci-murni.Kalau ditakdirkan bertemu jodoh,dia rela sehidup-semati di saat susah dan senang di samping pria berdarah Melayu-Acheh itu.Begitu mendalam rasa kasih-sayangnya, sehingga tidak terasa air mata mengalir membasahi pipi yang gebu itu. Demi ternampak kelibat sepupunya menghampiri dari sudut matanya,lekas-lekas dikesatnya air mata dengan lengan bajunya.Dia berpura-pura seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Daeng Andika mendekati sepupunya dan sama-sama memandang di kejauhan. “Dari berita yang diterima melalui rakan-rakan,ternyata Panglima Agung dalam perjalanan ke Batavia,”Daeng Andika membuka tajuk perbualan. “Naiga?”Daeng Ratna pura-pura bertanya.”Siapa?” Daeng Andika tersenyum mendengar pertanyaan itu. “Kali pertama aku bersua muka dengan pria itu,hatiku berdebar-debar,”Daeng Andika mengenang kembali.”Kuat sungguh daya tarikannya.Seakan-akan pria itu memiliki tenaga dalam yang sungguh luar biasa.Ternyata benar.Jika daku seorang lelaki bisa tertawan hati,betapa pula seorang puteri Bugis bernama Daeng Ratna Sari.” “Tak adalah,Andi,”tersipu-sipu Ratna menangkis tuduhan sepupunya itu. Daeng Andika tersenyum lagi.”Mulut berkata tidak,hati berkata mahu,”selarnya.”Usah risau dan gusar,ini rahsia kita berdua.Takkan ketahuan pada Paduka Ayahanda dan Bonda.Namun, andai Ratna bertemu jodoh dengan Panglima Agung,dakulah orang yang paling gembira di dunia ini.” “Bagaimana dengan dikau,wahai anak Samarinda?”tanya Ratna.”Belum adakah perawan yang berkenan di hati?” “Soal itu dilupakan dulu,”Daeng Andika menarik nafas kelegaan.”Daku ingin terus mengembara mencari ilmu di dada dan berbakti pada Angkatan Fisabilillah.” “Daku risau andainya bertepuk sebelah tangan,”Ratna menyuarakan kebimbangannya. “Andai sudah jodoh,takkan ke mana,”pujuk Andika.”Ayahku Tok Kilat berpendapat Panglima Agung juga ada hati padamu.Masanya akan tiba tidak berapa lama lagi.” “Harap-harap begitulah,”Ratna menuturkan.”Tak tertahan hati ini menanggung rindu.” “Kami dalam Angkatan Fisabilillah akan melakukan apa sahaja untuk membantu Panglima Agung,hatta menggadai nyawa sekali pun,”kata Andika penuh bersemangat sebelum beredar pergi.Mendengar itu,Ratna seperti mendapat kekuatan baru dalam dirinya.Diam-diam dia berdoa agar saat bahagia itu segera tiba.Ingin dia memperhambakan diri kepada Panglima Agung sebagai isteri yang taat-setia hingga ke akhir hayat. “Jauh benar Bujang bermenung,”tegur Panglima Kahar petang itu di atas geladak. Bujang hanya tersenyum tetapi tidak membalas kata-kata itu. Mereka sama-sama menyaksikan kebiruan air laut yang bertemu dengan awan gemawan merah di kaki langit. Di sebelah kiri kelihatan berbalam tanah daratan Sumatera.Kapal mereka terus juga meredah ombak menghala ke Selat Sunda.Cuaca petang itu cukup indah seolah-olah bukan di musim tengkujuh. “Kalau cuaca terus begini,tiada ribut taufan,insyaAllah besok atau lusa sampailah kita di Batavia dengan selamat,”sambung Panglima Kahar lagi untuk menghiburkan hati anak saudaranya itu.”Laut China Selatan khabarnya bergelora hebat di musim tengkujuh ini.” “Memang,”Bujang mengaku.”Paman pernah ke sana?” “Tak pernah,cuma dengar cerita orang,”Panglima Kahar gembira kerana Bujang akhirnya membuka mulut.”Laut di mana-mana pun sama jua,ada masa tenang dan ada masanya bergelora.Itu semua lumrah alam,pasang atau surut Allah yang menentukan.” Bujang terasa sindiran halus itu ditujukan padanya. “Entahlah,Paman,”dia mengeluh mencurahkan isi hati.”Diluah mati ayah,ditelan mati emak. Serba-salah Bujang dibuatnya.” Panglima Kahar tidak suka mencampuri urusan orang lain,apa lagi jika urusan itu berkaitan dengan rumah-tangga.Namun,kerana Bujang itu anak saudaranya,dia merasa terpanggil untuk member sepatah-dua nasihat.”Di mana Bujang mengenalinya?” “Di Kedah,”balas Bujang.”Kami berkawan sejak dari kecil.” “Bukan Tun Chendana yang Paman maksudkan,”Panglima Kahar membetulkan salah-faham kemanakannya.”Anak gadis Datuk Temenggung Johor itu Paman kenal. Begitu juga dengan isterimu Tunku Rahimah. Bujang kenal Panglima Paringgit?” “Panglima Paringgit?”Bujang mengimbas kembali kenangan silam.”Kami sama-sama berjuang menentang Belanda sepuluh tahun yang silam bersama Panglima Dermang.” “Panglima Paringgit itu rakan seperguruan Paman,”Panglima Kahar mendedahkan rahsia.” “Dialah yang banyak bercerita tentang kehebatan Bujang semasa berperang di Kuala Kedah dulu. Nama Bujang terkenal ke seluruh pelusuk Alam Melayu setelah Bujang dikatakan terkorban.” “Subhanallah,”tutur Bujang.”Di mana Panglima Paringgit sekarang?” “Membantu ayahnya memerintah Deli.Dia bergelar Panglima Besar menjaga keamanan dan keselamatan negeri,”jelas Panglima Kahar.”Ayahnya Sultan Gocah Pahlawan Sultan Deli sekarang.” “Banyak yang berubah sejak kehilangan Bujang,”Bujang merumuskan, kemudian berdiam diri bila teringat kembali perkara sebenar yang ditanya bapa saudaranya. Dia juga seboleh-bolehnya tidak mahu membuka pekung di dada mendedahkan keburukan Kartini yang baru dikawininya. Panglima Kahar juga bagaikan mengerti perasaan anak saudara-nya itu.Dia pun segera mengubah tajuk perbualan.”Sekali air bah,sekali pantai berubah.Perubahan membawa kebaikan dan keburukan.Terpulanglah pada kita untuk menilai baik-buruknya,”dengan kata-kata itu dia menepuk bahu Bujang beberapa kali sebelum meninggalkan Bujang seorang diri. Bujang terus bermenung di atas geladak itu mengenangkan seribu kemungkinan yang bakal berlaku. Dia hanya mampu berdoa minta dijauhi Allah semua bala dan malapetaka. “Mengapa abang diam saja sejak siang tadi?”Kartini bertanya sambil membetulkan rambutnya yang kusut masai.Badannya yang berpeluh dan terdedah itu dibiarkan sahaja dibelai angin malam yang mencuri masuk menerusi jendela. “Mungkin abang dah jemu memandang wajah Tini,”Kartini mengeluh merajuk hati. “Bukan begitu,”Bujang bangun mengenakan kain,kemudian beredar ke jendela memerhati bintang yang berkerlipan di langit yang hitam pekat.Agak lama juga dia bermenung di situ. Melihat Kartini terus membisu seribu bahasa,dia pun mencapai kain basahan untuk pergi mandi membersihkan diri dari hadas besar.Mandinya ringkas sahaja.Dengan berpaut pada tangga tali di luar kapal,dia menyelam ke dalam laut.Dua-tiga kali selam,setelah diyakini sah dan air sampai ke seluruh badan,dia pun naik menuju ke bawah geladak.Air tawar dari tempayan dijirus untuk membuang sis-sisa air laut yang masin.Kembali ke kurung,didapati Kartini sudah pun tidur.Dia pun menukar pakaian lalu mendirikan sembahyang sunat.Sengaja dikuatkan suara supaya Kartini terjaga tetapi isterinya tetap membatu di perbaringan,hanya nafasnya sahaja kedengaran turun-naik.Akhirnya dia memilih untuk berbaik sangka pada isterinya.Barangkali isterimya keletihan kerana sekian lama berhempas-pulas melayan nafsu.Barangkali hatinya belum cukup tenang untuk menghadap diri ke hadrat Allah.Barangkali pembawaan anak di dalam perut.Selesai menunaikan sembahyang sunat malam,baru Bujang berjaya melelapkan mata di sisi Kartini.Seperti biasa,dia memasang niat untuk bangun semula sebelum subuh supaya dapat mengerjakan sembahyang tahajud dan witir. Di Kampung Panchor,Tunku Balqis membetulkan kain selimut yang menutupi badan Wan Fatimah setelah mendapati anak tirinya itu sudahb tertidur keletihan. “ Macam arwah Teratai,”bisik Chendana pada madunya.”Wajah Wan Fatimah sebiji macam wajah ibunya.” Tunku Balqis mengangguk lalu memadam api lilin. “Mak dan ayah Chendana sudah tidur?”Tanya Balqis melirik ke arah bilik tidur yang dihuni Temenggung dan Mak Siti di hujung sekali. Bilik itu gelap gelita dan senyap. “Agaknya,”Chendana membawa Balqis ke anjung. “Sudah Chendana usulkan rancangan kita kepada mereka?”Balqis terus bertanya sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang.Kerana tiada orang lain di situ, mereka duduk bersila seperti lelaki. “Sudah,”Chendana menarik bekas pinang dan mula mengapur sirih. “Apa kata mereka?”Balqis tidak sabar-sabar lagi ingin tahu,matanya memerhati Chendana memasukkan cebisan buah pinang dan gambir ke dalam lipatan sirih. “Mak dan Ayah tak keberatan,”Chendana memberikan sehelai sirih berlipat itu kepada madunya,sehelai lagi dikunyahnya.”Tapi,biarlah kita tunggu sampai habis bersalin.” “Sampai habis bersalin?”kening Balqis berkerut.”Masakan begitu,Chendana. Sembilan bulan rasanya terlalu lama.Tak payah pergi pun tidak mengapa.” “Ertinya,secara halus Mak dan Ayah melarang kita pergi ke sana,”ujar Chendana. Balqis terdiam,hanya kedengaran mulutnya mengunyah sepah sirih.Begitu juga dengan Chendana.Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri. “Jauh kah Tanah Bugis dari sini?”Balqis bertanya akhirnya. Chendana tersenyum kerana memahami maksud Balqis.”Kata orang,jaraknya lebih-kurang seminggu pelayaran dari Batu Sawar. Kapal Kakak masih berlabuh di pengkalan?” Balqis membalas senyuman madunya.” Masih berlabuh di sana,dikawal oleh pendekar dan hulubalang dari Kedah. Nakhoda dan anak kapal semua bermalam di sana.” “Kakak pergi dulu ke kapal,nanti Chendana menyusul kemudian,”Chendana menyarankan. “Bagaimana dengan Wan Fatimah?”Balqis menjengok ke arah bilik anak tirinya. “Tinggalkan saja dia di sini bersama Mak dan Ayah,”saran Chendana lagi.”Kita pergi bukannya lama,cuma seminggu-dua.” “Tidak tergamak kakak meninggalkannya,”Balqis membantah.”Walaupun dia cuma anak tiri,Kakak sudah menganggapnya seperti anak sendiri.Dari sejak lahir Kakak memeliharanya.” “Kalau begitu,bawalah Wan Fatimah bersama,”Chendana memberi cadangan.”Kakak pergi kejutkan dia. Kita berjumpa di bawah pohon rambutan di hujung halaman.” Mereka bangun hampir serentak lalu menikus menuju ke bilik masing-masing. Malam itu juga,lancang dari Kedah yang berlabuh di Batu Sawar membongkar sauh dan belayar menyusuri Sungai Johor menghala ke Makasar,membawa dua orang serikandi berhati waja.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now