Bab 80

713 13 9
                                    

Pada waktu malam apabila bulan sudah terbit menerangi gugusan pulau-pulau Langkawi,Rubiah menunjukkan terowong yang dimaksudkan yang kelihatan seperti pintu gua,cukup besar untuk dimasuki oleh bahteranya.Malangnya pintu gua itu ditutupi seketul batu besar yang ditumbuhi semak-samun serta rumput liar,seolah-olah tidak dibuka rayusan tahun,kalau tidak ribuan tahun,lamanya. “259 tahun,”Rubiah menjawab pertanyaan yang bermain dalam fikiran Bujang.”Batu itu dipanggil Batu Penunggu.Jelmaan hulubalang jin yang diamanahkan menjaga kawasan ini. Kuncinya ada pada abang.Hanya abang seorang yang mampu memujuknya.” “Siapa gerangannya?”Bujang bertanya. “Eloklah abang bertanya pada Mayang Sari,”Rubiah menyarankan.”Dia lebih arif kerana Negeri Antah Berantah letaknya di daratan sedangkan Rubiah berasal dari laut.” Di bawah sinaran sang rembulan,Bujang mengamati pulau-pulau tersebut dengan teliti untuk rujukannya di kemudian hari.Bahtera itu akhirnya memasuki perairan Siam. Terlentang di kamar Chendana,Bujang masih belum melelapkan mata meskipun malam semakin larut.Chendana juga masih terkebil-kebil di bawah kain selimut sambil mengereng memeluk Bujang.Badan masing-masing basah bersimbah peluh,disejukkan oleh udara nyaman dan dingin di dalam kamar itu.Dada Chendana masih lagi berombak selepas mencapai kemuncak gelora nafsunya yang dilampiaskan bersama suami kesayangan. “Berapa usia kandungan Chendana sekarang?”tiba-tiba Bujang bertanya. “Dua bulan sembilan hari,”jawab Chendana perlahan.”Kenapa,abang?” “Abang bimbang juga,”Bujang menyuarakan pendapatnya.”Takut kalau-kalau perbuatan kita ini mengganggu anak dalam kandungan yang baru hendak membesar.” “Merepeklah,abang ni,”Chendana menangkis pendapat Bujang sambil mencubit suaminya. Bujang ketawa kecil.”Antara Chendana dengan Balqis,siapalah agaknya yang akan melahirkan anak dahulu,”Dia membuat andaian. “Tentulah Balqis,”balas Chendana.”Sebab dia yang kena teroka dulu.Entah-entah Kartina.” “Kartina?”Bujang terkedu,sudah lama bekas isterinya dari Tanah Jawa itu dilupainya. Dia bangun menyarungkan kain lalu berdiri di jendela kaca merenung laut yang gelap gulita. “Maafkan Chendana kerana terlanjur menyebut nama itu,”pinta Chendana perlahan. “Lupakan saja,”balas Bujang endah tak endah.”Kalau mengikut perhitungan abang,rasanya Chendana dengan Balqis akan bersalin di Tanah Suci.” “Kalau begitu,Alhamdulillah,”sahut Chendana,gembira kerana suaminya tidak mengambil hati tentang Kartina.”Anak-anak kelahiran Mekah,tentu membawa tuah dan berkah.” “Semua anak-anak kita bertuah,”Bujang memanjatkan harapannya sambil menyarungkan pakaiannya.”Abang hendak keluar sebentar.Meninjau keadaan di luar.” “Kata orang,semakin hampir seorang perempuan itu hendak melahirkan anak,semakin kemaruk jadinya,”Chendana memandang tepat ke wajah Bujang,matanya galak.”Betul kah begitu?” “Barangkali juga,”balas Bujang sambil tersenyum mendapatkan isterinya.Sebentar kemudian, semua pakaiannya terlonggok di lantai.Keluhan manja kedengaran dari mulut Chendana. Setelah melalui Pulau Andaman dan Kepulauan Mergui,dua hari kemudian iaitu pada pagi Jumaat 23 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 15 Disember 1652 Masehi, bahtera itu berlabuh di Pelabuhan Pegu yang terletak di Teluk Martaban. Dengan bantuan Yaakub Lim sebagai jurubahasa,mereka dibenarkan berdagang dengan dikenakan sedikit cukai. Berada di tempat asing di mana penduduknya mirip orang Melayu tetapi bertutur dalam bahasa yang tidak difahami,ramai yang lebih suka tinggal di atas bahtera daripada bersiar-siar di darat yang belum tentu selamat. Hanya Bujang yang naik ke darat dengan ditemani oleh Yaakub Lim,Lela Wangsa, Andika dan Aria Wulon.Ketika berjalan-jalan memerhati barang-barang yang dijual,mereka berlima menarik perhatian ramai dengan pakaian Melayu dan keris yang dianggap asing bagi penduduk tempatan.Tidak banyak yang mereka beli melainkan beberapa cenderamata yang mereka tukarkan dengan wang emas Belanda. Balik ke bahtera,Bujang terus memberi arahan supaya meneruskan pelayaran ke Teluk Benggala. Tiga hari kemudian iaitu pada hari Isnin 26 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 18 Disember 1652 Masehi,mereka singgah di sebuah pelabuhan yang tidak dikenali di muara Sungai Ganges. Bahang matahari yang panas menyebabkan hanya anak kapal yang bertugas berada di atas geladak manakala selebihnya lebih suka berkurung di dalam kamar yang selesa lagi dingin. Sebagai nakhoda yang tugasnya tidak menentu,Bujang turut berada di samping Yaakub Lim ketika mereka mula merapatkan bahtera itu ke pengkalan.Setelah tali bahtera ditambat pada pancang,baru sauh diturunkan.Seperti biasa,jentera bahtera itu tidak pernah dimatikan kerana tenaga matahari yang menggerakkan jentera itu tidak pernah berkurangan. “Berapa lama kita di sini,Panglima?”Yaakub Lim bertanya mendapatkan kepastian. “Bergantung kepada keadaan,”Bujang memerhati pintu kuala Sungai Ganges yang luas melaut itu.”Nampaknya pelabuhan ini agak makmur.Barangkali boleh kita membeli-belah secukupnya.” Dari pintu kamar kemudi,Bujang ternampak bapa dan ibu mertuanya sedang berbual-bual kosong di hujung geladak bersama Panglima Kahar dan Tun Lela Pahlawan sambil memandang ke darat.”Ada yang menganggap pelayaran ini sungguh membosankan,”Bujang membuat kesimpulan.”Khabarnya, ada yang menjadi kurang siuman dan terjun ke laut.” “Tetapi tidak bagi hamba,Panglima,”lekas-lekas Yaakub Lim menjawab.”Bertahun-tahun kehidupan hamba begini sejak hamba melarikan diri dari Kwantung.” “Pelayaran yang panjang tidak akan membosankan jika kita bijak menggunakan masa yang terluang,”Bujang memberi buah fikiran.”Sebab itulah hamba izinkan orang-orang kita membawa anak-isteri masing-masing.Kata orang,jauh berjalan luas pandangan,lama hidup banyak dirasa.” “Hamba faham,Panglima,”balas Yaakub Lim.”Nanti hamba berbincang dengan Andika dan Lela Wangsa supaya semua diberi tugas dan tanggung-jawab tertentu mengikut jadual. Kita hidup di bawah satu bumbung,perlu tolong-menolong dan saling bantu-membantu.” Perbualan mereka terganggu apabila Lela Wangsa,Andika dan Aria Wulon muncul. “Apa rancangan kita hari ini,Panglima?”Lela Wangsa menegur dengan pertanyaan. Walaupun pertanyaan itu ditujukan kepada Bujang,Yaakub Lim yang menjawabnya,”Apa lagi, kita membeli-belah barang keperluan,terutama sekali makanan segar.” “Hamba sedang mencari kitab cara-cara mengerjakan haji,”sampuk Lela Wangsa. “Kitabnya mungkin dijual di sini tapi..,yang ditulis dalam bahasa Melayu,susahlah sikit,” Andika memberitahu Lela Wangsa. “Boleh pinjam kitab hamba,”kata Aria Wulon pada Lela Wangsa. Lela Wangsa seperti tidak percaya.”Kau beragama Hindu,buat apa dengan kitab itu?” “Hamba sedang belajar mengenali Islam,”Aria Wulon meningkah.”Banyak tentang agama Islam tidak ada dalam agama Hindu.” “Mudah-mudah kamu beroleh hidayah dari Allah,Aria Wulon,”Bujang memberi perangsang. “Mudah-mudahan,Panglima,”sambut Aria Wulon penuh pengharapan.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now