Bab 31

295 10 0
                                    

Paduka Seri Maharaja belum lagi tidur meskipun kabus sudah mula turun. Dia tersandar di atas kerusi rotan merenung pengkalan yang lengang.Api dari tanglung yang digantung pada tiang-tiang kapal kelihatan berkelip-kelip seperti kunang-kunang.Sambil menghisap rokok daun,dia mencongak jumlah kutipan cukai dari kapal-kapal yang berlabuh pada hari itu. Jumlah itu perlu dilaporkan kepada Seri Nara Diraja selaku penghulu bendahari dan juga kepada Datuk Syahbandar sebelum dibentangkan kepada Duli Yang Dipertuan dalam persidangan akan datang.Api dari pelita damar yang tergantung pada tiang serambi kelihatan terliuk-lintuk ditiup angin. “Orang Kaya,”tiba-tiba suara perlahan menegur dari arah tangga. “Siapa tu?”Paduka Seri Maharaja terkejut,tangannya mengepal hulu keris.Dia memanjangkan leher menjenguk ke tangga tetapi tidak nampak sesiapa pun. “Hamba disuruh Tuan Nakhoda menyerahkan cukai ini,”suara itu datang dari arah kiri serambi pula. “Nakhoda mana?”Seri Maharaja cuba mengenali suara itu.”Nakhoda Lumu dari Deli atau Nakhoda Khoja Ahmad dari Rokan?” “Nakhoda Lumu,Orang Kaya,”jawab suara itu,kali ini dari arah kanan pula. “Naiklah,biar aku nampak kamu dengan jelas,”pelawa Seri Maharaja,tangannya masih menggenggam hulu keris sebagai langkah berjaga-jaga. “Hamba sudah pun naik,”balas suara itu dari belakang Seri Maharaja. Seri Maharaja terkejut.Dia cuba bangun sambil menghunus kerisnya tetapi sikunya ditahan dari belakang,menyebabkan kerisnya tidak dapat dihunus. “Sabar dulu,”suara itu menegaskan.”Hamba bukan mencari geruh.” “Siapa kamu sebenarnya?”Seri Maharaja tidak berani menoleh ke belakang. “Siapa hamba tidak penting,”balas pendekar tidak dikenali itu.”Batalkan sahaja rancangan Orang Kaya hendak menggulingkan baginda Sultan.” “Suaramu macam kukenal,”sahut Seri Maharaja.”Siapa yang membuat fitnah ini?Demi Allah, hamba tidak pernah menyokong pakatan jahat ini.Taat setia hamba tetap pada Duli Yang Dipertuan sekarang.Hamba tak pernah bertuankan Yamtuan Muda Ibrahim.” “Hamba mohon maaf jika tersalah sangka,”pendekar itu seperti merayu. “Memang tak salah lagi kaulah Panglima Agung,menantu Temenggung dari negeri Kedah itu,”Seri Maharaja masih membelakanngi pegunjung tersebut.”Aku cam suaramu sekarang. Kalau Panglima menaruh syak,percayalah………Panglima?Panglima!”Merasa sesuatu tidak kena,Seri Maharaja pun menoleh ke belakang.Tidak ada sesiapa di situ.Panglima Agung sudah lesap seperti mambang.Senyap dan pantas.Tanpa disedari. Rumah Laksamana tersergam sepi di pinggir Kota Batu Sawar dibungkus keheningan dinihari.Laksamana suka bangun awal,biasanya sebelum subuh.Tabiat itu tidak boleh ditinggal-kan sejak berpindah ke Lingga dan Tambelan bersama almarhum Sultan Abdullah dulu.Tabiat-nya membuat dia kelihatan jauh lebih muda dari usianya yang sudah menjangkau 70 tahun. Dia bangun awal untuk membuat latihan silat yang diwarisi dari nenek-moyangnya.Latihan itu kadangkala keras,kadangkala lembut,tujuannya untuk mengekalkan kecergasan di samping mengeluarkan peluh.Latihan yang berterusan sejak berpuluh tahun yang lalu menjadikan diri-nya lebih tangkas dan lebih bertenaga dari kebanyakan anak-anak muda.Gelaran laksamana yang diberikan sultan itu bukan sekadar gelaran dan gelaran Paduka Raja dipangkal namanya membuktikan jasa-baktinya dikenang sultan. Rumah berbumbung tiga berbentuk seperti rumah Melaka itu memang luas,tiangnya tinggi-tinggi,dipagari pula kayu papan yang kukuh menjadikan kawasan halaman yang luas itu ter-lindung dari luar.Ini memudahkan dia berlatih tanpa dilihat sesiapa.Pergerakan dan langkah-langkah silatnya memang dirahsiakan turun-temurun sejak dahulukala.Dinihari itu dia berlatih lagi.Dimulakan dengan senaman ringan untuk memanaskan badan.Senaman-senaman itu banyak meniru pergerakan harimau,burung rajawali dan ular atau naga. Setelah pecah peluh, baru dia menyambung pula latihannya dengan bunga dan jurus silat.Dia berlatih membuat tangkapan,ikatan dan kuncian seolah-olah berhadapan dengan musuh sebenar.Pergerakannya lincah dan tangkas,langkahnya hidup dan tidak sumbang.Memang selayaknya dia bergelar Orang Kaya Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil dari keturunan Hang Tuah. Puas membuat latihan,dia duduk berihat di atas anak tangga,membiarkan sahaja badannya yang berminyak bermandikan peluh itu dibelai udara dingin.Dia duduk mengembalikan semula pernafasannya serta memulihkan tenaganya. “Assalamualaikum,”tiba-tiba satu suara garau menegur dari sebelah kanan Laksamana. Laksamana terkejut lalu melompat membuka langkah silat,kuda-kudanya rendah,dadanya yang bidang menghadap ke arah musuh. “Siapa kau?”sergahnya garang,matanya menyorot tajam pada lembaga berpakaian serba hitam yang tercegat di hadapannya.”Bagaimana kau masuk kemari?” “Waalaikumussalam,”pendekar itu menjawab salamnya sendiri. “Kau Panglima Agung?”Laksamana seakan terkejut.”Memang sah kau Panglima Agung. Aku cam suaramu dan sosok tubuhmu.”Dia menoleh ke arah pintu pagar yang masih terkunci rapat dari dalam dan mengulangi pertanyaannya,”Bagaimana kau dapat masuk kemari?” “Di mana ada kemahuan,di situ ada jalan,”jawab Bujang dengan tenang. Dia perlu berpura-pura dan menyamar sebagai orang lain lagi kerana dirinya sudah dikenali. “Kau gunakan ilmu sekayu papan?”tanya Laksamana,merujuk pada sejenis kemahiran melompat yang biasanya dimiliki oleh para pendekar kungfu dari negeri China.”Tak ramai hulubalang Melayu belajar ilmu itu.” “Laksamana,”tegas Bujang tanpa menghiraukan soalan itu.”Biarlah hamba berterus-terang. Hamba datang kemari untuk memberi pesan.Jangan cuba turunkan baginda Sultan dari tahta.” “Berani kau melarang aku,”Laksamana bersemuka dengan Bujang.”Aku yang menaikkan sultan,aku juga yang berhak menurunkannya. Kau budak berhingus jangan cuba menunjuk-ajar aku yang terlebih dahulu makan garam.” “Apa hak Laksamana?”Bujang cuba mengorek rahsia,kata-kata nista yang dilemparkan itu tidak diendahkan.”Setahu hamba,setiap keputusan perlu ada muafakat antara semua pembesar.” “Memang sudah sepakat sebulat suara,”suara Laksamana mengendur.”Bila Sultan Abdullah mangkat di Pulau Tambelan,adindanya kami rajakan sebagai Sultan Johor yang baru kerana puteranya masih kecil.Puteranya dengan permaisuri dari Acheh dilucutkan hak setelah permaisuri itu diceraikan dan dihantar balik.” “Permaisuri dari Acheh diceraikan?”tanya Bujang,terkejut dengan maklumat baru itu. “Memang diceraikan,”Laksamana menegaskan.”Ramai yang jadi saksi dan berani bersumpah menjunjung Qur’an.”Sebab itulah Raja Acheh naik murka dan menyerang Johor untuk menebus malunya.” “Cerai dan talak tidak boleh dibuat mainan,kelak buruk padahnya,”Bujang mempertahankan maruah almarhum bondanya.”Jangan suka bersumpah,nanti sumpah memakan diri sendiri.” “Siapa kau yang hendak cuba menegakkan benang basah?”Laksamana naik angin semula. “Hamba lebih maklum cerita yang sebenar,”Bujang berhujah.”Mertua hamba,Temenggung, telah menceritakan segala-galanya,termasuk perihal Ratu Jambi yang cuba meracun almarhum bonda hamba.” “Bonda?”suara Laksamana berubah,tembelangnya sudah pecah.”Jadi,kaulah Tengku Alang Iskandar,putera Sultan Abdullah dengan permaisuri dari Acheh itu?Sekarang,kau kembali hendak menuntut hakmu di atas tahta?” “Jauh panggang dari api,”Bujang menafikan.”Laksamana,hamba hormati Laksamana sebagai orang tua yang sudah masak dengan pengalaman hidup.Hentikanlah niat Laksamana hendak menggantikan sultan sekarang dengan Yamtuan Muda Ibrahim.” “Raja Ibrahim itu adikmu juga,meskipun dia lebih tua,”Laksamana tetap berkeras.”Dia sudah cukup dewasa.Sultan mesti mengotakannya janjinya.” “Mengapa duduk sebelum melunjur?”bidas Bujang.”Tunggu sehingga Sultan mangkat,barulah dinobatkan Raja Ibrahim. Ikut adat dan peraturan,masakan ada sengketa.” “Aku juga tidak suka bersengketa,”Laksamana mendabik dada,”Tapi,pantang kami cucu-cicit keturunan Hang Tuah jika kehendak kami dihalang!Lebih-lebih lagi dihalang oleh anak muda yang masih setahun jagung seperti kamu!” “Jangan dicemar nama baik teman seperguruan hamba,”balas Bujang tanpa menyedari keterlanjurannya.”Hentikanlah niat buruk ini, Laksamana. Jika tidak,hamba terpaksa campur tangan.” “Berani kau menentang aku?”Laksamana mula membuka langkah silatnya. “Bukan menentang,”Bujang menepuk keris pendeknya.”Hanya mencegah kemungkaran.” “Kau ingat dengan Keris Sempana Riau itu aku takut pada kau?”Suara Laksamana meninggi lagi.”Aku tak gerun dan gentar walau sebesar bulu sekali pun!” Kerana merasa tercabar,kemarahan Laksamana tidak dapat dibendung lagi.Dia terus menerkam menyerang Bujang dengan sepak-terajang dan tumbukan. Sungguhpun demikian, Bujang sudah bersedia dari awal.Penglihatannya yang tajam dapat membaca setiap gerak-geri Laksamana walaupun di dalam gelap.Setiap serangan yang datang seperti peluru itu dengan mudah dapat dielak dan ditangkis.Langkahnya seirama dengan langkah Laksamana Tidak cukup dengan menumbuk dan menyepak,Laksamana menghambur pula seperti seekor harimau yang galak,melenting ke hadapan dan ke belakang,ke kiri dan ke kanan,tujuannya untuk mengelirukan Bujang sambil mencari peluang keemasan mengalahkan lawannya yang jauh lebih muda itu.Tetapi,Bujang tidak mudah dikelirukan oleh tipu-muslihat itu. Dia bagai-kan sudah menduga setiap serangan yang datang dan memberi tindak-balas yang sewajarnya. Dalam mengelak dia menyerang,dalam menyerang dia mengelak,kedua-dua kakinya seperti tidak berpijak di tanah. Diperbudakkan berkali-kali,Laksamana hilang sabar. Dia terus menyambar keris panjangnya yang terletak di atas anak tangga itu.Keris itu dihunusnya dengan keras. “Inilah Keris Taming Sari,keris warisan dari moyangku Hang Tuah,”katanya dengan bangga sambil mengucup bila keris itu.”Dengan keris sakti ini di tanganku,tidak ada biji mata di dunia ini yang mampu melukakan kulitku,apa lagi mengalahkan aku!” Bujang tersenyum tawar kerana dia tahu Keris Taming Sari yang sebenarnya masih berada di tangan Hang Tuah di alam ghaib. “Jangan terlalu takbur,Laksamana,”Bujang menghunus Keris Sempana Riau miliknya. Laksamana tertawa melihat keris di tangan Bujang.”Kalau keris panjang sejengkal,jangan lautan hendak diduga.” “Kita sama-sama ayam sabung,Laksamana,”tegas Bujang sambil menimang kerisnya.”Kalah atau menang,itulah adat permainan.” “Cis!”Laksamana melompat melepasi kepala Bujang,hendak diparangnya tengkuk Bujang dengan keris panjang itu.Bujang bergolek ke hadapan mengelak dari serangan itu.Bila Laksamana hinggap semula di atas tanah dan berpaling hendak meneruskan serangannya,dia termasuk ke dalam perangkap Bujang.Bujang memang menanti saat-saat keemasan seperti itu. Macam kilat pantasnya,Bujang menyimbat keris pendeknya,hujung keris itu mengguris dada Laksamana.Laksamana tergamam sambil menekap dadanya.Sebaik sahaja tangan itu dibuka, ada kesan darah pada telapak tangan. “Ayahanda!”Yamtuan Muda Ibrahim menerkam turun dari atas serambi. Bujang terkejut dengan kehadiran bakal sultan itu. Dia berundur beberapa tapak dan membiarkan sahaja Yamtuan Muda Ibrahim menyerbu mendapatkan Laksamana.Seorang perempuan muda membuka jendela dan turut menjenguk keluar. “Ayah luka sikit,hanya kulit yang terguris,”kata Laksamana pada Yamtuan Muda Ibrahim. “Ayah?”Bujang terperanjat,memerhati mereka berdua,kemudian perempuan di jendela. “Laksamana ini ayahanda mertua beta,Panglima Agung,”Yamtuan Muda Ibrahim menjelas-kan,berita itu bagaikan halilintar.”Perempuan itu anak Laksamana,baru beta kahwini bulan lepas dan kini berbadan dua.” Bujang jadi lemah semangat bila sengketa itu melibatkan darah-dagingnya sendiri. Keris pendek itu disarungkan. “Kenapa,Panglima Agung?”Laksamana mengejek sambil menekan lukanya.”Tak mahu bertikam lagi?Bukankah Yamtuan Muda ini musuh ketatmu?” “Air dicincang takkan putus,”Bujang berpaling ke arah lain.”Sebusuk-busuk daging,dibasuh dikincah dimakan jua.”Tanpa menoleh lagi ke belakang,Bujang terus ke pagar yang tinggi itu. Teka-teki mengenai cara dia memasuki kawasan itu dengan mudah terjawab dengan sendiri bila dia memanjat sigai buluh yang disandarkan pada pagar itu.Dari atas pagar itu,dia terjun ke luar dan berlari menghilangkan diri ke dalam gelap.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now