Bab 36

230 12 0
                                    

Enam hari kemudian iaitu pada pagi Sabtu 1 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 23 Oktober 1652 Masehi,seluruh penduduk Batu Sawar,Kota Seberang dan Kampung Panchor menjadi gempar dengan kehadiran angkatan perang Johor yang berlabuh di situ. Ramai yang keluar menyambut ketibaan mereka dengan berita kemenangan.Bujang yang siap menggalas kampitnya meninjau mencari wajah isterinya atau ibubapa mertuanya,namun kelibat mereka tidak kelihatan di celah orang ramai yang berpusu-pusu di pengkalan itu. “Lela Wangsa,”perintahnya.”Kau sahajalah yang persembahkan perihal kejayaan kita ini kepada baginda Sultan.Hamba hendak terus pulang ke rumah.Hamba rasa tidak sedap hati.” “Baiklah,Panglima,”Lela Wangsa akur dengan perintah itu. Bujang terus turun dari lancangnya dan menyelit di celah orang ramai di pengkalan itu. Dia bergegas menuju ke rumahnya tanpa memandang ke kiri dan ke kanan,langkahnya panjang-panjang,daging pelanduk salai tergantung di tangannya.Sampai di sana,dia terkejut melihat orang ramai berkerumun di atas dan di bawah rumah bagaikan ada khenduri.Tambah terkejut lagi bila dia ternampak Perkasa turut hadir.Perkasa sedang berbual-bual dengan ibubapa mertuanya.Isterinya Chendana tidak kelihatan di mana-mana. Dia terus menerpa mendapatkan mereka.Belum sempat dia memijak tangga,kedatangannya disedari mereka. “Kau baru balik,Bujang?”tanya Temenggung dengan senyuman yang dibuat-buat. “Ya,ayah,Bujang sudah balik dengan selamat,”balas Bujang sambil bersalam dengan mertuanya.Kemudian,dia bersalam pula dengan Perkasa.Namun,matanya liar mencari kelibat isteri yang sekian lama dirinduinya. “Bagaimana dengan pekerjaan yang dititahkan Duli Yang Dipertuan”tanya Temenggung lagi. “Alhamdulillah,beroleh kejayaan,”Bujang memandang sekeliling.”Mana Chendana,ayah? “Berihatlah dulu,Bujang,”suara Mak Siti merendah.”Nanti boleh jumpa dengan Chendana.” “Oh ya,Perkasa baru tiba kelmarin dari Kedah,”Temenggung memaklumkan. “Apa khabar,Perkasa?”Bujang bertanya antara sedar dengan tidak. “Baik.Eh,apa tu?”tegur Perkasa. “Daging pelanduk,”Bujang mengukir senyum.”Chendana mengidam hendak makan daging pelanduk jantan.Mujurlah dapat seekor di Pulau Karimun.Nah,mak ambillah dan masak sedap- sedap.Nanti kempunan pula Chendana tu.” Mak Siti nyaris-nyaris menitiskan air mata.Sambil menyebik,dia menerima daging pelanduk salai yang dihulurkan itu dan segera berlari ke dapur.Temenggung dan Perkasa saling berpandangan,kemudian menggelengkan kepala. Bujang yang asyik memerhati ke sekitar rumah tidak nampak telatah mereka itu. “Khenduri apa ni,ayah?”tanya Bujang sambil meletak kampitnya ke sudut anjung. “Khenduri biasa sahaja,Bujang,”Temenggung masih berselindung.”Duduklah dulu.” Bujang pun duduk bersama mereka.Ketika Temenggung menuang air ke dalam cawan, Bujang perasan tangan bapa mertuanya menggigil memegang teko.Bujang memanjangkan leher meninjau ke dapur di mana lebih ramai kaum perempuan turut berkerumun dengan berselubung kepala seperti ada kematian. “Chendana mana?”Bujang ulangi pertanyaan itu setelah minum seteguk-dua. “Chendana?”Temenggung seperti berat hendak bercerita tentang itu.”Oh ya,Bujang. Perkasa ini membawa berita yang kurang baik dari Kedah.” “Berita apa,Perkasa?”tanya Bujang.”Tentang isteriku Tunku Balqis?” “Bukan isterimu,Bujang,”Perkasa menjelaskan.”Bapa mertuamu Duli Yang Maha Mulia Sultan Rijaluddin baru sahaja mangkat.” “Mangkat?Innalillahiwainnailaihirajiun,”ujar Bujang.”Bagaimana baginda mangkat?” “Sakit tua,kata Datuk Seraja Imam,”jelas Perkasa.”Tapi ada juga aku dengar desus-desus mengatakan baginda mangkat kerana disantau orang.Seluruh badan baginda melecur seperti disalai api.Jenazahnya sudah disemadikan di Kota Naga.” “Puaslah hati mereka yang berdendam padanya,”keluh Bujang melepas perasaan. “Tunku Mahmud Raja Muda akan dinobatkan sebagai Sultan Kedah yang baru,”Perkasa menyampaikan.”Aku dititah menjemput kau balik ke Kedah kerana Tunku Mahmud mahu Tengku Laksamana Agung Raja Laut hadir sama dalam majlis pertabalan itu.” “Kedatanganmu tepat pada waktunya,”jawab Bujang.”Aku memang berkira-kira hendak membawa Chendana balik ke Kedah.Kau bersiaplah.Lancangku ada di pengkalan.” “Baiklah,”Perkasa memandang pada Temenggung. “Mana Chendana?Chendana!”Bujang meninjau lagi ke arah dapur. Dia terus bingkas bangun. “Bujang,”Temenggung bangun menahan.”Jangan pergi ke dapur,Bujang.” “Kenapa,ayah?Ada apa di dapur?”Bujang terus menuju ke dapur.Temenggung tidak dapat menahannya lagi.Di dapur,matanya liar mencari isterinya.Yang kelihatan hanyalah ibu mertuanya bersama beberapa orang perempuan lain,semua memakai kain selubung dan membaca surah Yasin. Mereka terperanjat melihat kemunculan Bujang dan segera berhenti membaca. “Apa yang telah terjadi,mak?Mana Chendana?”Bujang mendesak. “Bujang,”Mak Siti mula menyebik.”Chendana…Chendana…!” Mak Siti tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia hanya mampu menangis teresak-esak, dipujuk oleh dua-tiga orang perempuan si situ. Bujang meluru kembali ke anjung.”Kenapa dengan Chendana,ayah? Di mana dia?” “Sabar,Bujang,”Temenggung menyeka air matanya lalu memegang bahu menantu kesayangannya itu.”Setiap yang berlaku,anggaplah takdir dari Allah untuk menguji hamba- hambaNya.” “Apa yang berlaku pada Chendana?”Bujang menolak tangan Temenggung dengan lembut. “Bujang,”suara Perkasa tertahan-tahan.”Isterimu terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri mati lemas.” “Di mana Chendana terjatuh,ayah?”Bujang memegang lengan mertuanya. “Depan pelantar membasuh,”suara Temenggung juga tersekat-sekat. “Lubuk puaka,”Bujang mendengus,terus turun ke tanah. Tanpa mempedulikan panggilan mertuanya dan beberapa orang di situ,dia berlari ke pelantar.Dia tercegat di atas pelantar,mata-nya merenung tajam ke arah arus sungai di mana terdapatnya lubuk puaka itu.Dia tidak sedar di belakangnya sudah ramai yang berkumpul,termasuk Temenggung,Mak Siti,Perkasa serta penduduk-penduduk kampung yang lain. Lela Wangsa juga baru sampai bersama ayahnya Tun Lela Pahlawan. “Orang Kaya Temenggung,hamba baru sahaja mendapat berita….,”Lela Wangsa tidak menghabiskan kata-katanya,sebaliknya memandang ke arah yang dilihat oleh Temenggung. Bujang masih membatu di atas pelantar,matanya yang merenung tajam ke arah arus sungai itu dipejamkan beberapa ketika.Dia cuba menghubungi penunggu lubuk puaka itu secara batin tetapi gagal.Akhirnya dia menghunus dua bilah kerisnya dengan sarungnya sekali,lalu meletakkan di atas pelantar.Dia membuka baju layangnya dan dastarnya pula,kedua-duanya dilonggok di atas pelantar di sisi kerisnya. “Jangan,Bujang!”jerit Mak Siti dari atas tebing.”Di lubuk itu ada penunggu!” “Tahyul!”jerit Bujuang kembali.Dia segera terjun ke dalam sungai lalu menyelam.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now