Sikap Panglima Kahar itu turut dikongsi oleh Ibu Yanti yang kelihatan mengeluh panjang. Setelah kekenyangan,mereka meneruskan perjalanan. Suasana agak redup kerana jalan yang berliku-liku di perlerengan gunung itu sentiasa dinaungi pepohon rimbun. Sekali-sekala mereka melalui perkampungan kecil yang terpencil antara satu dengan lain,dipisahkan oleh hutan tebal. Kerana hari semakin gelap dan jalan yang dilalui semakin sukar dilihat,mereka terpaksa berhenti walaupun sumber air belum ditemui.Bujang dan Panglima Kahar turun meninjau kawasan, meninggalkan kaum perempuan di atas pedati.Mereka bergerak berasingan,Bujang dari kanan sementara bapa saudaranya dari kiri. “Jumpa sumber airnya?”tanya Bujang bila mereka bertemu semula. “Jangan kata sumber air,tapak yang sesuai untuk didirikan khemah pun tidak ada,”Panglima Kahar memerhati di sekitar mereka.”Nak diteruskan,hari dah malam. Jalan gelap. Nak singgah di sini,agak menyeramkan.Entah-entah binatang buas pun ada.” “Macam mana,Panglima?”tanya Kartolo dari atas pedati,meminta pandangan. Bujang tahu mereka semua menyerahkan padanya membuat keputusan. Baik atau buruk terletak di atas bahunya.Dia memandang ke langit yang hitam pekat tidak berbintang. Sekali-sekala kelihatan kilat memancar,diikuti bunyi guruh dari jauh,menandakan hujan akan turun. Dalam keadaan runcing seperti itu,tiba-tiba Bujang ternampak kerlipan api pelita. Api itu datangnya dari celah-celah rimbunan hutan tebal tidak berapa jauh dari situ,memberi harapan baru pada Bujang. Api bererti ada rumah kediaman. ‘Kamu semua tunggu di sini,jangan ke mana-mana,”pinta Bujang.”Paman jaga mereka.” Tanpa menunggu jawapan atau bantahan,Bujang terus meredah hutan yang tebal itu menuju ke arah api yang dilihatnya.Akhirnya dia tiba di sebuah pondok buluh.Lantai,dinding dan tiang pondok itu semuanya diperbuat daripada buluh,kecuali bumbungnya beratap daun rumbia. Api yang dilihattnya itu datangnya dari pelita buluh yang dipacak di tepi tempayan. Terdapat sebuah perigi yang dikelilingi pagar buluh di sebelah pondok itu. Cahaya api juga mencuri-curi keluar dari celah dinding pondok. Hidungnya menghidu udara di situ tetapi tidak tercium bau wangi seperti kebiasaannya. Bujang mendekati pondok itu lalu mengintai dari celah dinding. Seorang perempuan bertelekung putih sedang duduk bersimpuh membawa kitab suci Al-Qur’an dengan suara yang perlahan.Suaranya fasih dan lancar,sebutan ayat-ayat yang dibacanya tidak ada cacat-cela. Bujang serba-salah samaada hendak menganggu bacaan perempuan itu atau kembali ke pedati. Dia tidak tahu perempuan itu jin atau manusia tetapi dia amat memerlukan tempat untuk menumpang pada malam itu. “Mengapa terhendap-hendap?Jemputlah naik,”tiba-tiba suara dari dalam mempelawanya. Bujang mengintai semula.Dilihatnya perempuan itu sudah menutup kitab suci Al-Qur’an. “Assalamualaikum,”tegurnya tenang.”Boleh kami tumpang bermalam di sini?” “Waalaikumussalam,”balas perempuan itu.”Naiklah. Tapi cucu seorang sahaja.” “Bagaimana dengan isteri hamba,bapa saudara hamba dan ramai lagi?”Bujang bertanya lagi melalui celah dinding buluh itu.”Mereka juga perlukan tempat berteduh.” Perempuan itu diam sejenak,badannya tidak bergerak-gerak seperti tunggul kayu. “Hati mereka tidak bersih,”akhirnya perempuan itu bersuara.”Kalau mahu berteduh juga,di belakang mereka ada air yang mengalir dari puncak gunung.Gunakanlah.Tetapi hanya satu malam.Besok pagi sebelum matahari terbit,mereka perlu tinggalkan tempat ini.” “Baiklah,”Bujang akur pada kehendak itu.”Biar hamba maklumkan pada mereka.” Bujang pun berpatah balik mengikut jalan yang dilaluinya tadi,cincin berbatu zamrud yang dipakainya jelas kelihatan dalam kegelapan itu.Kepulangannya disambut dengan gembira oleh mereka semua. “Kita bermalam di sini,”kata Bujang pada mereka semua.”Paman,di belakang sana terdapat air pergunungan,cukup untuk keperluan kita.Tapi ingat,besok pagi sebelum matahari terbit,kita mesti tinggalkan tempat ini.” Tidak ada yang membantah keputusan itu. Mereka turun dari pedati untuk memulakan tugas masing-masing. Panglima Kahar mengikut Bujang pergi ke belakang pedati dan berjaya menemui saliran air yang mengalir dari atas gunung. Saliran itu membentuk kolam kecil sebelum meresap ke dalam batu dan hilang entah ke mana.Dengan menggunakan golok,mereka mencantas ranting dan dahan-dahan kecil yang menutupi tempat itu,batu-batu disusun bulat supaya kelihatan lebih kemas. “Apa yang Bujang temui di sana?”Panglima Kahar cuba mencungkil rahsia. “Nenek Kebayan,agaknya,”ujar Bujang dengan ringkas. Belum sempat bapa saudaranya bertanya lanjut,dia kembali ke pedati menolong menghidupkan api untuk bertanak nasi menggunakan periuk tembaga yang dipanggil potjie. Kartolo dan Kasiman memberi kuda makan. Sheila dan kakaknya pula berihat di atas pedati,tidak berani memijak tanah.Angin semakin kuat, kilat sabung-menyabung di kejauhan. Akhirnya api berjaya dihidupkan menerangi tempat itu. “Jaga api supaya jangan padam,”pesan Bujang pada isterinya. “Kayu api tinggal sikit lagi,abang,”Kartini mengingatkan suaminya. “Gunakan dulu mana yang ada,”Bujang membantu Ibu Yanti menyusun kayu api di bawah potjie.”Besok kita cari lain. Ibu,minta tolong dua beradik kulit putih itu mengangkat air.” “Sudah disuruh,mereka keberatan,”kata Ibu Yanti.”Anak-anak orang besar,katakan.” Melihat Panglima Kahar dengan Kasiman terkial-kial hendak mendirikan khemah,Bujang menghampiri mereka pula untuk membantu mana-mana yang perlu.Atas cadangannya,khemah itu dibina rapat-rapat. Tiga khemah semuanya.Diikat antara satu sama lain supaya tidak mudah ditiup angin kencang.Ditambat pula pada pedati agar lebih kukuh.Tingginya cukup untuk berdiri mengerjakan sembahyang.Bujang memilih khemah yang paling jauh,kampitnya diletakkan di situ sebagai tanda.Setelah berpuas hati,baru dia meninggalkan mereka semua. Dia kembali ke pondok buluh yang dikunjunginya tadi. Nenek Kebayan sedia menunggunya di atas pelantar sambil menggobek sirih.Api dari pelita buluh yang meliuk-lintuk menampakkan wajah tuanya yang berkedut dan retak seribu.Telekungnya sudah ditanggalkan,diganti dengan baju kurung labuh serta kain yang sudah lusuh.Rambutnya yang beruban dibaluti sehelai kain selubung yang juga lusuh tidak tentu warna. “Assalamualaikum,”tegurnya dari bawah pondok. “Waalaikumussalam,”terketar-ketar suara Nenek Kebayan menjawab.”Naiklah,cucu.” “Tempat berteduh sudah disiapkan,”jelas Bujang.”Hamba cuma ingin tumpang bersembahyang di rumah Nenek ini. Di pelantar pun cukuplah.” “Naiklah,”Nenek Kebayan mengesot ke tepi,memberi ruang kepada Bujang. Tanpa berlengah lagi,Bujang pun mencapai sebatang pelita damar yang dilihatnya di tepi tangga. Pelita itu dicucuhnya dari api pelita buluh. Dia menyuluh jalan ke perigi. Pada dinding buluh terdapat sehelai kain batik lusuh.Kain itu dijadikan kain basahan. Dia pun mandi dengan sepuas-puasnya,kemudian memakai pakaiannya kembali lalu mengambil wuduk. Nenek Kebayan tidak ada di atas pelantar tetapi sehelai sejadah ditinggalkan terhampar di situ bersama seutas tasbih. Bujang terus menunaikan sembahyang. Kerana waktu sudah lewat,dia mengerjakan solat jamak takkhir,dijamak dan diqasar solat maghrib dengan isya.Kemudian,dia pun berwirid dan berdoa seperti kelazimannya. Setelah selesai,baru dilihatnya Nenek Kebayan muncul terketar-ketar membawa talam berisi makanan dan minuman. Dia segera bangun mencapai talam itu,diletaknya di atas lantai buluh. Kain sejadah itu dilipat dan diletak ke tepi.Dengan bersusah-payah Nenek Kebayan duduk bersimpuh daan mula menggobek sirih-pinang. “Jemputlah,Cu,”pelawanya. “Nenek dah makan?”Bujang mencapai sepotong kueh. “Makanlah…Nenek tak ada gigi lagi,”Nenek Kebayan terus juga menggobek sirih-pinangnya. “Bismillah….,”Baru sahaja Bujang hendak menyuap kueh ke dalam mulutnya,tiba-tiba semua pelita padam,menjadikan keadaan di situ gelap gelita.Bujang tidak dapat melihat apa-apa.Telinga-nya mendengar seperti bunyi harimau mendengus dari arah Nenek Kebayan. Pondok buluh itu tiba-tiba bergegar bagaikan dilanggar sesuatu.Pelita dinyalakan semula entah oleh siapa. Nenek Kebayan sudah hilang.Tempatnya diganti oleh seorang perempuan muda yang amat cantik.Perempuan itu tersenyum menghulurkan sebuah peti yang sarat berisi wang emas,barang perhiasan dan batu-batu permata. “Mana Nenek Kebayan?”tanya Bujang,tidak mudah tergoda dengan kilauan harta kekayaan. “Nenek Kebayan ada urusan,”jawab perempuan muda itu.”Kamilah Nyai Roro Kidul penjaga Laut Selatan.Ambillah semua harta ini,pemberian dari kami.” “Ratu Laut Selatan,”Bujang teringat cerita yang didengarnya.”Kalau betul kamu penjaga laut, buat apa di tengah hutan rimba ini?” “Rimba raya dan hutan belantara tempat persinggahan kami,”Nyai Roro Kidul menjelaskan dengan lembut.”Segala harta yang terkandung di perut bumi atau terbenam di dasar lautan,kami yang menjaganya.” “Kamu ini jin atau manusia?”Bujang cuba menduga. “Jin bukan,manusia bukan bukan,”jawapan Nyai Roro Kidul penuh teka-teki. “Kenal cincin dari siapa ini?”Bujang menunjukkan cincin batu zamrud yang dipakainya. Nyai Roro Kidul tersenyum seolah-olah mengetahui Bujang ingin menduganya. “Cincin pertunangan dari Mayang Sari,puteri kepada Raja Abal Yusuf yang memerintah Negeri Antah Berantah,”dengan tenang Nyai Roro Kidul menjawab.”Sudah lama kami perhatikan kamu,wahai Panglima Agung.Ingin kami jodohkan kamu dengan anak kami yang bernama Puteri Rabiatul Adawiah timang-timangan Puteri Rubiah.” “Syaratnya?”Bujang ingin tahu. “Tidak ada sebarang syarat,”ujar Nyai Roro Kidul. “Mustahil ikan hidup di darat,mustahil manusia berkahwin dengan makhluk halus.” “Tapi Panglima Agung telah bertunang dengan Puteri Mayang Sari,”tempelak Nyai Roro Kidul.”Bertunang bererti bersedia untuk berkahwin.” Bujang terdiam,terperangkap dengan kata-katanya sendiri. “Cincin ini hadiah pertunangan dari Mayang Sari,”Bujang menguji lagi.”Apa hadiah dari pihak Puteri Rubiah?” “Mintalah apa sahaja,akan kami perkenankan,”Nyai Roro Kidul mempelawa. Dulang makanan ditolak ke tepi,Bujang bangun dari tempat duduknya.”Kata-kata seperti itulah yang banyak menyesatkan manusia,”sindirnya tajam. “Panglima tersalah-tafsir,”dengan sabar Nyai Roro Kidul menjelaskan.”Benar,kita sebagai makhluk dituntut memohon hanya kepada Allah. Namun,bantuan Allah datang dalam berbagai bentuk dan cara. Panglima sendiri telah mengalaminya sendiri.” “Baiklah,”Bujang duduk semula.”Kalau hamba bersetuju,apa tandanya?” Nyai Roro Kidul menghulurkan peti yang sarat berisi itu kepada Bujang. “Hamba tidak mahu kekayaan itu,”dia menolah.”Cukuplah rezeki yang hamba ada sekarang.” “Panglima memandang tetapi tidak melihat,”Nyai Roro Kidul menghulurkan lagi peti itu. Kali ini,Bujang menjengok ke dalam peti itu melihat kandungannya dengan lebih teliti. “Setiap barang ada hikmahnya sendiri,”jelas Nyai Roro Kidul.”Pilih satu buat penanda.” “Tak perlu kalung,hamba bukan perempuan,”Bujang memilih barang yang disukainya di dalam peti itu.”Aguk juga pakaian perempuan.Barang kemas ini semua daki dunia. Hamba sudah memiliki banyak cincin.Yang ini?Ya,yang ini hamba suka.”Bujang menunjukkan seutas gelang perak. “Gelang wafaq nama diberi,pakailah di kanan atau di kiri,”pinta Nyai Roro Kidul. “Perbuatan yang baik bermula dengan tangan kanan,”Bujang pun menyarungkan gelang perak berukiran naga itu ke lengan tangannya.Tiba-tiba dia merasa seperti diresapi satu kuasa yang tidak dikenali,bulu tengkuknya meremang,bulu romanya tegak berdiri.Dilurut kedua-dua belah tangannya sehingga keadaan kembali seperti biasa. “Sekarang,sah sudah Kekanda tunangan Adinda,”ujar Nyai Roro Kidul sambil tersenyum puas. “Tapi,hamba memilih Puteri Rubiah,bukan Nyai Roro Kidul,”Bujang membantah. “Adindalah Puteri Rabiatul Adwiyah timang-timangan Puteri Rubiah,”jelas Puteri Rubiah sambil tersenyum lagi.”Nyai Roro Kidul hanya gelaran orang-orang Jawa pada Adinda.” “Dan,Nenek Kebayan tadi?”Bujang terus bertanya. “Dinda menyamar sebagai Nenek Kebayan untuk menguji Kekanda,”Puteri Rubiah menjelaskan duduk perkara.”Sekarang,baliklah ke pedati sebelum mereka menaruh syak. Tentang peti ini,akan Dinda hantar ke kapal Kekanda.” “Kapal hamba? Di mana kapal hamba?” “Di Selat Sunda,sedang belayar ke Laut Selatan mencari Kekanda,”Puteri Rubiah menerangkan perkara yang tidak kelihatan di depan mata.”Nakhodanya bernama Lela Wangsa,keturunan Acheh.Turut bersama ialah seorang puteri dari Bugis bernama Daeng Ratna Sari.” Bujang terperanjat dengan berita yang diterima.”Kalau benar Puteri Rubiah terus mata,terang-kan di mana isteri hamba Chendana hilang.” “Isteri Kekanda tidak pernah hilang,”Puteri Rubiah mendedahkan.”Dia hanya dilarikan orang. Sekarang dia berada di Batu Sawar bersama seorang lagi isteri Kekanda bernama Tunku Rahimah timang-timangan Tunku Balqis.” “Balqis pun ada sama?”Bujang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya lagi.”Tapi, siapa yang terlalu biadab melarikan Chendana?Terangkan pada hamba!” “Ada perkara yang boleh Adinda ceritakan,ada yang dilarang,”Puteri Rubiah menolak permintaan itu dengan lembut.”Kami juga mempunyai adat dan peraturan.Sekarang,pergilah.” “Bila akan kita berjumpa lagi?”Bujuang bangun membetulkan kedudukan kerisnya. “Bila tiba masanya,kita pasti ketemu,”jawab Puteri Rubiah.”Assalamualaikum,Kanda.” “Waalaikumussalam,Puteri Rubiah,”balas Bujang lalu berpaling dan turun dari pondok buluh. “Jangan ditoleh sebelum tujuh langkah,”pesan Puteri Rubiah. Bujang terdiam sejenak memikirkan pesanan itu. Selepas memakai capalnya,dia terus melangkah ke arah lorong di hutan rimba yang ditempuhnya tadi. Di dalam hati dia membilang langkahnya.Selepas tujuh langkah,dia pun menoleh ke belakang. Puteri Rubiah,pondok buluh, tempayan dan perigi sudah ghaib dari pandangan. Semuanya hutan rimba gelap gelita. “Subhanallah….,”tuturnya perlahan lalu kembali ke tempat perkhemahan. Nasi dan lauk sedang diedarkan.Mereka baru hendak menjamu selera. Dia pun duduk di sebelah isterinya dan menerima makanan yang dihulurkan. Nasi berlauk daging rusa panggang. Dia menjenguk ke arah hutan rimba di mana terdapatnya pondok buluh tadi.Gelap dan gelita. Apa yang baru dialaminya terasa bagaikan bermimpi. Tetapi,dia tidak bermimpi.Gelang wafaq yang tersarung di pergelangan tangannya adalah bukti bahawa dia tidak bermimpi. Dia benar-benar telah bertemu dengan Puteri Rubiah,tunangnya dan bakal isterinya.Dulu Mayang Sari,sekarang Puteri Rubiah pula.Hatinya tertanya-tanya, Boleh kah dia berkahwin dengan makhluk selain dari manusia?Apa kah hukumnya? Sah atau tidak? Dia terpaksa mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan yang menjejaskan akidahnya. Malam itu di Kampung Panchor,Chendana dan Tunku Balqis juga mengalami peristiwa yang mencabar keimanan mereka.Mereka baru sahaja selesai makan dan sedang berihat-rihat di anjung bersama Wan Fatimah. Hujan renyai yang turun sejak pagi tadi sudah lama berhenti tetapi petir dan kilat masih kelihatan memancar-mancar di kaki langit..Langit kelihatan bersih dengan kerlipan bintang, namun bulan terselindung di sebalik awan-gemawan. Datuk Temenggung dan Makm Siti muncul dengan berpakaian cantik seperti hendak menghadiri keramaian. “Fatimah nak ikut Atuk?”Datuk Temenggung mempelawa cucu kesayangannya. “Nak,”Fatimah melompat keriangan. “Pergi tukar pakaian lain,”pinta Mak Siti sambil tersenyum. Fatimah terus berlari masuk. “Ada keramaian apa,Ayah,Mak?” tanya Chendana kehairanan. “Bukan keramaian,”jawab Datuk Temenggung.”Duli Yang Dipertuan menerima beberapa orang tetamu dari Barat. Mereka hendak berunding pasal perdagangan dengan orang-orang Melayu.Baginda pun meraikan mereka dalam majlis santapan diraja.” “Oh begitu,”baru Chendana faham.”Di Kedah pun serupa juga,Kak Balqis?” “Dulu masa almarhum Ayahanda kerap juga,”balas Tunku Balqis.”Tapi sejak Kanda Tunku Mahmud ditabal menjadi Sultan,dia tidak lagi menerima tetamu dari atas angin. Dia memang benci pada orang Barat,lebih-lebih lagi Belanda.” Fatimah muncul semula dengan pakaian yang tidak kurang indahnya. “Kami pergi dulu,”Datuk Temenggung minta diri bersama Mak Siti. Fatimah mencium tangan kedua-dua ibu tirinya sebelum berlari memeluk pinggang neneknya. Mereka turun ke halaman. Berhati-hati mereka melangkahi tanah yang berbecak itu. “Tinggal kita berdua saja,Kakak,”kata Chendana setelah mereka tidak kelihatan lagi. “Kakak?”Balqis berfikir sejenak.”Tak payahlah berkakak beradik lagi,Chendana.Terasa macam dah tua padahal usia kita sama sahaja.” Chendana mengukir senyum.”Kalau abang Bujang ada bersama,’kan bagus.” “Bilalah agaknya suami kita akan pulang,”Balqis mengeluh.Chendana hanya geleng kepala. Mereka terdiam,sama-sama terkenang kembali saat-saat indah ketika Bujang ada di samping. “Assalamualaikum,”kedengaran suara perempuan menegur dari bawah. “Waalaikumussalam,…siapa pula agaknya,”Chendana memanjangkan leher menjengah ke tangga,kemudian mengurut dada terperanjat.Balqis yang menjenguk kemudian juga turut sama terperanjat melihat seorang perempuan muda yang amat cantik sudah tercongok di depan tangga. Pakaian perempuan itu serba kuning,kecuali selendang dan kayu tudungnya yang berwarna hijau pucuk rebung. Belum pernah mereka melihat perempuan secantik itu. “Boleh kita berbicara barang seketika?’lembut sekali perempuan muda itu bersuara. “Boleh…silakan er..siapa gerangan ini?’ pelawa Chendana.”Silakan naik.” Lambat-lambat perempuan muda itu melangkah menaiki tangga,pakaian indah yang dipakainya itu mengeluarkan bau yang harum semerbak. Mereka bersalam-salaman,kemudian duduk bersimpuh menghadap antara satu sama lain.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...