Bab 71

266 13 1
                                    

“Belum habis-habis lagi rasa kagum?”tegur Ratna dari tempat tidurnya. Bujang agak terkejut“Ratna belum tidur lagi?” “Macam mana nak tidur,Ratna asyik terkenangkan Bahtera Indera Kayangan dan kamar kita ini,”Ratna bangun memeluk suaminya dari belakang.”Sepanjang hidup Ratna,tak pernah Ratna mimpikan semua ini.” “Tamadun di alam ghaib memang mendahului tamadun kita,”ujar Bujang.”Itulah kelebihan yang Allah Taala berikan kepada mereka.” “Betul kata abang,”Ratna melepaskan pelukannya.”Kamar ini sahaja penuh dengan keajaipan. Ada lampu dalam dinding,ada air dalam pili tembaga.Cuaca boleh dikawal samada hendak sejuk atau panas.Dinding pula boleh hilang dalam sekelip mata dan kita mampu melihat apa yang ada di luar kamar.” Bujang mencuba seperti yang dinyatakan oleh isterinya.Memang benar,dengan menekan butang-butang tertentu,dinding menjadi lutsinar.Dia dapat melihat anak buahnya di geladak sedangkan mereka tidak dapat melihatnya.Seolah-olah kamar itu tidak berdinding. “Kamar lain pun seperti ini juga,abang?”tanya Ratna,tidak begitu ceria. “Tidak,hanya kamar khas ini sahaja,”Bujang mengetuk dinding ajaib itu dengan jarinya.”Subahanallah,memang menakjubkan.” “Risau juga Ratna,”kata Ratna.”Dalam kamar ini ada lapan bilik tidur.” “Tidak ada dinding seumpama itu di mana-mana bilik tidur,”balas Bujang sambil tersenyum kerana mengetahui sebab sebenar mengapa isterinya risau.”Ratna,Chendana dan Balqis boleh pilih bilik tidur masing-masing tanpa perlu risau diintai orang.” Ratna tersenyum penuh makna.”Mayang Sari dan Puteri Rubiah juga perlukan bilik?” “Tentulah,lebih-lebih lagi Rubiah yang baru abang kahwini,”Bujang menunjukkan cincin perkahwinan di jari telunjuknya. “Bererti isteri abang sudah genap empat orang,”Ratna mengamati cincin suasa itu. “Tidak juga,”Bujang menafikan.”Ramai ulama berpendapat isteri dari kalangan makhluk halus tidak dikira dari segi syarak meskipun sah.Peraturan mereka tidak sama dengan kita.” “Nampaknya banyak lagi yang perlu Ratna pelajari,”kata Ratna. “Belajarlah dari kitab itu,”Bujang terhenti apabila terpandang ramai anak buahnya sedang mengerumuni sesuatu di anjung hadapan. Dia menutup dinding itu lalu segera turun dari kamarnya.Rupanya mereka sedang mengerumuni Aria Wulon yang sedang duduk bersila bertafakur hendak melakukan penerbangan ke lancang Lela Wangsa. Demi terpandang Bujang,mereka mengelak dan berundur jauh sedikit dari situ. Bujang lihat mata Aria Wulon terpejam rapat,dahinya berkerut, badannya berpeluh-peluh walaupun udara malam itu agak sejuk. Dua-tiga kali Aria Wulon menggelengkan kepala penuh keciwa. “Betapa halnya,Aria?”Bujang bertanya pada pendeta Hindu itu. Aria Wulon membuka matanya,wajahnya muram.”Hamba gagal,Panglima”katanya sambil bangun menggelengkan kepala.”Hamba tak boleh terbang. Mereka tak benarkan.” “Mereka?”Bujang memandang kepada anak buahnya di sekitar. “Bahtera sakti ini dijaga oleh 70,000 khadam suci,”Aria Wulon membuka rahsia.”Mereka menghalang hamba dari menggunakan ilmu Yoga kerana bertentangan dengan Islam.” “Apa yang kamu baca dalam jampi serapahmu?”tanya Bujang ingin tahu. “Hamba mengebut om om om menyeru nama-nama Tuhan agama Hindu,”jawab Aria Wulon. “Memang Islam melarang kami menyekutukan Allah,”jelas Bujang.”Itu syirik namanya.” “Habis,apa hamba nak buat?”tanya Aria Wulon agak risau. “Gantikan dengan asmaul-husna,”balas Bujuang.”Nama-nama Allah yang terpuji.” “Tapi,hamba beragama Hindu,”Aria Wulon membantah membela agama nenek-moyangnya. “Kenalah kamu memeluk agama Islam,”jawab Bujang ringkas.”Baiklah,hanya kali ini sahaja hamba benarkan kerana kita amat memerlukan peta itu. Kamu cuba sekali lagi.” Sementara Aria Wulon kembali bersila dan bertafakur,Bujang memejam mata menyatukan dirinya dengan alam kebatinan..Mata basirah-nya dapat melihat dengan jelas hulubalang-hulubalang berserban serta berpakaian serba hijau terapung di awang-awangan mengawal bahtera itu dari segenap penjuru. Dia memohon secara batin kepada penghulunya supaya membenarkan Aria Wulon terbang pada malam itu sahaja dengan memberikan sebab-sebabnya.Penghulu itu tunduk tanda patuh pada perintah.Bila Bujang membuka matanya,dia sempat melihat jasad Aria Wulon terbang macam ribut meninggalkan kapal itu dan akhirnya hilang ditelan kegelapan malam. “Subhanalah,”bisik Bujang,menyandarkan kejadian luar biasa itu kepada Allah semata-mata. Anak buahnya mula bersurai dan kembali ke tugas masing-masing. Bujang masih tercegat di atas geladak,matanya cuba mencari lancang Lela Wangsa yang sudah jauh belayar dan kelihatan kecil sahaja seperti puntung hanyut di kaki langit.Tidak lama kemudian,Aria Wulon kembali membawa peta yang diminta.Bujang menuding dengan ibu jarinya supaya peta itu diberikan kepada Taiko Lim di kamar kemudi. “Panglima sudah turun ke perut bahtera?”tanya Andika yang menghampirinya bersama Panglima Kahar.”Rupanya di bawah sana ada macam-macam jenis jentera yang tak pernah kami lihat.Kami percaya dari situlah punca kuasa yang menggerakkan kapal ajaib ini.” “Berada di sana seperti berada di dasar laut,”Panglima Kahar pula memuji.”Kami nampak semua ikan yang berenang-renang di luar menerusi dinding kaca.Seakan-akan ikan itu boleh disentuh.Yang peliknya,kami tak nampak pun pendayung atau kipas kapal.” Bujang tidak terkejut kerana dia sudah melihatnya awal-awal lagi. “Jentera itu bergetar bila disentuh,macam benda hidup,”tambah Andika pula.”Hairan juga dari mana jentera itu mendapat kuasanya.Jangan-jangan kuasa jin.” “Bukan kuasa jin,”Bujang menjelaskan.”Kata Hulubalang itu tadi,tenaganya dari cahaya matahari,diserap melalui layar dan semua permukaan kapal,kemudian disalurkan ke jentera. Katanya lagi,kapal ini tidak menggunakan kipas,sebaliknya menggunakan angin yang mampu menggerakkannya ke mana sahaja,termasuk di atas darat.” “Hebat sekali,”Andika terus memuji.”Agaknya orang-orang Barat yang lebih maju telah menggunakan cara ini untuk belayar.” “Belum pernah hamba dengar atau jumpa lagi,”Panglima Kahar membantah. “Di negeri Cina pernah dicuba menggunakan tenaga wap tetapi tidak berjaya,”sampuk Taiko Lim yang baru tiba.”Wangkang itu terbakar kerana api tidak dapat dikawal.Ada juga hamba dengar orang-orang Barat sedang berusaha mencipta sejenis minyak dari perut bumi yang boleh membakar dan menggerakkan jentera.” “Rupanya kamu juga berpengalaman luas,”Bujang memuji Taiko Lim.”Tidak sia-sia hamba melantikmu sebagai Jurumudi.” “Dulu hamba pernah belajar sampai ke Bukhara,”Taiko Lim menjelaskan.”Kami diajar tentang ilmu pelayaran di samping Ilmu Fiqah,Hadis dan Mantik.” “Sejak bila kamu memeluk agama Islam?”tanya Panglima Kahar pula. “Sejak dari dalam perut ibu hamba,”jawab Taiko Lim selamba. “Kamu bergurau dengan hamba?”suara Panglima Kahar agak keras. “Tidak,hamba tidak bergurau,”Taiko Lim menjawab dengan berani.”Nenek-moyang hamba memeluk agama Islam ketika Saad Abi Waqas mula-mula berdakwah di Negeri China. Sejak itu ramai juga maharaja Cina yang memeluk agama Islam. Nama Islam hamba ialah Yaakub Lim Tim Kok. Rakan-rakan hamba yang berempat itu pun Islam juga.” “Rupanya selama ini hamba tersalah sangka,”Bujang menyatakan.”Mulai malam ini kamu bukan lagi Taiko Lim tetapi Yaakub Lim.” “Yaakub pun boleh,”Yaakub Lim membetulkan.”Atau Akob sahaja.” “Akob,”tanya Andika.”Bagaimana tuan hamba begitu fasih bercakap Melayu?” “Sebab hamba rajin bercampur-gaul dengan orang Melayu,”jawab Akob secara munasabah.”Sebenarnya bahasa Melayu cukup mudah dipelajari. Tak sama dengan bahasa Inggeris atau bahasa Arab.” “Kamu boleh bercakap Inggeris,?”tanya Bujang pula pada Yaakub Lim. “Little-little bit,Panglima,”ujar Akob.”I learned from Mister Jourdain. Hamba belajar dari Tuan Jourdain semasa bekerja di atas kapalnya.” “Bahasa Holanda?’Panglima Kahar ingin menguji Yaakub Lim. “Boleh sikit-sikit,”jawab Yaakub Lim bersahaja. “Bagus,”usik Bujang.”Kalau kita ditahan Belanda,bolehlah kamu jadi jurubahasanya.”### Kembali ke kamar,dilihatnya Ratna betul-betul sudah tidur,tarikan nafasnya turun-naik dengan tenang.Dia pun mengambil kitab pemberian Hulubalang tadi. Kitab yang menerangkan secara terperinci tentang kapal itu dibacanya dengan teliti. Hari Selasa 22 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 14 November 1652 Masehi,Bujang bangun seperti biasa untuk bertahajud serta menunaikan sembahyang subuh. Namun,selepas bersarapan bersama isterinya,bahtera itu tidak juga membongkar sauh belayar ke Tanah Bugis seperti yang diarah. Tiba-tiba kedengaran bunyi genta bertalu-talu.Dia bergegas keluar ke geladak untuk mencari puncanya.Dilihatnya kebanyakan anak kapal termasuk bapa saudaranya Panglima Kahar,Andika dan Aria Wulon sudah berkumpul di atas geladak.Niatnya hendak berjumpa dengan Yaakub Lim terpaksa dibatalkan. Dia beredar ke pagar pengadang dan sama-sama memerhati kapal Helang Hitam yang berlabuh tidak jauh dari muara sungai seolah-olah menghalang laluan mereka. Dari jarak yang tidak begitu jauh, lekas-lekas dicam wajah Juragan Musa yang sedang berbual-bual dengan Kiai Ageng. “Sudah lama mereka berlabuh?”tanya Bujang pada bapa saudaranya di sebelah. “Sejak subuh tadi,”balas Panglima Kahar.”Nampaknya mereka cuba menyekat kita dari meninggalkan tempat ini.Tengok,semua meriam mereka dihala ke bahtera kita.” “Mereka cuba mencari gara-gara,Panglima,”jelas Aria Wulon pula. “Bagaimana mereka kenal bahtera kita?”tanya Bujang lagi. “Subuh tadi Si-Amat datang bertanya khabar,”Andika memberitahu Bujang.”Dia ternampak hamba dan ramai lagi.Tahulah dia siapa kita.Katanya,mereka telah membedil dan menenggelam-kan lancang kita tidak jauh dari sini.” “Lela Wangsa turut terkorban?”tiba-tiba berubah air muka Bujang. “Kami kurang pasti,Bujang,”ujar Panglima Kahar berhati-hati kerana mereka sudah ternampak wajah Bujang yang berubah menjadi bengis.”Kami cuma diberitahu lancang itu tenggelam bersama isinya.” “Cis!”Bujang memengkis menahan geram.”Berani mereka menjolok sarang tabuan!Yaakub!” Mata Bujang liar mencari Jurumudinya supaya diturunkan sampan ke laut. “Tunggu dulu,Panglima,”Andika yang dapat meneka niat Bujang menahan sambil menunjuk kea rah kapal Helang Hitam.”Juragan Musa,Kiai Ageng bersama beberapa orang pengikutnya turun ke sampan.Hamba rasa mereka hendak kemari.” Bujang ternampak Yaakub Lim menjenguk dari kamar kemudi lalu mengangguk sebagai isyarat. Yaakub yang berpengalaman luas segera menangkap maksud Bujang.Dia kembali ke celaga kemudi dan bersedia untuk membongkar sauh belayar. Di sekitar dinding bahtera itu terdapat ruang legar tiga tingkat yang dihubungkan oleh tangga-tangga kecil.Ruang berpagar tetapi tidak berbumbung itu yang lebarnya boleh muat dua orang biasanya digunakan anak kapal sebagai laluan pilihan jika tidak mahu menggunakan tangga lilit di tengah geladak.Ruang legar itu juga kerap menjadi tempat mengambil angin dan bersantai selain anjung hadapan dan anjung belakang. Namun,ruang legar di tingkat bawah sekali boleh dijadikan tempat memunggah barang-barang kerana lebih lebar dan tingginya kira-kira sehasta dari paras laut,lantainya boleh ditarik keluar atau disorong masuk mengikut keperluan. “Bersiap-sedia untuk membedil dengan meriam,”Bujang memberi arahan kepada para pendekar dan hulubalangnya.Mereka yang bertugas sebagai pasukan meriam berkejar mengambil tempat. Bujang membuka pintu pagar pengadang,melangkah ke ruang legar teratas,kemudian menuruni tangga menuju ke tingkat bawah sekali.Dia ditemani Panglima Kahar,Andika,Aria Wulon serta beberapa orang hulubalang pilihan. Dari ruang legar yang seakan-akan pengkalan kecil itu,mereka menunggu ketibaan sampan dari kapal Helang Hitam dengan sabar.Beberapa pucuk meriam tembaga sudah dihala ke arah kapal yang tidak diundang itu.Para hulubalang mengacu anak panah. Akhirnya sampan itu dirapatkan ke ruang legar.Juragan Musa bangun bercekak pinggang dengan lagak berani manakala Kiai Ageng hanya membisu seperti dipukau.Bujang bertentang mata dengan juragan yang bongkak itu. “Kapal siapa ni?”tegur Juragan Musa dengan kasar dan bengis. “Apa hajatmu kemari?”tanya Bujang tenang,soalan Juragan Musa tidak diendahkan. “Untuk menuntut hak kami,”Juragan Musa menuding pada peti di atas sampannya.”Emas dan batu permata ini palsu,tidak ada nilai!Kami mahu gantinya!” “Sialan!Berani kau..,”Aria Wulon menyambar hulu kerisnya. “Sabar,Aria,”Bujang menahan.”Mengapa nian berdiam diri,Kiai Ageng?” Kiai Ageng bagaikan tersentak.Dia tunduk sambil menjawab perlahan,”Kulo tak mampu…!” “Kiai keturunan Sunan Giri,keturunan orang baik-baik,”Bujang tahu Kiai Ageng di bawah belenggu dua khadam peliharaan Juragan Musa.”Jangan mudah tunduk pada syaitan.” “Kurang ajar!”bentak Juragan Musa.”Omong jangan sembarangan!Binasa sampian!” Bujang ternampak dua khadam berjubah menjelma di sisi Juragan Musa,kaki mereka bagaikan berdiri di awang-awangan.”Baiklah,”Bujang pura-pura mengalah lalu mengarah anak buahnya di situ.”Kamu semua naik ke atas. Bawa peti emas itu kemari.” Panglima Kahar,Andika,Aria Wulon dan hulubalang-hulubalang saling berpandangan,serba-salah hendah mematuhi arahan yang bertentangan dengan kemahuan mereka. “Pergi lekas,,”perintah Bujang lagi,suaranya keras sikit. Mahu tidak mahu mereka terpaksa akur pada perintah itu. Diam-diam mereka menaiki tangga ke ruang legar paling atas.Setelah melihat mereka semua sudah berada di atas geladak,Bujang berpaling menghadapi Juragan Musa dengan tenang. “Emas palsu itu bukan pekerjaan kami,”tegasnya pada juragan itu.”Silap kamu juga kerana terlalu tamak haloba.” “Kulo mahu ganti rugi!”Juragan Musa terus mendesak,matanya yang merah terbelalak macam telur ayam.”Kalau enggan…..,”suaranya mati dan senyumnya berbunga bila terpandang sebuah peti diusung Andika dan Aria Wulon dengan bersusah-payah menuruni tangga manakala rakan-rakan lain memerhati dari geladak dengan rasa marah yang tertahan-tahan. Andika dan Aria Wulon termengah-mengah meletakkan peti itu di tepi kaki Bujang. “Cepat,berikan emas kulo!”Juragan Musa tidak sabar-sabar lagi,wajahnya bengis. “Nah,pergi ambil,”pelawa Bujang tenang.Dengan mudah peti yang sarat itu diangkat,kemudian diluncur ke darat.Kedua-dua khadam berjubah putih itu melayang mengejar peti harta karun itu. Dengan takdir Allah,belum sempat peti itu mencecah bumi,tiba-tiba berlaku satu letupan kuat seperti letupan meriam.Peti itu hancur berkecai dan kedua-dua khadam itu terbakar hangus. Juragan Musa terperanjat besar,matanya terbeliak.Kiai Ageng tersentak bagaikan baru sedar dari mimpi.Anak buah Bujang tergamam menyaksikan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Sebentar kemudian,mereka bersorak gembira. “Sampian bunuh khadam kulo!”Juragan Musa melompat ke atas ruang legar itu hendak menikam Bujang dengan kerisnya.Kerambit di tangan Bujang membelah angin seperti kilat memancar,dua kali berturut-turut,melibas perut dan leher Juragan Musa.Perut Juragan Musa terburai,darah memancut dari lehernya. Dia terjatuh semula ke atas sampan,kakinya menendang-nendang mengeruh seperti kerbau disembelih. “Nyawa Lela Wangsa sudah kutebus,”ujar Bujang perlahan penuh kepuasan,ada kesan darah pada mata kerambitnya.”Baliklah,Kiai Ageng. Bertaubatlah.Jangan pisang berbuah dua kali.” Tanpa sepatah kata,Kiai Ageng berdayung kembali ke kapalnya membawa jasad Juragan Musa yang sudah kaku.Bujang membasuh kerambitnya dengan air laut,menyimpannya di celah bengkung,kemudian dengan tenang mengajak Andika dan Aria Wulon menaiki tangga. “Kita belayar sekarang,”perintah Bujang pada Yaakub Lim sebaiki sahaja tiba di geladak. Ketika bahtera itu belayar ke Tanah Bugis,sehari suntuk Bujang berkurung dalam kamarnya. Dia tidak kesal dengan apa yang telah berlaku.Darah Juragan Musa memang dihalalkannya.Jin khadam yang terbakar hangus itu juga sudah sampai ajal mereka.Cuma dia turut bersedih dengan kehilangan lancangnya,bertambah sedih lagi dengan kematian Lela Wangsa serta rakan-rakannya yang berkubur di laut.Dia menangisi pemergian mereka dengan membaca Al-Qur’an,berselawat, bertasbih dan beristighfar sebanyak-banyaknya.Tiba waktu sembahyang,dia bersembahyang, kemudian menyambung semula amalannya hingga ke petang. Nasi tidak disentuh langsung, isterinya pula bagaikan tidak wujud. Senjakala baru dia bangun meninggalkan tikar sembahyang lalu berdiri di jendela memandang matahari yang hampir tenggelam. Melihat Bujang sudah pulih dari kesedihan,Ratna memasang lampu dan menghidangkan makanan yang tersimpan di bawah tudung saji sejak tengah hari tadi. “Jemput makan,abang,”pelawanya lembut sambil duduk bersimpuh menanti dengan sabar. Bujang tidak membantah atau berkata walau sepatah.Dia duduk bersila bersama Ratna. Setelah membasuh tangan dari ketor yang dihulur oleh isterinya,dia terus menyuap nasi dengan tenang. Sebagai isteri yang sudah masak dengan karenah suaminya meskipun usia perkahwinan mereka masih singkat,Ratna juga berdiam diri dan tidak mendesak Bujang bercerita.Biarlah kesedihan itu ditelannya sendiri sebagai seorang lelaki yang matang berfikir.Lambat-laun suaminya akan bersuara juga. Namun pun begitu,Bujang terus membisu seribu bahasa.Kehilangan rakan-rakannya yang sudah dianggap seperti saudara sendiri begitu terasa sekali.Kalau diikutkan hati,mahu rasanya dia menggunakan kuda sembrani atau menyuruh Aria Wulon terbang mencari mereka di laut kalau-kalau ada yang terselamat.Lancang boleh dicari lain tetapi nyawa tiada gantinya.Hatinya berperang hebat antara kemahuan sendiri dengan akibat yang pasti ditanggungnya.Seboleh-bolehnya,dia tidak mahu bergantung pada orang lain atau bantuan lain selain dari kederat tulang empat keratnya serta pertolongan dari Allah. Dia sudah melarang Aria Wulon menggunakan ilmu Yoganya dan dia tidak akan menggunakan kuda sembrani pemberian bonda mertuanya melainkan jika benar-benar darurat yang mengancam nyawanya. Selepas menjamu selera,Bujang terus mengerjakan jemaah maghrib bersama isterinya. Sementara isterinya membasuh pinggan-mangkuk dan mengemas dapur,dia berwirid dan berzikir pula.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now