Arus sungai yang laju menyulitkan usahanya tetapi dia terus juga menyelam ke dasar sungai.Mata-nya dicelik,tangannya menguak sambil meraba-raba mencari arah.Dia gagal menemui apa-apa di dasar sungai itu.Kerana dia kehabisan nafas,dia timbul semula di permukaan air.Dia mendapati dirinya sudah hanyut agak jauh dari kawasan lubuk puaka itu. Dia berenang kembali ke sana. Dari tebing sungai kedengaran suara ibubapa mertuanya,rakannya dan orang ramai menjerit-jerit menyuruhnya naik ke darat.Dia pekakkan telinganya,menarik nafas dalam-dalam dan menyelam semula.Kali ini dia tidak lupa membaca ‘Laqad-ja-akum….’ dalam hatinya sampai habis.Sambil menyelam dan memerhati dasar sungai itu,dia menghafal pula nama Nabi Khidir seperti yang dipesan oleh gurunya Sheikh Kuala iaitu Balyan bin Mulkan bin Falih bin Shalih bin Murshad bin Al-Fahshad bin Sham bin Nuh.Penglihatannya menjadi terang melalui air sungai yang jernih itu. Dia melihat air di dasar sungai itu berputar-putar seperti putting beliung,makin lama semakin besar,akhirnya dia merasa badannya disedut ke tengah-tengah putaran itu.Pusaran air sungai itu bertukar menjadi keruh.Namun,pandangannya masih belum terhalang sepenuhnya. Dia ternampak sepasang tangan melambai-lambai seperti meminta tolong.Tangan itu lantas disambarnya dan dipegangnya kuat-kuat.Dia cuba menarik tangan itu. Tiba-tiba dia merasa dirinya ditarik ke dalam suatu lubang yang gelap dan dalam. Air sungai terasa dingin sekali.Dia terus melawan dan melawan.Akhirnya dia terus disedut entah ke mana. Telinganya berdesing.Alam ini dirasanya berputar ligat.Wajah arwah isterinya Teratai tiba-tiba menjelma di ruang mata. -(“Tataplah wajah Teratai lama-lama.Pandanglah Teratai puas-puas.”)- -(“Teratai tetap sayang pada abang dari dunia hingga akhirat.”)- Wajah Teratai lenyap.diganti dengan wajah Tunku Balqis. -(“Abang tak kasihankah pada kami?Pada Fatimah yang baru hendak mengenali kasih-sayang seorang ayah?Pada Balqis yang berbadan dua?”)- Akhirnya wajah Chendana muncul dengan lesung pipit dan tahi lalatnya. -(“Tuai padi antara masak,esok jangan layu-layuan,intai kami antara nampak,esok jangan Rindu-rinduan.”)- “{Chendana!}” Bujang cuba menjerit.Mulutnya dimasuki air.Dia hanyut dari dunia yang fana ini.Dia tidak ingat apa-apa lagi.Semuanya terasa sunyi dan serba gelap….! Bila dia sedar semula,dia terasa lapar yang amat sangat,tekaknya kering.Gendang telinganya diasak oleh bunyi bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dari surah Yassin. Hidungnya tercium bau kemayan dan bau wangi-wangian yang harus semerbak.Telinganya tidak berdesing lagi. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Pandangan pertama yang dilihatnya ialah seraut wajah perempuan muda yang bersih lagi cantik-menawan,bertudung litup warna hijau.Perempuan berkulit putih kuning itu mengukir senyuman paling manis,bibirnya merah bak delima merekah.Dia pasti perempuan itu bukan Puteri Mayang Sari tetapi makhluk yang sebangsa dengannya. “Subhanallah…!”bisiknya perlahan,suaranya tenggelam dalam kerongkongnya. Wajah perempuan muda bertudung litup hijau itu tiba-tiba ghaib dari pandangan. Bujang menoleh ke kiri,kemudian ke kanan.Tampak padanya ibubapa mertuanya sedang tersenyum gembira sambil mengalirkan air mata.Bacaan surah Yassin tidak kedengaran lagi. “Syukurlah kau selamat,Bujang,”Mak Siti bersuara sambil mengesat air mata dengan lengan bajunya.Temenggung hanya mampu mengangguk sambil tersenyum,matanya masih bergenang. “Alhamdulillah…!”terpancut kalimah suci itu dari tekaknya yang kering.Dia memberi isyarat meminta air.Lela Wangsa tampil membawa secangkir air sejuk,air itu dituangnya seteguk seteguk ke dalam mulut Bujang.Bujang lihat Lela Wangsa juga berlinangan air mata. “Alhamdulillah,”kali ini sebutannya lancar setelah tekak dibasahi air.Dia bangun dari baring-nya,tangannya meraba-raba perutnya yang berkeroncong.Dilihatnya ramai lagi berkerumun di sekelilingnya,ada di antara mereka itu rakan-rakannya dalam angkatan Fisabillah,manakala yang lain-lain tidak dikenalinya.Temenggung segera menutupi badan menantunya dengan sehelai baju,Mak Siti pula mula menyuapkan bubur nasi ke mulut Bujang. “Bujang masih hidup,ayah?”suaranya agak parau. “Syukurlah,”Temenggung menyeka air matanya.”Kami ingat kau juga akan mengikut jejak langkah Chendana..” Mendengar nama Chendana disebut,Mak Situ mula tersedu-sedu sambil mengesat air matanya dengan lengan baju yang sudah basah.Nama itu juga seakan-akan mengejutkan Bujang dari lamunan. “Mana Chendana,ayah?”Bujang bertanya perlahan,suaranya sayu. “Sudah dua minggu Chendana pergi,”suara Temenggung tersekat-sekat.”Mayatnya yang mati lemas tidak dijumpai.Kami sudah buat khenduri arwah untuknya….!” “Innalillahiwainnailaihirajiun,”suara Bujang mendatar tanpa semangat.”Kau pergi jua,Chendana…..!Apalah nasib abang di dunia ini. Hidup tiada ertinya lagi…!” “Sabarlah,Bujang,”pujuk Mak Siti,air matanya masih berderai.”Chendana isteri kau juga anak tunggal kami.Kalau kau bersedih di atas pemergiannya,kami lebih-lebih lagi….!” Tiba-tiba Bujang teringatkan sesuatu.”Dua minggu?Apa yang berlaku pada Bujang?” “Panglima terjun ke dalam sungai dan terus menyelam dengan tidak timbul-timbul lagi,” Lela Wangsa pula menyampuk.Kami ingat Panglima juga turut mati lemas.Mayat Panglima ditemui terapung-apung ke hilir sedikit dari tempat kejadian. Bila diperiksa,nadi Panglima tidak ada lagi.” “Kami bawa Panglima balik untuk disembahyangkan dan dikapan sebelum diusung ke liang lahat,”Tun Lela Pahlawan pula menambah.”Rupanya umur Panglima masih panjang.” “Alangkah baiknya kalau hamba dibiarkan mati….,”Bujang mengeluh lemah. Semua terperanjat dengan kata-kata yang tidak diduga itu. “Bawa mengucap,Bujang,”tegur Temenggung.”Kau sedia maklum bahawa hidup atau mati itu pekerjaan Allah.Bukan kita manusia yang menentukannya.Jangan sampai terpesong akidah dek kerana hasutan syaitan laknatullah.” Kata-kata mertuanya itu menusuk hingga ke tulang hitam.Bujang mula sedar dan insaf. “Di mana pusara Chendana?”dia bertanya,mengalih kepada tajuk lain. “Pusaranya sudah kami tanda di dalam dusun di belakang teratak,hanya menunggu mayatnya sahaja ditemui orang,”Temenggung menyatakan. “Sudahlah,mak,”Bujang menolak setelah beberapa kali disuap bubur nasi.”Mengapa tidak ditanda di tebing sungai berhampiran pelantar?Biar penunggu lubuk puaka itu dapat melihat kubur Chendana supaya dia sedar betapa kejamnya memisahkan dua kasih yang sejati.” Semua diam,tidak berani menjawab pertanyaan yang dilontarkan itu. “Dua minggu ,”Bujang terus meracau seorang diri.”Ertinya sudah masuk bulan Zulhijah.” “Benar,Panglima,”Lela Wangsa menjawab.”Hari ini hari Sabtu 15 Zulhijah 1062 Hijrah.” “Bersamaan dengan 7 November tahun 1652 Masehi,”tambah Bujang pula,mengenangkan kembali pelajaran yang diterimanya dari Nakhoda Kintan.Semua tersenyum memandangkan Bujang masih siuman dan tidak lagi terbawa-bawa dengan kesedihannya. “Di mana angkatan perang kita?”tanya Bujang pada Lela Wangsa. “Semua berlabuh di Sungai Charang,Bentan,”jelas Lela Wangsa.”Lancang Panglima masih berlabuh di pengkalan Batu Sawar,menunggu Panglima menjadi nakhodanya kerana Nakhoda Kintan sudah balik ke Pulau Duyong.” “Hamba belum ada hati hendak belayar ke mana-mana,”Bujang menolak pelawaan sahabat dan juga orang kanannya itu.”Kau jagalah lancang itu buat sementara waktu.” “InsyaAllah,Panglima,”Lela Wangsa berjanji.”Tapi,Panglima hendak ke mana?” “Hamba bercadang hendak ke Gunung Ledang untuk mengubat hati yang lara,”jawab Bujang perlahan,pandangannya jauh mengembara.” “Hang Isap anak buah kita berasal dari sebuah kampung di kaki Gunung Ledang,”Lela Wangsa menawarkan.”Dia boleh tunjukkan tempatnya dan temankan Panglima jika Panglima mahu.” “Dia hanya boleh tunjukkan tempatnya sahaja,”Bujang menerima pelawaan itu tetapi dengan bersyarat.”Hamba ingin bersunyi-sunyian di puncak Gunung Ledang.” “Baiklah,”akur Lela Wangsa.”Nanti hamba perintahkan Hang Isap sediakan gajah kenaikan Panglima yang boleh kita pinjam dari Yamtuan Muda Ibrahim. Cara yang paling mudah ialah mengikut jalan darat melalui Jalan Penarikan di ulu Sungai Muar.” “Tapi sebelum pergi,hamba perlu membuat latihan ibadah dan kerohanian buat bekalan dan persediaan di sana,”tambah Bujang.”Hamba perlukan lebih-kurang seminggu.” “Buatlah apa sahaja,Bujang,asalkan dapat kau lupakan Chendana,”sampuk Temenggung. “Tidak,ayah,”Bujang menegaskan.”Bujang tidak akan melupakan Chendana selagi hayat dikandung badan.Luka di hati boleh sembuh,namun parutnya tetap ada.” “Sudahlah,Bujang,”pujuk Mak Siti.”Chendana sudah pergi.Yang pergi biarlah pergi.” “Ya,mak,”akur Bujang.”Tapi,semasa Chendana masih hidup,jangan kata kulitnya,jika rambutnya disentuh sekali pun,akan Bujang cincang lumat siapa yang mengganggunya!” Semua diam,bergerun dengan pandangan mata Bujang yang tiba-tiba bersinar garang. “Kau jangan lupa pada Tunku Balqis,”pesan Temenggung pula.”Dia juga isterimu dan dia masih hidup. Begitu juga dengan anakmu Fatimah.” “Mereka hidup bahagia di istana,makan-minum dijaga,”tingkah Bujang.”Tengoklah. Jika semua ini sudah selesai,Bujang akan kembali ke Kedah menemui mereka. Mereka juga nyawa dan belahan jiwa Bujang.” Semua mengangguk tanda setuju.Ternyata Bujang sudah sembuh dari kesedihannya. “Dalam seminggu-dua ini,hamba janganlah diganggu,”Bujang berpesan kepada Lela Wangsa tetapi ditujukan kepada semua.”Hamba ingin menumpukan sepenuh perhatian dan fikiran kepada amal ibadat.Moga-moga terubat hati yang luka…!” Mulai hari itu,Bujang mengurungkan diri di dalam bilik arwah isterinya. Dia hanya keluar sekadar untuk mandi dan makan-minum.Masanya lebih banyak dihabiskan dengan melakukan amalan-amalan sunat di samping menunaikan yang wajib.Dia bersembahyang sunat hadiah, pahalanya disedekahkan kepada arwah Chendana.Dia melakukan ssembahyang hajat dan sembahyang tasbih.Pada sebelah malamnya pula,dia hanya tidur-tidur ayam,waktu malam dihidupkan dengan sembahyang tahajud dan witir. Antara waktu-waktu itu diselitkan pula dengan zikrullah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Bila matahari naik segalah hingga tegak di atas kepala,dilaksanakan pula sembahyang sunat dhoha. Bibirnya sentiasa basah dengan kalimah-kalimah Allah,ruangan hatinya penuh dengan ayat-ayat suci Al-Qur’an yang dihafalnya sejak berguru dengan Sheikh Kuala.Musim tengkujuh yang sering hujan menambahkan lagi kesyahduan amalan kerohaniannya.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...