Semua terperanjat dan bingkas bangun. Tiba-tiba seekor harimau belang sebesar lembu melompat ke atas pelantar dan menghalang pintu keluar.Anehnya,teratak itu hanya bergegar sedikit tetapi tidak runtuh.Keadaan tiba-tiba menjadi kecoh. Kecuali Bujang,Chendana dan Lela Wangsa,yang lain-lain terjun ke tanah melalui lubang tingkap dan berlumba-lumba mendapatkan sampan masing-masing. “Jangan,”Bujang menghalang bila Lela Wangsa hendak menghunus kerisnya. Diapit oleh Chendana dan Lela Wangsa,Bujang tenang sahaja bila harimau itu mula merangkak merapati mereka. Bau hamis berganti dengan bau wangi yang harum semerbak. Mata harimau itu juga mengerdip,menandakan harimau itu bukan harimau biasa. Harimau itu duduk di hadapan Bujang,telinganya kepik,ekornya mengodek-ngodek. Bujang ternampak kalung emas pada tengkuk harimau itu dengan aguk emas yang berlambang aneh seperti yang dilihatnya di suatu kawasan pantai di Pulau Pinang tempoh hari. “Puteri Mayang Sari?”terkeluar nama itu dari bibirnya. Harimau itu menderam dan mengangguk sambil menyeringai,menampakkan taring tajam. Bujang memejam matanya dan menumpukan seluruh fikiran dan perhatiannya ke pancaindera keenam,menyatukan dua alam.Sambil itu,hatinya tidak henti-henti berzikir. Harimau itu beransur-ansur bertukar menjadi seorang puteri Melayu yang amat cantik,berpakaian serba kuning kecuali kain tudungnya berwarna hijau,berkalung dan beraguk emas seperti yang dilihatnya dulu.Puteri Mayang Sari. Bezanya dulu,dia menjelma dari seeokor kijang putih. Wajah Mayang Sari mirip-mirip wajah Chendana dan Balqis. {“Apa hajat Tuan Puteri kemari?”} Bujang bertanya dengan tenang. {“Dinda hanya ingin memastikan Kanda selamat.”}balas Mayang Sari dengan manja. {“Hamba selamat,Alhamdulillah.Tuan Puteri menakutkan isteri dan rakan hamba.Pergilah.”} {“Baiklah,Kanda.”}balas Mayang Sari dengan lemah-lembut. Tiba-tiba Puteri Mayang Sari ghaib dari pandangan,yang wujud hanyalah harimau itu. Bujang membuka matanya dan harimau itu masih tercongok di hadapannya.Tiba-tiba harimau itu bangun,mara selangkah dan menjilat tangan Chendana.Chendana pula membalas dengan membelai kepala harimau itu seperti membelai kepala kucing. Harimau itu merenung ke arah Bujang,ke arah Lela Wangsa,kemudian berpaling merangkak ke pintu.Dari atas pelantar buluh itu,dia terus melompat ke bawah.Bila Bujang dan Chendana menjenguk dari tingkap,harimau itu sudah ghaib entah ke mana. “Chendana tak takut?”tanya Bujang bila melihat wajah isterinya tenang sahaja. “Mula-mula takut juga,”akui Chendana.”Tapi lepas itu,timbul pula rasa sayang.” “Kau pun tak takut,Lela Wangsa?”tanya Bujang.Bila Lela Wangsa senyap,Bujang menoleh ke belakang dan bertanya lagi.”Lela Wangsa?” “Hamba…hamba terkencing,Panglima,”jawab Lela Wangsa,masih menggeletar. Bujang dan Chendana sama-sama ketawa. Ketika menaiki sampan pulang ke Kampung Panchur,Bujang dan Chendana ketawa lagi bila mengenangkan telatah lucu Lela Wangsa di teratak buluh itu. Lela Wangsa yang berdayung sampan hanya mendiamkan diri,wajahnya mencuka. “Kau ni pengotorlah,Jalak,”Chendana menyindir Lela Wangsa. “Apa ilmu yang Panglima pakai?”tanya Lela Wangsa tanpa menghiraukan sindiran dari Chendana.”Hamba tengok harimau itu tunduk sahaja pada kehendak Panglima.” “Namanya Puteri Mayang Sari dari hutan Pulau Pinang,”Bujang menjelaskan. “Puteri?”Chendana dan Lela Wangsa kehairanan.”Chendana hanya nampak seekor harimau.” “Chendana tidak mendengar abang berkata-kata dengannya?”tanya Bujang,juga hairan. “Tidak,”Chendana dan Lela Wangsa menjawab serentak.”Yang kami nampak,abang diam sahaja tanpa berkata walau sepatah.Kemudian,harimau itu datang menjilat tangan Chendana.” “Subhanallah,”hanya itu yang mampu Bujang lafazkan di saat itu kerana mereka sudah sampai di pelantar.Bujang dan Chendana naik ke pelantar melalui tangga manakala Lela Wangsa menambatkan sampan ke tiang pelantar. “Tolong bawa kampit hamba sama,ya?”pesan Bujang pada Lela Wangsa. “Jangan lupa lagi satu,Jalak,”kata Chendana sebelum berjalan beriringan dengan Bujang. “Apa dia?”tanya Lela Wangsa tanpa mengesyaki apa-apa. “Basuh seluar kau itu,”beritahu Chendana.Dia dan Bujang ketawa lagi. Lela Wangsa tidak menjawab,hanya hatinya mendongkol ketika melilit tali sampan ke tiang pelantar. Tali itu direntap kuat-kuat sebagai melepas geram. Bujang dan Chendana tidak terus balik ke rumah.Memandangkan waktu itu baru waktu rembang dan matahari belum lagi tergelincir ke barat,mereka berteduh di atas bangku di bawah naungan pokok rendang di pinggiran sungai itu. “Semalam Chendana bermimpi,abang,”kata Chendana sebaik sahaja mereka duduk. “Mimpi?”Bujang melurut daun dan melemparnya ke dalam sungai. “Chendana bermimpi Chendana sedang membasuh pakaian di pelantar itu,”Chendana bercerita.”Tiba-tiba muncul seekor ular yang besar dari perut sungai.Ular itu membelit kaki Chendana,ditariknya Chendana ke dalam air. Tiba-tiba abang datang menyambar tangan Chendana,berlaku tarik-menarik antara abang dengan ular itu.Akhirnya Chendana terlepas dari belitan. Abang terus terjun ke dalam sungai berlawan dengan ular itu. Dengan tidak semena-mena air lubuk itu berpusar dengan kuat. Abang dan ular itu disedut ke perut lubuk dan tidak timbul-timbul lagi.Chendana menjerit-jerit memanggil nama abang tetapi yang timbul hanyalah sebilah kerambit.Chendana meraung sekuat hati” Bujang ketawa kecil,”Mimpi hanya mainan tidur,”katanya bersahaja. “Jangan abang ketawakan Chendana,”tegur Chendana bersungguh-sungguh.Dia mengambil kerambitnya yang dibuat seperti cucuk sanggul,kerambit itu ditenungnya.”Mungkin mimpi itu satu petanda yang tidak baik.Awang Kerambit ketua kumpulan lanun yang ganas. Tidak mustahil Belanda menawarkan upah yang lumayan kepada sesiapa yang berjaya menangkap atau membunuh Awang Kerambit.” “Awang tidak ada lagi,yang tinggal hanya kerambitnya,”Bujang pula menjelaskan.”Sebalik-nya kepala abang bernilai tinggi kerana membunuh seorang tali-barut Belanda,Datuk Awang Kelana namanya.” “Kita mesti berhati-hati,abang,”Chendana memakai semula kerambitnya sebagai cucuk sanggul.”Banyak musang berbulu ayam,pepat di luar pencong di dalam.” “InsyaAllah,kita akan selamat,”Bujang cuba mententeramkan hati isterinya. Dia merenung pada arus sungai di mana dikatakan terdapatnya lubuk puaka. Selepas iitu dia memejam matanya sambil berzikir dalam hati.Dia menutup semua lima pancainderanya dan membuka pancaindera keenam dengan menyatukan dua alam iaitu alam zahir dan alam batin. Seluruh hati dan fikirannya menghidupkan tenaga dalam untuk melihat dengan mata hatinya apa yang ada di dasar lubuk itu. Jika benar berpuaka,dia ingin bersemuka dengan puaka tersebut dan memohon supaya keluarganya jangan diganggu. {“Kita sama-sama makhluk Allah.Jangan ganggu kami.”} Dengan tidak semena-mena,arus sungai itu bertukar menjadi ombak yang mengganas. Angin bertiup kencang.Dia segera memeluk Chendana.Dari ombak yang mengganas itu timbul lembaga seorang perempuan berpakaian serba hijau. Perempuan itu timbul sedikit demi sedikit, mula-mula menampakkan tiara yang dipakainya,kemudian paras wajahnya yang cantik berambut panjang melepasi bahu,akhir sekali menampakkan kalung mutiara denganh hiasan aguk bertatahkan batu permata berbagai jenis dan warna. {“Siapa kau?”}Bujang bertanya. Perempuan cantik itu tidak menjawab,hanya mengukir secarik senyuman.Sambil melambai-lambai tangan ke arah Bujang,perempuan berpakaian hijau itu tenggelam beransur-ansur hingga akhirnya lesap ditelan ombak yang mengganas itu.Sebentar kemudian,ombak itu juga hilang dan arus sungai kembali menjadi seperti biasa. Bujang bagaikan tersentak dari mimpi. “Kenapa,abang?”tanya Chendana cemas.”Apa yang abang nampak dalam air itu?” “Tidak ada apa-apa,Chendana,”Bujang melepaskan pelukan dan memegang tangan isterinya dengan erat.”Mari kita balik.” Di belakang mereka,arus sungai yang menyimpan seribu rahsia terus juga mengalir deras. “Nampaknya Datuk Laksamana cuba menongkah arus,”Bujang meluahkan pendapatnya petang itu apabila berita buruk itu diterimanya.”Lagi apa kata Lela Wangsa,ayah?” Dari atas serambi di mana dia bersandar,Temenggung menjenguk ke halaman,memerhati anak-isterinya seketika.Chendana sedang bermain buaian di bawah pokok mempelam manakala Mak Siti bertinggung di bawah pokok ketapang sambil meraut lidi kelapa untuk dibuat penyapu.”Laksamana bukan sahaja engkar pada titah perintah Duli Yang Dipertuan supaya berada di istana,malah dia turut menuduh kau cuba memfitnahnya berpakat dengan Seri Bija Diraja dan Seri Maharaja untuk melantik Yamtuan Muda Ibrahim sebagai sultan baru.” “Jadi,sekarang dia sudah dibebaskan?”tanya Bujang,tidak berpuas hati. “Duli Yang Dipertuan terpaksa membebaskannya kerana ketiadaan bukti,”jelas Temenggung lagi.”Dia semakin naik tocang sekarang. Di hadapan semua Orang kaya,dicabarnya kau. Dia mencabar kau bertikam satu lawan satu di mana sahaja.Dia juga bersumpah akan meludah dan menampar mukamu jika bertemu.Kau perlu berwaspada,Bujang.” “Ya,”sindir Bujang.”Bujang sedang menggeletar ketakutan.” “Jadi,apa rancangan kau,Bujang?”tanya Temenggung sambil tersenyum sumbing. “Sultan hendakkan bukti,akan Bujang bawakan bukti,”tegas Bujang “Kau belum begitu mahir dengan selok-belok kawasan ini,”Temenggung mengesyurkan pada menantunya.”Bawalah Lela Wangsa bersama. Dia boleh tunjukkan jalan.” “Di mana rumah Lela Wangsa,ayah?”Bujang terus bertanya. Dulunya dikenali sebagai Pasir Raja,Batu Sawar memang sebuah perkampungan yang cantik,terletak kira-kira separuh hari perjalanan dari kuala. Sungai di situ lebar dan dalam.Kebanyakannya kawasannya bertanah pamah.Sebelah utara terdapat dua buah gunung yang masih belum diteroka manakala di selatan kelihatan berbalam-balam Gunung Pengerang dan Gunung Belungkur. Istana sultan terletak di seberang Sungai Damar,salah satu cabang sungai Johor.Kubunya di-perbuat berpagar dengan pancang-pancang kayu yang besar,dibina rapat-rapat,tingginya kira-kira 20 hasta dan panjangnya kira-kira sepelaung dengan bentuk menyerupai empat segi bujur. Namun,kubu itu tidak dapat menandingi kubu Kota Naga atau Kota Siputih di Kedah. “Itu pula Kota Seberang,”Lela Wangsa menjelaskan sambil menunjuk ke seberang sungai. “Letaknya di Pengkalan Besar atau Pengkalan Raya,pernah menjadi tempat bersemayam almarhum ayahanda Panglima iaitu Sultan Abdullah.Sebab itulah almarhum kadangkala disebut Raja Seberang. Orang Acheh memanggilnya Raden Bahar.” Bujang mengamati Kota Seberang yang sama bentuknya tetapi kecil sedikit daripada Kota Batu Sawar.Dia mendapati kota itu sudah lama tetapi binaannya masih kukuh. “Almarhum juga dipanggil Sultan Hammat Shah,”Lela Wangsa bercerita lagi tanpa jemu-jemu.”Almarhum berpindah ke Lingga dan Bentan sebelum mangkat di Pulau Tambelan.” “Hamba dengar Acheh menyerang Johor selepas itu,”sampuk Bujang. “Malu hendak diceritakan kerana ayah hamba juga terlibat,”Lela Wangsa sama-sama memandang ke Kota Seberang.”Puncanya almarhum ayahanda Panglima berkahwin dengan puteri Jambi selepas berkahwin dengan almarhum bonda Panglima iaitu puteri bongsu Sultan Iskandar Thani.Acheh pun menyerang Johor. Johor kalah.Isteri kedua almarhum lari balik ke Jambi,almarhum pula membawa bonda Panglima berlindung di Pulau Tambelan.” “Apa halnya pula dengan Yamtuan Muda Ibrahim?”tanya Bujang. “Dialah anak almarhum Sultan Abdullah dengan puteri Jambi,”Lela Wangsa menghurai.”Dia lahir dahulu dari Panglima tetapi oleh kerana bondanya isteri kedua,Panglimalah yang lebih layak mewarisi tahta kesultanan Johor.” “Ertinya hamba dan Yamtuan Muda Ibrahim bersaudara,satu ayah berlainan ibu,”Bujang mula memahami sedikit demi sedikit perkara yang memeningkan kepala itu. “Betul,Panglima,”akui Lela Wangsa.”Sultan sekarang pula dilantik oleh Sultan Acheh sementara menunggu waris Sultan Abdullah menjadi dewasa. Sekarang waris itu sudah pun dewasa dan berdiri di sebelah patik.” “Tidak pernah terlintas dalam hati hamba untuk menjadi sultan di mana-mana jua pun,” Bujang membuat keputusan muktamad.”Memadailah hamba bergelar Panglima dalam perjuangan suci ini.” “Jadi,Panglima bersetujulah sultan sekarang diturunkan tahta dan Yamtuan Muda Ibrahim dinobat sebagai sultan baru?”Lela Wangsa membuat pertanyaan yang amat penting. “Kalau hamba bersetuju?”Bujang menduga hati Lela Wangsa. “Akan berperanglah lagi pengikut-pengikut Yamtuan Muda Ibrahim dari Pahang Inderapura dan Jambi dengan kami orang-orang Acheh yang masih setia pada sultan sekarang,”Lela Wangsa berterus-terang. “Kalau hamba membangkang,sama juga,”Bujang mengeluh.”Ditelan mati emak,diluah mati ayah.Hamba tidak akan masuk-campur dalam perkara ini.” “Jika berlaku peperangan lagi kerana berebut kuasa,hamba dan ayah hamba akan pulang ke Acheh,”Lela Wangsa berjanji.”Tidak ada gunanya kita saudara seagama berbunuh-bunuhan sesama sendiri,akhirnya Kompeni Belanda juga yang untung.” “Kalau ramai lagi yang berpendirian seperti kau,aman dunia ini,”Bujang memuji. Lela Wangsa tersengih.”Oh ya,Panglima,orang-orang kita sudah pun dihantar ke Pulau Besar untuk membawa balik peti besi itu.Dijangka lusa atau tulat,mereka pulang.” “Bagus,”Bujang mengucapkan.”Hamba mahu semua harta itu digunakan untuk membeli kapal,makanan dan peralatan perang.Kali ini,akan kita gempur Belanda habis-habisan.” “Kami sudah bersedia,Panglima.Memang seruan itu yang kami tunggu-tunggu selama ini.” “Kalau begitu,malam ini hamba ada tugas buatmu.” Tambak dan Galak balik dari gelanggang ketika malam semakin tua.Embun jantan sudah pun menitis dari dedaun.Suasana sunyi sepi diganggu oleh suara perbualan mereka yang tidak tentu buah butir.Sekali-sekala ketawa mereka pecah berderai-derai.Masing-masing membawa pelita damar buat menyuluh jalan.Sebaik sahaja mereka tiba di cabang jalan,mereka dihalang oleh seorang pendekar berpakaian serba hitam dan bertopeng. Di tangan pendekar itu tergenggam sebilah kerambit yang tajam berkilat. “Awang Kerambit?”jerit Galak.Mereka berdua segera menghunus golok. “Apa kau mahu,Awang Kerambit?”tanya Tambak pula. “Hutang darah dibayar darah,”tegas pendekar itu. “Kami tidak berhutang darah dengan kau!”tengking Galak. “Bukan dengan hamba tetapi dengan Temenggung,”jelas pendekar itu. “Kalau Temenggung yang berhutang,biar dia yang membayarnya,”jerkah Tambak. “Temenggung berkirim salam dengan kerambit ini,”pendekar itu mencabar. “Cis!Pantang anak lelaki dicabar!”Tambak menempelak.”Rasakan golok ini!” Tambak terus memarang pendekar itu.Tetapi goloknya hanya melibas angin.Satu sepakan kilat singgah di lengannya,menyebabkan golok itu terpelanting ke dalam semak. Melihat rakannya gagal menyerang pendekar itu,Galak naik angin.Dia terus menikam dada pendekar itu.Pendekar itu mengelak sedikit sambil menepis tangan Galak.Mata golok itu sipi sebiji padi dari dada pendekar itu dan terus terbenam di paha Galak.Galak terlolong sambil terlompat-lompat menahan sakit.Tambak menghayun penumbuknya ke arah muka bertopeng itu. Sekelip mata kemudian,pahanya disiat mata kerambit.Dia juga terlolong-lolong seperti anjing dipijak ekor. “Hutang darah sudah kubayar,”pendekar itu menyarungkan kerambitnya.Seorang lagi pendekar bertopeng tampil mengikat tangan Tambak dan Galak dengan tali. “Ke mana kami hendak dibawa?”Tambak cuba membantah. “Diam!”pendekar itu mengacu sebilah rencong ke leher Tambak.”Jika tidak,di sini juga kubunuh kau berdua!”. Tambak dan Galak tidak berani melawan lagi. Seri Bija Diraja sudah pun tidur nyenyak.Kerana isterinya datang bulan,dia tidur sebatang karah di atas tikar mengkuang di ruang anjung.Pelita damar yang tergantung pada tiang seri hanya tinggal bara.Dari hidungnya terdengar bunyi dengkuran.Isteri dan anak-anaknya di dalam bilik juga sudah lama berdengkur.Dengkuran itu menghasilkan satu macam irama seperti orang sedang menggergaji pokok. Entah kenapa,tiba-tiba Seri Bija Diraja terjaga.Angin malam yang menerpa masuk terasa dingin hingga ke tulang hitam.Baru dia sedar sebuah jendela sudah dibuka.Itik angsa berbunyi riuh dari reban.Dia bangun hendak menutup jendela itu. “Jangan cuba melawan,”terdengar satu bisikan,diikuti oleh rasa sejuk mata kerambit yang menyentuh lehernya.Darahnya tersirap ke kepala,jantungnya berdegup kencang.Dia tidak berani bergerak,malah hendak menelan air liur juga ditahannya takut kalau-kalau mata kerambit yang tajam itu tertusuk ke lehernya. “Seri Bija Diraja,”bisikan itu kedengaran lagi.”Batalkan sahaja niatmu hendak menggulingkan baginda Sultan.Jika tidak,kepalamu bercerai dari badan.” Seri Bija Diraja tidak berani bersuara.Kerongkongnya bagaikan tersekat.Bila dirasanya mata kerambit itu tidak lagi menyentuh kulit lehernya,dia berpaling ke arah bisikan tadi.Dia tidak nampak apa-apa,semuanya gelap-gulita.Hanya setelah dia mendengar bunyi orang terjun ke tanah menerusi jendela yang terbuka itu,baru dia bingkas bangun meraba-raba mencari kerisnya yang terselit di bawah bantal.Dia meluru ke jendela.Samar-samar dilihatnya dua lembaga hitam berlari ke dalam gelap dan hilang begitu sahaja.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...