Pagi Ahad itu 11 Zulkaedah 1062 Hijrah(3 Okt.1652),Bujang sedang bersembahyang subuh di atas geladak apabila mendengar kumpulan lanun yang ditakuti itu menyerbu ke atas kapal dan menangkap semua anak kapal.Daeng Gondrong yang bercakap besar itu juga turut ditawan tanpa melawan. Bujang mendengar ketua lanun itu memberi perintah supaya semua meniarap di atas geladak.Kampit Bujang juga dirampas.Bujang tidak melawan kerana mahu menumpukan pada sembahyangnya. Selepas memberi salam,baru dia menoleh ke arah mereka.Tujuh orang semuanya,berpakaian serba hitam dan bertopeng.Mereka baru habis menggeledah mencari barang-barang berharga.Kini mereka menunggu Bujang selesai sembahyang.Ketua mereka memegang keris Bujang yang dua bilah itu. "Dah habis sembahyang?"sindir ketua lanun itu."Kamu,mari sini!" Bujang pura-pura tidak mendengar,sebaliknya meneruskan dengan wiridnya.Sejak bangun dan mengambil wuduk,dia sudah ternampak kelibat lanun-lanun itu menaiki perahu meninjau kapal itu dari jauh.Kedatangan mereka sudah dijangkanya. "Keras kepala,ya?"Ketua lanun itu bergegas menghampiri Bujang."Berdoa cepat-cepat sikit!Kami tak ada masa hendak menunggu lama-lama di sini!" Bujang membaca doa ringkas,kemudian bangun berdepan dengan ketua lanun itu dengan berani."Kamu semua memang kurang ajar,"suara Bujang lantang di subuh yang sepi itu,didengar oleh lanun-lanun lain."Sudahlah kerjamu menyamun,merompak,melanun,kamu tak umpamakan langsung orang yang sedang sembahyang!" "Apa awak cakap?"Ketua lanun itu menghunus senjatanya."Pedang ini sudah lama tidak minum darah manusia!" Lanun-lanun lain menyerbu ke hadapan,tinggal seorang menjaga tawanan. "Siapa di antara kamu yang bernama Awang Kerambit?"Bujang bertanya. "Aku Jalak,orang kanan Awang Kerambit,"jawab ketua lanun itu."Apa kau mahu?" "Hamba ingin menemui Awang Kerambit,"Bujang menyatakan kehendaknya. "Itu barang mustahil,"Jalak menolak."Siapa pun tidak dibenarkan bertemu dengan ketua kami.Sebarang urusan,ceritakan pada kami." "Hamba membawa pesanan dari Melaka,"Bujang memerhati mereka semua."Khabarnya kamu akan menyerang kota itu tidak lama lagi." "Dari mana kau dapat cerita itu?"tanya Jalak. "Dari penyuluhmu yang bernama Kartini,"cerita Bujang lagi. "Lagi apa kata Kartini?"tanya Jalak lagi. "Kamu merancang hendak melancarkan serangan besar-besaran dari Pulau Upih." "Betul tu,"Jalak memandang ke arah kawan-kawannya."Siapa kau sebenarnya?" "Nama hamba Bujang,bergelar Panglima Agung,"Bujang memperkenalkan diri. "Panglima Agung?"Jalak dan rakan-rakannya saling berpandangan. "Batalkan sahaja rancangan itu,"sambung Bujang."Angkatan perang Belanda sedang berlabuh di Pulau Besar dan Tanjung Tuan. Hamba sendiri melihatnya." "Baiklah,kami percaya cerita itu,"jawab Jalak."Apa buktinya kau ini Panglima Agung?" "Keris itu sebagai buktinya,"Bujang menunjuk kepada dua bilah kerisnya yang masih berada di tangan Jalak."Keris Sempana Riau keris pusaka,Keris Panjang Berayat anugerah raja." "Maafkan kami,Panglima,kami tidak tahu,"Jalak lekas-lekas memulangkan keris Bujang. "Sekarang kamu sudah tahu,"tegas Bujang."Kembalikan semua barang-barang rampasan dan segeralah beredar dari sini.Sampaikan salam hamba kepada Awang Kerambit." Mereka semua patuh pada arahan itu kecuali seorang.Salah seorang lanun yang berbadan gempal tidak berpuas hati dan masih meragui siapa Bujang sebenarnya.Dia jenis manusia yang tidak mudah percaya selagi tidak melihat buktinya.Subuh itu dia bukan sahaja melihat sendiri buktinya,malah dia turut merasainya.Dengan menyerang curi,sangkanya dengan mudah dapat menjatuhkan Bujang.Ketika Bujang membelakanginya dan memerhati rakan-rakan lain memulangkan barang-barang berharga yang telah dirampas,dia menghayun parangnya ke belakang Bujang. Melihat wajah lanun berkenaan yang bertopeng itu,Bujang sudah menjangka tindakan yang bakal dilakukannya.Bujang tidak suka menunjukkan kehebatannya pada orang,lebih-lebih pada saudara seagama dalam angkatannya.Namun,dalam keadaan tertentu,orang seperti lanun berbadan gempal itu perlu diajar agar menjadi tauladan pada orang lain.Sekali pandang,dia sudah menduga niat jahat lanun berkenaan.Dia sengaja membelakangi lanun tersebut,kedua-dua kerisnya sudah disimpan dalam kampit,matanya memerhati lanun-lanun lain memohon maaf pada Daeng Gondrong dan anak buahnya sambil memulangkan apa-apa yang telah diambil.Tetapi dia memasang telinga.Pendengarannya yang tajam menangkap bunyi senjata tajam membelah udara.Tindakan selanjutnya memeranjatkan semua,termasuk lanun yang cuba menyerang curi itu. Bujang memutar badannya ke kiri menepis tangan yang memegang parang itu dengan tangan kirinya,tangan kanannya mencekak rambut sambil menghumban ke hadapan. Lanun yang berbadan gempal itu jatuh tersembam seperti nangka busuk,mukanya mencium geladak kapal,parangnya terlepas dari tangan.Dia bangun mengesat mulut dan hidungnya yang berdarah,kemudian lekas-lekas mencapai parangnya yang terjatuh. "Bulat!"jerkah Jalak,menahan lanun gempal itu."Kau ni badan saja besar tapi tak berakal! Sedarkah kau dengan siapa kau berhadapan sekarang? Kau tak pernah dengar nama Panglima Agung?" Lanun yang dipanggil Bulat tidak berani melawan lagi.Dia mengikut kawan-kawan lain turun ke perahu.Jalak yang terakhir berundur ke perahu. "Kita berjumpa lagi,Panglima Agung,"kata Jalak buat kali terakhir sebelum perahu mereka didayung laju dan lesap dalam kabus subuh.Anak-anak kapal mula bersiap-sedia hendak belayar.Daeng Gondrong mendekati Bujang dengan muka moyok. "Kami terhutang nyawa pada Panglima,"katanya kesal. "Berapa ramai lanun yang kau tetas dengan sundang itu?"sindir Bujang sambil tersenyum tawar,"Lain kali jangan bercakap besar.Tuhan murka." "Kami faham,Panglima.Beritahu kami,kami akan bantu apa saja." "Bawa hamba terus ke Batu Sawar,"pinta Bujang. Di Batu Sawar pagi itu,Lela Wangsa dan Tun Lela Pahlawan menemani Orang Kaya Temenggung bersiar-siar di sekitar pengkalan.Kawasan pasar hiruk-pikuk dengan suara tawar-menawar antara penjual dan pembeli.Selain dari hasil tempatan,pedagang dari luar turut menjual timah,lada hitam,kayu gaharu dan gading gajah dari Pahang,Kampar,Bulang dan Kelang.Dari negeri Cina dijual barang tembikar,kaca,sutera,candu dan the.Pedagang dari benua India pula menjual kain-kain,minyak wangi,batu-batu permata dan permaidani. Dari Siam dan Petani dibawa masuk beras yang bermutu tinggi itu manakala rempah-ratus,manic,labuci serta sarang burung dibawa masuk dari Pulau Percha dan Tanah Bugis. Kapal-kapal dagang berbagai bentuk berlabuh di pengkalan,perahu dan sampan berulang-alik tidak putus-putus membawa penumpang dan barang-barang.Kononnya kesibukan pelabuhan Melaka pun tidak dapat menandingi Batu Sawar.Dakwaan tersebut ada kebenarannya kerana Batu Sawar terletak di kawasan teluk sungai yang terlindung dari tiupan angin rebut serta airnya dalam yang membolehkan semua kapal rapat ke pengkalan. Suasana bertambah sibuk dengan para pembesar,pendekar dan hulubalang yang menunggu ketibaan Yamtuan Muda Ibrahim dari Pahang. "Hari ini hari Ahad,Orang Kaya,"Lela Wangsa menjawab bila ditanya Orang Kaya Temenggung."11 haribulan Zulkaedah." "Bersamaan dengan 3 Oktober,kalau diikut tarikh Belanda,"ayahnya Tun Lela Pahlawan menambah pula."Tahun Hijrah 1062,tahun Masehi 1652." "Patutlah Batu Sawar terlalu sibuk pagi ini,"rungut Orang Kaya Temenggung."Rupanya hendak menyambut kedatangan Raja Muda Johor." "Bukan itu yang hamba maksudkan,Orang Kaya,"celah Lela Wangsa."Bukankah hari ini hari terakhir tempoh yang diberikan?Tak dapat tidak,Yamtuan Muda Ibrahim mahukan jawapan pada hari ini juga." "Jawapannya tetap tidak,"Orang Kaya Temenggung memutuskan."Anakku yang menolak pinangan itu. Katanya,mana mungkin seorang perempuan yang sudah bersuami dipinang orang lain,biarpun orang itu Raja Muda Johor." "Sudah sepuluh tahun,Orang Kaya,"sampuk Tun Lela Pahlawan pula."Entah-entah suaminya memang terbunuh di Kedah ketika berperang dengan Belanda dulu." "Kalau betul dia mati,di mana kuburnya?"Orang Kaya Temenggung tetap mempertahankan kepercayaannya."Aku percaya dan yakin Bujang masih hidup." "Benar,Ayah,"satu suara mencelah dari belakang mereka."Bujang masih hidup." Mereka bertiga berpaling ke belakang dengan pantas,masing-masing terperanjat.Tun Lela Pahlawan dan anaknya membuka langkah silat.Tetapi,Orang Kaya Temenggung mengenali suara yang sudah sepuluh tahun tidak didengarinya. Bujang juga memandang dengan mata yang tidak berkelip-kelip akan lelaki yang telah membesarkannya dan mendidiknya dengan penuh kasih-sayang seperti anak sendiri. Lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.Setitis air jernih mengalir dari kelopak matanya. "Bujang..!" "Ayah...!" Dua beranak itu berpelukan di tengah kesibukan Batu Sawar,disaksikan oleh Lela Wangsa dan ayahnya dengan terharu.Bujang membiarkan sahaja dirinya dipeluk mertuanya. "Kau sudah dewasa sekarang,"puji Orang Kaya Temenggung sambil tersenyum dan mengesat air matanya."Doa ayah dimakbulkan Allah.Kau terselamat dari angkara musuh." "Sebelum ajal berpantang maut,ayah,"Bujang mengulangi kata-kata yang sering dituturkan itu,kemudian menjeling pada Tun Lela Pahlawan dan Lela Wangsa. "Oh ya,ini Tun Lela Pahlawan dan anaknya Lela Wangsa,"Orang Kaya Temenggung memperkenalkan."Mereka pernah ke Betawi membawa surat Duli Yang Dipertuan untuk Gabenor-Jeneral Belanda Tuan Cornelis Van de Lijn." Bujang bersalaman dengan pembesar berdua itu. "Tun Lela,Lela Wangsa,inilah menantuku Tengku Alang Iskandar,timang-timangan Bujang yang bergelar Panglima Agung itu,"sambung Orang Kaya Temenggung dengan bangga. "Kami tahu,"Tun Lela Pahlawan dan anaknya menguntum senyum. "Kuntum ke mana,ayah?"Bujang tidak bertangguh lagi. "Kuntum?"Orang Kaya Temenggung terkejut,kemudian tersenyum."Ke mana lagi,kalau bukan di rumah. Rumah baru kita di Kampung Panchor tidak jauh dari sini.Tak berapa jauh. Boleh berjalan kaki ikut tepi sungai.Bujang!Bujang?" "Dia sudah pergi,Orang Kaya,"beritahu Lela Wangsa. "Cepatnya..,belum habis kita bercakap...,"rungut Orang Kaya Temenggung. "Orang mudalah,katakan,"Tun Lela Pahlawan berkias.Mereka sama-sama ketawa. Terpisah dari segala hingar-bingar Kota Batu Sawar,Bujang menarik nafas lega. Dia berjalan pantas mengikut denai menyusuri tebing sungai,dalam fikirannya cuba dibayangkan rupa Kuntum sekarang. Sepuluh tahun telah berlalu,usia Kuntum sudah 23 tahun,sebaya dengan Tunku Balqis.Tentu parasnya lebih cantik dari sekarang.Tidak dapat digambarkan betapa kecantikannya.Cuma yang tidak lekang dari ingatan ialah tahi lalat di sudut bibir dan sepasang lesung pipit bila Kuntum tersenyum.Dia teringat malam terakhir bersama Kuntum dulu,dia tidak sempat menunaikan tanggung-jawabnya sebagai seorang suami.Kali ini tanggung-jawab itu akan ditumpahkan sepenuhnya,seperti yang dilakukan pada Teratai danTunku Balqis. Ketika di atas kapal tadi,dia telah bertanya pada Daeng Gondrong tentang kedudukan Batu Sawar secara kasar.Berdasarkan kepada pengetahuan itu,mudahlah baginya untuk mencari Kampung Panchor yang disebut mertuanya tadi.Dia mengikut arah hilir seperti yang dipesan. Pokok-pokok buah-buahan dan pohon-pohon kayu yang rendang memayungi perjalanannya di sepanjang tebing sungai itu. Denai dan lorongnya jelas kelihatan kerana sering digunakan. Jauh di seberang sungai,kabus masih berbalam-balam menutupi hutan rimba. "Di mana rumah Datuk Temenggung?"Bujang bertanya pada seorang lelaki tua yang ber-tembung dengan di tengah jalan. "Rumah Orang Kaya di sebalik dusun buah-buahan,"ujar lelaki itu terpinga-pinga kerana belum pernah melihat Bujang."Ikut sini pun boleh.Tapi,kalau nak cepat,ada jalan pintas dekat dusun. Di sana tu." Bujang mengikut jalan pintas yang ditunjukkan sambil menggalas kampitnya.Jalan pintas itu melalui kawasan belukar dan hutan nipah yang luas serta agak semak sikit. Oleh kerana terlalu gopoh-gapah,dia nyaris-nyaris tersungkur bila capalnya tersangkut pada akar kayu. Dia tunduk memeriksa akar itu.Dengan tidak semena-mena kedengaran suara orang ketawa beramai-ramai seolah menyindirnya. Panas juga hatinya kerana ditertawakan begitu. Setelah diamati betul-betul,suara ketawa itu datangnya dari arah sungai melalui hutan nipah. Dia terhendap-hendap masuk ke dalam hutan nipah itu.Dengan berhati-hati dia memijak pelepah tunggul dan pelepah yang tumbang,mengikut arah suara itu. Akhirnya dia berjaya bersembunyi di sebalik semak-samun. Di atas tebing sungai di hadapannya,dua orang sedang berbual sambil memegang sangkar burung. "Habis,apa rancangan kau seterusnya,Tambak?"tanya lelaki yang kurus-tinggi. "Rancangannya sudah kuberitahu pada Yamtuan Muda,"lelaki bernama Tambak yang berbadan tegap itu menjawab."Nampaknya dia bersetuju.Kita juga mendapat sokongan Seri Bija Di raja,Paduka Seri Maharaja dan Laksamana. Hanya Bendahara Sekudai dan Temenggung yang masih menyokong Duli Yang Dipertuan." "Kalau begitu,susahlah sikit,Tambak,"lelaki kurus-tinggi mengeluh. "Bendahara Sekudai bukan senang dipujuk,Galak,"jelas Tambak."Lagipun,dia itu putera Duli Yang Dipertuan dengan Mayang Selida yang banyak ilmu itu." "Putera-putera baginda yang lain tak perlu kita risaukan,"Galak pula menjelaskan."Mereka tak ada di Johor.Tok Engku Kelang berada di Kelang,Menteri Akhir Zaman membuka Jelebu dan Johan Pahlawan Lela Perkasa menetap di Johol yang diterokainya." "Yamtuan Muda merasakan inilah masa yang sesuai untuk merampas kuasa,"sambung Tambak pula."Dia tetap mahukan tahta kerajaan Johor jatuh ke tangannya,biarpun terpaksa menumnpahkan darah dan mengorbankan nyawa." "Memang patut sangat pun,"tambah Galak."Duli Yang Dipertuan dah berjanji akan turun tahta bila Yamtuan Muda dah dewasa tapi baginda mungkir janji.Baginda mahu kekal sebagai raja Johor.Tentulah Yamtuan Muda murka. Sampai bila nak memerintah Pahang Inderapura?" "Aku dengar Duli Yang Dipertuan masih sangsi dengan kesahihan Yamtuan Muda sebagai waris kesultanan Johor,"Tambak bercerita lagi."Putera tunggal Almarhum Pulau Tambelan tidaklah setua itu,kata baginda.Paling tua pun 28 tahun.Tapi Yamtuan Muda dah berusia awal 30an." "Hanya Temenggung yang mengetahui cerita sebenar kerana dialah yang melarikan putera tunggal almarhum,"tegas Galak."Temenggung perlu dibunuh dengan apa cara sekali pun supaya rahsia ini tidak bocor kepada rakyat." "Tentang itu kau tak perlu bimbang,"Tambak memberi jaminan."Dua hari yang lalu,aku telah berjumpa dengan Tok Batin Orang Laut di Singapura.Tok Batin berjanji akan mencari orang yang handal bermain ilmu hitam,ilmu santau dan macam-macam lagi." "Bagimana dengan Tuan Johanes di Melaka?"tanya Galak. "Tuan Johanes Van Twist memberi sokongan penuh pada Yamtuan Muda...!" "Eh,Galak!Ada orang mengintai kita!"jerit Tambak. Bujang terperanjat.Dia segera tunduk menyembunyikan diri,tangannya meraba kerambit yang terselit di pinggangnya.Dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. "Dia tentu sudah lari,"kata Tambak."Tadi aku nampak dia di sini." "Kau cam siapa orangnya,Tambak?"tanya Galak. "Manalah aku cam,"sahut Tambak."Dia memakai topeng.Tapi aku nampak dia membawa kerambit." "Kerambit?"Galak terkejut."Jangan-jangan dialah Awang Kerambit ketua lanun yang sangat-sangat ditakuti itu." "Kalau betul dia Awang Kerambit,kita dalam bahaya,Galak. Dia juga mesti dibunuh!" "Kau ni bercakap senang saja,"bidas Galak."Mula-mula nak bunuh Temenggung. Sekarang nak bunuh Awang Kerambit pula.Temenggung tu pernah jadi guru silat sendeng. Awang Kerambit pula,tak ada siapa boleh menandingi kehandalannya bermain kerambit." "Kita mesti beritahu Yamtuan Muda,Galak.Mari!" Suara perbualan tidak kedengaran lagi Setelah mengintai dan memastikan mereka telah pergi,Bujang pun bangun dan keluar dari tempat persembunyiannya. Dia keluar semula dari hutan nipah itu.Dua perkara yang baru diketahuinya. Pertama,terdapat pakatan sulit hendak menggulingkan sultan dan melantik Yamtuan Muda sebagai sultan baru.Kedua,Awang Kerambit,ketua lanun dan juga penyokong Angkatan Fisabillah berada di sekitar Kampung Panchor atau Batu Sawar.Nyawanya dalam bahaya.Dia mesti dicari dengan segera.
![](https://img.wattpad.com/cover/203571585-288-k738087.jpg)
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...