Ayoh,jangan bazirin nyawa,”gesa lelaki Jawa itu lagi. Cepat-cepat Bujang menyembelih ayam hutan yang masih tinggal nyawa-nyawa ikan. Ayam itu dibiarkan menemui ajal di atas tanah. “Sampian bukan orang sini,”lelaki Jawa itu tampil ke hadapan menghulurkan tangan. Bujang menyarungkan goloknya lalu bersalam dengan lelaki tersebut.”Bagaimana tuan hamba tahu?” “Gampang aja,”ujar lelaki itu,senyumnya tidak lekang dari bibir.”Orang sini pasti tahu tempat ini kawasan larangan.Kedua,sampian memakai celana Merlayu dan berkeris Melayu. Ketiga, cara omong sampian.”Lelaki itu meneliti ayam yang sudah mati itu.”Dari jarak seratus ela,tepat dan jitu pada sasaran. Bukan sembarangan sampian ini. Apa nama sampian?” “Bujang,baru datang dari Johor,”Bujang memperkenalkan diri. “Manok itu ambillah buat lauk,”pelawa lelaki Jawa itu.”Tapi,lain kali memburunya hati-hati sikit. Jangan memburu di kawasan larangan.” “Hamba berjanji pisang takkan berbuah dua kali,”balas Bujang dengan jujur. “Permisi,”lelaki Jawa itu minta diri sambil melambaikan tangan.Kemudian,dia berpaling lalu segera masuk semula ke dalam hutan. Bujang membawa balik ayam hutan itu ke pinggiran air terjun untuk dibuang bulunya,dibersihkan dan dipanggang.Semua barang keperluannya ada dalam kampit kulit yang terikat pada pelana kuda. Tidak lama kemudian,Bujang duduk menikmati ayam panggangnya di bawah pohon rendang sambil mendengar kicauan burung dari kawasan sekitar. “Di sini rupanya abang,”tiba-tiba Kartini menegurnya, Bujang terkejut dan nyaris-nyaris membuka langkah silat.Kartini turun dari kudanya lalu menghampiri suaminya itu dengan senyuman yang dibuat-buat. “Tini buat apa di sini?”Bujang bangun menghulurkan separuh ayam panggangnya. “Mencari abanglah,”Kartini mula menjamah ayam itu.”Kenapa abang terlalu cepat melatah? Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan.Kalau Chendana dibawa ke Madura,kita carilah dia di sana pula.” “Benar kata Tini,”Bujang menghabiskan saki-baki daging ayamnya lalu beredar ke gigi air membasuh tangan dan mulut.”Tadi abang hampir-hampir hilang pertimbangan.Maklumlah,abang amat menyayangi Chendana sejak kami remaja lagi.” “Jadi,abang tak sayang Tini?”suara Kartini berbaur cemburu. “Tentulah sayang juga,”balas Bujang sambil mencubit pipi isterinya.”Tadi,abang bertemu dengan seorang lelaki Jawa yang budiman.Orangnya manis dan tampan.Syang sedikit,misainya seperti misai kucing.” Kartini ketawa terbahak-bahak mendengar lelucon itu.”Siapa orangnya?” “Abang tak kenal,”balas Bujang dengan selamba.”Entah-entah Sultan Hawengku Buano.” “Memang kulo orangnya!”sahut satu suara kasar dari belakang mereka. Kerana terkejut,Bujang melompat membuka langkah silat.Namun,dia menarik nafas lega apabila dia mengenali lelaki Jawa yang baru dikenalinya tadi.Rupanya gurauan menjadi kenyataan. Lelaki Jawa itu memang Sultan Hawengku Buano. “Kang mas,”Kartini berseru lembut merapati bekas suaminya itu. “Mas Kartini,”Sultan Hawengku Buano terus memeluk bekas isterinya itu di hadapan Bujang tanpa segan silu lagi. Bujang mara hendak meleraikan mereka,darah mudanya naik semula. Tiba-tiba dia dapati kawasan itu sudah dikepung oleh perajurit-perajurit Jawa yang lengkap bersenjata. “Oh,inilah kiranya Panglima Agung yang termashyur itu,”Sultan Hawengku Buano tertawa berdekah-dekah sambil melepaskan Kartini dari pelukannya.”Panglima Agung, tinggalkan Tanah Jawa ini. Kulo beri tempoh sampai besok pagi.” “Bagaimana dengan isteri hamba?”tanya Bujang. “Sebagai jaminan,Raden Kartini terpaksa kulo tahan,”Sultan Hawengku Buano memegang tangan Kartini.”Ingat,jangan cuba mencari gara-gara dengan kulo!”Dia terus menarik Kartini pergi dari situ. Bujang cuba membantu tetapi dadanya diacu dengan beberapa bilah lembing yang tajam berkilat.Setelah Sultan Hawengku Buano dan Kartini agak jauh,baru dia dilepaskan.Kuda Kartini dibawa mereka pergi. Ditinggalkan bersendirian di tepian air terjun itu,Bujang duduk termenung memikirkan rencana hendak menyelamatkan Kartini.Anak dalam kandungan Kartini itu adalah anaknya hasil dari perkongsian hidup dengan Kartini. Kalau ikutkan hati,mahu sahaja dia merempuh istana Sultan Hawenku Buano dan mengamuk membunuh seberapa ramai yang boleh. Tetapi cara itu kurang bijak dan boleh mengancam keselamatan Kartini.Dia perlu mencari jalan keluar yang terbaik. Mendengar bunyi rengekan kuda,Bujang cepat-cepat bersembunyi di sebalik pokok. Diam-diam dia menunggu kemunculan tetamu yang tidak diundang itu.Tetapi,demi terpandang Andika yang datang menunggang kuda,dia menarik nafas lega.Begitu juga dengan Andika, Melihat kuda yang tertambat ke sebatang anak kayu,dia mengenali kampit kulit kepunyaan Bujang. “Panglima Agung!”dia memanggil sambil turun dari kudanya. Bujang pura-pura tidak mendengar. Dia ingin melihat gelagat sahabatnya itu. “Panglima Agung!Ini hamba!”jerit Andika lagi,matanya liar memandang sekeliling. Melihat sebatang ranting kayu berhampiran,Bujang mendapat satu akal. Senyap-senyap ranting kayu itu diambilnya,kemudian dibaling kuat-kuat kea rah kepala Andika.Dengan tangkas,Andika tunduk sambil menangkap ranting kayu itu. Bujang beredar dari pokok itu sambil tertawa kecil. “Hai,..pendekar juga kau ni,Andika,”dia memuji menghampiri sahabatnya. Mereka bersalaman dengan erat kerana sudah lama tidak berjumpa. “Kau masih lagi mengikut kapal Nakhoda Ali?”tanya Bujang. “Dah berhenti,Panglima.Hamba ingin berjuang bersama Angkatan Fisabilillah,”Andika menambat kudanya berhampiran kuda Bujang.”Panglima,hamba membawa satu berita baik.” “Berita apa,Andika?”tanya Bujang tanpa mengesyaki apa-apa. “Sebenarnya dua berita baik,Panglima,”Andika menjelaskan.”Pertama,Tun Chendana isteri Panglima sudah kami temui di Melaka.Dia sihat dan wal-afiat,sekarang berada di Batu Sawar.” “Benarkah bagai dikata?Alhamdulillah,”Bujang menyapu mukanya tanda bersyukur,dari celah jari-jemarinya mengalir air mata. Dia segera berpaling ke arah lain untuk menyembunyikan wajahnya dari dilihat Andika.”Berakhir sudah pencarianku.” Dia menggosok matanya,kemudian berpaling semula kea rah Andika,”Berita yang kedua,Andika?” “Berita yang kedua ialah lancang Panglima sudah berlabuh di pantai Jokjakarta tidak jauh dari sini,”Andika hendak memberitahu tentang Daeng Ratna tetapi tidak jadi.”Lela Wangsa dan semua orang-orang kita menunggu di sana.” ‘Kalau begitu,apa ditunggu lagi?Ayuh!”Bujang terus mencapai tali kudanya. Kepulangan Bujang ke lancang yang baru dibelinya itu ibarat sirih pulang ke gagang. Dia disambut dengan meriah oleh anak buahnya,terutama sekali Lela Wangsa. Mereka bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan penuh mesra.Tetapi,Bujang agak hairan.Salah seorang anak buahnya itu bagaikan tidak mempedulikan kepulangannya.Pendekar muda itu berdiri membelakanginya sambil memandang ke daratan. “Pendekar baru ke?”tanya Bujang pada Lela Wangsa dan Andika. “Itu sepupu hamba,baru datang dari Makasar,”beritahu Andika penuh rahsia. Bujang mendekati pendekar muda itu lalu menepuk bahunya.”Siapa namamu,Pendekar?” Pendekar itu memalingkan kepalanya. Serentak dengan itu,dastarnya ditanggalkan. Maka terhurailah rambut yang panjang yang tadinya disanggul dan ditutup dengan dastar. Secepat kilat, Bujang mengenali wajah yang menjadi impiannya itu. “Ratna…,”Bujang berseru. “Abang…,”Daeng Ratna membalas,mata bertentang mata. Sedar-sedar,Bujang sudah berpelukan dengan Daeng Ratna,melepas rindu dendam masing-masing.Hidung Bujang tercium bau rambut yang harum seperti bunga.Bunyi tepukan dan sorakan gemuruh dari anak buahnya menyedarkan Bujang dari khayalan. Dia segera melepaskan Daeng Ratna dari pelukan. Daeng Ratna juga kelihatan tersipu-sipu,wajahnya merah padam. “Maafkan hamba,Tuan Puteri,”pohon Bujang.”Hamba tidak sengaja.” “Tidak mengapa,”suara Daeng Ratna lembut.”Tolonglah jangan berhamba berputeri dengan Ratna lagi,abang.” “Yakah?Err…,”Bujang beralih pada Andika.”Andika,rupanya ada lagi berita baik yang tidak kau ceritakan padaku.” “Hamba sengaja ingin mengejutkan Panglima,”jawab Andika.”Barulah lebih manis dan lebih bermakna.” Mereka ketawa beramai-ramai. “Abang,izinkan Ratna pergi menukar pakaian,”pinta Daeng Ratna. “Silakan,”Bujang memberi keizinan.Dia memandang penuh Daeng Ratna disambut oleh dayang-dayangnya lalu dibawa ke kurung di bawah geladak. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Air mukanya berubah. Kerana terlalu gembira berjumpa Andika,mendengar berita tentang Chendana serta bersua pula dengan Ratna,dia terlupa sebentar masalah dengan Sultan Hawengku Buano.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...