Bab 18

295 11 0
                                    

Selepas puas menatap wajah anaknya,dikucupnya dahi itu dengan penuh kasih-sayang. "Jagalah diri baik-baik,Balqis,"pesan Bujang pada isterinya pula,mata bertentang mata,tanpa mempedulikan dayang-dayang yang memasang telinga."Terutama sekali anak kita dalam kandungan itu. Mana tahu kalau-kalau dia bakal menjadi sultan Kedah." Tunku Balqis tersenyum sambil mengesat air matanya. Bujang memeluk isterinya tanpa segan-silu,mengucup dahinya dan terus berpaling menuju ke kuda yang ditinggalkan Kundang.Sekali lompat,dia sudah berada di atas belakang kuda itu.Dia terus memecut sambil melambai-lambai ke arah Tunku Balqis. Sebaik sahaja dia berada jauh dari istana Kota Siputih,Bujang mula mengorak langkah seterusnya.Rasa hiba dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan isteri dan anaknya,biarpun untuk sementara waktu,terpaksa diketepikan dahulu.Buat masa sekarang,dia perlu memikirkan cara bagaimana hendak menyekat atau melengahkan kemaraan askar-askar upahan di bawah pimpinan Joan Truijtman.Mereka perlu dilencong ke arah lain dari Kota Siputih. Untuk tujuan itu,dia memerlukan umpan.Di saat itu,umpan yang paling baik ialah dirinya sendiri.Dia pun memecut terus ke Kota Naga. Hari sudah pun lewat petang bila dia tiba di perkampungan Kota Naga yang terdapat di sekitar istana Kota Naga. Dia mengelilingi pagar istana itu dari jarak yang agak selamat, memerhati dan mengamati dengan teliti. Dari pintu gerbang utama yang ternganga,baru tampak kekecohan yang berlaku.Tiada lagi kelihatan pendekar dan hulubalang yang membuat kawalan. Tiada kelihatan baginda Sultan dan para pembesar.Askar-askar upahan Belanda yang berpakaian seragam,lengkap dengan istinggar dan pistol,berkeliaran di pekarangan istana.Ramai lagi kelihatan keluar-masuk istana sesuka hati.Dan,yang paling menyakitkan mata,sebuah bendera warna hijau-putih-merah dengan lambang VOC kelihatan berkibar angkuh dari anjung istana. Diam-diam Bujang berundur ke masjid.Kudanya ditambat di kawasan langgar di belakang masjid yang agak tersembunyi dari penglihatan ramai.Dalam kesuraman perkuburan itu,dia menyalin pakaiannya.Dia menyarungkan pakaian biasa seperti kebanyakan pemuda kampung,pakaian pendekarnya disimpan di dalam buntil bersama lain-lain pakaian dan barang- barang.Dua bilah kerisnya juga disimpan di dalam buntil yang diikat kukuh pada pelana kuda.Kerambitnya diselit di celah ikat pinggang,disembunyikan di dalam baju. Dengan hanya bersemutar seperti kebanyakan pemuda,dia pergi ke kolah untuk mengambil wuduk.Masuk waktu maghrib,dia berjemaah bersama beberapa penduduk kampung tanpa disyaki oleh sesiapa.Sementara menunggu waktu isyak,dia berwirid,berzikir dan membaca qur'an.Terasa lengang masjid itu kerana jemaah lain pulang sebaik sahaja habis sembahyang maghrib,tinggal dia keseorangan di bawah cahaya pelita damar.Bila pelita itu terpadam kerana kehabisan bahan bakar,dia membaca pula di dalam gelap.Mujurlah,semua ayat-ayat suci Al-Qur'an sejumlah lebih enam ribu itu dapat dihafalnya,sama ada surah pendek mahu pun surah panjang. Setelah diyakini telah masuk waktu isyak,tiada siapa yang kembali. Dia pun bersembahyang seorang diri. Selesai tanggung-jawabnya,diam-diam dia keluar dari masjid itu dan meraba-raba di dalam gelap itu sehingga terjumpa kudanya. "Tengku,"terdengar suara yang dikenalinya seperti orang berbisik,hampir dengannya. "Ada apa,Kundang?"tanya Bujang,matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Kundang muncul seperti hantu."Patik dapat berita dari dua-tiga orang yang ke masjid tadi,"beritahu Kundang dengan perlahan."Patik dah agak tentu Tengku Laksamana.Bila patik jumpa kuda patik,memang sah.Kami semua sudah bersiap-sedia." "Siapa yang bersiap-sedia?"tanya Bujang,masih keliru. "Angkatan Fisabillah yang terselamat dari ditangkap,"Kundang menjelaskan."Ada kira-kira seratus orang,tidak dikira dari kampung-kampung lain.Hanya menunggu perintah dari Tengku sahaja." "Ada membawa panah?'tanya Bujang,dalam kepalanya sudah tergambar rancangannya. "Ada,Tengku,"Kundang menghulurkan busar dan anak panahnya."Patik boleh beritahu kawan-kawan lain supaya membawa panah." "Ingat lagi rancangan kita sepuluh tahun yang lalu di Kota Naga juga?"tanya Bujang. "Masakan tidak,Tengku,"gigi Kundang kelihatan putih dalam kegelapan itu bila dia mengukir senyum."Ramai juga askar-askar upahan Siam dapat kita bunuh secara serang-hendap." "Cara itulah yang akan kita lakukan,"Bujang mengikat sarung berisi anak panah pada pinggangnya."Kau kumpulkan seberapa ramai ahli-ahli kita,kepung istana ini,jangan benarkan walau seorang pun musuh terlepas dari perangkap." "InsyaAllah,Tengku,"jawab Kundang."Boleh dilakukan." "Yang penting,selamatkan baginda Sultan dan kaum-kerabat dulu,"Bujang menerangkan secara ringkas."Tetapi sebelum itu,hamba akan menjadi umpan." "Umpan?"Kundang tidak faham maksud Bujang. "Hamba akan mengumpan askar-askar Madura itu supaya mengejar hamba,"jelas Bujang lagi."Ketika hamba dikejar,serang-hendap mereka,kalau boleh bunuh semua.Tapi ingat, jangan sampai orang-orang kita tertangkap.Rahsia ini jangan dibocorkan sama sekali." "Baru patik faham,Tengku,"Kundang terangguk-angguk seperti burung belatuk."Beri kami tempoh satu jam untuk bersiap-sedia." "Satu jam?"giliran Bujang pula tidak memahami maksud itu. "Itu cara baru mengira masa,"Kundang memberitahu."Kira-kira empat kali bacaan Yasin." "Baiklah,hamba faham,"balas Bujang,menyedari bahawa banyak lagi yang perlu diketahui sejak dia hilang selama sepuluh tahun. Selepas bersalam dengan Bujang,Kundang terus menghilangkan diri.Tinggal Bujang sebatang karah di kawasan langgar yang lengang dan menyeramkan itu.Sambil memegang busar panah,dia pun bertenggek di tepi sebuah makam purba lalu mula membaca ayat-ayat suci dengan perlahan.Dia tidak membaca surah Yasin seperti yang dicadangkan Kundang, Sebaliknya dia membaca Ayat Kursi kegemarannya,menggunakan jari untuk mengira jumlahnya. Sambil membaca,matanya meliar juga memerhati di sekitar langgar itu. Bukan dia takut pada hantu atau syaitan tetapi dia berharap apa yang berlaku di pusara Siputih Puteri Lindungan Bulan akan berulang.Benda-benda pelik seperti itu memang dinanti-nantikan untuk menyaksikan kebesaran Allah serta menguatkan lagi imannya.Angin malam menderu perlahan,daun-daun seakan berbisik,sekali-sekala kedengaran bunyi burung pungguk memanggil sang rembulan yang belum menjelma. Namun,setelah genap seratus kali bacaan Ayat Kursi,tiada apa-apa yang berlaku. Dia pun beredar senyap menghampiri kudanya.Kuda itu dipanjatnya.Sambil menepuk tengkuk kuda seolah-olah memujuknya,dia pun menarik tali kekang dan menunggang perlahan-lahan keluar dari tempat persembunyian itu.Tiba di bawah pokok tidak jauh dari pintu gerbang utama,dia menunggu saat yang sesuai untuk bertindak. Entah dari mana,kedengaran bunyi burung merbuk memecah kesunyian. Disusuli pula oleh bunyi burung murai,burung pungguk,burung merbah dan berbagai jenis burung yang tidak ketahui namanya,berselang-seli,datangnya dari berbagai arah dan tempat di sekitar pagar istana.Teringat semula isyarat yang pernah digunakannya dulu.Dia pun bersiul meniru bunyi burung tekukur,burung pilihannya. Serta-merta bunyi burung lain senyap. Fahamlah dia maksud yang ingin disampaikan.Dia pun memasang anak panahnya pada tali busar. Melalui pintu gerbang yang masih ternganga,dia menenang ke arah beberapa orang askar upahan yang mundar-mandir di pekarangan istana. Dia melepaskan anak panahnya. Seorang askar upahan yang bernasib malang jatuh tersungkur,lehernya ditembusi anak panah. Askar-askar upahan lain mula mengerumuni mayat rakan mereka.Sekali lagi dia bertindak. Kali ini dia sengaja keluar dari kawasan gelap di bawah pokok supaya dilihat musuh.Dengan tenang, dia memanah seorang lagi askar upahan Belanda.Salah seorang askar di situ menunjukan ke arahnya.Rakan-rakannya memandang ke arah luar dan ternampak seorang penunggang kuda dengan panah di tangan. Mereka terus melepaskan tembakan ke arah itu. Memang itu yang ditunggu-tunggu oleh Bujang.Tanpa memnghiraukan hujan peluru yang berdesip-desip di sekelilingnya,dia menggalas busar panahnya,memusing kudanya dan terus memecut dengan laju membelah angin malam.Setelah agak jauh dari situ,terdengar bunyi kuda yang ditunggangi beberapa orang askar upahan mengejarnya.Dia tersenyum. Umpannya sudah ditelan musuh,jeratnya sudah mengena. Dia terus memecut kudanya,membiarkan mereka mengejarnya. Tidak lama kemudian,kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan, menandakan kumpulan askar itu telah diserang-hendap oleh Kundang dan rakan-rakannya.Dia menunggu sebentar.Bila bunyi tapak kuda kedengaran lagi menandakan dia masih dikejar,dia menjerit lantang ke arah mereka. "Hoi!Ini Panglima Agung!Kalau berani,rapatlah!" Bujang menanti dengan panahnya.Sebaik sahaja nampak samar-samar kumpulan itu merapatinya,dia terus memanah tepat mengenai salah seorang dari mereka. "Hadiah dari Panglima Agung!"Bujang menjerit lagi kuat-kuat sambil memalingkan kudanya dan memecut pergi seperti ribut.Terdengar beberapa das tembakan dilepaskan ke arahnya tetapi tiada sebutir peluru pun yang kena sasaran.Dia sengaja membiarkan mereka kenal siapa dirinya supaya mereka terus mengejarnya. Walau bagaimana pun,menjelang tengah malam,tidak kedengaran lagi bunyi tapak kuda mengejarnya.Dia tahu saki-baki askar-askar upahan itu akan kembali mendapatkan bantuan.Rancangannya untuk mengelirukan pihak musuh telah berjaya.Musuh tidak akan mencarinya lagi di Kota Siputih.Anak- isterinya terselamat dari mara bahaya.Sambil tersenyum puas,dia menunggang kudanya dengan tenang menuju ke Kuala Kedah. Perkasa yang menuju ke perigi untuk mandi dan mengambil wuduk subuh hari itu terperanjat besar bila melihat susuk tubuh seorang pemuda yang sedang menggalas buntil menghalangnya di tengah jalan. "Siapa kau?"dia mencabar sambil membuka langkah silat,kainnya nyaris-nyaris terlondeh. "Akulah,"Bujang memperkenalkan diri."Kau ni asyik bersilat sahaja,Perkasa." "Bujang?"Perkasa tergamam,kakinya bagaikan terpaku di tanah."Bukankah kau....?" "Kau macam terkejut melihatku,Perkasa,"tegur Bujang. "Memanglah terkejut,"Perkasa menyembunyikan perasaanya lalu merapati Bujang dan bersalam dengannya."Semua orang mengatakan kau sudah ditangkap Tuan Joan dan akan dibawa ke sini untuk dihukum gantung." "Kuda Kundang ada kutambatkan dekat masjid,"pinta Bujang,hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena."Tolong pulangkan padanya." "Kau nak ke mana,Bujang?"Perkasa ingin tahu. Bujang teringat kata-kata isterinya Tunku Balqis."Aku bercadang hendak bersembunyi di Pulau Langkawi,"dia berbohong."Pulau itu luas,banyak pulau-pulau kecil di sekitarnya." "Aku bersetuju kau bersembunyi di situ,"Perkasa menyokong,memotong cakap Bujang agak tergesa-gesa."Tentu sukar pihak Belanda mencarimu. Bolehlah kita jadikan markas Angkatan Fisabilillah mengatur serangan dan merampas kapal-kapal dagang yang belayar di perairan itu." "Ada kapal yang hendak ke sana?"tanya Bujang memandang ke arah pelabuhan. "Rasanya ada,"balas Perkasa."Kau kena tanya nakhodanya.Kalau nak ke sana,ambillah sampanku dekat pengkalan.Kau tak tunggu dulu?Kita sembahyang,sarapan...!" "Aku sudah sembahyang subuh di masjid tadi,"Bujang menolak kerana merasakan ada udang di sebalik batu."Tentang sarapan,bekalan yang isteriku berikan belum kusentuh. Terima kasih sajalah,Perkasa." "Betulkah kau tak nak singgah dulu?"Perkasa ajak-ajak ayam. "Aku perlu pergi sementara hari masih gelap,"Bujang memberi alasan."Sampaikan salam pada rakan-rakan kita semua.Asaalamualaikum." "Waalaikumussalam,"balas Perkasa. Setelah Bujang pergi,Perkasa tidak jadi ke perigi. Dia berpatah balik ke rumahnya. Di pengkalan,dengan mudah Bujang mendapat sebuah perahu.Dua-tiga orang pengawal yang mengawasi pengkalan itu kelihatan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk dan tidak menyedari kehadirannya.Setelah menyimpan buntilnya dalam perahu itu,dia mendayung perlahan-lahan melintasi pintu kuala,berhati-hati dia menguak pendayung supaya bunyinya tidak kedengaran.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now