Apa buktinya kau Panglima Agung?” “Ini buktinya,”Bujang mengeluarkan dua bilah kerisnya dari dalam buntil lalu menunjukkan kepada ketua perompak itu.”Keris Sempana Riau keris pusaka dari arwah bonda.Keris Hitam Bersepuh Emas anugerah dari Tuanku Paduka Ayahanda.” Kali ini,lama betul ketua perompak itu merenung wajah Bujang dan memerhati Bujang dari atas ke bawah.Susana menjadi senyap sepi melainkan bunyi unggas malam. Tiba-tiba dia menepuk tangan ke arah rakan-rakannya.”Berundur semua!Panglima Agung bukan tandingan kita!”. Dengan segera perompak-perompak itu berundur menghilangkan diri ke dalam hutan. “Selamat kembali,Panglima,”ucap ketua perompak itu penuh hormat.”Syukurlah Panglima masih hidup.Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”ujar Bujang,masih tertanya-tanya siapa ketua perompak itu. Belum sempat dia menghulur tangan berjabat salam,ketua perompak itu berpaling lalu mengikut jejak-langkah rakan-rakannya. “Haiya,lu pun pandai kungfu,”puji Ah Lim menepuk bahu Bujang. “Sikit-sikit,”Bujang menyimpan semula dua bilah kerisnya.”Jauh lagikah Kota Naga?” “Sudah dekat,”Ah Lim menggerakkan kereta lembu dengan cemetinya.”Lu mahu pergi istana bukan? Nanti wa bawa lu sampai sana.” “Tak payahlah,Ah Lim,”Bujang menolak dengan lembut.”Turunkan hamba di mesjid yang berhampiran dengan istana.” “Ho ho,”Ah Lim tidak berani membantah. Istana Kota Naga yang terletak tidak jauh dari sebuah mesjid itu tidak jauh berbeza dari dulu selepas dibaiki oleh tukang-tukang yang handal.Malah,istana itu bertambah cantik setelah hampir-musnah sepuluh tahun yang lalu.Bumbungnya lima,anjungnya empat,didirikan di atas tiang kayu cengal yang tinggi.Bumbungnya atap genting dibawa dari luar, tingkapnya kaca berwarna yang juga dibeli dari luar.Setiap anjung mempunyai tangga batu bertiingkat tujuh dengan tangga hadapan yang bertentangan dengan pintu gerbang utama dibuat lebih besar dan lebih cantik berhiaskan batu marmar.Di hadapan tangga yang cantik itu juga ditempatkan dua pucuk meriam tembaga dengan muncungnya dihala ke pintu gerbang.Setiap tangga dikawal dua pengawal berlembing sepanjang masa. Di kanan istana terdapat Balai Penghadapan dan Balai Nobat.Balai Penghadapan yang juga dikenali sebagai Balai Rong Seri tempat baginda Sultan bersemayam dihadapan para pembesar manakala Balai Nobat pula tempat tersimpannya alat-alat kebesaran dan tempat diadakan upacara adat-istiadat. Di kiri istana pula dibina Balai Besar dan Balai Tetamu. Balai Besar tempat baginda Sultan berjumpa rakyat dan mendengar sebarang masalah mereka,Balai Tetamu pula seperti namanya adalah untuk penginapan para tetamu kehormat. Di belakang istana terbentang luas taman larangan yang ditanam dengan berbagai pokok bunga dan pokok buah-buahan,dilengkapi pula dengan kolam ikan,kolam mandi,buaian dan panca persada.Seluruh istana itu dipagari tembok batu berjerejak besi yang diruncingkan di hujungnya,setiap penjuru dibina balai pengawal.Kebanyakan para pengawal tinggal dan berkeluarga di luar pagar istana supaya senang berulang-alik jika dijemput masuk mengadap. Tunku Balqis mengeluh.Semua kemewahan itu tidak ada ertinya jika suami tiada di samping.Sudah sepuluh tahun dia hidup menjanda,janda berhias yang belum lagi disentuh suaminya.Berbagai lamaran diterima dari jauh dan dekat,namun tiada satu yang yang berkenan di hati,tiada satu pun yang boleh menandingi suaminya.Ramai orang bersumpah mengatakan suaminya turut terbunuh di tangan Belanda tetapi dia tidak mahu menerima hakikat itu selagi jenazah atau makam suaminya tidak dijumpai. Jauh di sudut hatinya,dia percaya suaminya masih hidup.Dia menganggap dirinya belum jadi janda dan itulah sebab utama ditolaknya setiap lamaran yang diterima.Dia masih menjadi isteri yang sah,haram hukumnya orang lain masuk meminang. “Bonda,”seru satu suara halus dari belakangnya.Suara itu memang dikenalinya. Dia berpaling mendepakan tangan menyambut kedatangan.Gadis sunti berpakaian cantik itu tidak segan-silu menerkam memeluk ibunya dengan penuh manja. “Buat apa Bonda di anjung ini?”tanya gadis sunti itu. Tunku Balqis tidak menjawab,sebaliknya merenung wajah gadis sunti di hadapanya itu. Dia suka merenung mata itu kerana pada mata itu terpancar cahaya yang mengingatkan pada suaminya.Tiba-tiba dia perasan ada sesuatu pada wajah yang manis itu. “Mengapa Fatimah bermuram durja?Mengapa hati gundah gulana?”tanya Tunku Balqis. “Bonda,”mata jernih itu merenung mata Tunku Balqis.”Malam tadi Fatimah bermimpi. Fatimah bermimpi bertemu ayah dan ibu di taman yang indah.” Tunku Balqis tersentak.”Bagaimana rupa mereka?” “Tentulah cantik menawan,”kata Fatimah.”Ayah pun kacak orangnya.Mereka senyum sambil melambai-lambai tangan pada Fatimah.” “Fatimah,”Tunku Balqis menahan sebaknya.”Anakanda pun tahu ibumu dan ayahmu sudah lama berpulang.Usah dikenang lagi pada mereka.Bonda ‘kan masih ada.Anggaplah Bonda ini sebagai ayah dan ibu Fatimah,ya?” “Marilah kita berkunjung ke makam mereka di Kuala Kedah,”pinta Fatimah manja. “Baiklah,Fatimah,”Tunku Balqis menyapu air matanya dengan lengan baju.”Besok akan Bonda maklumkan pada Paduka Nenda,kita ke sana naik kereta kuda.” ‘Kalau ayah Fatimah masih hidup,tentu dia sudah tua,ya,Bonda?”tiba-tiba Fatimah menyebut lagi perkara itu. “Tidaklak tua sangat,”Tunku Balqis terbayang-bayang sinar kejantanan yang ada pada Bujang.”Usianya waktu itu 18 tahun.Kalau dia masih hidup,tentulah usianya 28 tahun.” “Tentu padan dengan Bonda ‘kan?”Fatimah mengusik. Tunku Balqis lekas-lekas melarikan wajahnya yang merah padam dari dilihat Fatimah. “Kalau padan pun,apalah gunanya,”dia memerhati alam yang bermandikan cahaya bulan purnama.”Ayahmu sudah mati dan tak mungkin hidup kembali. Kita hanya berangan-angan dengan perkara yang mustahil berlaku.” “Betulkah Bonda akan bertunang?”tiba-tiba Fatimah menukar tajuk perbualan. “Dengan siapa?”Tunku Balqis pura-pura bertanya.Dengan siapa lagi,tentulah dengan Mamanda Tun Mat,”jawab Fatimah nakal. “Tunku Mat Akib hanya bercinta dengan bayang-bayang,”Tunku Balqis menatap wajah Fatimah.”Fatimah,orang bertunang kerana hendak berkahwin.Perkahwinan tidak akan berlaku tanpa kasih-sayang.Bonda tidak kasih dan tidak sayang pada Tunku Mat,jauh sekali untuk berkahwin dengannya.Bila Fatimah sudah dewasa nanti,Fatimah akan mengerti.” Tunku Balqis berhenti demi melihat seorang lelaki kacak berusia awal 30-an menjenguk dari pintu anjung,wajah lelaki itu muram sahaja. “Kanda Tunku Mahmud,”tegurnya,turut bersedih.”Ayahanda masih gering?” Tunku Mahmud mengangguk lemah.”Ayahanda bertambah gering.Eloklah kita ke bilik peraduan.Manalah tahu…..!” Tunku Balqis tidak menunggu lagi.Dia terus menarik tangan Fatimah mengajaknya ke bilik peraduan ayahandanya.Tunku Mahmud Raja Muda mengikut dari belakang,wajahnya masih sugul dan muram. Baginda Sultan terbaring di atas peraduan dengan tidak bergerak,matanya terpejam rapat,hanya nafasnya turun-naik menandakan dia masih bernyawa. Raja Bendahara,Datuk Seraja Imam,Penghulu Istana,Pawang Di raja serta beberapa pembesar lain sudah hadir. Mereka duduk mengelilingi katil baginda sambil mulut kumat-kamit membaca sesuatu. Datuk Seraja Imam pula membaca kitab suci Al-Qur’an yang diletakkan di atas rehal tembaga. Tok Muda Pawang Di raja duduk membakar kemayan di atas dupa bara sambil membaca jampi-serapah dengan perlahan. Setiap kali kemayan ditabur,asap naik berkepul-kepul memenuhi ruangan bilik yang luas itu dengan keharuman. Tunku Balqis,Tunku Mahmud dan Fatimah duduk di hujung katil,masing-masing tunduk menekur lantai. “Ampun Tuankun Raja Bendahara,”Datuk Bentara Dalam tiba-tiba masuk mengadap.” Patik membawa seorang dukun muda.Katanya dia datang dari Gunung Jerai dan boleh mengubat sakit Ke Bawah Duli Tuanku.” Semua pandangan tertumpu pada dukun muda tersebut yang berpakaian seperti kebanyakan pemuda kampung,berkain selimpang serta membawa buntil.Hati Tunku Balqis berdebar-debar melihat buntil itu. Dia cuba mengamati wajah dukun muda bermisai tebal dari jauh tetapi wajah itu hanya tampak samar-samar di bawah cahaya lilin. “Suruh dia rapat kemari,Bentara Dalam,”perintah Raja Bendahara yang sudah tua itu. Datuk Bentara Dalam memberi isyarat kepada dukun muda itu supaya maju ke hadapan. Bujang yakin tiada sesiapa yang mengenalinya ketika dia menghampiri peraduan baginda Sultan dan menyusun sembah.Namun,darahnya tersirap ke kepala bila dia terpandang Raja Muda,Tunku Balqis dan seorang gadis sunti yang saling tidak tumpah mengikut wajah arwah Teratai isterinya.Raja Muda tenang sahaja seolah-olah Bujang tidak dikenalinya. Berbeza dengan Tunku Balqis dan Wan Fatimah,mereka seakan-akan terkedu,lidah kelu untuk berkata-kata. Bila mata bertentang mata,degupan hati Bujang bertambah kencang. Dia cepat-cepat melarikan pandangannya dari mereka berdua. ‘Boleh diubati penyakit Ke Bawah Duli Tuanku,Dukun Muda?”pertanyaan Raja Bendahara bagaikan menyedarkan Bujang dari lamunan. “Setiap penyakit Allah yang menyembuhkan,”ujar Bujang .”Kita sekadar berikhtiar.” Mendengar suara Bujang,Tunku Mahmud tertarik untuk memerhati Bujang dengan lebih teliti.Dia menjeling pada adindanya Tunku Balqis,pandangan mereka bertemu.Namun tiada kata-kata keluar dari bibir mereka. “Apa penyakitnya?”tanya Bujang,pura-pura tidak melihat telatah Tunku Balqis. “Kata Tok Muda Pawang Di raja,baginda Sultan disampuk oleh keramat Tok Jambul Merah dari Bukit Keplu,”Raja Bendahara menyatakan. Bujang diam membisu tanpa membalas kenyataan itu.Dia membuka sedikit buntilnya lalu mengeluarkan seutas tasbih berwarna putih bersih.”Hamba bukan tok pawang atau tabib,” katanya merendah suara.”Sama-sama kita berdoa dan bertawakal kepada Allah. Setiap penyakit ada ubatnya,kecuali maut.” Bujang pun memejam mata berzikir dalam hati sambil membilang buah tasbih. “Cari kulat tapak gajah,”dia bersuara,mata masih terpejam.”Dibelah,diambil lendirnya. Sapu lendir itu di kepala baginda,biarkan semalam-malaman.” “Baiklah,”akur Raja Bendahara bila melihat Tok Muda Pawang Di raja angguk kepala. “Cari ayam hutan,ambil hempedunya,beri baginda santap,”sambung Bujang,belum habis lagi.”Kalau boleh,dimakan mentah-mentah.Kalau tak boleh,masaklah apa saja.” “Tapi,hempedu rasanya pahit,”sampuk Raja Bendahara. “Pahit itu penawar segala penyakit,”Bujang menegaskan.”Carilah teras delima atau akar pisang emas,direbus hingga airnya tinggal separuh,beri baginda minum sampai habis.” “Itu sahaja,Dukun Muda?”tanya Raja Bendahara.”Atau ada lagi ubatnya?” “Sembahyang hajat,minta doa pada Allah,banyak membaca selawat syifa’,”jelas Bujang sebagai penutup.Nada suara Raja Bendahara berbaur sindiran tidak dipedulikan. “Boleh kita main puteri?”tiba-tiba Tok Muda Pawang Di raja bertanya. “Main puteri?”Bujang bertanya balik sambil menyimpan semula tasbihnya. “Kami sudah menjemput Kumpulan Main Puteri dari Petani sebagai ikhtiar terakhir mengubati penyakit Ke Bawah Duli,”Tok Muda menerangkan kepada Bujang.”Mereka sudah berada di Balai Besar menunggu perintah sahaja.” “Mereka sudah sampai?”Raja Bendahara pula bertanya pada Tok Muda Pawang Di raja sambil matanya menjeling tajam pada Raja Muda. “Sudah,Yang Mulia Tuanku Raja Bendahara,”sembah Tok Muda.”Pemain rebab,pemukul gong dan gendang serta peniup serunai semuanya sedang menunggu di sana.Patik pun akan membantu Tok Munduk dalam upacara buka panggung dan memanggil Tok Puteri.” “Kalau begitu,kita berangkat ke Balai Besar sekarang juga,”Raja Bendahara memberi titah seperti seorang sultan.”Dukun Muda,kamu boleh pergi dari sini.” Kerana Bujang tidak dijemput,dia menunggu semua pembesar keluar,baru dia bangun sambil mencapai buntilnya.Dia melihat Raja Muda,Tunku Balqis dan Wan Fatimah masih di situ bertafakur di hujung katil baginda Sultan.Dengan tidak semena-mena Tunku Balqis bangun merapatinya.”Dukun Muda,boleh kita berbicara di kamar beta?” Bujang terkejut bercampur gembira.”Kurang manis kalau dilihat orang,”dia menolak pelawaan itu.”Patik rasa di anjung lebih sesuai.” “Pergilah,Dinda,”Raja Muda tidak melarang.”Nanti Kanda minta dayang-dayang tidurkan Fatimah.”Raja Muda tersenyum penuh makna. Tunku Balqis turut senyum tanda terima kasih.”Mari,Dukun Muda.” Bujang pun dibawa ke anjung hadapan.Dari situ dapat dilihat dengan jelas upacara ‘Main Puteri’ yang dimainkan di Balai Besar.Orang ramai sudah berkerumun. “Duduklah dulu,biar beta sediakan minuman,”pelawa Tunku Balqis dengan mesra. Bujang pun duduk di sebuah kerusi panjang yang menghadap ke Balai Besar.Itulah kali pertama dia dapat menyaksikan upacara ‘Main Puteri’ yang pernah didengarnya dan dia ingin menyaksikannya sampai habis.Dilihatnya Tok Muda Pawang Di raja dan Tok Munduk sedang membaca jampi-serapah sambil membakar kemayan. Jampi-serapah pula dibaca dalam bahasa yang tidak difahami. Setelah itu,Tok Munduk mula naik semangat seperti dirasuk sesuatu. “Diam semua!”pekik Tok Muda.”Tok Puteri dah mari.” Semua yang menyaksikan upacara itu terus diam,takut dimarahi Tok Puteri yang sudah memasuki badan Tok Munduk. Tok Munduk pun menari mengikut rentak paluan gong dan gendang,sekejap meliuk-lintuk seperti putera,sekejap pula terkinja-kinja seperti orang bersilat. Bujang tercium bau harum.Rupanya Tunku Balqis sudah datang membawa dua cangkir berisi minuman,satu cangkir dihulurkan kepada Bujang.Alangkah terkejutnya Bujang bila Tunku Balqis tanpa segan-silu duduk di sebelahnya,paha mereka bergesel. “Sudah besar rupanya anak gadis Tuan Puteri,”kata Bujang pembuka bicara sebagai menutup perasaannya.”Mana ayahnya,patik tak nampak-nampuk pun?” “Fatimah cuma anak angkat beta tetapi sudah beta menganggapnya seperti anak kandung sendiri,”Tunku Balqis menjelaskan.”Kasihan,dia yatim piatu…ayahynya mati dalam peperangan,ibunya pula mati ketika melahirkannya.” “Memang menyedihkan,”Bujang teringat kenangan silam bersama Teratai. “Dukun Muda,boleh beta bertanya satu perkara?Buntil itu siapa yang memberinya?” Bujang merasa serba-salah hendak menjawab pertanyaan itu.”Errr..patik dapat……!” “Dapat dari istana ini juga,bukan?”Tunku Balqis menghabiskan ayat Bujang,kemudian menyambung lagi.”Tadi ketika Dukun Muda membuka buntil itu di bilik peraduan Paduka Ayahanda,beta ternampak dua bilah keris.Salah satunya ialah Keris Panjang Berayat anugerah Paduka Ayahanda pada seorang panglima sepuluh tahun yang lalu. Nama sebenar panglima itu ialah Tengku Alang Iskandar tetapi dia lebih suka dipanggil Bujang.Bergelar Panglima Agung.” Bujang merasa seperti sebutir peluru meriam meletup di sebelahnya. Dia tidak berani bertentang mata dengan Tunku Balqis tetapi dia tahu mata isterinya itu tidak berkelip-kelip memandang kepadanya. Dia pura-pura tertarik pada upacara ‘Main Puteri’ di Balai Besar. Namun dia tahu dia tidak boleh merahsiakan lagi perkara itu. Tiba-tiba Tunku Balqis memaut lengannya dengan penuh mesra. “Tak baik kita bersentuhan begini,Tunku”dengan lembut ditolaknya tangan Tunku Balqis.”Berdosa.Malu kalau dilihat orang lain.” “Seorang perempuan tidak berdosa menyentuh kulit suaminya yang sah,”Tunku Balqis memulangkan paku buah keras sambil memaut semula lengan Bujang.Kali ini Bujang tidak menolak.Tangan Tunku Balqis diusapnya. ‘Jadi,Balqis sudah kenal dari awal abang yang datang tadi?”tanya Bujang. “Balqis hanya menaruh syak,”Tunku Balqis merebahkan kepalanya ke bahu Bujang.”Tapi sekarang,Balqis sudah yakin Kandalah suami Balqis yang dikatakan mati itu.” “Abang tidak mati,Balqis,”Bujang membelai-belai rambut isterinya pula.”Abang diselamatkan oleh seorang nelayan di Kuala Merbok. Selepas agak sembuh,abang terus dibawa ke puncak Gunung Jerai.” “Dibawa?”tanya Balqis.”Maksud Kanda,kanda masih belum boleh berjalan?” “Bukan begitu,Balqis,”Bujang menjelaskan lagi.”Abang sendiri tidak tahu bagaimana tetapi sedar-sedar abang sudah berada di puncak Gunung Jerai.Di situlah abang menuntut ilmu beberapa tahun sebelum abang ke Mekah menunaikan haji.” “Haji?”Tunku Balqis kehairanan.”Kanda pergi ke Mekah naik kapal?” “Itu pun sukar untuk dipercayai,”Bujang terus menjelaskan.”Kalau Balqis bukan isteri abang,takkan abang ceritakan. Abang ke Mekah dalam sekelip mata dan balik pun dalam sekelip mata sahaja.” Tunku Balqis menatap wajah suaminya seperti ingin kepastian.”Selepas balik dari Mekah, abang terus kemari?” “Abang menuntut ilmu lagi sehingga genap 10 tahun,”cerita Bujang lagi.”Selama tempoh itu,abang dilarang sama sekali bercampur-gaul dengan manusia,apatah lagi hendak balik kemari.” “Kalau Kanda tidak bergaul dengan manusia,apa yang ada di sana?” “Sebenarnya banyak lagi rahsia dan khazanah Gunung Jerai yang belum dicungkil orang,” Bujang berkata lagi,”Hanya orang-orang yang arif sahaja yang mengetahuinya.” “Kalau Kanda benar-benar arif,cuba teka apa yang tersirat di hati Balqis?”tanya Tunku Balqis sambil memandang tepat ke wajah Bujang,matanya galak. “Terkilat ikan di air,sudah abang ketahui jantan-betinanya,”Bujang tersenyum lebar. “Pendayung sudah di tangan,sampan sudah di air,apa ditunggu lagi?”pandangan mata Tunku Balqis bertambah galak.”Kanda pergilah bersiram dulu,baru segar badan.” ‘”Abang sudah mandi di mesjid tadi,”beritahu Bujang pada isterinya. “Kalau begitu,Balqis akan langiri kamar dengan wangi-wangian,”Tunku Balqis bangun mencubit manja pipi Bujang.”Kanda ingat lagi kamar yang kanda tumpangi dulu?Balqis tunggu Kanda di sana.” “Dengan satu syarat,”pinta Bujang.”Jangan panggil Kanda lagi.Panggil saja abang.” “Kanda itu panggilan di kalangan kaum-kerabat di raja,”Tunku Balqis membantah syarat suaminya.”Kalau Kanda di istana,Kanda terikat dengan adat-istiadat.Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” “Abang tak biasa dengan adat-istiadat ini,”Bujang bangun mencapai buntilnya.”Kalau Balqis tidak mahu berubah,biarlah abang pergi dulu.” “Kanda!”Tunku Balqis cuba menahan tetapi Bujang berpaling dan terus pergi.Dia menangis teresak-esak. Bujang terus meninggalkan pekarangan istana tanpa menghiraukan upacara Main Puteri yang sedang berlangsung. Di luar pintu gerbang,hatinya berbelah-bagi,hendak ke kiri atau ke kanan.Dia tidak tahu keadaan di situ dan dia sendiri tidak tahu ke mana hala-tujunya selepas ini.Hajatnya untuk menatap wajah Fatimah sudah tercapai.Tetapi,dia malu pada diri sendiri kerana tarafnya tidak sama dengan taraf keluarga bangsawan.Hidupnya tidak tentu arah,tanpa tujuan.Dia juga tidak ada sebarang pekerjaan untuk memberi nafkah anak-isteri-nya.Dia perlu memilih sumber pendapatan yang menjamin masa depannya.Biarlah jadi petani,jadi nelayan,jadi apa pun asalkan rezeki yang diperolehinya halal. Dengan lafaz bismillah,dia memilih jalan di sebelah kanan dan terus mengorak langkah.Dalam kegelapan malam itu,dia berjalan mengikut gerak-rasanya tanpa sebarang panduan.Dia mengikut sahaja ke mana kakinya melangkah. Sekali-sekala dia tersepak tunggul. Selepas pandangan matanya dapat menyesuaikan diri dengan suasana di persekitaran, barulah nampak samar-samar lorong dan denai yang dilaluinya.Dia berjalan dan terus berjalan.Bunyi gendang,gong,serunai dan lain-lain peralatan “Main puteri” tidak kedengaran lagi.Istana Kota Naga semakin jauh. Menjelang larut malam ketika Bujang melalui kawasan hutan,tiba-tiba sekumpulan lembaga hitam menghalangnya di tengah jalan.Dari topeng yang dipakai,nyatalah mereka adalah kumpulan perompak yang sama yang ditemuinya senja tadi.Dia cuba mencari-cari ketua perompak yang besar-tinggi itu tetapi tidak kelihatan. “Nak ke mana ni?”sergah seorang perompak yang kurus melidi. “Ke hadapan,”balas Bujang ringkas. “Oh..,cakap pandai,ya?”marah perompak itu. “Eh,kau jalan seorang diri malam-malam begini,tak takut kah?”tanya perompak lain pula. “Apa yang nak ditakutkan?”balas Bujang selamba. “Manalah tahu,ada hantu kah,perompak kah,”rakannya menokok-tambah. “Hantu atau perompak,hamba tak gentar,”ujar Bujang sambil menunjukkan keris panjang, “Eh,kawan-kawan,”seorang perompak lain mencelah.”Dialah yang kita tahan tadi dengan orang cina tu.Katanya,dia Panglima Agung.” “Memang hamba bergelar Panglima Agung,”Bujang menghunus keris panjangnya. Melihat keris itu,mereka semua diam membisu. “Maaflah,Panglima,”perompak kurus melidi akhirnya bersuara memohon.”Kami tak tahu Panglima ada di sini.Panglima hendak ke mana?” Melihat kumpulan perompak itu berlembut,Bujang menyarungkan kerisnys. “Hamba sebenarnya sedang mencari tempat yang sesuai untuk bertapa,”katanya. “Kalau nak bertapa,pergilah ke Bukit Keplu,”cadang seorang perompak. “Jauhkah tempat itu dari sini?”tanya Bujang,hatinya berminat. “Kalau berjalan kaki,jauh juga,besok pagi baru sampai,”jawab perompak itu. “Hamba pergi dulu,”pinta Bujang.”Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”jawab mereka beramai-ramai sambil sahaja Bujang bergegas pergi. “Ke mana agaknya arah-tujuan Panglima Agung?” “Katanya nak ke Bukit Keplu.” “Aku percaya dia hendak ke tempat lain.” “Merbahaya berjalan malam.Ada ular,kala jengking,babi hutan.Kalau bukan perkara penting,takkan dia berani mengharungi semua itu.” “Elok kita adukan perkara ini kepada ketua kita,”salah seorang dari mereka menyarankan. Mereka segera menghilangkan diri di dalam kegelapan itu. Menjelang dinihari,Bujang ternampak samar-samar sebuah bukit yang kelihatan seperti sebuah kapal terbalik,tersergam di kelilingi hutan kecil dan perkampungan.Untuk ke sana, dia terpaksa melalui sawah-padi yang luas terbentang saujana mata memandang. Barangkali itulah Bukit Keplu seperti yang diceritakan oleh perompak tadi. Dia pun berjalan mengikut batas bendang menuju ke sana sambil menggalas buntilnya. Di kiri-kanannya,sawah dipenuhi air kerana padi belum ditanam.Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran, sekali-sekala diselang-seli dengan bunyi burung tukang.Dia berjalan terus. Ketika fajar sudah menyingsing,sampailah Bujang di kaki bukit.Kedengaran bunyi air mengalir,tandanya ada anak sungai berhampiran.Dia terus mencari anak sungai itu sehingga berjumpa.Dia ternampak sebuah gua dari mana anak sungai itu mengalir.Setelah diperiksa dengan teliti,dia mendapati lantai gua itu keras seperti batu,hampir rata dan sesuai dijadikan tempat sembahyang.Dia pun memilih tempat itu buat sementara waktu.Cerah nanti akan dicari tempat lain yang lebih sesuai.Di situ dia mandi membersihkan diri dan di situ juga dia menunaikan sembahyang subuh seorang diri.Perutnya terasa lapar tetapi ditahannya juga. Bila hari sudah terang-terang tanah,dia mengelilingi kaki bukit itu,meninjau dan mencari kawasan yang sesuai.Kadangkala dia terpaksa memanjat batu besar atau berpaut pada akar kayu yang berjuntai untuk tiba di tempat tujuan.Buah-buah hutan yang ditemuinya dimakan sebagai pengalas perut.Memang di sekitar kaki bukit itu terdapat beberapa buah kampung kecil tetapi dia lebih suka memilih tempat terpencil untuk bertafakur mencari ketenangan jiwa,Dia seperti anak ayam kehilangan ibu.Dia perlu memohon mendapat pertunjuk dari Allah.Gua-gua di situ juga banyak tetapi tiada bekalan air dan penuh dengan tahi kelawar. Akhirnya,setelah puas berpusing-pusing di kawasan itu,menjelang tengah hari dia kembali ke tempat permulaan tadi.Dirasanya tempat itu paling sesuai.Terlindung dari hujan atau panas,Bekalan air yang tidak putus-putus.Buah-buah hutan banyak kedapatan.Ikan juga banyak di kawasan lubuk yang bersempadan dengan sawah padi.Pendek kata,dia tidak akan mati kebuluran jika tinggal di sini.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Narrativa StoricaMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...