Bab 10

382 13 0
                                    

Bujang Berusia 28 tahun ketika kembali ke Kota Kuala Kedah. Tembok batu berdiri megah di kuala sungai. Di utara kota itu sebatang anak sungai telah dikorek hingga tembus ke Sungai Kubang Rotan. Di atas tembok batu itu ditempatkan berpuluh-puluh laras meriam tembaga, muncungnya yang gagah dihala ke arah laut sebagai pengawal setia kapal-kapal dagang yang singgah di perairan itu.Di dalam kota yang kukuh itu terdapat balai penghadapan tempat menerima tetamu kehormat,gedung senjata,balai pengawal,balai cukai,balai tetamu serta rumah-rumah penginapan. Di hadapan balai pengawal terpacak bendera warna hijau-putih-merah lambang Kompeni Belanda yang berkibar megah,kedudukannya lebih tinggi daripada bendera Negeri Kedah Darul-Aman. Berpuluh-puluh orang pengawal yang bersenjata api sentiasa menjaga pergerakan keluar-masuk di pintu kuala itu.Sampan dan tongkang diperiksa dengan teliti.Pintu gerbang kota itu pula dikawal oleh dua orang pengawal berwajah bengis,lengkap dengan keris,pedang dan lembing.Manakala di dalam kota itu beratus-ratus orang pengawal lagi ditempatkan dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa.Di dalam kota itu juga,pengawal-pengawal yang tidak bertugas bermain sepak raga,berlatih silat atau berbual-bual kosong sambil main dam. "Sepuluh tahun dulu,kota ini bukan begini,"cerita seorang pemain dam kepada rakan-rakannya yang sedang berkerumun."Tapi,sejak Datuk Maharaja Kadzi membaikinya atas perintah Sultan,kita tak perlu takut pada sesiapa pun.Kita dah berkawan dengan Belanda." Rakan-rakannya hanya mencebik mendengar cerita yang berkali-kali mereka dengar. "Eh,Dali,"katanya pada seorang pengawal berusia 40-an."Aku dengar kau juga ada bersama Sultan ketika Kuala Kedah jatuh ke tangan Belanda dulu." "Betul tu,"balas Dali dengan bangga."Kalau tak percaya,tanyalah Bachok,Semaun dan ramai lagi.Kami sama-sama berundur dari istana Kota Naga kemari." "Tapi sekarang,istana tu dah jadi hutan,"sampuk seorang pengawal,disambut dengan gelak-ketawa oleh pengawal-pengawal lain. "Tidak juga,"Dali menafikan."Aku dengar istana itu sedang dibaiki semula buat dijadikan tempat Sultan bersemayam. Khabarnya dah hampir siap pun." "Itu pun dengan bantuan Kompeni Belanda dan kuasa luar,"celah pemain dam."Tengok sahaja bulan lepas,enam pucuk meriam itu Belanda yang hadiahkan.Sekarang kita guna duit Belanda.Kita tak guna lagi kupang,jembal dan rial. Betul tak,Dali?" Dali yang ditanya itu tidak menjawab,sebaliknya memerhati dengan teliti ke kuala sungai. "Apa kau tengok tu,Dali?tanya seorang pengawal di sebelahnya kehairanan. "Lelaki tu,"Dali menuding ke arah sebuah sampan."Lelaki berjambang yang sedang berdayung masuk ke pintu kuala. Rasanya macam aku kenal." "Entah benggali mana,kau kata kau kenal,"sindir seorang pengawal lain.Gelak-ketawa pecah berderai.Dali tidak pedulikan gelagat mereka.Dia terus menuruni tangga batu menuju ke pintu gerbang.Dari pintu gerbang yang dikawal dua pendekar bengis,dia memerhati gerak-geri lelaki berjambang itu. Lelaki yang menarik perhatian Dali itu menambat sampannya pada tiang penambang. Kemudian,dia melompat ke darat sambil menjinjing sebuah buntil yang sudah lusuh. Dia mula memanjat tangga batu yang membawa ke pintu gerbang.Wajahnya kelihatan bengis dan garang. Misai yang tebal dan rambut yang panjang melepasi bahu menambahkan lagi sifat bengis dan garangnya. Namun,matanya tampak tenang. Tenang dan jernih. Di atas tangga di hadapan pintu gerbang,dia ditahan dengan kasar oleh dua pengawal yang tidak pernah senyum itu. " Mahu ke mana?"tanya salah seorang pengawal itu,lembingnya diacu. "Ke dalam kota,"ujar lelaki itu ringkas,acuh tak acuh. "Apa urusan kau?"jerkah pengawal yang kedua pula,memerhati lelaki itu dari atas ke bawah,terutama pakaian lusuh yang tidak tentu warna lagi. "Hamba dengar penghulu di sini bernama Perkasa,"sepatah sepatah lelaki itu meluahkan kata-kata."Wan Perkasa." "Kau ada surat kebenaran?"tanya pengawal pertama pula. "Surat kebenaran?"lelaki itu kelihatan bingung. "Datuk Perkasa hanya berkuasa ke atas orang-orang Melayu di sini,"pengawal yang kedua pula bersyarah."Orang asing dan orang luar macam kau ni mesti ada surat dari Tuan Joan Truijtman." "Siapa gerangan Tuan Joan ini?"tanya lelaki itu dengan tenang. "Kau datang dari mana,hah?Dari hutan?"jerkah pengawal pertama pula."Tuan Joan tu wakil Kompeni Belanda dan juga Syahbandar di sini,tahu?" "Maafkanlah,"lelaki itu merendah diri."Hamba orang hutan tidak tahu-menahu tentang perkara ini." "Baik,"pengawal kedua memberikan syarat."Kalau tak ada surat kebenaran dari Tuan Joan,kau kena bayar wang." "Wang?"lelaki itu tertawa kecil."Sekupang pun hamba tiada." "Eh,kami tak main kupang-kupang,tau,"pengawal yang meminta wang itu menyindir pedas."Sekarang kami guna wang Belanda yang dipanggil florins.Memang betullah kau ni datang dari hutan. Sekarang,lebih baik kau pergi dari sini." "Pergi lekas,"rakannya pula mengacah dengan lembing. Dali yang mendengar perbualan sejak dari awal lagi segera menahan. "Tunggu,Seman,"Dali memegang tangan pengawal yang mengacah lembing itu."Kau juga,Badek.Biar aku uruskan lelaki ini." "Biar aku periksa apa yang dibawanya,"Badek merampas buntil dari tangan lelaki itu. Ikatan buntil itu dibuka."Apa ni?"Badek mengeluarkan sebilah keris panjang berhulu dan bersarung hitam."Ada lambang kerajaan Negeri Kedah." "Biar aku tengok,"Dali mengambil keris itu dari tangan Badek lalu membeleknya dengan teliti."Keris Panjang Berayat. Juga dikenali sebagai Keris Hitam Bersepuh Emas. Keris ini bukan sebarang keris tetapi pakaian rasmi seorang panglima raja."Dali memandang tepat ke wajah lelaki itu."Dari mana kau mendapatnya?" "Anugerah Sultan Rijaluddin,"ujar lelaki itu."Sepuluh tahun yang silam." "Sepuluh tahun...?" "Ini apa pula?"pengawal itu mengeluarkan pula sebilah keris pendek berhulu dan bersarung gading yang berhias batu permata."Anugerah Sultan juga?" "Tidak,"ujar lelaki itu dengan tenang."Itu keris pusaka,hamba warisi dari ibu hamba. Dalam buntil itu juga terdapat sepasang persalinan lengkap seorang panglima." "Panglima?"mata Dali terbeliak."Jadi,tuan hamba ini...?" "Nama hamba Bujang,"lelaki berjambang itu memperkenalkan diri. "Bujang?Yang bergelar Panglima Agung?"lekas-lekas Dali mengambil kedua-dua bilah keris itu lalu disimpan semula dalam buntil,buntil itu cepat-cepat pula dikembalikan kepada lelaki bernama Bujang,"Seman,Badek,kalau kau tak mahu mencium tanah,lebih baik kau melutut minta maaf pada lelaki yang kau pandang hina ini." Seman dan Badek hanya terkebil-kebil,samada hendak percaya atau tidak. "Ramai orang mengatakan Panglima terbunuh di tangan Belanda,"Dali mula membuka cerita lama."Bagaimana Panglima boleh terselamat?Ke mana Panglima pergi selama ini?" "Panjang ceritanya,Dali,"Bujang menggalas buntilnya."Lain kali sahaja hamba ceritakan. Sekarang,boleh hamba menemui adik ipar hamba Datuk Perkasa?" "Tentu sekali boleh,Panglima,"Dali tidak melarang."Rumah Datuk Perkasa yang besar sekali,dekat deretan kedai.Kalau tak silap hamba,rumah itu dibina di atas tapak asal rumah arwah ayahnya." "Terima kasih,Dali,"Bujang menepuk bahu bekas rakan perjuangannya itu.Tanpa meng-hiraukan kedua-dua pengawal yang sombong itu,dia terus masuk ke dalam kota. "Kami mesti beritahu Tuan Joan,"kata Seman pada Dali.Badek angguk kepalanya. "Kau nak beritahu,pergilah.Aku tak nak mencari geruh dengan Panglima Agung ayam tambatan Sultan,"balas Dali bersungguh-sungguh lalu meninggalkan mereka berdua. Selepas meninggalkan bangunan kota itu dan masuk ke kawasan perkampungan,Bujang tercengang-cengang seperti rusa masuk kampung. Kawasan perkampungan itu sudah banyak berubah.Rumah-rumah lama yang habis dibakar Belanda dulu sudah diganti dengan rumah-rumah baru yang lebih besar dan lebih kecil. Tapak rumah tempat dia dibesarkan juga sudah jadi milik orang lain. Surau yang runtuh terkena bedilan meriam sudah diganti dengan sebuah mesjid bertiang tinggi yang lebih besar dan lebih luas.Sawah bendang milik ayahnya dulu sudah diratakan,dijadikan tapak berdirinya deretan kedai.Dan,yang paling menyedihkan ialah anak sungai dengan airnya yang dingin lagi jernih tempat dia dan Teratai bermadu kasih dulu sudah dikorek dan diperbesarkan menjadi sebatang sungai di mana dibina sebuah jambatan kayu.Teratai...! Bujang segera mencari rumah Datuk Perkasa.Rumah yang dimaksudkan oleh Dali itu terletak di tepi sungai,diperbuat daripada kayu,tersergam indah dengan empat anjung serta bumbungnya atap genting merah.Hatinya melonjak gembira bila terpandang seorang lelaki gemuk sedang mendukung anak di halaman rumah.Memang tidak salah lagi lelaki itu ialah Perkasa adik iparnya dan teman sepermainannya dulu. "Assalamualaikum,"Bujang memberi salam dari hujung halaman sambil tersenyum. "Waalaikumussalam,"Perkasa berpaling memandang Bujang,dahinya berkerut seolah-olah tidak mengenali Bujang.Ketika Perkasa masih terpinga-pinga,Bujang menghampirinya dengan senyuman yang tak lekang di bibir. "Kamu ni siapa?"tanya Perkasa kehairanan."Nak jumpa Datuk,ya?" "Tidak,"Bujang menjawab tenang."Aku datang nak berjumpa dengan isteriku Teratai." "Teratai?"Perkasa terkejut,nyaris-nyaris anaknya terlepas dari dukungan."Jadi....?" "Ya,Perkasa,"ujar Bujang."Akulah Bujang,suami Teratai,abang iparmu." "Bujang?"Perkasa hendak memeluk Bujang tetapi anaknya menjadi gangguan.Lalu dia hanya menghulurkan tangan bersalam dengan Bujang."Abang Bujang." "Kekok rasanya kau memanggilku abang,"tegur Bujang."Kita 'kan sebaya." "Kau kahwin dengan kakak aku, mestilah aku panggil kau abang,"bidas Perkasa."Aku pun dah kahwin,tau.Dah ada dua anak pun.Tijah!Oh Tijah!"Perkasa memanggil isterinya keluar dari rumah."Hah,itulah isteriku Tijah.Tijah,inilah abang ipar kita Bujang." "Oh,ini Abang Bujang,ya?"Tijah mengambil anaknya dari dukungan suaminya."Abang Bujang yang dikatakan mati terbunuh sepuluh tahun yang lalu?" "Umur abang masih dipanjangkan Allah,Tijah,"Bujang menjelaskan. "Kau naiklah dulu,Bujang,"pelawa Perkasa."Bersihkan badan,tukar pakaian,berihat. Aku ada perkara penting dengan Tuan Joan pagi ini." Bujang meraba jambangnya yang tidak terurus,"Kau ada pisau cukur?" "Pisau cukur tak ada,"jawab Perkasa."Tapi,kalau kau nak bercukur atau gunting rambut, kedai gunting ada di sana." "Aku manalah ada wang,"keluh Bujang."Dah 10 tahun aku tak melihat wang." Perkasa menyeluk saku bajunya dan mengeluarkan sebuah uncang kecil berisi wang. Diberinya separuh wang itu kepada Bujang,separuh lagi disimpannya."Kau pergilah gunting rambut dan bercukur.Pakaian kau pun elok diganti,beli yang baru." "Terima kasih,Perkasa,"Bujang mengucapkan."Aku pun tak mahu Teratai melihat keadaan diriku begini." Perkasa dan Tijah saling pandang-memandang,"Aku pergi dulu,Bujang.,"Perkasa tergesa-gesa minta diri dan segera beredar pergi. Gelagat Perkasa dan isterinya menimbulkan teka-teki pada Bujang. Baru Bujang membuka mulut hendak bertanya pada Tijah,Tijah pula mendukung anaknya naik ke atas rumah. Bujang rasa tidak sedap hati.Teringat wang yang baru diberikan oleh Perkasa,dia segera menuju ke kedai. Pulang dari rumah Tuan Joan tengah hari itu,Perkasa tercengang melihat Bujang yang sedang berihat di atas buaian di bawah rumah.Bujang sudah berwajah baru.Rambutnya sudah digunting pendek,jambang dan janggutrnya dicukur licin,misainya dirapikan.Pakaiannya juga pakaian baru yang dipakai oleh kebanyakan orang muda di zaman itu.Hanya keris panjang dan keris pendek yang tersisip di pinggang membezakannya dari orang muda lain. "Kau tak berubah langsung,Bujang,"tegur Perkasa memuji Bujang. "Siapa kata aku tak berubah,"bantah Bujang."Usiaku sudah 28 tahun." "Sepuluh tahun lamanya,"Perkasa terkenang peristiwa lalu."Sejak kau menyelamatkan aku dari kapal itu,kita tak berjumpa lagi.Ramai orang mengatakan kau turut sama terkorban dalam peperangan itu.Ke mana kau menghilang selama ini?" "Aku mengembara sambil menuntut ilmu,"jawab Bujang ringkas tanpa menjelaskan perkara itu selanjutnya."Sekarang,boleh kau bawa aku berjumpa Teratai?" "Teratai?"wajah Perkasa berubah."Eh,kalau ya pun buat apa tergesa-gesa. Jemput makan dulu." "Aku sudah makan di kedai tadi,"Bujang menolak jemputan Perkasa."Sekarang,tunjukkan padaku di mana rumah Teratai." Buat beberapa ketika mereka bertentang mata.Akhirnya Perkasa yang mengalah. "Baiklah,Bujang,"suara Perkasa mengendur."Mari ikut aku." Perkasa pun membawa Bujang ke belakang rumah di mana terdapat satu pusara lama tetapi masih dijaga rapi."Inilah rumah Teratai,"kata Perkasa menahan tangisnya.Teratai kakakku dan isterimu." "Teratai sudah berpulang?Innalillahiwainnailaihrajiun....,"Bujang terus merebahkan badan berlutut di tepi pusara isterinya itu,wajahnya menekur bumi. Perkasa berpaling ke arah lain sambil mengesat air matanya,tidak sanggup melihat keadaan Bujang begitu.Kata-kata Teratai sepuluh tahun yang lalu terngiang-ngiang di cuping telinganya. - "Tataplah wajah Teratai lama-lama.Pandanglah Teratai puas-puas" - - "Entahlah,abang.Teratai rasa seolah-olah kita tidak akan berjumpa lagi selepas ini."- - "Kata orang,hidup tunangnya mati." - -" Teratai tetap sayang pada abang dari dunia hingga akhirat." - "Abang juga sayang pada Teratai dari dunia sampai akhirat,"ujar Bujang perlahan. Perkasa terkejut mendengar Bujang bercakap seorang diri.Dia pun berpaling memegang bahu Bujang dengan lembut,"Sabarlah,Bujang." Bujang bangun perlahan-lahan,matanya masih terpaku pada pusara itu. "Apa sakitnya?"tanya Bujang,suaranya agak parau " Dia mati bersalin,"Perkasa menerangkan perkara yang sebenarnya. "Mati bersalin?"Bujang memaling mukanya ke arah Perkasa,matanya masih berair."Jadi, maknanya,aku ada anak." "Ya,Bujang,"Perkasa tumpang tersenyum."Kau ada seorang anak perempuan. Mukanya sebiji macam arwah ibunya." "Di mana anakku sekarang?Aku ingin menatap wajahnya,"gesa Bujang,tidak sabar lagi. Perkasa terdiam sejenak sebelum menjawab,"Dia diambil dan dipelihara oleh Tunku Balqis sejak masih merah lagi.Namanya Wan Fatimah.Ada di istana Kota Naga sekarang." "Bukankah istana Kota Naga sudah musnah?"tanya Bujang. "Memang musnah dalam peperangan dengan Belanda dulu tetapi dibaiki semula." "Aku mesti ke sana,Perkasa,"Bujang menyatakan hasratnya. "Duduklah di sini dulu semalam-dua,"Perkasa cuba memujuk abang iparnya. "Aku terpaksa pergi,Perkasa,"Bujang tetap menolak."Pergi berjumpa anakku,agar terubat rinduku selama ini." Perkasa faham benar perangai Bujang,kemahuannya tidak boleh ditahan lagi. "Baiklah,"Perkasa mengalah lagi." Kau pergi jumpa Taukeh Wong dekat pekan sana.Kulinya mungkin nak ke Petani.Ketua kuli itu dipanggil Taiko.Ini wangnya,Bujang." "Tak apalah,Perkasa,"Bujang menolak pemberian itu."Wang tadi masih ada." "Ambillah,"Perkasa berkeras juga."Kau perlukan modal untuk memulakan hidup baru. Apa gunanya aku jadi adik iparmu kalau kau tidak kubantu." "Terima kasih sekali lagi,Perkasa,"Bujang terpaksa menerima pemberian itu."Oh ya,nasib Teratai dan Balqis sudah kuketahui.Bagaimana dengan Kuntum?" "Kuntum?"mulut Perkasa melopong. "Kuntum yang kau tergila-gilakan dulu,"Bujang mengingatkan Perkasa, "Oh Kuntum itu,"balas Perkasa sambil tersenyum."Dia sekeluarga sudah balik ke Batu Sawar,Johor..Pak Guru Jalil pun sudah jadi Orang Kaya Temenggung." Bujang termenung sejenak,cuba membayangkan keadaan isterinya Kuntum dan bapa mertuanya yang sudah sepuluh tahun tidak dilihatnya.Begitu juga dengan Tunku Balqis. "Kalau begitu,aku pergi dulu,Perkasa,"Bujang minta diri sambil bersalam dengan adik iparnya."Kirim salam pada isterimu Tijah." Ketua kuli yang dipanggil Taiko itu sedang memeriksa roda kereta lembunya di belakang kedai tengah hari itu apabila dia ditegur dari belakang."Lu Taiko Chin kah?" Taiko itu segera berpaling ke belakang,hendak ditengkingnya orang yang berani memanggil namanya begitu.Demi terpandang wajah Bujang dengan dua bilah keris tersisip di pinggang,dia tidak jadi marah."Haiya,jangan panggil wa itu macam." "Habis nak panggil apa?"Bujang kehairanan. "Wa punya nama Lim Kin Chin,"ketua kuli itu menerangkan dengan lenggok bahasa yang lintang-pukang."Panggil Ah Lim atau Ah Chin. Jangan panggil Taiko." "Kenapa pula tak boleh panggil Taiko?"Bujang bertambah hairan. " Taiko Chin bunyinya macam Taik Kucing,"jelas Ah Lim. Bujang ketawa mendengar penjelasan itu,kemudian berkata,"Hamba dengar lu kerap pergi ke Petani membeli beras untuk Taukeh Wong." "Haiya,wa sudah cukup olang,beras pun sudah banyak,"Ah Lim."Lu mau beli beras,lain kali bolehlah." "Hamba bukan hendak membeli beras,"Bujang menjawab."Hamba cuma ingin tumpang kereta lembu sampai ke istana Kota Naga.Ini wangnya." "Itu macam kah?Ho ho,lu boleh ikut wa,"Ah Lim bersetuju."Lu tak payah kasi lui. Taukeh Wong sudah kasi lui sama wa. Sikit jam kita jalan." "Baiklah,"balas Bujang."Hamba tunggu di masjid." "Ho ho,"sahut Ah Lim dengan ramah."Wa pergi angkat lu." Ah Lim memandang penuh minat ketika Bujang beredar pergi. Ada sesuatu pada diri Bujang yang membuat Ah Lim segera tertarik padanya walaupun baru pertama kali berjumpa.Keris yang dipakainya juga bukan sebarangan tetapi keris milik hulubalang dari istana. Petang itu tepat seperti yang dijanjikan,Ah Lim pun mengambil Bujang di masjid dengan kereta lembu. Oleh kerana tempat duduk hadapan hanya muat untuk seorang,Bujang terpaksa duduk di atas guni beras di belakang. Dia duduk bersandar pada dinding papan dan membiarkan sahaja Ah Lim mengendalikan dua ekor lembu penarik itu dengan menggunakan cemeti.Semasa terhentak-hentak di atas kereta lembu itu,ingatannya kembali kepada Kundang,Bachok,Semaun,Damak,Jerjaka dan ramai lagi rakan-rakannya yang turut sama berganding bahu mempertahankan Kuala Kedah sepuluh tahun yang lalu. Di manakah mereka?Apakah mereka masih hidup atau sudah mati?Kalau masih hidup,di mana kampung-halaman mereka dan kalau sudah mati di mana perkuburan mereka? Soalan itu berlegar-legar dalam kotak fikirannya. Dia teringat pada iserinya Kuntum yang telah kembali ke Ujung Tanah bersama ibu dan bapanya.Kuntum sekarang sudah berusia 22 tahun. Tentu Kuntum telah bertukar dari seorang gadis sunti yang masih kebudak-budakan menjadi seorang perempuan muda yang cantik jelita lagi ayu dipandang.Sepasang lesung pipit di pipinya serta sebutir tahi lalat di sudut bibirnya pasti menambahkan lagi keayuanya. Bila teringatkan Kuntum,Bujang teringat pula pada Balqis kerana mereka sebaya. Balqis pun sudah tentu menjadi seorang puteri raja yang jelitawan,tidak angkuh lagi seperti dulu. Dia semacam tidak percaya turun sahaja dari puncak Gunung Jerai,dia sudah memilki dua orang isteri. Tiga,jika dicampur dengan arwah Teratai. Macam bermimpi pula bila mendapat tahu dia mempunyai seorang anak gadis.Wan Fatimah diberi nama.Wajahnya persis wajah arwah ibunya.Tentu sekarang usianya lebih-kurang 9 tahun,bertaucang dua dan suka berlari-lari di halaman rumah seperti budak laki-laki. Bujang tersenyum sendirian dalam tidurnya. Bila Bujang terjaga,kereta lembu tidak lagi bergerak. Dia hampir tidak percaya apabila melihat hari sudah gelap,bulan mengambang penuh di langit yang bertaburan jutaan bintang. Rasanya dia hanya tertidur sekejap sahaja. Dia menoleh ke arah Ah Lim yang masih membatu di atas tempat duduk hadapan."Kenapa tak kejutkan hamba?"rungutnya pada Taiko cina itu."Hamba nak sembahyang." "Sembahyang?"tanya Ah Lim tanpa melihat ke belakang. "Ya,sembahyang,"Bujang menjelaskan."Kami orang Islam wajib bersembahyang lima kali sehari-semalam.Tiga kali kalau sedang mengembara."Tiba-tiba Bujang menyedari sesuatu yang tidak kena."Kenapa kita berhenti?" "Wa rasa depan sana ada perompak,"jawab Ah Lim sambil mengeluarkan sebilah pedang besar dari bawah tempat duduknya. "Mana lu angkat pedang itu?"tanya Bujang sambil bangun. "Wa bawa dari Tiongkok,"balas Ah Lim ringkas sambil memutar-mutar pedang itu. "Dengan pedang itu,jangan kata manusia,gajah pun boleh mati,"Bujang bergurau. Gurauan itu disambut dengan ketawa kecil oleh Ah Lim."Lu pendekar kah?" "Bolehlah setakat menepis dan mengelak,"Bujang merendah diri. "Ho ho,kita jalan sekarang,"Ah Lim membuat keputusan sambil memukul cemeti supaya lembu bergerak."Kalau ada perompak,lu mesti bantu sama wa. Itu perompak banyak jahat, suka bunuh orang,suka rampas harta-benda orang." Bujang hanya mengangguk.Diam-diam disimpannya dua bilah keris yang dipakainya itu di dalam buntil.Kerambit yang tersorok di belakang ditarik ke hadapan supaya mudah diguna-kan.Baru tidak sampai sepelaung kereta lembu itu bergerak,tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng mengepung mereka dari semua arah dengan senjata yang tajam berkilat di tangan masing-masing. "Haiya!"Ah Lim menyambar hulu pedangnya. "Jangan cuba melawan!"seorang perompak yang besar-tinggi mengacu parang ladingnya ke leher Ah Lim."Serahkan semua wang dan hartamu!Lekas!" "Wa mana ada banyak duit,"Ah Lim cuba berdolak-dalik."Barang pun tak ada." "Lu jangan cuba bohong,"perompak besar-tinggi yang melantik dirinya sebagai ketua itu memberi amaran."Kami tahu kereta lembu ini milik Taukeh Wong.Dia selalu ke Petani membeli beras.Dia ada banyak wang.Serahkan semua wang itu kepada kami." "Itu Taukeh Wong yang kaya,"Ah Lim masih enggan."Wa jadi kuli,maa." "Jangan cuba menegakkan benang basah,"suara ketua perompak itu mula naik."Serahkan semua yang ada.Jika tidak,sayang jiwamu melayang dengan sia-sia!" "Wa tak boleh kasi,"Ah Lim tetap berkeras."Wa dibayar upah jaga ini wang semua." "Biadap!" ketua perompak itu mengangkat parang ladingnya. "Tuan hamba,"Bujang menahan dengan menepis tangan ketua perompak itu.."Kami orang miskin.Kalau nak rompak,rompaklah orang kaya." Ketua perompak itu terpegun mendengar suara Bujang.Beberapa orang rakan-rakannya berhampiran saling pandang-memandang tanpa berkata sepatah pun.Namun begitu, dua-tiga orang lagi naik darah melihat tindakan Bujang terhadap ketua mereka. "Kurang ajar!"kedua-dua perompak itu menyerbu hendak menetak Bujang. "Tunggu!"Ketua perompak itu menahan mereka yang panas baran itu,kemudian cuba mengamati wajah Bujang di bawah cahaya bulan mengambang itu."Handal juga kau,ya? Apa urusan kau di tengah hutan begini?" "Hamba hendak ke Kota Naga,"ujar Buujang tenang."Berjumpa anak hamba." "Anak kau?"desak ketua perompak itu."Siapa namanya?" "Wan Fatimah nama diberi,dijaga oleh Tuan Puteri,"jawab Bujang. Sekali lagi ketua perompak itu mengamati wajah Bujang dengan teliti.Bujang juga cuba meneka wajah di sebalik topeng hitam itu."Siapa namamu.orang muda?" "Nama hamba Bujang...." " Bujang yang bergelar Panglima Agung?"Ketua perompak itu mencelah. "Benar,"Bujang mengaku."Itulah gelaran yang dianugerahkan baginda Sultan." "Jangan cuba menjual nama orang lain,"suara ketua perompak itu meninggi."Kami kenal siapa Panglima Agung. Dia turut bersama kami berperang di Kuala Kedah.Sayang sekali,dia mati dibunuh Belanda." " Belum ajal berpantang maut,"tegas Bujang."Membujur lalu melintang patah." Sekali lagi ketua perompak itu merenung tajam ke arah Bujang."Sesiapa sahaja boleh menyamar menjadi orang lain.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now