Keadaan di dalam kamar tidur itu harum semerbak,lampu sudah dimalapkan. Melihat isterinya duduk berjuntai kaki di atas katil dengan gaya mempesonakan,adarah mudanya terangsang. Mahu dogomol isterinya pada saat itu juga. Namun,dia menarik nafas dalam-dalam menahan gelora nafsunya. Untuk menyembunyikan perasaannya,dia berpaling kea rah lain sambil menanggalkan bajunya. “Inilah saat yang ditunggu-tunggu,”Mayang Sari bersuara lunak penuh bermakna.”Lakukanlah tanggung-jawab abang sebagai seorang suami.” “Tiada pantang-larang?Tiada batas-sempadan?”sindir Bujang,menyarungkan kain ke badan. “Tidak,”Mayang Sari bangun memeluk Bujang dari belakang.”Saat inilah yang dinanti-nantikan, siang jadi igauan,malam jadi impian.Marilah kita bercengkarama,ibarat kumbang dengan bunga.” “Mari,”Bujang terus menarik tangan Mayang Sari lalu merebahkannya ke tilam yang empuk itu. Dinihari Jumaat 2 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 24 November 1652 Masehi,menyeru Bujang sujud mengerjakan sunat tahajud meskipun badannya letih kerana kekurangan tidur. Mayang Sari turut bertahajud bersamanya,badan masing-masing segar selepas mandi membersihkan badan. Bila fajar sidiq menjelma,mereka berjemaah subuh pula. Tatkala mentari muncul di ufuk timur,Bujang sudah pun siap menyearungkan persalinan lengkap seorang panglima anugerah dari almarhum mertuanya Sultan Kedah,kedua bilah kerisnya tersisip kukuh di celah bengkung. “Pakailah baju layang itu,”Mayang Sari menyarankan sambil menghidangkan sarapan di atas meja.”Mungkin ada kebaikannya.” “Baju antakusuma ini?”Bujang membelek baju pemberian Sunan Kalijogo itu seketika sebelum memakainya.”Mayang kenal baju ini?” “Baju perang pakaian para wali,”Mayang Sari menghulurkan secangkir minuman kepada suaminya.”Mayang tahu abang masih keletihan. Minumlah ini,semoga kembali segar.” Bujang pun minum seperti yang dipinta.”Manis rasanya seperti madu.” “Memang air madu,”Mayang turut sama minum.”Madu bercampur ubat-ubatan dari Nabi Sulaiman,turut diamalkan oleh maharaja cina yang memiliki seribu gundik.” “Oh begitu,”Bujang tersenyum,terbayangkan malam pertamanya dengan Ratna yang bakal dilalui tidak lama lagi.”Jemputlah ke majlis perkahwian abang dengan Ratna.” “InsyaAllah,”Mayang Sari menghulurkan sepotong kueh pada suaminya.”Supaya tidak timbul fitnah dan menjadi buah mulut orang,Mayang akan hadir secara ghaib tanpa dilihat sesiapa. Kalau abang ternampak Mayang,jangan ditegur.” “Baiklah,”Bujang berjanji.Dia terpandang sesuatu di atas katil.”Bungkusan apa itu?” “Pakaian Mayang semalam,”jawab Mayang ringkas. “Buat apa dibungkus?Mengapa tidak dibasuh terlebih dahulu?” tanya Bujang kehairanan. “Pakaian itu akan dipersembahkan kepada ayahanda,”Mayang Sari menerangkan dengan lebih lanjut.”Sebagai bukti Mayang belum disentuh oleh mana-mana lelaki sebelum ini.Seperti manusia, kami juga amat menitik-beratkan keperawanan seseorang gadis.” Bujang tersenyum,terkenangkan syarat yang sama diamalkan oleh Ratna sekeluarga. “Benar,abang,”Mayang Sari turut sama tersenyum.Bujang tidak terkejut mengetahui kebolehan Mayang Sari membaca isi hatinya.Itulah anugerah Allah kepada golongan seperti mereka. “Elok abang bertolak sekarang sementara hari belum panas,”Bujang minta diri. “Pergilah,abang.”Mayang Sari bangun mencium tangan suaminya.”Mayang akan menyusul kemudian.Selamat pengantin baru.Hati-hati ketika mandi di tasik.” “Terima kasih dan insyaAllah,”balas Bujang mengucup dahi isterinya penuh syahdu. Setelah membetulkan kedudukan kerisnya,Bujang pun melangkah keluar dari kamarnya. Di atas geladak,anak buahnya yang ingin turut serta sudah lama menunggu.Yaakub Lim, Panglima Kahar dan Aria Wulon segera tampil mendapatkan Bujang sambil menyusun sembah. Tindakan mereka itu kurang menyenangkan hati Bujang.”Selepas majlis ini,hamba jangan disembah lagi seperti seorang raja.” Yaakub Lim,Panglima Kahar dan Aria Wulon segera menurunkan tangan sambil mengangguk. Diiringi oleh anak buahnya,Bujang melangkah ke pengkalan. Dari pengkalan,dia beredar pula ke istana Sultan Hassanuddin.Sepanjang perjalanan itu,penduduk tempatan dan saudagar asing berbaris mencari kesempatan melihat pengantin lelaki yang berpakaian seperti hulubalang Melayu itu. Di hadapan pintu gerbang istana,Andika dan Tok Kilat sedia menunggu dengan beberapa buah kereta kuda. Bujang diiring ke sebuah kereta kuda yang paling cantik berhias langsir kuning dan panji-panji kerajaan.Hanya Tok Kilat dan Panglima Kahar dibenarkan menjadi pengapit Bujang, rakan-rakannya terpaksa memilih kereta kuda lain. Diiringi oleh panglima dan pengawal berkuda, rombongan pengantin itu mula bergerak meninggalkan istana besar menuju ke istana hinggap. Di dalam kereta kuda,Bujang diajar oleh Daeng Samarinda timang-timangan Tok Kilat tentang adat-istiadat Bugis yang perlu dipatuhi sepanjang majlis perkahwinan yang dilangsungkan itu kerana ramai tetamu kehormat dari luar turut hadir. Ketibaan rombongan di raja di istana hinggap disambut dengan meriah oleh para pendekar dan dan hulubalang yang lengkap bersenjata. Bujang merasa seperti berada di Kedah ketika majlis perkahwinannya dengan Tunku Balqis beberapa bulan yang lalu.Kini sejarah berulang tetapi berlangsung di Tanah Bugis.Mak andam berbalas-balas pantun dengan Daeng Samarinda dalam bahasa Bugis,diikuti oleh pemberian cenderamata.Kemudian,Bujang dibawa naik ke istana dan dipertemukan dengan kaum-kerabat Ratna di ruang tetamu.Terlebih dahulu Bujang menyusun sembah penuh takzim pada ayahanda dan bonda mertuanya.Ratna duduk bersimpuh di sisi bondanya dengan berpakaian pengantin ala Bugis. Jurunikah dan empat orang saksi sudah mengambil tempat di hadapan singgahsana Raja Gowa. Bujang dibawa ke sana,kemudian Daeng Samarinda berundur beberpa langkah dan duduk bersama Panglima Kahar serta rakan-rakan yang lain.Bujang tunduk mendengar Jurunikah membaca kitabnya dalam bahasa Melayu telor Bugis.Bila ditanya,dia hanya mengangguk tanda faham. Upacara akad nikah berlangsung tanpa masalah.Sekali lafaz,sahlah pernikahan Bujang dengan Ratna mengikut adat-istiadat diraja Bugis seperti yang dikehendaki. Adat dan syarak sudah bersatu,lengkap sudah mereka berdua sebagai pengantin diraja. Ratna diiring Mak Andam dan didudukkan di sini Bujang.Sekali lagi Jurunikah membuka kitabnya dan mengulangi apa yang disebut tadi.Ketika itu,Bujang ternampak Mayang Sari duduk bersimpuh di sebelah Ratna sambil tersenyum simpul. Bujang pura-pura tidak melihatnya. Sebentuk cincin emas permata delima pemberian Bujang disarungkan ke jari manis Ratna oleh Mak Andam.Semua jari Ratna masih merah kesan inai.Beberapa saat kemudian,Mayang Sari menghilangkan diri. Berakhirnya upacara akad nikah tersebut,Bujang dan Ratna dibawa ke bilik pengantin dan ditinggalkan berdua-duaan.Baru Bujang menarik nafas lega sambil mengesat peluh di dahi. “Belum berakhir lagi,”tegur Ratna sambil tersenyum.”Sebentar lagi,majlis persandingan akan diadakan di persada.Diikuti oleh persembahan dari berbagai daerah,termasuk Tanah Toraja.” “Jadi,abang perlu tukar pakaian?”Bujang bertanya. “Di sini tidak perlu,”jawapan Ratna melegakan hati Bujang.”Pakaian itu sudah cukup baik. Tetapi di istana besar besok,kita mesti berpakaian sedondon kerana akan ditonton oleh tetamu-tetamu istimewa,raja-raja,para pembesar serta seluruh penduduk negeri.Bersabarlah,abang. Hanya sekali sahaja seumur hidup.” Mak Andam muncul di ambang pintu bersama dua orang dayang-dayang yang berselubung. “Sudah cukup rihat?”tegur Mak Andam tersenyum lebar.”Mari ikut ibu.” Bujang mengeluh,menyebabkan Ratna tertawa kecil. “Selamat pengantin baru,ayah,”tiba-tiba suara halus menutur dari ambang pintu. “Fatimah?”suara anak gadisnya lekas-lekas dicamnya. Fatimah lantas meluru memeluk ayahnya erat-erat sambil menangis gembira. Bujuang membelai-belai rambut anak kesayangannya itu,air matanya turut berlinang.Ratna tunduk menahan sebak.Begitu juga dengan Mak Andam serta dua orang dayang-dayang berselubung itu. “Fatimah datang dengan siapa?”suara Bujang terketar-ketar menahan perasaan. “Dengan bonda berdua,”Fatimah melepaskan pelukannya sambil berpaling kea rah dayang-dayang berdua. Dengan tenang Chendana dan Balqis menyingkap kain selubung yang menutupi wajah mereka sambil mengesat air mata.Sementara Bujang terpaku seperti patung,Ratna menerpa bersalam dan berpelukan dengan kedua-dua madunya. Bujang,Fatimah dan Mak Andam melihat sahaja adegan yang berlaku di bilik pengantin itu.Kemudian Chendana dan Balqis bergilir-gilir mencium tangan Bujang,air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi. “Dengan siapa kau berdua datang?”tanya Bujang,suaranya garau menahan sebak. “Dengan lancang abanglah,”jawab Balqis melegakan suasana.”Lela Wangsa jadi nakhoda.” “Lela Wangsa masih hidup?” Bujang seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. “Memang Lela Wangsa masih hidup,”Chendana turut mengesahkan.”Lancang itu rosak sikit tetapi sudah dibaiki.Katanya diserang lanun di perairan Pulau Bali.” “Alhamdulillah,”ujar Bujang penuh terharu.Cepat-cepat dikawal perasaannya.”Apa ditunggu lagi,Mak Andam?Ayuh,kita ke persada pengantin.” Duduk bersanding bersama Ratna di atas persada di pinggir tasik itu,Bujang merasa benar-benar bahagia.Kehadiran Chendana,Balqis dan Fatimah bersama kaum-kerabat Ratna di tempat yang disediakan khas melengkapkan kegembiraannya.Tambah gembira lagi bila dia terpandang Lela Wangsa berbual-bual rancak bersama Yaakub serta rakan-rakan lain sambil menyaksikan majlis persandingan diraja itu.Kegembiraan turut terpancar pada wajah Ratna,senyuman tidak lekang dari bibirnya.Begitu juga dengan Chendana,Balqis dan Fatimah,tiada rasa cemburu yang tergambar melainkan kerelaan dan kepuasan yang mencerminkan hati yang suci bersih.Bujang tidak habis- habis bersyukur kepada Allah yang mentakdirkan pertemuan di hari bahagia itu. Bujang terasa waktu berjalan begitu pantas.Sedar-sedar,majlis persandingan itu sudah berakhir. Kedua mempelai itu dipimpin turun dari persada.Ketika itu dengan tidak disangka-sangka,muncul seekor ular naga yang besar dari tasik,seluruh badan bersisik hijau sebesar nyiru,bertaring panjang, matanya merah seperti bola api.Penonton menjerit-jerit ketakutan. Ratna yang berpaling ke belakang ternampak mulut ular naga itu ternganga luas siap sedia hendak menelan suaminya. Bujang terkebil-kebil,tidak menyedari bahaya yang menunggunya. Belum sempat Ratna menjerit memberi amaran,ular naga it uterus membaham Bujang lalu membawa ke tengah tasik. Sekelip mata kemudian,ular naga itu ghaib ke dalam tasik.Anehnya air tasik tidak berolak bagaikan tidak terusik langsung.Kegembiraan dan kebahagiaan bertukar menjadi malapetaka. Ratna pengsan di atas persada.Tambah kecoh lagi apabila Chendana dan Balqis turut pengsan. Suasana menjadi kelam-kabut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu.Raja Gowa segera menitahkan para pendekar dan hulubalangnya mencari Bujang di dalam tasik itu manakala Ratna serta dua orang madunya segera diusung ke atas istana untuk diberi rawatan.Anak buah Bujang yang dipimpin oleh Lela Wangsa segera membantu pendekar dan hulubalang Bugis mencari panglima kesayangan mereka.Masing-masing tertanya-tanya akan nasib Bujang. Ketika Bujang terpandang wajah isterinya yang cemas seolah-olah ingin menyatakan sesuatu, tiba-tiba dia merasa bagaikan disungkup dengan kawah yang amat besar.Serta-merta keadaan menjadi gelap-gelita dan hitam pekat seperti malam yang tidak berbintang.Tubuhnya terasa melayang-layang seperti terjatuh dari tempat yang tinggi,telinganya berdesing kuat. “MasyaAllah..,”bisiknya dalam hati.Zikirnya segera dimantapkan,semua lubang pancainderanya ditutup supaya tidak dimasuki unsur-unsur jahat,batinnya bersatu dengan alam ghaib. “Panglima Agung,”bergema satu suara garau dalam kegelapan itu.”Jangan takut. Kami bukan musuh Panglima.Kami diperintahkan membawa Panglima ke istana di dasar laut.” -“Siapa geranganmu,wahai suara ghaib?”Bujang bertanya secara kebatinan. “Kami juga makhluk Allah yang menjalankan perintah-Nya,”suara garau itu bergema lagi dalam kegelapan itu.”Bacalah doa Nabi Khidir,insyaAllah,selamat dari lemas di lautan.” Bujang terus membaca doa Nabi Khidir dalam hatinya.Diulang lagi bacaanya beberapa kali. Genap tujuh kali,tiba-tiba keadaan tempat itu bertukar menjadi terang-benderang seperti siang. Dia mendapati dirinya berada di dalam sebuah mahligai yang amat indah.Dinding mahligai itu diperbuat daripada kaca yang bertatahkan mutiara,zamrud,nilam serta lain-lain batu permata yang berharga.Lantai dan lelangit yang diperbuat dari marmar putih mengeluarkan sejenis cahaya yang menerangi setiap ruang. Sebuah singgahsana kelihatan berkilau-kilauan,di atas singgahsana itu duduk seorang lelaki yang sudah dikenalinya. “Duli Tuanku Raja Nasyaful Alam,”Bujang menyusun sembah. “Selamat datang,anakanda,”sambut Raja Nasyaful Alam dengan gembira.”Sila duduk.” Bujang pun membetulkan kedua-dua bilah kerisnya lalu duduk bersila di hadapan mertuanya. Tiba-tiba Puteri Rubiah muncul di sebelah Bujang,duduk bersimpuh penuh bersopan sambil memaut lengan Bujang. Sekonyong-konyong muncul pula para pembesar,semua duduk berbaris di hadapan raja mereka seperti saf dalam sembahyang. Subhanallah,Bujang memuji di dalam hati.Pada masa yang sama,hatinya tertanya-tanya apakah semua yang dilihatnya itu benar-benar wujud atau hanya khayalan dan tipu-daya syaitan untuk menggoda manusia. “Jangan suka menyimpan buruk sangka sesama makhluk Allah,”tegur Raja Nashaful Alaml yang dapat membaca isi hati menantunya.”Sebagai murid terunggul Sheikh Kuala di Tanah Rencong dan Sheikh Abdullah di Gunung Jerai,sudah seharusnya anakanda berbaik sangka pada semua makhluk Allah di bumi dan di langit.” “Maafkan patik,Tuanku”Bujang tunduk,malu pada diri sendiri. “Kami membantu Nabi Khidir Alaihissalam mentadbir negeri ini,”Raja Nasyaful Alam membuka sedikit rahsianya.”Segala sungai,tasik,laut,lautan dan dimana sahaja adanya air, di situlah kami memerintah mengikut ketentuan Allah.” “Di dalam laut ini ada negeri?”Bujang seperti kurang yakin. “Ada raja,tentulah ada negerinya,anakanda,”bidas Raja Nasyaful Alam.”Kalau di darat ada Negeri Antah Berantah,di laut pula Negeri Segara Masin yang diperintah ayahanda.” “Sekali lagi patik pohon ampun dan maaf,”pinta Bujang dengan ikhlas. Raja Nasyaful Alam tersenyum.”Memang,akal manusia tidak terjangkau akan kedua-dua alam ini,”katanya tenang.”Di hujung negeri ini terdapat sebuah kubah mutiara yang besar,letaknya di suatu lautan yang paling dalam.Tidak ada suatu pun di kalangan kami yang mampu mendekati kubah itu,apa lagi untuk masuk ke dalamnya.Sudah ada yang mencuba,semuanya terbakar hangus.” “Apa yang ada di dalam kubah itu,Tuanku?”tanya Bujang berminat. “Seorang manusia istimewa yang digelar Rijalul Ghaib,”jelas Raja Nasyaful Alam. “Rijalul Ghaib?”Bujang seperti pernah mendengar nama itu.”Maksudnya,lelaki ghaib, lelaki yang tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar.” “Menurut kitab lama kami,Nabi Sulaiman alaihissalam pernah memerintah Jin Ifrit,jin yang paling gagah,menyelam ke dasar lautan mengambil kubah itu. Jin Ifrit tidak berjaya.Sebaliknya, seorang menterinya yang bernama Ashif bin Barhiyan dari golongan manusia telah berjaya membawa naik kubah itu. Dari kubah itu keluar seorang wali Allah yang bergelar Rijalul Ghaib, juga dari golongan manusia.” “Maksud Tuanku,hanya manusia yang mampu melakukannya?”tanya Bujang. “Benar,anakanda,”Raja Nasyaful Alam mengaku.”Tetapi bukan sebarang manusia melainkan manusia yang menguasai ilmu Yaqin,Ainul Yaqin,Haqqul Yaqin,syariat,tareqat,maarifat dan haqiqat. Manusia yang menuju ke maqam Insanul-kamil.” Bujang terdiam,kata-kata yang lahir dari mertuanya itu kata-kata ahli tasawuf. “Tujuan anakanda dijemput kemari ialah untuk diperkenalkan kepada semua pembesar ayahanda di Segara Masin ini sebagai suami Puteri Rabiatul Adwiyah serta menantu ayahanda. Namun, terlanjur anakanda kemari,ingin ayahanda pohon pertolongan anakanda.” “Pertolongan apa,Tuanku?”tanya Bujang tidak mengesyaki apa-apa. “Perihal kubah Rijalul Ghaib,”jawab Raja Nasyaful Alam ringkas. “Tuanku mahu patik membawanya kemari?”tanya Bujang,agak terperanjat. “Tidak,anakanda,”Raja Nasyaful Alam menafikan.”Ayahanda mahu anakanda pergi siasat benarkah kubah itu milik Rijalul Ghaib.Kalau tidak mampu,jangan memaksa diri,kelak binasa.” Bujang termenung sejenak mengenangkan kata-kata bapa mertuanya,kata-kata yang berupa permintaan tetapi diselit dengan amaran tentang bahayanya.Permintaan itu tidak menjadi keberatan kerana dia sendiri berminat hendak menemui manusia istimewa dari zaman Nabi Sulaiman alaihassalam itu.Tentang mara-bahaya yang bakal ditempuhi,semua itu diserahkan semata-mata kepada Allah Yang Maha Berkuasa.Jika sudah takdirnya dia berkubur di perut lautan,dia redha dengan ketentuan Allah. “Di mana letaknya kubah ini,Tuanku?”Bujang bertanya tenang. “Di tempat yang dipanggil Bermuda oleh manusia,”Raja Nasyaful Alam dengan gembira menjelaskan.”Anakanda Puteri Rabiatul boleh tunjukkan tempatnya.” “Kalau begitu eloklah disegerakan,”pinta Bujang pada Rubiah,mengenangkan majlis perkahwinannya dengan Ratna yang baru bermula hari itu. “Mari ikut dinda,”Puteri Rubiah menyusun sembah,ddikuti oleh Bujang. Mereka keluar dari istana kaca itu.Bujang selalu mengaitkan lautan dengan air masin yang luas,ikan yang berenang-renang di dalamnya serta batu karang di dasarnya. Namun,apa yang dilihatnya di luar istana Raja Nasyaful Alam sukar diterima akal.Tanahnya berpasir putih,ditumbuhi berbagai jenis pokok seperti di daratan. Kelihatan sungai-sungai,rimba-belantara,bukit-bukau dan gunung-ganang. Langit sentiasa berwarna biru,cahaya matahari memancar lembut bagaikan waktu pagi. “Allah telah bukakan kasyafNya kepada abang,”Puteri Rubiah menjawab bisikan hati Bujang. “Sekarang,abang memandang dan melihat dengan mata basirah.Dinding yang memisahkan alam ghaib dengan alam nyata terlalu nipis,senipis kulit bawang.”Belum sempat Bujang bertanya,Puteri Rubiah terus menghulurkan tangan seperti menyeluk sesuatu,kemudian menunjukkan seekor ikan yang masih hidup dibasahi air laut.Bila ikan itu dilempar ke udara,ikan itu ghaib. “Dari mana datangnya ikan tadi?”tanya Bujang,masih terasa seperti bermimpi. “Dari laut pulang ke laut,”ujar Puteri Rubiah selamba,seolah-olah tidak mahu menerangkan denagn lebih lanjut. “Abang belum menguasai ilmu tersebut,”Bujang berterus-terang. “Bila alam nyata bersatu dengan alam ghaib,lengkaplah ilmu abang,”Puteri Rubiah menjelaskan serba-sedikit.”Dalam Al-Qur’an ada menyebut bahawa Allah jadikan dunia ini dalam masa tujuh hari.Ulama kami berpendapat tujuh hari itu maksudnya tujuh alam iaitu alam nyata,alam ghaib, alam barzakh dan empat lagi alam yang hanya diketahui Allah.” Bujang terdiam sejenak sambil berfikir. “Eloklah kita segera ke sana,”kata Puteri Rubiah.Tiba-tiba muncul seekor kuda putih bersayap, lengkap dengan pelana dan tali kekang seperti kuada biasa.Di atas kepalanya terdapat sebatang tanduk seperti sumbu badak. “Kuda sembrani,”tambah Puteri Rubiah lagi sebelum Bujang bertanya.”Manusia menyebutnya kuda terbang.n Tempat yang hendak dituju itu terlalu jauh,memakan masa berbulan-bulan lamanya jika mengikut cara biasa. Inilah cara yang terbaik supaya lekas sampai.” “Tapi,kuda seekor,kita berdua,”Bujang mengamati kuda sembrani itu. “Si-Rangga-Ranggit sudah jadi milik abang,”pinta Puteri Rubiah.”Serulah namanya,pasti dia menjelma.Kalau di alam nyata harus dimulakan dengan memberi salam.” “Si-Ranggit-Ranggit,”Bujang terus berseru memanggil nama kuda sembraninya.Secara mendadak muncul seekor kuda seperti kuda kepunyaan isterinya.Kuda sembarani itu merengek manja seolah-olah ingin berjinak-jinak dengan Bujang. “Abang belum pernah menunggang Si-Rangga-Ranggit,”Bujang agak keberatan. “Sama seperti kuda biasa,”Puteri Rubiah memujuk suaminya.”Bezanya,kuda sembrani mampu membaca isi hati tuannya. Niat sahaja di hati,dia akan menurut kehendak kita. Sekarang,mari Rubiah tunjukkan kubah Rijalul Ghaib itu.” Puteri Rubiah memanjat ke atas kuda sembraninya.Melihat gelagat isterinya,Bujang mencontohinya.Dengan lafaz bismillah,dia memanjat ke atas Si-Rangga-Ranggit sambil memegang tali kekang supaya tidak jatuh.Tanpa berlengah lagi,kedua-dua ekor kuda terbang it uterus meluncur laju ke udara menuju ke tempat tujuan yang dimaksudkan.Benar kata Puteri Rubiah,kuda sembrani begitu mudah dikendalikan.Cukup sekadar lintasan hati,segala perintah pasti dipatuhi.Anehnya,tiada angin yang merempuh cuping telinganya,seolah-olah mereka mengembara di alam lain yang selari dengan alam nyata.Bertambah aneh lagi bila di bawahnya hanya kelihatan tanah daratan yang maha luas yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan menghijau. Tidak sampai sepenarik nafas,mereka tiba di pinggir sebuah lembah yang luas tetapi dilutupi kabus tebal.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...