Mereka dipelawa ke balai tetamu yang berbumbung kemas tetapi tidak berdinding. Wanita dan gadis-gadis genit yang berambut panjang terhurai dan hanya berkemban kain batik melenggang-lenggok membawa hidangan berisi pulut lemak.Pulut itu boleh dimakan dengan pisang,mangga atau ikan kering goreng. Minumannya pula air kelapa muda yang masih dihidangkan bersama buahnya.Terkejut juga Bujuang apabila diminta membacakan doa. Walaupun Aria Wulon tidak menadah tangan,doa yang dibaca itu didengarnya dengan teliti. Ketika menjamu selera,mereka menjadi tontonan ramai gadis-gadis jelita serta pemuda-pemuda tampan yang berkerumun di sekitar balai tetamu itu seolah-olah ada temasya. “Bapa mertua hamba telah menyatakan hajat Panglima kemari,”kata Aria Wulon pada Bujang sambil menyuap pulutnya.”Hamba sanggup membantu Panglima sehingga berjaya.” “Syaratnya?”Bujang menyuarakan kesangsiannya. “Tidak ada sebarang syarat,”jawab Aria Wulon ikhlas.”Semua harta karun itu milik Panglima. Gunakanlah di jalan kebaikan demi rumpun Melayu.” “Sayang sekali Tuan Pendeta tidak memeluk agama Islam,”keluh Bujang. “Inilah jalan yang kami pilih,jalan leluhur Pateh Gajah Mada,”Aria Wulon menegakkan pendiriannya.”Tapi,kami tidak bermusuh dengan orang Islam. Dan,kami tidak pernah melarang sesiapa sahaja dalam suku kami memeluk agama Islam. Kami anggap Tuhan tetap Satu, hanya berbeza nama serta cara kita menyembahNya.” “Tuan Pendeta bercakap seperti Melayu sejati,”sampuk Andika yang asyik mendengar. “Mengapa tidak?”tingkah Aria Wulon.”Hamba banyak merantau ke seluruh Alam Melayu menuntut ilmu pendekar serta bercampur-gaul dengan orang Melayu.Kami orang Bali suka merantau mencari pengalaman.” “Tentu ada perempuan Bali yang berkahwin dengan orang luar,”Andika cuba merisik. Aria Wulon ketawa lagi.”Kalau sudah jodoh,apa boleh buat. Tapi,kenalah beradat,bukan membawa lari begitu sahaja,”bidasnya.”Perempuan Bali ada maruah kendatipun jinak-jinak merpati.Adat susila tak pernah kami lupakan.” “Kalau kau berkenan,boleh kami tolong pinangkan,”Bujang mengusik Andika. “Tak adalah,Panglima,”Andika menafikan dakwaan itu tetapi wajahnya merah padam menahan malu.”Hamba sekadar ingin tahu.” “Apa salahnya Bugis bersemenda dengan Bali,”Panglima Kahar pula menyampuk. “Memang tak ada salahnya,”Aria Wulon mengangguk sambil tersenyum lebar.Para hulubalang yang menjadi penonton turut mengangguk.Kerana menjadi bahan usikan,Andika tunduk dan tidak berani bersuara lagi. “ Di mana letaknya muara sungai,Tuan Pendeta?”Bujang bertanya setelah keadaan reda. “Di sini banyak sungai yang mengalir dari Gunung Agung,”Aria Wulon menjelaskan.”Justru, muaranya pun banyak.Kalau di balik gunung ada dua muara yang boleh disinggahi kapal.” “Pada orang-orang hamba di lancang sudah hamba pesan supaya menunggu di sebuah muara di sebelah sana,”Bujang teringat pesannya pada Lela Wangsa. “Perkara itu gampang sahaja,Panglima,”Aria Wulon membuka jalan penyelesaian yang tidak terfikir oleh semua.”Mereka pasti menemui Panglima di salah satu muara sungai,tidak lebih dari itu.Kecuali kalau Panglima tidak menunggu di tempat yang dijanjikan.” “Benarlah bagai dikata,”Bujang menarik nafas lega walaupun penerangan yang berbelit-belit itu memeningkan kepala Andika serta beberapa orang hulubalang. “Panglima duduklah dulu,buat macam rumah sendiri,”Aria Wulon minta diri setelah membasuh tangan.”Biar hamba siapkan barang-barang yang perlu dibawa.” Sementara Aria Wulon pergi membuat persiapan,Bujang berbual-bual kosong dengan Panglima Kahar,Andika serta hulubalang-hulubalang seramai dua puluh orang itu sambil menjamu selera. “Bagaimana dengan Juragan Musa dan orang-orangnya?”tiba-tiba Andika menyebut kembali perkara penting yang hampir-hampir dilupakan selepas mereka habis makan. “Apa yang nak dirisaukan,”balas Panglima Kahar.”Bila mereka sedar kita dah bertolak,takkan dapat mereka mencari kita dalam hutan belantara ini.” “Betul juga,”Andika bersetuju,kepala diangguk.”Lagi pun,kunci harta karun itu hanya ada pada Panglima. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa.” “Hamba yakin mereka belum berputus asa,lebih-lebih lagi Juragan Musa,”Bujang teringat pada jin khadam Juragan Musa yang berjubah putih itu.”Di mana ada kemahuan,di situ ada jalan.” “Justru,apa yang harus kita lakukan,Panglima?”tanya Andika,suaranya berbaur kerisauan. “Sebenarnya inilah tipu-muslihat kita untuk mengelirukan mereka,”ujar Bujang dengan tenang. “Paman tak mengerti,”celah Panglima Kahar,dahinya berkerut. “Tujuan mereka hanyalah mencari Hulubalang JinTujuh Beradik,”Bujang menjelaskan secara ringkas.”Mereka tidak tahu-menahu tentang harta karun yang Pak Buyon ceritakan.” “Termasuk juga dek akal,”angguk Panglima Kahar,wajahnya berseri. Andika ketawa kecil,”Tentu sekarang mereka separuh gila mencari jejak kita.” Aria Wulon muncul sebentar kemudian.”Hamba sudah bersedia,Panglima.” “Ini sahaja persiapan?”Bujang terkejut melihat Aria Wulon hanya membawa sebatang cangkul sebagai persiapan.”Bekalan makanan tidak dibawa?” “Buat apa bawa bekalan?Gua Siva hanya terletak di lembah sana,”balas Aria Wulon selamba. Mereka tidak berkata-kata lagi,hanya mengikut sahaja Aria Wulon yang lebih arif dalam perkara itu. Mereka turun ke lembah yang letaknya tidak berapa jauh kuil itu.Di kaki sebuah bukit terdapat sebuah gua kecil yang telah ditutup dengan batu-batan. Di situ mereka berhenti. Aria Wulon tidak membuang masa lagi terus membongkar batu-batan itu dengan cangkulnya.Kerana gua itu besarnya tidak sampai sepemeluk,pekerjaan Aria Wulon tidak mengambil masa yang lama. Beberapa ketika kemudian,tampaklah pintu gua itu.Aria Wulon menyeluk ke dalam sebuah lubang di dinding gua itu. Dari lubang itu dikeluarkan sebuah peti kayu sebesar gantang. “Inilah harta karun yang Panglima cari,”dengan penuh takzim Aria Wulon menyerahkan peti berukir indah itu kepada Bujang.Di wajahnya tergambar rasa terharu seolah-olah berat hati. Dikerumuni oleh anak buahnya,Bujang meletak peti itu di atas tanah lalu membukanya.Dilihatnya peti itu penuh mengandungi patung-patung emas yang berkilauan dipanah cahaya matahari pagi. “Tengoklah puas-puas,”Bujang berundur beberapa tapak,membiarkan harta karun itu dipegang dan dibelek oleh semua. “Ada lagi beberapa peti di dalam lubang,”suara Aria Wulon kurang ceria.”Semuanya berjumlah kurang-lebih seribu patung.Kalau Panglima mahu,ambillah semuanya.” “Dari mana Tuan Pendeta dapat semua ini?”tanya Bujang tanpa mempedulikan pelawaan itu. “Dari Candi Borobudur dan Candi Prambanan,”Aria Wulon berterus-terang.”Apabila Kerajaan Majapahit dikalahkan oleh Raden Patah dengan bantuan Walisongo,leluhur hamba yang masih berpegang kuat pada ajaran Hindu melarikan semua patung kencana itu ke pulau ini.Tujuannya untuk kami bina kuil yang lebih besar di tempat baru.Sekarang kami terpaksa mencari patung lain sebagai gantinya.” Tiba-tiba Bujang mengeluarkan cebisan belulang yang digulung pemberian Pak Buyon dari dalam kampitnya.kemudian menyerahkan kepada Aria Wulon. Aria Wulon yang terkebil-kebil dengan tindakan itu melihat sahaja Bujang mendekati peti kayu tadi. “Dah puas semuanya?”Bujang bertanya tenang.Apabila anak buahnya mengelak memberikan laluan,peti itu diambilnya kembali. Dengan tenang pula dia menutup peti itu,kemudian membawa-nya ke gua itu lalu meletakkannya ke tanah dengan cermat.Panglima Kahar,Andika dan para hulubalang tertanya-tanya sesame sendiri. “Tuan Pendeta,”Bujang mendapatkan Aria Wulon yang masih kebingungan.”Terimalah kembali harta karun itu.Hamba tidak memerlukannya.” Aria Wulon tersenyum sambil mengalirkan air mata dengan keputusan yang tidak disangka-sangka itu. Dia mencampak cangkul ke tepid an terus memeluk Bujang erat-erat,air matanya semakin banyak yang tumpah. Panglima Kahar,Andika dan lain-lain tunduk malu,keinsafan tergambar pada wajah masing-masing. “Kenapa Panglima sanggup lakukan ini?”akhirnya Aria Wulon bertanya,air matanya dikesat. “Lakum-di-nukum-waliyadin,”ujar Bujang tenang.”Bagimu agamamu,bagiku agamaku.” “Mulia sungguh hati Panglima….,”Aria Wulon sebak,tidak dapat meneruskan kata-katanya. “Tolong tutup semula gua itu seperti sediakala,”perintah Bujang pada hulubalangnya. “Apa rancangan Panglima sebenarnya?”Aria Wulon bertanya ketika para hulubalang menutup semula pintu gua itu dengan batu-batan yang dibongkar tadi. “Kami hendak ke puncak mencari Hulubalang Tujuh Beradik,”Bujang memaklumkan. “Maksud hamba,dengan patung kencana itu semua,”Aria Wulon membetulkan. “Fisabilillah,berjihad di jalan Allah,”jelas Bujang.”Kami memerlukan wang yang banyak untuk membeli kelengkapan senjata serta membina angkatan perang menentang armada Belanda. Selagi penjajah belum diusir,selagi itulah kami akan berjuang.” Aria Wulon termenung mendengar penjelasan Bujang itu.Melihat hulubalangnya sudah selesai menjalankan pekerjaan yang disuruh,Bujang beralih menghulurkan tangan pada Aria Wulon. “Tuan Pendeta,di sini kita berpecah haluan,”katanya menahan sebak. “Nanti dulu,Panglima,”Aria Wulon tidak endahkan tangan yang dihulur.”Tadi Panglima ada menyebut pasal Hulubalang Tujuh Beradik.” “Benar,”Bujang angguk kepala.”Mereka dari golongan jin afrit,” “Hamba pernah mendengar pasal itu dari mendiang ayah hamba,”Aria Wulon membuka peluang baru bagi Bujang.”Mereka digelar Budak Buas,penjaga Gunung Agung ini. Untuk apa Panglima mencari Budak Buas ini?” Bujang memandang orang-orangnya. Melihat mereka tidak membantah,dia meneruskan,”Hamba diamanahkan Kiai Ageng membawa balik harta yang tertanam di perut bumi. Harta itu dijaga oleh jin tujuh beradik ini.” “Hamba tahu di mana mereka boleh dijumpai,Panglima tunggu di sini,”tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut,Aria Wulon mencapai cangkulnya lalu lari mendaki lereng gunung pulang ke tempatnya. Bujang dan anak buahnya bertukar-tukar pandangan tetapi tidak ada yang ingin mengajukan soaloan. Mereka menunggu dengan tenang sambil memerhati puncak gunung yang sayup berbalam-balam diselubungi mendung. Aria Wulon kembali tidak lama kemudian menggalas buntil pakaian.”Mari hamba tunjukkan jalan ke sana,”katanya menawarkan diri dengan gembira. “Dipersilakan,”balas Bujang,turut sama gembira.Anak buahnya berbalas-balas senyuman. Sepanjang perjalanan menuju ke puncak,Aria Wulon tidak putus-putus bercerita tentang Pulau Bali kemegahannya itu.Diceritakan tentang asal-usul pulau itu mendapat jolokan Pulau Dewata. Diceritakan pula dewa-dewa agama Hindu yang dipercayai mendiami Gunung Agung yang dianggap suci itu. Tidak cukup bercerita tentang Pulau Bali,diceritakan pula pengalamannya ketika merantau mencari ilmu di merata pelusuk dan ceruk di Alam Melayu ini,diceritakan pula pertapaannya di beberapa buah gunung terkenal.Akhir sekali,baru diceritakan dengan panjang-lebar tentang Yoga yang diamalkannya sepanjang masa. Menjelang tengah hari,mereka berhenti rihat di tepian air terjun yang melimpah turun dari puncak gunung.Mereka makan bekalan yang dibawa. Ketika Bujang dan anak buahnya bersembahyang,Aria Wulon duduk bertafakur di atas seketul batu besar,matanya terpejam rapat menghening cipta. Setelah mustaid,mereka meneruskan perjalanan. Kali ini,mereka terpaksa memanjat di celah-celah batu,melompati anak sungai atau menyeberangi jurang yang curam.Hutan tebal diganti dengan pokok-pokok renek yang tidak begitu rendang. Mujurlah awan mendung melindungi mereka dari panahan cahaya matahari yang terik. Mungkin kerana keletihan atau kehabisan modal, Aria Wulon tidak bercerita lagi. Ketika senjakala mula berlabuh,mereka berhenti bermalam di sebuah air terjun yang lebih besar di mana terdapatnya sebuah kolam yang bersih bagaikan dijaga dengan rapi. Sementara para hulubalang mendirikan khemah dan menyalakan unggun api,Bujang mengambil kesempatan membersihkan diri bersama Panglima Kahar dan Andika. Aria Wulon langsung tidak menyentuh air,sebaliknya duduk bertafakur di pinggir air terjun. Malam itu,Bujang bersembahyang jemaah bersama Andika serta lain-lain hulubalang dengan berimamkan Panglima Kahar. Aria Wulon belum juga kembali dari bertafakur.Mereka terpaksa menjamu selera tanpa kehadirannya. Bujang sedang berbual-bual kosong dengan bapa saudaranya di dalam khemah apabila Aria Wulon muncul. Badannya yang tidak berbaju kelihatan berminyak terkena cahaya dari unggun api. Dia tidak merasa sejuk walaupun kedinginan di pergunungan pada malam itu mencengkam hingga ke tulang hitam.Seorang hulubalang menghulurkan makanan dan minuman kepada Aria Wulon. Melihat Aria Wulon duduk bersandar pada seketul batu,Bujang meninggalkan Panglima Kahar lalu duduk bertinggung memanaskan badan di tepi unggun api. “Hamba terasa lain macam saja malam ini,”kata seorang hulubalang kepada rakannya. “Jangan ditegur,”marah Andika pada hulubalang itu. Dia turut bertinggung di sebelah Bujang. “Benar kata Samad tadi,”beritahu Bujang dengan tenang.” Malam ini agak berlainan,seolah-olah ada yang sedang memerhati kita dari tempat yang tidak kita ketahui.” “Panglima Kahar sudah memagar kawasan ini dengan Ayat Kursi,”Andika cuba melegakan hatinya dan hati Bujang.”InsyaAllah,makhluk jahat takkan berani rapat kemari.” “Kami bukan makhluk jahat,”tiba-tiba satu suara garau menyampuk. Dengan serta-merta kawasan itu berbau wangi. Andika terkejut dan nyaris-nyaris membuka langkah silat.Para hulubalang tergamam di tempat masing-masing. Begitu juga dengan Panglima Kahar dan Aria Wulon.Semua pandangan tertumpu pada lembaga besar-tinggi berpakaian hitam sedondon,bertanjak,bersamping dan berkeris seperti hulubalang Melayu. Dari mata lembaga itu terpancar satu sinar merah yang memanah unggun api,menyebabkan aunggun api itu padam.
![](https://img.wattpad.com/cover/203571585-288-k738087.jpg)
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...