Masuk hari ini sudah hampir seminggu aku tinggal di rumah ini. Luka yang aku dapat juga semakin sembuh dan aku sudah mula boleh bangkit sendiri.
Aku tidak sangka bahawa pemilik rumah ini sungguh baik hati kepada aku. Apabila dia mendengar bahawa aku sudah hilang ingatan, dia mempelawa aku untuk tinggal di sini bersamanya.
Mendapat peluang begitu, sememangnya aku tidak akan tolak. Sekarang aku sebatang kara. Aku tidak ada apa-apa untuk kembali ke tempat asal aku namun aku telah berjanji di dalam hati aku bahawa satu hari nanti aku akan kembali dan balas semua dendam yang terukir ini.
Aku menjual jiwa aku kepada raja iblis demi mendapat peluang kedua, jadi aku telah tekad mahu membalas dendam demi keadilan yang tidak aku dapat.
Tok! Tok!
Kepala aku terus menoleh ke arah pintu yang terbuka apabila diketuk tadi. Aku melihat datuk masuk ke dalam bilik ini sambil tersenyum.
"Bagaimana tubuh kamu sekarang?" Soalnya.
"Sudah semakin baik rasanya. Saya juga sudah boleh berjalan sedikit," balas aku.
Herba yang digunakan oleh datuk untuk merawat sungguh mujarab sehingga membuat tubuh aku menjadi sihat dalam jangka masa yang singkat.
Katanya, herba ini mempunyai banyak khasiat dalam tubuh badan manusia, jadi sebab itu kenapa dia selalu berikan aku makan atau minum bahan berasaskan herba.
Sekarang aku faham kenapa dia sungguh kuat walaupun sudah tua. Rupanya dia sentiasa mengamal ilmu herba ini.
"Baguslah begitu. Kalau kamu sudah sihat, apa kata kita keluar sebentar? Sudah lama agaknya kamu tidak melihat matahari sejak kamu sakit," cadangnya.
Betul juga apa yang dia katakan. Sejak aku sakit, aku hanya duduk di bilik ini dan tidak pernah keluar. Memang bilik ini masuk cahaya matahari tetapi aku juga ingin melihat kawasan persekitaran desa ini.
"Boleh juga begitu," aku setuju lalu mula berdiri.
Dapat aku rasakan kaki aku bergetar kerana sudah lama tidak berjalan selepas luka yang aku hadapi di bahagian kaki ini. Namun walaupun begitu, aku tetap kuatkan diri untuk bangkit dan melangkah mendekati datuk.
Setelah aku mendekatinya, kami berdua terus keluar dari rumah ini dan apabila pintu keluar di buka, mata aku terus dihadiahkan dengan satu cahaya matahari yang sungguh terang.
Aku juga dapat melihat satu kawasan desa yang cukup besar dengan penduduk yang sibuk akan kerja mereka sendiri. Suasana pada hari ini cukup redup membuat semua penduduk di sini dapat membuat aktiviti harian mereka dengan mudah.
"Inilah desa Turgis. Desa yang paling jauh di Evosthil," kata datuk.
Mata aku teruja melihat keadaan desa yang sungguh harmoni ini. Ianya tidaklah semaju di ibu kota namun ianya kelihatan sungguh harmoni dengan banyak penduduk saling tersenyum dan menyapa apabila bertemu.
Aku jenis yang tidak selalu keluar dari kediaman aku, jadi aku jarang melihat suasana begini. Entah kenapa aku berasa tenang melihat semua ini.
"Selamat pagi tuan Draven," tiba seseorang menyapa datuk.
"Selamat pagi, Peter."
Aku melihat lelaki dewasa itu yang menyapa datuk dengan sungguh ramah. Lihat daripada segi pakaian dia, dia kelihatan seperti seorang pekebun.
"Terima kasih untuk beberapa hari lepas. Kebun saya lebat berbuah lepas tuan tolong. Nanti saya bagi sedikit hasil kebun saya."
"Sama-sama. Kalau ada masalah lagi, bagitahulah. Mungkin saya boleh tolong juga."
YOU ARE READING
Servant of Evil
FantasyAku tak percayakan keadilan di dunia ini. Ibu bapa aku dibunuh dengan kejam namun pembunuh tersebut terlepas begitu sahaja apabila ditangkap. Keadilan yang sepatutnya aku dapat tidak dicapai olehku. Aku mahukan keadilan, namun disebabkan manusia it...