Mata aku melihat ahli kumpulan aku itu melakukan sihir mereka. Untungnya mereka bukan jenis penyihir yang membawa buku sihir bersama. Bak kata Aesira, dia sudah menghafal semua mantera sihir, jadi dia tidak memerlukan buku dan begitu juga dengan ahli kumpulan aku yang lain.
Namun walaupun begitu, mereka masih tidak dapat melakukan sihir tanpa menyebut mantera. Itu mungkin disebabkan mereka tidak memahami asas sihir tersebut.
Dulu ketika aku mula belajar juga, aku jenis yang membaca mantera tetapi apabila aku memahami asas bentuk sihir, aku sudah tidak perlu membaca mantera itu lagi. Hanya perlu memikirkan sahaja asas tersebut dan sihir aku akan menjadi.
"Tu-tuan, bagaimana tuan mahir dalam semua elemen sihir?" Soal Elvin yang merupakan ahli kumpulan ini.
Aku melihat ke arah lelaki itu. Dia kelihatan lebih tua daripada aku tetapi dia tetap memanggil aku dengan panggilan tuan.
Aku sudah pernah kata bahawa jangan panggil aku begitu kerana mereka semua lebih tua tetapi mereka menolak atas alasan mereka ingin menghormati aku sebagai ketua kumpulan ini.
"Kau pandai berapa elemen sihir?"
"Dua tetapi satu lagi saya masih lemah."
Dua itu sudah cukup bagus untuk dia. Dia bukan penyihir tingkat tinggi namun dia pandai dalam mengawal 2 elemen. Itu bermaksud, dia adalah salah seorang yang mungkin akan dijadikan penyihir tingkat tinggi kalau dia dapat mengawal lebih daripada 2 elemen itu.
Mata aku beralih melihat ke sebuah patung kayu yang berada di belakang aku.
"Kau tengok patung tu? Cuba keluarkan sepenuhnya sihir kau untuk serang patung tu," arah aku.
Elvin memandang pelik ke arah aku lalu dia mula berjalan ke hadapan patung tadi. Tangannya diangkat lalu dia membaca mantera dan keluar sihir berasaskan angin. Selepas itu keluar pula sihir berasaskan air.
Serangan dia cukup kuat namun apabila dia cuba mengubah elemn sihirnya, aku dapat lihat bahawa dia mula melemah. Itu bermaksud dia lemah mengawal 2 elemen dalam satu masa yang sama.
Jadi itu bermaksud aku boleh mengajarnya cara memahami konsep asas sihir untuk dia pandai mengawal sihir.
"Bagaimana tuan?" Soalnya.
"Kau ada kebolehan yang baik dalam sihir tetapi kau tidak dapat memahami konsep asas sihir."
"Konsep asas sihir?"
Aku berjalan ke sampingnya lalu jari aku diangkat ke arah patung tadi. Air mula berkumpul di hadapan jari aku.
"Konsep asas sihir adalah cara sihir itu tercipta. Kalau kau memahami konsep itu, kau akan dapat mengawal sihir kau dengan lebih mudah atau membuat sihir kau lebih kuat."
Dengan sekali hayunan jari ini, air tadi mula bergerak laju ke arah patung tersebut membelahnya menjadi dua.
Elemen air sebenarnya satu elemen yang cukup kuat. Dengan air, aku boleh memotong apa sahaja tidak kira berapa keraskan benda itu dan angin pula boleh menjadi sihir yang memudahkan seseorang itu untuk bergerak.
Jadi sebab itu kenapa aku kata Elvin adalah seorang yang berbakat kerana dapat melakukan 2 sihir tersebut.
"Tapi bagaimana untuk kita memahami konsep asas sihir?"
Aku menoleh ke arahnya lalu aku memandang ke belakang lelaki itu. Dapat aku lihat bahawa 3 lagi ahli kumpulan aku iaitu Aesira, Kyra dan Roan sedang berpura-pura sibuk berlatih.
"Yang tiga belakang tu, kalau nak belajar sekali, datang ke sini. Tak perlu nak curi-curi dengar," tegur aku.
Dari tadi aku sedar bahawa mereka bertiga cuba curi-curi dengar aku di sini. Mereka ingin belajar bersama tetapi takut untuk datang ke sini.
YOU ARE READING
Servant of Evil
FantasyAku tak percayakan keadilan di dunia ini. Ibu bapa aku dibunuh dengan kejam namun pembunuh tersebut terlepas begitu sahaja apabila ditangkap. Keadilan yang sepatutnya aku dapat tidak dicapai olehku. Aku mahukan keadilan, namun disebabkan manusia it...