cp 66

52 7 0
                                    

Awan mendung menutupi langit terang negara tersebut. Tiada cahaya yang ingin menyinari tempat tersebut pada hari yang penuh berduka cita itu.

Pada hari ini, disebuah tasik, berkumpul sebilangan manusia yang tiada satupun tersenyum melainkan wajah kesedihan mereka yang tidak dapat disembunyikan.

Tidak terkecuali dengan keluarga para penyihir di sana. Calen adalah permata yang kuat di mata mereka dan hari ini mereka terpaksa menanam permata tersebut untuk selamanya.

Hati mereka terluka akan pemergian seorang lelaki yang boleh digelar pahlawan itu. Pemergiannya memang sangat mulia kerana mati dalam keadaan menyelamatkan seseorang namun hati mereka tidak dapat menerima semua itu.

"Tuanku, semuanya sudah sedia. Kita boleh mulakan sekarang," ujar seorang pengawal.

Putera mahkota itu melihat ke arah lelaki itu sebelum dia memandang ke arah 3 rakannya itu. Masih ada seorang yang belum tiba dan orang itu adalah orang terpenting dalam upacara ini.

"Fero, kau ada nampak Aries? Kenapa dia masih belum tiba?" Soal Dekis.

"Aku tak tahu tapi aku sudah beritahu dia semalam," balas Fero.

Mendengar balasan itu membuat Dekis berasa sedikit risau akan keadaan Aries. Dia tahu Aries bukan seseorang yang akan lepaskan hari itu.

Malah hari tersebut adalah hari terpenting untuk Aries kerana Calen adalah orang yang terpenting dalam hidup Aries. Jadi sebab itu kenapa dia tidak mahu mulakan upacara itu tanpa Aries.

"Apa kata kita tunggu sekejap lagi? Kalau dia masih tidak muncul, kita akan-"

"Maaf, aku terlambat," tiba hadir satu suara memotong kata Dekis.

Semua kepala mula menoleh ke belakang dan kelihatan sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam sedang berjalan mendekati Dekis.

"Aries..." mata Dekis menatap Aries yang kelihatan agak berbeza itu.

"Kenapa kau lambat?" Soal Noah.

"Aku ada urusan sedikit tadi."

Entah kenapa mendengar balasan itu membuat Dekis sedikit curiga. Dia tidak pernah berikan Aries apa-apa tugas sejak berakhirnya pertarungan itu, jadi urusan apa yang dia maksudkan?

"Memandangkan kau sudah tiba, mari kita mulakan upacara ini sekarang," Dekis mula mengarah.

Dia tidak mahu memanjangkan cerita itu kerana sekarang yang lebih penting adalah upacara ini.

Selepas Dekis memberikan arahan tadi, seorang tentera mula berjalan ke hadapan mendekati mereka berlima lalu memberikan satu bekas kecil yang di dalamnya ada abu mayat.

Itu adalah abu mayat Calen yang sudah siap dibakar. Atas permintaan Calen tempoh hari, mayatnya telah dibakar dan abunya akan dibuang ke tasik Artika.

Tasik itu merupakan tasik yang sungguh indah yang terletak di wilayah Nervin. Tasik ini mempunyai cerita legenda yang mengatakan bahawa tasik ini adalah pintu perantaraan alam kehidupan dan alam kematian.

Semasa hidup, Calen sentiasa pergi ke sini setiap kali ulang tahun kematian keluarganya. Dia berfikir dia akan menjumpai mereka, jadi dia akan pergi ke sana pada hari ini. Dia malah membuat perkara yang sama pada keluarganya yang sudah mati iaitu menaburkan abu mereka ke tasik tersebut.

Jadi sebab itu baginya tasik itu umpama makam keluarganya yang sudah pergi. Agak sedih mengenangkan kepergian Calen namun pada hari itu Calen akhirnya boleh berjumpa dehgan keluarganya kembali.

"Penyihir agung, Calen Del Virtue adalah wira yang tidak dapat kita lupakan jasanya terhadap negara ini. Beliau telah banyak berkorban untuk kita malah di hari terakhir beliau, beliau juga berkorban nyawanya demi menyelamat kita semua. Sesungguhnya beliau telah menjadi wira yang hebat, bukan sahaja di mata kita malah di mata seluruh kerajaan ini. Mari kita sama-sama berdoa dan mengucap selamat tinggal yang terakhir untuk wira kita yang hebat ini," ujar Dekis.

Tempat ini mula sunyi untuk seketika mengenangkan kepergian Calen itu. Ketika itu tidak ada satupun senyuman yang hadir kecuali tangisan dan perasaan sedih yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Banyak hati yang telah hancur melihat kejadian itu terutamanya para penyihir. Bagi mereka Calen adalah ketua, jadi apabila ketua mereka sudah tiada bermaksud mereka tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Semuanya sudah menjadi tidak teratur lagi.

"Calen Del Virtue," tangan Dekis mula mengangkat bekas kecil tadi dan di arahkan ke tasik.

Begitu juga dengan 4 urang rakannya yang mengikut aksi tersebut.

"Beta mengucapkan terima atas segala jasa yang telah diberikan selama ini. Pengorbanan kamu tidak akan dilupakan dan aksi wira kamu akan menjadi sejarah besar kerajaan Evosthil. Selamat tinggal, wahai perwira," akhir ucap Dekis.

Tangannya mula menterbalikkan bekas tadi lalu jatuh semua abu yang berada di sana. Begitu juga yang lain.

Seketika abu itu jatuh, angin mula meniup kuat, kedengaran pula bunyi petir yang saling menyambar dan hujan sikit demi sedikit mula turun. Langit pada hari ini memang memahami isi hati semua orang di sana. Air hujan yang seakan cuba menyembunyikan air mata yang mengalir di mata mereka pada masa itu.

Setelah beberapa jam mereka di sana, seorang demi seorang mula meninggalkan tempat tersebut sehinggalah meninggalkan Aries dan Dekis sahaja.

Mereka berdua tidak berganjak dari tempat mereka berdiri tadi dan terus menatap ke arah tasik yang sedang dituruni hujan itu.

"Aku nak minta maaf atas apa yang terjadi. Kalau sahaja aku biarkan perisik itu pergi, mesti tuan Calen tidak akan terbunuh," kata Aries.

"Kau tidak perlu minta maaf. Itu bukan salah kau. Perisik itu yang salah dan tuan Calen juga rasanya lakukan semua itu demi kau. Dia tidak mahu melihat perkara yang sama seperti mana yang terjadi kepada mendiang cucu dia dahulu."

Kata Dekis sedikit menusuk ke hati Aries. Pedih hatinya untuk menerima itu. Kali pertama dia berkenalan dengan Calen, dia berfikir lelaki itu tidak menyukai dirinya tetapi dia silap.

Calen seorang yang baik hanya sahaja lelaki itu tidak pandai mengatakan semua itu sehingga membuat Aries salah faham. Salah dirinya juga kerana selalu berfikir buruk akan lelaki itu.

Kalau sahaja dirinya dapat menyedari semua itu dari awal, mungkin dia akan cuba memperbaiki hubungan mereka berdua agar menjadi lebih rapat. Tetapi sekarang semuanya sudah terlambat.

"Aku akan pergi sekarang," ujar Aries. Langkah kaki Aries mula bergerak meninggalkan tempat itu.

"Aries."

Langkah kakinya terhenti.

"Sekarang kau adalah komander ke-5. Komander kepada para penyihir. Aku harap kau dapat pegang jawatan itu seperti mana tuan Calen mahukan."

Aries terdiam seketika. Tangannya menggenggam kuat. Sesungguhnya dia tidak mahu jawatan itu kerana itu adalah jawatan Calen. Dia mahu jawatan itu terus menjadi milik Calen akan tetapi sekarang lelaki itu sudah tiada.

"Aku tahu," balas Aries sebelum meninggalkan Dekis di sana.

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Servant of EvilWhere stories live. Discover now