Dekis senyap menatap peta yang ada di hadapan dia sekarang. Walaupun matanya menatap peta itu, namun fikirannya tidak ke arah sana. Dia lebih memikirkan tentang apa yang terjadi ketika pertarungan tadi.
Dari pertarungan singkat yang berlaku tadi dia sedar bahawa sekarang dia memang berada di medan perang sungguhan. Selama ini dia tidak pernah menjejakkan kaki ke medan perang, dia hanya belajar tentang perang.
Tetapi apabila dia sudah merasai semua ini, dia mula berasa sedikit gementar. Kalau sahaja dia tidak bertindak lebih cepat dalam menghantar tentera dia, mungkin banyak darah tenteranya yang tumpah ke tanah.
Itu sesuatu yang mengerikan. Kini dia sudah faham kenapa ayahnya selalu berkata bahawa situasi di medan perang lebih mengerikan kalau kita sendiri yang merasainya. Walaupun kita sudah belajar mengenai perang tetapi perasaan gementar itu tetap akan ada di dalam diri seseorang itu.
"Apa yang kau termenungkan tu?" Soal Noah yang masuk ke dalam khemah tersebut.
Dekis mengangkat pandangan dia melihat sosok Noah itu. Noah adalah salah seorang rakannya yang cukup rapat membuat mereka bercakap dengan keadaan tidak formal ketika tidak ada sesiapa yang melihat.
"Tak ada apa-apa. Aku cuma..." katanya berhenti.
"Kau mesti terfikir kan tentang pertarungan tadikan?" Teka Noah.
Dekis mengangguk perlahan lalu dia menyandar di kerusi itu.
"Kau kena sedar, sekarang kita berada di medan perang sungguhan. Kalau kau terus gerun dengan semua itu, kita akan kalah. Medan perang ini bukannya sama seperti apa yang kita rasakan ketika belajar dahulu."
Dekis terdiam. Belajar dan berada di situasi yang sebenar memang berbeza. Kalau kita belajar, kita tidak akan melihat mahupun merasai kesakitan perang itu namun berbeza dengan kita berada di situasi perang itu sungguhan.
Segala kesakitan, kesengsaraan dan kematian akan mereka lihat dengan mata mereka sendiri malah mungkin mereka sendiri yang akan merasai semua itu.
"Aku juga takut sebenarnya tetapi aku kena sedar sekarang mahu lari sudah terlambat. Kita sudah terlanjur datang ke sini, jadi kita kena tamatkan segalanya. Kau pun rasa begitukan?"
Tipulah kalau dirinya tidak berasa begitu. Ayahnya menghantar dia menjadi komander perang atas sebab kebolehan dia tetapi sejujurnya dia tidak mahu. Tetapi sekarang semuanya sudah terlambat untuk berundur. Dia terpaksa menghadapi semua itu demi negara dia.
"Oh ya, aku dengar kau ada bersama pelajar tuan Draven tu masa pertarungan."
"Maksud kau Aries?"
"Ya, Aries. Bagaimana dengan dia? Dia kuat ke?" Soal Noah.
Dekis terdiam sejenak. Kepalanya memikirkan tentang hal itu. Banyak yang dia lihat semalam mengenai Aries.
Untuk kali pertama dia melihat kebolehan Aries dengan jarak yang dekat dan dia memang tidak dapat berkata apa-apa mengenai lelaki itu.
"Dia kuat malah sangat kuat daripada apa yang aku jangkakan."
Lihat sahaja cara Aries melakukan sihir sudah membuat dia gerun. Kekuatan Aries itu memang tidak setanding dengan penyihir yang dia lihat selama ini.
Sekarang dia tahu kenapa Draven mahu mengambil Aries sebagai pelajar. Dengan kekuatan begitu, hanya dalam sekelip mata seseorang itu boleh mati tanpa meninggalkan jejak. Untungnya sekarang Aries berada di pihak dia.
Dia tidak boleh biarkan Aries masuk ke pihak musuh. Itu boleh menyebabkan kekalahan yang teruk untuk Evosthil. Dia mesti kekalkan Aries atau segalanya akan hancur.
YOU ARE READING
Servant of Evil
FantasyAku tak percayakan keadilan di dunia ini. Ibu bapa aku dibunuh dengan kejam namun pembunuh tersebut terlepas begitu sahaja apabila ditangkap. Keadilan yang sepatutnya aku dapat tidak dicapai olehku. Aku mahukan keadilan, namun disebabkan manusia it...