BAB 73

1.8K 44 3
                                    

Rayyan memandang di setiap sudut biliknya dan matanya memerhatikan lama telekung dan juga sejadah yang pernah digunakan Melisa.

Sejadah milik isterinya diambil dan dibentangkan menghadap kiblat. Air mata cuba ditahan sebaik mungkin. Tetapi, jika sudah berdiri menghadap pencipta-Nya, sudah tentu dirinya yang lemah tidak dapat menanggung seksa kesedihan itu.

Rayyan hanyalah dapat mengadu nasib dan kesedihannya pada Tuhan yang satu. Lama Rayyan bersujud pada rakaat terakhirnya. Bau isterinya yang dirindui masih ada pada tikar sejadah yang selalu digunakannya. Bukan itu sahaja, tapi di setiap ruang dan sudut rumahnya pasti akan mengingatkan Rayyan pada Melisa.

Dahulu Rayyan pernah jatuh dan bangkit semula disebabkan Melisa, tapi kini terasa dirinya jatuh semula selama-lamanya. Wanita yang dipuja, disayang sepanjang hidupnya tidak akan kembali lagi.

Hampir seminggu Melisa tidak sedarkan diri dan hampir seminggu juga Rayyan duduk di wad hospital menemani Melisa. Segala kenangan indah mereka berdua diceritakan pada Melisa supaya isterinya tahu, dia tidak berseorangan.

Setiap pagi dan malam juga Rayyan akan mengucup sayang pipi isterinya dan juga anak yang dikandung Melisa itu. Tidak lupa juga untuk mengelap badan isterinya setiap hari walaupun masih ada jururawat yang boleh membantunya.

Sayangnya pada Melisa semakin bertambah melihatkan isterinya yang bertarung nyawa untuk hidup.

"Rayyan, makan dulu sini" Encik Raymond memanggilnya bersama bekal yang dibawa daripada rumah.
"Papa letak je dulu, nanti Rayyan makan" Tangan Melisa digenggam erat.

"Mel mesti tak suka bila dengar Rayyan selalu mengelat bila papa atau mama ajak makan. Come here, just take a bite" Encik Raymond cuba memujuknya lagi.

Rayyan mengeluh. Itu sahaja modal Encik Raymond dalam memujuk Rayyan. Kakinya melangkah jua ke sofa yang diduduki oleh Encik Raymond. Begitulah kehidupan seharian mereka. Setiap petang pula, bapa mertua dan juga abang iparnya akan datang melawat isterinya yang masih tidak sedarkan diri.

Rayyan memerhatikan Melisa sambil menjamu makan tengaharinya yang dibekalkan Puan Qaula.

Tetapi, selera Rayyan hanya untuk menjamah makanan itu sahaja. Selebihnya, hanya menguis sahaja nasi menggunakan sudu yang dipegangnya. Tiada selera kalau tiada isteri yang turut sama makan sekali.

Dalam memerhatikan Melisa di katil pesakit, jari jemari Melisa seakan-akan bergerak. Rayyan mengerutkan dahinya. Dia penat sangat ke sampai berhalusinasi?

Langkah segera, Rayyan menerpa ke arah isterinya semula. Encik Raymond terkejut dengan tindakan Rayyan yang menerjah itu.

"Mel, Melisa..dengar Rayyan tak?" Rayyan memegang tangan Melisa yang bergerak itu. Pegangan Rayyan dibalas semula dan terus sahaja Rayyan mengukirkan senyuman lebarnya, setitis air matanya jatuh ke pipi.

Perlahan sahaja Melisa membuka matanya memandang lemah kepada Rayyan.

"Rayyan pergi panggil doktor" baru sahaja Rayyan ingin berpusing ke arah pintu, Melisa menggenggam tangannya erat.

"Kenapa, cinta?"

Rayyan duduk mendekati Melisa. Bantuan pernafasan yang dipakai Melisa, dicabut perlahan oleh isterinya sendiri.

"Rayyan..." Melisa membawa tangannya ke pipi Rayyan. Suaminya itu menggenggam erat tangan Melisa di pipi. Dikucup penuh sayang.

"Rayyan..dah makan?" Perlahan suara isterinya bertanya. Rayyan perlu mendekatkan telinganya di wajah Melisa. Dalam banyak-banyak hal yang berlaku, soalan tentang dirinya yang disoal Melisa terlebih dahulu. Betapa mengambil beratnya Melisa tentang dirinya.

"Dah, baru je" persoalan pertama daripada Melisa membuatkan air matanya terus membanjiri pipi.

"Jangan lupa makan...jaga diri...jaga solat"

"Mel kena sihat cepat, supaya Mel boleh jaga makan, pakai dengan solat Rayyan" Rayyan mengelus wajah pucat isterinya itu.

Melisa hanya tersenyum kecil.

"Jangan salahkan diri Rayyan..atas apa yang berlaku pada Mel. Halalkan makan minum Mel" Melisa memandang tepat ke anak mata Rayyan.

"Maafkan Rayyan, Rayyan tak jaga Mel dengan baik"
Melisa menggeleng perlahan.

"Maafkan Mel dan Mel sayang suami Mel ni" Melisa mengesat perlahan air mata Rayyan.

"Mel nak jadi bidadari Rayyan tau" kata Melisa dengan senyumannya yang kelihatan lemah itu.

"Biar Rayyan panggil doktor sekejap, untuk check Mel"

"Mel nak tengok muka Rayyan sekejap" Melisa meletakkan tangan Rayyan pada perutnya. Rayyan pula membetulkan selendang di kepala isterinya. Hatinya tidak senang dengan perlakuan Melisa ketika itu.

Mata isterinya seakan-akan kosong memandangnya dan sekejap-sekejap tersenyum kecil dengan bibir pucatnya.

"Rayyan janji dengan Mel satu perkara boleh?"

"Boleh cinta" Rayyan mengesat air matanya sambil tersenyum.

"Cari kebahagiaan Rayyan sendiri. Mel bukan kebahagiaan Rayyan, Mel cuma pinjaman. Kan, papa?" Melisa tersenyum kecil pada bapa mertuanya.

Encik Raymond membalas senyuman menantunya.

"Mel dan anak kita adalah kebahagiaan Rayyan. Selamanya"

"Degil" Melisa mengucup perlahan belakang tangan Rayyan sebelum meletakkannya kembali pada perutnya.
Diusap perlahan perut Melisa. Isterinya itu menutupkan matanya.

"Mel sayang Rayyan sampai hujung nyawa" kata Melisa seakan-akan berbisik. Genggaman tangannya erat pada tangan milik Rayyan.

"Rayyan cintakan Mel sampai hujung nyawa. Itu janji Rayyan pada bidadari Rayyan ni" Rayyan berbisik pada telinga Melisa dan turut mengucap dua kalimah shahada pada isteri tercintanya.

Air mata Melisa mengalir di tubir mata dan genggamannya semakin longgar. Rayyan menangis teresak-esak sambil memeluk erat tubuh Melisa yang tidak lagi membalas pelukannya. Cintanya sudah pergi.

Encik Raymond mengusap perlahan wajahnya. Tidak tahan melihatkan anak tunggalnya menangis disitu sebelum doktor dan jururawat yang bertugas masuk ke dalam wad dengan segera.

Ketukan di pintu biliknya menyedarkan Rayyan pada realiti.

"Rayyan, turun bawah jom. Van jenazah dah sampai" suara Dilan kedengaran di pintu biliknya.

Rayyan mengangguk dan melipat semula sejadah isterinya. Bahunya diusap perlahan oleh Dilan ketika menuruni tangga.

Jenazah Melisa dengan persalinan barunya dilihat sayu. Ramai orang memandang Rayyan ketika itu, bersimpati dengan nasib si isteri dan anak yang masih dikandung.

Sebelum wajah Melisa ditutup, Rayyan sempat mengucup sayang wajah Melisa seperti yang disukai oleh Melisa buat kali terakhir begitu juga dengan perut isterinya. Kemudian, diangguk perlahan pada pengurus jenazah wanita yang ada di samping isterinya.

Puan Qaula membantu Rayyan untuk bangun berdiri apabila melihatkan keadaan anaknya yang seperti tidak berdaya itu.

Rayyan menepuk perlahan tangan Puan Qaula dan tubuh Melisa diangkat bersama Aisy, Dato' Fayyadh dan juga Encik Raymond untuk dibawa ke dalam van jenazah yang sudah tersedia di perkarangan rumahnya.

Daripada awal perjalanan sehingga ke akhirnya, Rayyan lah yang menguruskan Melisa ke rumah barunya. Itulah tanggungjawab Rayyan yang terakhir untuk Melisa walaupun berat hatinya tetapi, tidak sudah-sudah Rayyan berdoa di dalam hati untuk memudahkan segala urusan Melisa.

Selesai sahaja pengebumian Melisa, Rayyan duduk di sisi pusara isterinya. Perkara ini berlaku hanya dengan sekelip mata sahaja, mereka bahagia dengan kedatangan zuriat yang ditunggu selama ini. Tetapi, Allah lebih sayangkan Melisa dan juga anaknya.

Rayyan menepuk perlahan tanah merah dihadapannya. Kini, dirinya berseorangan tiada lagi Melisa yang boleh menghiasi harinya. Dunianya seakan-akan gelap. Sepi.

"Rayyan halalkan segala makan minum, Mel. Pergilah, Mel. Rayyan redha"

Rayyan's Cinta (C)Where stories live. Discover now