Cuaca panas terik waktu itu membuatkan mata Rayyan mengecil untuk memandang ke kawasan sekolahnya. Walaupun dia duduk berteduh di tempat meletak motosikal, cuaca yang membahang itu masih dapat dirasakannya.
"Mana Mel ni, Rayyan?" soal Mateen yang sedang bercekak pinggang di sebelah motosikalnya.
"Kau tanya aku, macam aku satu kelas dengan dia." Rayyan memeluk tubuhnya."Tu, Rahmat dah keluar kelas. Sekejap lagi datanglah Mel tu." Rayyan memakai topi keledar pada kepalanya. Begitu juga dengan Mateen. Motosikal berkuasa besar mereka itu menarik perhatian para pelajar yang berjalan di susur gajah sebaik sahaja enjin dihidupkan.
Rahmat merupakan rakan sekelas Melisa dan juga rakan sepasukan Rayyan dan Mateen di dalam pasukan bola sepak. Jadi, Rahmat juga adalah penanda untuk Rayyan dan Mateen ketika menunggu Melisa keluar daripada kelasnya.
Biasalah perempuan, pasti lambat untuk mengemas barang-barang sebelum pulang. Itu belum lagi mereka berhenti di kaki lima untuk bergosip pula.
Rayyan memulas motosikalnya apabila melihatkan Melisa yang berlenggang kangkung di susur gajah itu.
"Diamlah, Mel marah nanti." Mateen menolak lengan Rayyan.
"Lambat sangat berjalan. Ingat dia Miss Universe ke."
"Melisa! Hurry up!" jerit Rayyan pula. Memerah wajah Melisa ketika itu. Entah marah atau malu dengan jeritan Rayyan tadi. Pelajar di sekitarnya sudah berbisik sesama mereka.
Berlari-lari anak Melisa ke arah mereka berdua.
"Kenapa lambat sangat keluar? Lama dah tunggu." Rayyan menghulurkan topi keledar kepada Melisa. Seperti kebiasaannya, Melisa akan membonceng motosikal Rayyan kerana rumah mereka yang hanya bersebelahan sahaja."Baru lima minit loceng berbunyi. Ke Rayyan dengan Mateen ponteng kelas terakhir tadi?" Melisa merampas dengan kasar topi keledar itu di tangan Rayyan.
"Sedap mulut je cakap Rayyan ponteng. Mana ada." Rayyan mendengus geram. Mateen sudah menggelengkan kepalanya, tak boleh dekat sikit. Ada sahaja ingin bercakaran sesama mereka.Melisa menjeling tajam Rayyan dan segera berlalu ke motosikal Mateen. Mujur dia memakai baju sukan pada hari itu, mudah sahaja Melisa naik membonceng motosikal Mateen.
"Mel..." panggil Rayyan.
"Diamlah." tegas Melisa berkata."Jom gerak." Mateen bersuara dan terus menunggang motosikal berkuasa besar miliknya keluar daripada kawasan sekolah. Rayyan mengeluh berat dan mengekori motosikal Mateen.
Mereka bertiga menyelusuri jalan raya dan menuju ke air terjun yang berdekatan. Ini semua perancangan Mateen yang merindui akan alam sekitar katanya.
Perjalanan mereka mengambil masa selama 15 minit daripada kawasan sekolah. Sepanjang perjalanan, Melisa memegang erat baju kemeja sekolah milik Mateen yang berwarna putih itu.
Mateen menunggang motosikal bagaikan nyawa mereka ada sembilan. Laju.
Tidak lama kemudian, motosikal milik Rayyan dan Mateen memarkir di kawasan yang sedikit terpencil.
"Biar betul, Mateen? Ada air terjun ke dekat sini?" soal Rayyan. Topi keledarnya ditanggalkan."Ada, tapi kena mendaki sikit. Korang okay kan?" Mateen tersengih lebar.
"Saya okay je. Jom!" suara Melisa kedengaran teruja.
"Manalah kau jumpa tempat macam ni." Rayyan menggelengkan kepalanya sambil mengekori langkah Mateen di hadapan dan juga Melisa di antara mereka berdua."Kenalan aku." jawab Mateen bersahaja.
"Kau berkenalan dengan orang bunian ke? Tempat tersorok macam ni kau boleh tahu." soal Rayyan lagi. Serentak Melisa dan Mateen berhenti melangkah dan menoleh ke arah Rayyan di belakang.
YOU ARE READING
Rayyan's Cinta (C)
Romance//TW: Suicidal thoughts, Sexually abuse, Broken family Pernikahan yang sepatutnya berlangsung antara MELISA dengan lelaki idamannya berubah menjadi haru biru setelah pemergian encik tunang secara mengejut di dalam sebuah operasi menyelamat. Malah, p...