Selesai sahaja mesyuarat bersama Tuan Khairul, Faris terus melangkah keluar dari bilik mesyuarat lalu menuju ke bilik kerjanya. Baru sahaja dia mahu melabuhkan duduk, tiba-tiba pintu biliknya terkuak.
"Boleh papa masuk?" terjengul wajah Tuan Khairul di muka pintu bersama satu senyuman di bibir.
"Masuklah pa. Tak payah minta izin pun." Faris membalas senyuman Tuan Khairul lalu menjemput papanya duduk di kerusi berhadapan dengannya.
"Ada apa papa nak jumpa Faris ni?" Faris terus menyoal sebaik sahaja Tuan Khairul melabuhkan duduk.
Pelik sebenarnya tiba-tiba papa mahu berjumpa dengannya. Bukan selalu Tuan Khairul itu ada masa terluang bersamanya sekarang. Selalu sibuk dengan urusan yang masih bersisa sementara menunggu masa nak bersara pula.
"Papa nak minta tolong sikit dengan Ris boleh?" soal Tuan Khairul dengan raut tenangnya. Masih terselah ketampanan di wajah tua itu meskipun sudah beruban pun.
Faris menjungkit kening. Tiba-tiba aje ni.
"Minta tolong apa?" Faris menyoal kembali. Jangan suruh dia kahwin sudah, sumpah dia tak bersedia nak tamatkan zaman bujangnya lagi.
Tuan Khairul menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Faris. Timbul kerutan di dahi Faris. Surat apa pulak ni?
"Papa nak minta tolong Faris attend event perasmian syarikat kawan papa. Dia jemput papa sebagai wakil dari syarikat kita untuk datang tapi papa tak dapat pergi sebab malam tu papa kena outstation dengan mama kamu."
"Jadi papa minta kamu hadir ke sana. Gantikan papa." ujar Tuan Khairul sambil membetulkan duduknya di kerusi.
Faris mengeluh. Benda inilah paling dia nak mengelak sekali. Bukannya papa tak tahu yang dia memang tak suka bila dijemput majlis sebegini. Formal, ikut protokol dan sewaktu dengannya.
Memang tak ngam dengan dia bila dah berdepan dengan ahli korporat ni semua. Dan bila papa sendiri yang minta dia datang, peluang nak mengelak tu memang amatlah tipis. Nak bagi alasan apa pulak kali ni? Dia dah garu kepala.
"Papa-" tak sempat nak bagi alasan, Tuan Khairul dah memotong.
"No excuse son. Nak taknak, Ris kena datang jugak. Bukannya selalu Ris datang ke event macam ni kan? Tengku Rayyan tu dah selalu tolong papa dulu. Please, jangan malukan papa." Tuan Khairul dah buat nada merayu.
Faris mengetap bibirnya perlahan. Kad di tangannya itu dibelek sekilas lalu. Hanya nama tempat yang di carinya. Malas nak belek lama-lama, terus kad tadi ditolak ke sudut meja kerjanya sebelum satu keluhan berat dilepaskan.
Pilihan apa lagi yang dia ada kan?
"Okey, Ris pergi. Tapi Ris nak ajak Aidan sekali boleh?" Faris dah pasang muka pasrah. Tuan Khairul mangangguk sambil tersenyum.
"Terserah Faris, janji datang. Okeylah, papa pun nak balik dah ni kesian mama kamu tunggu kat rumah. Papa keluar dulu, assalamualaikum." Tuan Khairul mula bangun dari duduk diikuti Faris turut bangun dari kerusi.
Sebaik sahaja kelibat papanya menghilang dari pandangan, terus Faris menghempas punggungnya di kerusi empuknya. Wajahnya diraup berkali-kali.
Eh, serabut betullah. Malam minggu orang nak rilek-rilek, main game. Masa tu jugaklah nak suruh attend event bagai. Ergh.
Ah, tak kira. Kena angkut jugak si Aidan tu sekali harung.
...
Haikal yang masih menunggu itu sedang resah tak keruan dibuatnya. Daripada duduk, dia mula bermundar-mandir dengan giginya diketap perlahan menahan gelojak dijiwa.
YOU ARE READING
Give Your Little Heart
Romance[COMPLETE] Selepas kematian ibu dan abah, dia sudah tidak punya sesiapa lagi untuk bergantung hidup. Bahkan neneknya sendiri menghalaunya dari hidup wanita itu. Hidupnya sendiri, sebatang kara. Pernah juga dirinya merasa ingin putus harapan. Tidak...