Sepanjang perjalanan mereka ke kampung, Nuha mahupun Faris, masing-masing senyap membisu. Hanya bunyi dj radio yang rancak berceloteh itu ini mengisi kesunyian. Suasana yang seperti baru mencetuskan perang dunia ketiga itu membuatkan angin Nuha jatuh merudum dengan perangai Faris yang suka mengarah orang.
Sebaik sahaja Puan Farida dan Tuan Khairul pulang ke rumah tadi, terus Faris menyatakan mereka mahu pulang ke kampung Nuha atas permintaan isterinya itu. Tanpa bantahan, mama dan papanya hanya mengizinkan mereka pergi.
Apabila kereta yang dipandu Faris sudah masuk ke kawasan kampungnya, otak Nuha mula ligat mengingati jalan selok-belok kampung itu agar mereka tidak tersesat.
"Masuk ikutt jalan tu. Saya nak lawat kubur ibu dan abah sekejap." ujar Nuha mendatar tanpa memandang ke arah Faris. Setelah lama mereka berdiam diri, barulah Nuha bersuara.
Faris hanya menurut, stereng dipusing ke lorong kanan. Sampai sahaja mereka di tanah perkuburan, terus Nuha mencapai buku Yaasin dalam dashboard. Tikar di tempat duduk belakang turut diambil sebelum kakinya melangkah keluar dari perut kereta.
Laju Nuha melangkah masuk ke kawasan tanah perkuburan tanpa menunggu Faris. Lelaki itu hanya mengeluh sebelum tangannya mencapai kopiah dan buku Yaasin dalam dashboard. Cermin mata hitamnya sempat dicapai lalu melangkah keluar dari perut kereta.
Setelah Faris mengunci kereta, langkah kakinya diatur ke arah Nuha yang sudah duduk berteleku membaca Yaasin ditepi kubur ibu dan abahnya. Faris melabuhkan duduk disebelah Nuha lalu turut membacakan Yaasin buat kedua arwah ibu bapa mentuanya.
Selesai membacakan Yaasin Faris terus mendoakan buat arwah. Nuha turut mengaminkan doa apabila Faris selesai berdoa. Tangan Nuha bergerak mengusap perlahan pusara ibunya dengan perasaan sebak.
"Assalamualaikum ibu.. Abah.. Nuha datang ni." tutur Nuha perlahan. Air matanya bergenang tatkala terpandangkan pusara ibu dan abahnya yang sudah berusia lebih sepuluh tahun itu. Rasa bersalahanya datang menerpa membuatkan air matanya jatuh.
"Nuha minta maaf sebab baru sekarang Nuha sempat nak melawat ibu dan abah. Tapi percayalah, Nuha tak pernah lupakan ibu dan abah, Nuha selalu doakan semoga ibu dengan abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman." Nuha mengesat pipinya yang sudah lencun dengan air mata.
Faris yang memerhati hanya menunduk, tak mampu bersuara. Hatinya cukup remuk melihat isterinya yang sedang melepaskan rindu yang terpendam sudah lebih sepuluh tahun lamanya.
"Ibu.. Abah.. Nuha rindu sangat.. Sesaat pun Nuha tak pernah lupakan ibu dan abah. Berkat doa ibu dan abah, Nuha berjaya tempuhi pelbagai cabaran dalam hidup Nuha. Allah takdirkan Nuha bertemu dengan orang yang sangat baik untuk jaga Nuha selepas ibu dan abah pergi."
Terhinjut bahu Nuha menahan tangis. Terasa bahunya diusap perlahan dari tepi. Faris menarik bahu isterinya merapat ke dadanya. Sedaya upaya Nuha menstabilkan diri sebelum dia menarik nafas dalam.
Nuha berganjak sedikit mendekati pusara ibu dan abahnya sebelum tangannya kembali bergerak mengusap batu nisan itu. Bibirnya diketap perlahan. Hatinya berbicara perlahan,
"Hari ni, Nuha tak datang berseorangan.. Nuha datang dengan suami Nuha, Faris. Semalam, tanggungjawab abah dah beralih ke suami Nuha. Ibu dan abah jangan risau, Nuha akan jumpa kebahagiaan Nuha sendiri. Doakan Nuha ya.."
Dia mengeluh berat, air matanya diseka perlahan sebelum bibirnya mengukir senyuman nipis. Hatinya berasa puas hari ini dapat melunaskan rasa rindu yang terbuku selama ini. Kalau bukan sebab Faris, dia mungkin tak dapat melawat kubur ibu dan abahnya hari ini.
"Nuha pergi dulu. Ada masa, Nuha datang lagi. Assalamualaikum." terus Nuha bangun diikuti Faris. Baru Nuha mahu melangkah, terasa lengannya dipegang. Nuha berpaling memandang Faris.
YOU ARE READING
Give Your Little Heart
Romance[COMPLETE] Selepas kematian ibu dan abah, dia sudah tidak punya sesiapa lagi untuk bergantung hidup. Bahkan neneknya sendiri menghalaunya dari hidup wanita itu. Hidupnya sendiri, sebatang kara. Pernah juga dirinya merasa ingin putus harapan. Tidak...