"Sayang?"
Matanya melilau mencari si isteri sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik tidur. Namun tatapannya terhenti pada sekujur tubuh kecil yang sedang bermain dengan permainannya atas katil. Bibirnya melorek senyum seraya dia melangkah mendekati ke arah katil.
"Assalamualaikum princess daddy.. Main apa ni.." pipi montel itu diciumnya bertalu. Bukan main sukanya si kecil itu apabila melihat daddynya.
Faris tersenyum. Dia memangku tubuh anaknya itu sambil diagahnya sehingga membuatkan putrinya itu mengekek ketawa. Suka betul bermain dengan daddynya.
"Nurin Faisya.. Mummy mana ni? Cian dia main sorang-sorang ya.." agahnya lagi.
Nurin hanya tergelak, mulut becoknya itu membebel entah apa membalas kata daddynya. Faris hanya melayan, kasihan anaknya itu mahu perhatian rupanya.
"Abang.. Baru balik ke?"
Faris berpaling melihat Nuha berjalan mendekati mereka. Terlihat wanita itu masih berkain batik, hampir terlupa yang isterinya itu masih dalam tempoh berpantang.
Perlahan-lahan Nuha mencapai tangan suaminya lalu dikucup sopan sebelum punggung dilabuhkan atas katil. Kain batik diperbetulkan sedikit. Sempat pipi Nurin dalam pangkuan suaminya itu dicium sekilas.
"Haah. Puas cari sayang tadi rupanya dalam bilik air." tubuh Nurin kembali dibaringkan atas katil apabila anaknya itu ralit dengan mainannya.
Dia tersenyum melihat anak perempuannya itu. Hampir dua tahun selepas melahirkan Firash, akhirnya dapat juga merasa menimang cahaya mata yang kedua. Lagi seronok apabila diketahui jantina anak keduanya itu adalah perempuan.
Firash lah orang yang paling teruja apabila menanti kelahiran adiknya. Alhamdulillah, sungguh dia bersyukur atas nikmat yang Allah berikan padanya sekeluarga.
"Sorry, buang air sekejap tadi.." Nuha tersengih.
"Iyash mana? Tak nampak pun dia." Faris menyoal. Dicarinya juga tadi heronya yang seorang itu.
"Tadi saya suruh dia temankan Nurin kat sini. Entah mana pula budak tu menghilang." mendengar Nurin merengek, lantas tangannya memangku tubuh anaknya itu sebelum baju t-shirtnya diselak ke atas untuk menyusu.
"Arghhh daddy!!"
Baru Faris mahu membalas, terdengar jeritan Firash dari luar bilik. Mereka tersentak, terus Faris berdiri mahu ke bilik anaknya. Baru kaki nak melangkah keluar dari bilik, tak semena terlihat Firash laju berlari ke arahnya.
Faris mencangkung, mendapatkan tubuh anaknya yang sudah ketakutan. Berkerut dahinya melihat rambut anak terunanya itu juga masih berbuih. Tak siap mandi lagi ke?
"Kenapa ni?"
"D-daddy.. Ada l..lipass! Eii.." Firash buat muka geli. Tengkuk Faris dipeluk kemas. Habis basah baju kerja Faris dibuatnya.
"Itulah, suka sangat buang baju sekolah yang dah pakai dalam bilik. Padan muka lipas datang cari Iyash. Kan dah kena?" bebel Nuha sambil tergeleng kepalanya.
Inilah padahnya bila anak terunanya itu berkeras nak duduk bilik sendiri. Memang dah berani nak tidur seorang diri tapi perkara inilah yang dirisaukannya. Bila dah duduk bilik sendiri, semua baju kotor yang dah dipakai dibuang dalam bilik tidur dan memang tak reti nak letak dalam mesin basuh.
Bertuah punya anak. Dah berbuih mulutnya supaya pandai kemas diri. Berlagak pandai betul konon nak berdikari sendiri, tak nak susahkan mummy dan daddy konon.
Firash menyembamkan wajah ke dada Faris, tak mahu memandang wajah garang Nuha yang sedang mencerlung ke arahnya. Bibirnya tersebek. Tak nak kawan mummy. Mummy garang!
ANDA SEDANG MEMBACA
Give Your Little Heart
Romance[COMPLETE] Selepas kematian ibu dan abah, dia sudah tidak punya sesiapa lagi untuk bergantung hidup. Bahkan neneknya sendiri menghalaunya dari hidup wanita itu. Hidupnya sendiri, sebatang kara. Pernah juga dirinya merasa ingin putus harapan. Tidak...
