Punggung dilabuhkan pada buaian kayu yang terletak di balkoni biliknya bersama sebuah buku novel di tangan. Novel pemberian daripada Hana sempena hari lahirnya pada tahun lepas itu langsung tak pernah dibacanya lagi. Bungkusan plastik pun masih cantik lagi belum dibuka. Kebetulan hari ini memang dia ada masa terluang, jadi petang itu dia mahu bersantai saja sambil membaca novel.
Sengaja mahu tukar mood. Selalunya pantang ada waktu lapang begini, semua movie dan K-drama yang bersarang dalam laptopnya itu dihadapnya.
Baru beberapa mukasurat dibaca, kedengaran telefonnya berdering nyaring minta diangkat. Segera dia mencapai telefon di atas meja sebelum butang hijau ditekan.
"Assalamualaikum."
Bibirnya tersenyum mendengar empunya suara di hujung talian.
"Waalaikumussalam, Mak Ija." senyumannya masih belum hilang.
"Nuha sihat?"
Nuha senyum. Ah, rindunya pada Mak ija! Rasa seperti ibunya menelefon menanyakan khabar. Tiba-tiba rasa rindunya terubat. Hatinya jadi sedikit lapang.
"Alhamdulillah, sihat. Mak Ija apa khabar?" soalnya kembali.
"Alhamdulillah sihat. Mak Ija sebenarnya nak bagitahu Nuha tentang keadaan Nek Mah."
Serta-merta Nuha diserbu rasa ingin tahu. Novel yang ditanda muka surat tadi ditutup lalu diletakkan atas meja. Kini perhatiannya sepenuhnya pada Mak Ija di talian.
"Ada apa Mak Ija? Kenapa dengan nenek?" balasnya laju.
"Nek Mah okey, Nuha jangan risau. Strok dia pun dah beransur pulih lepas buat rawatan. Alhamdulillah. Darah tinggi nenek pun dah stabil sikit. Ini semua berkat Nuha dan Faris.."
Nuha memanjatkan rasa syukurnya. Gembira hatinya mendengar perkembangan nenek dari Mak Ija. Rindunya dia terhadap neneknya itu.
"Alhamdulillah.. Nuha pun dah lama tak jenguk nenek dan Mak Ija. Faris pun sibuk sikit sekarang jadi jarang nak balik kampung." Nuha bersuara sayu.
"Tak apalah Nuha. Habiskan dulu apa yang patut, nanti kalau dah ada masa bolehlah balik. Nek Mah pun faham Nuha dan suami ada kerja. Nuha jangan risau, soal Nek Mah biar Mak Ija uruskan." Mak Ija cuba menyedapkan hati Nuha.
Nuha tersenyum nipis. Selepas apa yang sudah jadi terhadapnya sebelum ni, banyak perkara yang buat dia rasa tersedar. Malah setelah mendapat kemaafan dari Faris dua hari lepas, hatinya berasa sedikit tenang.
Setelah beberapa minit berbual dengan Mak Ija, talian dimatikan. Nuha hela nafas lega. Tiba-tiba dia berniat mahu balik kampung.
Belum sempat dia melabuhkan duduk kembali atas buaian kayu, telefonnya berdeting menandakan ada mesej masuk. Segera dia mencapai kembali telefon bimbit atas meja.
Berkerut wajahnya melihat gambar yang dihantar oleh nombor tidak dikenali tersebut.
Faris?
"Dia buat apa dengan Erika?" soalnya sendiri sambil membelek gambar-gambar yang dihantar.
Kelihatan Faris sedang berjalan berdua dengan Erika. Nampak mesra. Walaupun tak bersentuhan kulit, tapi nampak mereka sangat mesra. Nuha ketap bibir. Lagi nak marahnya bila dia meneliti gambar tersebut mereka berada di suatu tempat.
"Mamat ni dah balik Malaysia ke?" semakin berlapis dahinya. Nampak macam di Langkawi sebab ada satu gambar mereka sedang bergambar disebalik patung burung helang itu.
Bukan ke lelaki tu belum balik lagi dari London? Dia buat apa pula di Langkawi?
Dibelek lagi gambar yang lain, Erika sedang mengelap sesuatu yang terkena pada baju Faris. Nuha terus menutup telefonnya dek kerana meluat sangat. Nombor tadi sempat disekat tanpa rasa bersalah.
YOU ARE READING
Give Your Little Heart
Romance[COMPLETE] Selepas kematian ibu dan abah, dia sudah tidak punya sesiapa lagi untuk bergantung hidup. Bahkan neneknya sendiri menghalaunya dari hidup wanita itu. Hidupnya sendiri, sebatang kara. Pernah juga dirinya merasa ingin putus harapan. Tidak...