CANGKIR teh itu diletakkan di atas meja oleh Mak Cik Zati, satu-satunya orang gaji di rumah mewah itu. Sudah lama dia berkhidmat di situ. Sebelum ini, ada juga beberapa orang yang digaji oleh Dato' Mikail. Tapi, semuanya tak boleh percaya. Ada yang mencuri barang kemas, pakaian dan macam-macam lagi. Hanya Mak Cik Zati yang boleh dipercayai.
"Ni tehnya, Ri."
Fakhri yang sibuk dengan telefonnya itu langsung tidak melihat Mak Cik Zati. Hanya bibirnya yang bergerak mengucapkan terima kasih.
"Terima kasih, Mak Ti."
Mak Cik Zati pun berlalu pergi ke dapur.
Asyik betul Fakhri melihat gambar Fiya di Instagram. Hatinya hanya mampu mengeluh. Orang yang dicintainya itu bakal menjadi milik abangnya. Haruskah dia menerima kenyataan? Atau menentang?
Dia masih dihurung kebuntuan.
"Ri, tak kerja ke hari ni?" Setelah disapa oleh Datin Fatiha, Fakhri terus mematikan skrin telefonnya.
"Tak, ma. Tak ada kelas hari ni. Esok baru ada," balas Fakhri yang merupakan pensyarah sebuah universiti terkemuka itu. Baru dua tahun dia berkhidmat sebagai pensyarah di situ. Tapi, banyak pengalaman yang dia peroleh. Tambah pula dengan bermacam-macam ragam pelajar di situ.
Mentang-mentang Fakhri orang yang ada rupa dan berharta, ramai betul pelajar yang jatuh cinta dengannya. Dia bukannya tak tahu.
Sudah ramai pelajar yang meluahkan perasaan kepadanya. Ada juga yang memendam perasaan dan mengintipnya setiap hari. Dia tahu dan dia dapat rasa dia diintip! Tapi, dia buat-buat tak layan. Dia bukan mudah untuk jatuh hati dengan orang. Sekarang ini hanya Fiya yang bertakhta di hatinya.
"Oh, tak ada kelas..." Datin Fatiha duduk di sebelah anak bongsunya itu.
"Ri, mama nak tanya ni..."
Fakhri memandang wajah mamanya dengan kening yang sedikit terangkat.
"Apa dia, ma?"
"Ri okey ke? Sebab mama tengok semenjak dua menjak ni Ri banyak mengelamun, tak banyak cakap... kenapa? Ri ada problem ke?" Datin Fatiha cuba menjadi seorang ibu yang mengambil berat terhadap anaknya. Dia tidak mahu anaknya memendam masalah sendiri tanpa menceritakan kepadanya.
Fakhri geleng. "Taklah, ma. Tak ada problem apa pun."
"Ya ke tak ada problem? Hmm, okey mama dah dapat agak. Ri jealous dengan Han eh? Sebab semenjak Han tunang ni, Ri dah banyak diam, kuat mengelamun.. pendek kata, Ri dah lain," ujar Datin Fatiha dengan kerutan di dahinya.
"Datin, teh..." Mak Cik Zati meletakkan satu lagi cangkir teh ke atas meja. Rajin betul Mak Cik Zati, tak payah tunggu orang pesan, awal-awal lagi dia sediakan.
"Terima kasih, Kak Ti." Laju sahaja Datin Fatiha mengucapkan terima kasih sebelum mencicip teh itu.
"Jealous? Buat apa Ri nak jealous ngan Han?" Fakhri cuba berselindung. Sebenarnya di hatinya sudah timbul rasa cemburu terhadap abangnya, yang akan bernikah dengan gadis yang dicintainya.
"Yelah, Han dah nak kahwin. Ri, calon pun tak ada lagi," kata ibunya berbaur sindiran.
"In shaa Allah tiba masanya nanti datanglah tu jodoh Ri. Ri tengah tunggu jodoh Ri sampai je ni, ma."
"Mana boleh tunggu je, Ri. Kenalah usaha cari," pesan Datin Fatiha. Yalah, jodoh itu bukan datang bergolek. Sama seperti rezeki. Kalau tidak usaha, manakan dapatnya?
"Yelah, yelah. Nanti Ri usaha cari. Mama pun, doakanlah Ri." Fakhri tersenyum nipis. Bukan tidak mahu usaha cari, sekarang ini hatinya sudah tertutup untuk mencintai mana-mana perempuan, kecuali Fiya.
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...