PUAN Idayu melabuhkan punggung di sebelah anak bongsunya. Semenjak dua menjak ini dia lihat anaknya sering termenung saja. Kini sudah cukup seminggu Aisy menanti jawapan dari pihak sana. Namun, tak ada apa-apa respon lagi setakat ini. Dia tahu fikiran Aisy kalut memikirkan tentang itu.
"Hai, jauh termenung anak bongsu ibu ni," sergahnya.
Aisy hanya sengih. Dia sepertinya dapat rasakan, bahawa Fakhri tak setuju untuk memperisterikannya. Biarlah. Dia serahkan segalanya pada Allah, Yang Maha Menentukan. Kalau ada jodoh, adalah.
"Aunty Tiha ada cakap apa-apa?" Puan Idayu menanya, manalah tahu Datin Fatiha ada menghubungi Aisy.
Aisy geleng kepala. "Tak ada lagi, bu. Tulah, Aisy pun tunggu juga respon dari diaorang."
"Hai, dah seminggu dah. Tak ada respon lagi?" Puan Idayu rasa bimbang juga. Bimbang jika Fakhri tidak bersetuju untuk berkahwin dengan anaknya. Bukan apa, dia juga mahu Fakhri menjadi menantunya, seperti mana Datin Fatiha ingin menjadikan Aisy menantunya.
Aisy menggeleng lagi. Dia hela nafas perlahan.
"Aisy rasa... Fakhri tak setuju kut, bu."
"Janganlah buat andaian dulu. Apa-apapun, kita tunggu aje jawapan daripada diorang. Biar kita dengar dari mulut diorang sendiri," pesan Puan Idayu. Sebenarnya, dia tidak mahu menambahkan keresahan di hati Aisy.
"Okey, ibu." Aisy mengangguk, akur.
"Assalamualaikum!" Laungan salam di halaman rumah menyapa cuping telinga Aisy dan ibunya.
Suara itu, suara yang amat dikenali. Aisy bangun dari sofa lalu menuju ke pintu rumah. Mujur dia sudah lengkap berpakaian menutup aurat. Nak keluar pergi beli barang katanya.
Aisy menguak pintu rumahnya. Alangkah terkejut dia saat melihat figura sahabatnya di depan mata.
"Waalaikumussalam. Lia! Kenapa tak cakap nak datang? Ya Allah, rindunya kat kau!" Aisy berlari ke arah Dahlia. Dipeluknya erat-erat tubuh sahabatnya itu. Rindu!
"Aku pun rindu gila-gila dekat kau! Alah, aku saja je nak buat surprise!" Dahlia melagakan kedua-dua belah pipinya dengan pipi mulus sahabatnya.
"Dah tu sorang je ke ni?" Aisy memegang tangan Dahlia. Gembira betul dia! Terlerai segala kekalutan yang bertenggek di mindanya.
"Ha'ah. Cerita dia macam ni. Aku ngan Haiqal balik rumah mak. Yalah, sebulan sekali je kan boleh balik. Lepas tu aku pun teringat kat kau. Then, aku singgahlah rumah kau," terang Dahlia satu per satu.
"Oh. Ingat juga kau kat aku eh?" Aisy saja nak bergurau.
"Ya Allah dia ni, mestilah aku ingat! Sahabat kut? Gila tak ingat?" Dahlia menjegilkan matanya.
Puan Idayu berdiri di belakang Aisy. Dia tengah tak bertudung. Jadi, susah nak munculkan diri. Takut jiran-jiran nampak pula.
"Lah kamu rupanya, Lia."
"Ha'ah. Sihat, Mak Ayu?" Dahlia mencium tangan wanita itu.
"Alhamdulillah sihat. Bila lagi balik sini?"
"Baru kelmarin, Mak Ayu. Ha ni, mak kirim salam." Teringat juga Dahlia untuk menyampaikan salam ibunya kepada Puan Idayu.
"Waalaikumussalam warahmatullah," ucap Puan Idayu.
"Marilah masuk, Lia. Takkan nak duk kat luar je?"
"Ha, jomlah masuk." Aisy menarik tangan Dahlia. Bukan main rindu dia pada Dahlia. Setiap hari mesti dia teringat akan Dahlia.
Dahlia menurut saja. Usai masuk ke dalam, dia terus duduk di atas sofa bersama-sama Puan Idayu.
"Aku buat air jap, Lia." Aisy menuju ke dapur.
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...