FAKHRI labuhkan duduk di atas kerusi, berhadapan dengan kawan baiknya, Faiz. Faiz merenung wajahnya dengan seribu tanda tanya. Sebenarnya, baru-baru ini Fakhri mengkhabarkannya bahawa Farhan sudah putus tunang dengan Fiya. Faiz seolah-olah tidak percaya saja dengan apa yang disampaikan oleh kawannya.
"Ri, betul ke abang kau dah putus tunang dengan Fiya?" Faiz menegur.
"Betullah. Takkan aku nak tipu?" Fakhri merespon dengan selamba. Semenjak dua menjak ini, dia tampak ceria saja. Faiz tahu apa alasan kawannya jadi ceria begitu.
"Aku macam tak percaya aje diorang boleh putus. Sebab apa eh diorang putus?" Faiz menyampuk. Kalau boleh, dia nak tahu lebih daripada itu.
"Salah faham."
Fakhri mencicip kopi panasnya.
"Haih, sebab tu aje? Takkan tak boleh bawa bincang?"
Faiz rasa hairan. Masing-masing sudah besar panjang, takkanlah tak boleh berbincang? Salah faham boleh diselesaikan, bukannya biarkan tak berpenghujung.
Mendengarkan persoalan Faiz, Fakhri hanya angkat bahu. Yang penting, sekarang hatinya gembira. Dia masih memikirkan cara untuk dia memikat hati Fiya. Sejujurnya, perasaannya terhadap Fiya tak pernah hilang walau secebispun. Cuma sekarang ini, dia ragu dengan hatinya yang mula menduakan cinta, pada Fiya dan Aisy. Ya, dia mula menyukai Aisy.
"Kau ni Ri. Semenjak dua menjak ni aku nampak kau gembira semacam je. Kau tak payah bagitau kenapa, aku dah tahu sebab apa," kata Faiz.
"Baguslah kalau kau dah tahu. Tak payah aku bagitahu."
Masih tak hilang lagi senyuman di bibir Fakhri. Begitu dia berharap agar dapat memperisterikan Fiya. Walaupun dia tahu Farhan akan memberontak, dia tidak kisah tentang itu.
"Kau jangan sampai buat kerja gila, Ri. Kang menyinga si Farhan tu," beritahu Faiz awal-awal.
Dia sepertinya dapat menangkap apa yang bermain di fikiran kawan baiknya saat ini. Dia harap, Fakhri tak buat kerja gila!
"Kerja gila apa bendanya?"
Fakhri mengerutkan dahi. Tak faham pula dengan 'kerja gila' yang dimaksudkan oleh Faiz. Dia tak adalah jahat sangat, tapi dia tetap akan kejar cintanya. Perasaan Farhan langsung tidak difikirnya.
"Kutlah kau nak buat Fiya jatuh cinta kat kau ke? Tak pun, kau nak masuk minang dia. Jangan wei. Kau pun tahu kan, abang kau tu mesti ada perasaan lagi dengan Fiya. Takkan semudah tu Farhan nak lupakan Fiya?"
Awal-awal lagi Faiz beri amaran kepada Fakhri. Dia risau kalau-kalau hubungan Farhan dan Fakhri jadi tegang. Apatah lagi kalau Farhan mula berdendam dengan Fakhri. Tak mustahil itu boleh berlaku.
"Aku tak kisah pasal tu. Lagipun, diorang berdua dah putus pun kan? Iz, aku nak kau tahu, perasaan aku pada Fiya tak pernah hilang. Aku cintakan dia, Iz. Aku nak kahwin dengan dia."
Fakhri meluahkan rasa. Dia mencintai Fiya sepenuh hatinya. Dia tidak kisah dengan keburukan yang ada pada diri gadis itu.
"Okey, Ri. Cuba kau bayangkan, kau nak kahwin dengan Fiya. Kau masuk minang dia. Lepas tu Farhan dapat tahu. Kau rasa dia nak buat selamba badak je?"
Faiz langsung tak setuju jika Fakhri mahu memperisterikan Fiya. Dia lebih memikirkan tentang hubungan Fakhri dan Farhan. Jika begitulah jadinya, pasti mereka berdua akan hidup dalam dendam.
"Aku tak kisah. Janji aku dapat Fiya. Tu dah cukup."
Fakhri tak mahukan lebih daripada itu. Yang dia mahu sekarang cuma Fiya, Fiya dan Fiya!
"Dalam hati kau sekarang memang ada dia sorang je ke? Tak ada orang lain dah?"
Faiz menggaru kepala. Pemikirannya jadi kusut. Dia takkan menyokong tindakan Fakhri untuk memperisterikan Fiya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...
